Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, December 9, 2010

Trauma

Hampir 12 tengahari. Vios putih masuk di persimpangan jalan, laju melepasi saya tanpa sebarang signal terus masuk ke tempat parkir. Mengesan sesuatu yang kurang pasti, saya menghampiri.  Pintu penumpang belakang terbuka perlahan dan muncul seorang budak lelaki memeluk kain pelikat hijau dan matanya berkaca.

Masa berlalu seperti biasa.  Namun suasana sunyi dan bungkam.  Setiap orang kelihatan sangat bijak membawa diri sendiri.

Jam 4.30 petang, saya menerima panggilan telefon dari mak.  "Haa, macamana Hidayat?"  tanya mak setelah berbasa-basi ehwal keluarga.
"Hmm ... dapat inject sebelah je.  Tak sempat nak inject sebelah lagi,"  bicara saya disambut gelak tawa mak. "Anak kau sorang tu lain sikit,"  sambung mak.  Orang tua memang cekap membaca feel cucunya.

Gagal menggunakan prosedur biasa, doktor mampir untuk meneruskan dengan bius sepenuhnya.  Tetapi usaha mendapatkan darah untuk pemeriksaan juga tak berjaya.  Hidayat, sesudah abahnya keluar untuk kembali bekerja, menunjukkan kesan lebam bekas cubitan di lengan kirinya.  "Abah cubit ... kuat."  Matanya berkaca semula.


"Lagi?"
"Abah lempang kat sini."  Dia menunjukkan pipi kirinya.
"Kat depan semua orang?"  Hidayat mengangguk.
Ohh ... kali pertama dulu kami mendengar kisah seorang anggota tentera melempang si anak yang enggan dikhatankan, dari pegawai perubatan yang ramah.  Kami kerut dahi dan geleng kepala, 'tak patutnya!!!"  Hari ini, cerita yang sama berulang kepada ... anak saya pula!

Kasihannya budak ini!

"Macam ni la, mak bagi tambang ekau balik kampung berdua, sunat kat sini."  Mak memberi saran.  Uhh ... praktikal ke?  Abih, budak perempuan berdua tu macamana?  Abahnya izinkan ke kami balik berdua semata-mata untuk menyunatkan si Hidayat ni?  Balik semua?  Out of budget.  Hmm ... mak terkadang sangat praktis berfikir dan bertindak.  Firasat saya, sekadar bertanya pada abah Hidayat boleh tetapi saya sudah jangkakan jawapannya.

"Mak nak datang sana tak boleh.  Baby mak ni sapa nak jaga."  Baby yang mak maksudkan ialah wan saya yang sudah menjangkau 85 tahun umurnya.  Masih sihat dan kuat ingatan, hanya lututnya yang tidak berdaya gara-gara tersungkur tatkala 'memandai-mandai' rajin menyapu daun rambutan yang gugur di laman belakang.  Saya bersalinkan Hanessa jam 4 pagi 16 Mac 2005, dan wan separuh pengsan di tanah pada Asar petangnya.  Jadi sudah lima tahun wan bertatih menggunakan tongkat.  Kasihan wan.

Masa berlalu seperti biasa.  Namun suasana sunyi dan bungkam.  Setiap orang kelihatan sangat bijak membawa diri sendiri.  

Hidayat tidak dibenarkan menonton tv.  Dia hanya mampu mencuri-curi pandang dari jauh.  Semua permintaan DIBEKUKAN, kata abahnya buat sekian kali.  Jangan harap!!! kata abahnya dengan berang.  Namun kembali bertemu di waktu petang, raut si abah sudah lembut kembali.  Sudah ada senyuman dalam geram.  Hidayat tetap tidak diendahkan.

Kasihan dia!

"Cubit sikit je.  Lempang pun buat syarat je,"  kata abah ini ketika saya pertikaikan tindakannya.  "Tak kuat pun."
"Iye la, tak kuat kat awak tapi kat dia ..."

Memang si abah geram sungguh, malu dua kali dek anaknya.  Tambahan tadi ramai pula yang datang untuk berkhatan.  Ramailah yang menonton drama live Hidayat.  Kata abahnya, raungnya macam kena cubit tatkala hendak dibawa ke bilik mengambil darah, "jadi biarlah betul-betul kena cubit!"  kata abah puas hati.

Kasihan dia!

"Tak apalah, satu hari nanti dia akan banggakan awak di depan orang ramai, insyaAllah."
"Nantilah dia dah besar sok, aku nak ketawakan dia pulak time anaknya bersunat!"  Nasib Hidayat nampaknya dapat bapak yang terejal macam ni.  Mudah-mudahan panjang umur kita melihat cucu-cucu ... hehehe.  InsyaAllah.

Dan saya bagai terdengar suara mak komplen tindakan  satu-satu menantunya ini dalam telefon tadi.  Aduhh ...

"Tadi ada juga budak menangis macam Dayat,"  Hidayat memulakan ceritanya pula tatkala kami selesai berjemaah solat Zuhor.  Ohh ...  Dia mengunjukkan lagi tanda lebam di lengan kirinya.  Saya gosok-gosok supaya kurang pedih di hatinya.  "Hari Isnin ni inject sebelah lagi ke?"  tanyanya.
"Tak apalah, kita tutup cerita ni untuk tahun ni."  Seandainya doktor dapat mengambil darah Hidayat tadi, temujanji akan dibuat untuk mengkhatankannya dalam tidur Isnin ini.

"Berdosa ke kalau tak sunat?"
"Dosa besar ke dosa kecik?"
"Masuk neraka ke?"

Satu persatu anak ini mengajukan soalan demi soalan kepada saya.  Air mukanya sayu dan matanya berkaca.  Hidayat, semua lelaki Islam wajib berkhatan.  Tentang syurga dan neraka, hanya Allah SWT yang menentukan.  Mama doakan Hidayat akan berkhatan juga nanti.

Kasihan sungguh pada dia!

Mak kata, bahawa sebenarnya Hidayat tetap diserbu rasa bersalah, tetapi macam kata doktor pula, bahawa Hidayat telah trauma dengan perihal berkhatan ini.

Kasihan dia!

Kasihan sebenarnya, kata abah Hidayat.  Cubit dan lempang tu main-main je.  Gertakan si bapa semata.  Manakan tak kasihan pada anak darah daging sendiri.  Hanya terkadang alah dengan kerenah si anak yang diluar dugaan.  Teringat tatkala menghantar Hidayat masuk ke kereta pagi tadi, dia duduk di tempat duduk belakang.  "Aik, napa tak duduk depan?"

"Tak apalah, karang mana tau Hidayat tak jadi sunat pulak ..."  itu jawapannya membuatkan saya dan si abah saling berpandangan.  Rupa-rupanya, memang tak jadi sunat!  Mungkin rezeki Hidayat juga untuk berkenduri menjamu jiran tetangga dan sanak saudara di Sijangkang hujung tahun depan, kata si abah lagi.  InsyaAllah.

("Novel tu bila nak siap???"  tanya abah Hidayat macam selalu.  Ohh ...)

2 comments:

mngah said...

Kenapa mama tak hantar sekali? Rasanya kalau mama hadir, tentu dia hilang nervous dan boleh sunat. Ini psikologi - cuba tanya dia.

Naqhuhines said...

Kisah Hidayat nak berkhatan ni dibuat bersambung-sambung. Sebenarnya kali pertama semua ikut mengiringi. Dek kerana tak berjaya, kali kedua semua tak dibenarkan ikut tapi rupa-rupanya masih gagal juga. Mungkin tunggu Naqib ada bersama agaknya ... wallahualam.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing