Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, December 7, 2010

Rehlah ke Gua Niah

12.50 tengahari, 6 Disember 2010 bersamaan 30 Zulhijjah 1431Hijrah.

Kami baru check in di ParkCity Everly Hotel, Miri.  Alhamdulillah, sangat selesa dan 4 bintang.  Harga pun tidak jauh sangat (RM193 selepas tax, deluxe room - dua katil queen) daripada chalet di Gua Niah semalam (RM157), namun kemudahannya yang jauh berbeza.  Saat ini Hurilain, Hidayat dan Hanessa sedang 'bergumbira' di kolam renang yang biru airnya.  Pengunjung pun tak ramai, jadi tak sesak.  (Uhh terkenang pulak kat anak jantan sorang tu, yang nun jauh di pinggir perkampungan ...  Tapi, bukan di sini tempatnya.  Hanya ingatan rindu seorang ibu.)

Sedikit catatan menapak ke Gua Niah.  Bermula dengan check in di chalet tanpa penghawa dingin dengan andaian malam nanti tentu suhu jatuh dingin.  "Tak pe, esok kita tido kat hotel pulak," tatkala memujuk si anak yang tetap nak beraircond.  Huh, memang menjelang jam 3 pagi, saya perlu perlahankan kipas dan masing-masing nampaknya sudah berselubung dengan comforter.

Selepas check in, menyimpan bagasi dan menukar kasut, kami menaiki bot dengan bayaran RM1 setiap kepala.  Saya menjeling-jeling abah Hidayat, memuncung-muncungkan bibir kepada jaket keselamatan kuning yang bersusun rapi di rak atas kepala, tetapi dia buat tak kesah je.  Ish, kalau jadi apa-apa karang ...  bot mula beroleng-oleng di atas air.  Semua orang tenang dan senyum-senyum.  Ehh ... tiba-tiba ...

... Laa dah sampai pun.  Seberang sungai je.  Nak sarung jaket keselamatan pun tak sempat.  Alhamdulillah cuaca cantik.  Dan kami mula melangkah dengan penuh bersemangat melalui trek yang disediakan.   4.1km hingga ke mulut Gua Niah, pergi balik sama jaraknya dari rumah ke Seria.  Hidayat yang paling hebat, nun jauh di depan menyapa dedaun dan pohon-pohon dengan auranya.  Saya tenang sahaja melangkah, berhati-hati untuk mengelak krem sambil melayan Hanessa yang tak berhenti 'mencerabih'. 

Di pertengahan perjalanan, Hanessa mula kepenatan.  Tenaganya keluar laju.  Sesekali dia berlari anak, 'berjoging', bercakap tanpa henti dan akhirnya, "Mama, nak dukung!!!"  Hanya sekejap dia didukung oleh abahnya.  Selebihnya pergi balik dia terpaksa juga menapak dengan segala kekuatan dan daya.  Kami pun rasa nak berdukung juga sebenarnya!!

Ada beberapa kumpulan yang sama bersaing dengan kami.  India, Cina dan etnik sekitar bersama kanak-kanak.  Saya shot gambar lintah bulan berwarna hijau dan coklat.  Di satu tempat sepanjang jajaran pagar kayu, ada banyak Ulat Bulan yang merah menyala 4-5 inci panjangnya.  "Kalau kau makan sekor, kenyang tu!"  kata abah kepada Hurilain yang geli geleman melihat ulat tersebut.  Dia pernah mengunyah gonggok semasa sedang aktif merangkak dalam usia bayi dulu.  Hanessa pula selalu kagum pada ulat ini dengan saiz dan warnanya yang garang.  Ada dua tiga pasang ulat cincin yang saling melekat.  Ada longgokan batu semulajadi berwarna hitam berbentuk seperti cengkerang bertindihan di kiri kanan trek.  Suara reriang berlagu girang. 

Kami bertemu deretan gerai menjual pelbagai cenderamata hasil kerjatangan penduduk Iban dari rumah panjang berdekatan.  Selepas singgah sebentar melepaskan penat dan meneguk air, kami teruskan perjalanan. Kali ini mula mendaki anak tangga dan masuk lebih jauh ke dalam lingkungan batu kapur.  Tiang-tiang bekas pondok tanpa atap menyambut kami di Gua Dagang iaitu pondok pengumpul sarang burung dan bahan lain yang digunakan hingga akhir tahun 1970an.

Di ruang ini sudah mula jelas betapa luasnya Gua Niah walaupun belum sampai ke ruang sebenar.  Berjalan lagi dengan memanjat tangga kayu yang agak curam, akhirnya kami sampai ke kawasan kerja ekskavasi pada tahun 1950an dulu yang sudah dipagari jaring hijau.  Sebuah gua yang sangat hebat.  Sayup mendongak melihat atap gua.  Begitu tinggi.  Terasa ngeri membayangkan pengumpul sarang burung memanjat buluh-buluh hingga ke siling gua.  Seluas 12 hektar dan kawasan dalam gua seluas anggaran tiga buah padang bola sepak (sila rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Gua_Niah).  Ciptaan Allah yang Maha Hebat! 

Cuba anda bayangkan pergerakan kerak bumi satu ketika dahulu sekali gus penurunan paras air laut sehingga mengangkat terumbu karang yang kemudian dihakis sehingga membentuk gua ini. Juga menunjukkan bukti penghidupan awal manusia daerah ini dengan kesan-kesan penemuan seperti pinggan mangkuk dari Cina, pasu-pasu dengan ciri Hindu dan perhisan diri di sisi tulang rangka Homo Sapiens yang ditemui di muka gua.  Kami menyusur masuk ke kawasan samar-samar dengan lampu picit yang segan-segan menyuluh jalan walaupun kata abah Hanessa sudah ditukar bateri baru.

Bau tahi burung mula menusuk hidung.  Semakin gelap, mujur ada orang belakang yang mengikut kami.  Dapatlah menumpang cahaya lampunya yang biru terang.  Anak-anak agak mengelabah.  Satu pengalaman yang sangat baru.  "Tak pe, kira ni macam kem bina negara la ni."  Kami memujuk.  Nak undur ke belakang, sudah terasak ke depan.  Lagi pun rugi kalau tak mencuba, walau jauh di sudut hati saya pun sedikit ragu-ragu.  Alasan - lampu picit tak cukup.  Jadi, kena juga melangkah.

Hanessa dan Hurilain mendahului kami.  Si kecil ini nampaknya lebih tabah dan cekap.  Dia memimpin si kakak dan 'menceceh' menyuruh kakaknya berhati-hati tika mendaki dan menuruni tangga dalam samar cahaya.  Hidayat sudah undur dan kini sedang memegang jari tangan saya dengan kuat.  Abahnya di belakang menyuluh jalan kami.

"Dulu mana ada trek ni.  Kita ni ada la torch light.  Orang zaman dulu mana ada torch light dan trek."  Masing-masing cuba membayangkan orang-orang yang pernah tinggal di sudut-sudut gua ini satu ketika dahulu, di satu zaman yang sudah terlalu jauh, dalam 40 ribu tahun yang lampau selari dengan anggaran waktu Nabi Adam a.s. diturunkan ke bumi.

Di persimpangan jalan, kami memilih jalan keluar dari gua.  Mengimbangi keadaan anak-anak dan tanpa lampu suluh yang sempurna, kami tangguhkan lawatan ke 5 bukaan lain iaitu Mulut Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Gan Kira dan Lubang Tahi Menimbun yang lebih mencabar.  Di puncak gua, kami berehat seketika sambil memerhati sekitar.  Masing-masing terutamanya Hidayat membuat bunyi untuk mendengar lantunan suara.  Beberapa kumpulan baru terus melepasi kami untuk keluar.  Dan ah, peha tiba-tiba jadi gigil menggeletar apabila mula menuruni tangga untuk menyambung perjalanan pulang. 

Kali ini kami tidak lagi beriringan dengan mana-mana kumpulan. Namun di Gua Dagang, bertemu dengan sekeluarga suku kaum Iban datang dengan bayi digendong dan kanak-kanak.  Berbalas senyum dan sapaan.  Kami singgah lagi di gerai menjual cenderahati dan akhirnya termakan pujuk juga membeli gelang-gelang perhiasan dan beberapa tangkai key chain sebagai kenangan.  Bolehlah kirim untuk Along nanti.

Perjalanan pulang pun bermula.  Kasihan pada Hanessa tetapi kami masing-masing pun sudah hilang daya rasanya.  Abahnya dan Hidayat nun jauh di hadapan.  Tapak kaki Hurilain pula melecet.  Alhamdulillah saya tidak krem hingga saat ini.  Kami bersua dengan beberapa kumpulan lagi yang dalam perjalanan masuk.  Bersua juga dengan dua gadis berbaju kurung lengkap, katanya baru pulang dari majlis perkahwinan.  Wah, memang hebat mahu mendaki anak tangga dengan kasut bertumit.  Singgah sebentar di Jabatan Muzium Sarawak melihat bahan-bahan sejarah yang ditemui dan lukisan di Painting Cave yang tidak kami masuki.  'Bagaimana Gua Niah mendapat namanya?'  Lupa pulak nak tanya dan tak ada catatan mengenainya.

Naik bot lagi dan, alhamdulillah selamat sampai ke chalet semula.  Malamnya kami makan di kedai makan berdekatan.  Celuparnya si kakak empunya kedai makan.  "Tinggal di chalet mana?  Yang belakang sana tepi sungai tu dalam empat bulan lepas ada budak histeria.  Yang kamu tinggal tu ada orang mati dalam bilik air, kan bang?"  dia menerangkan dengan ramah sambil menanya suaminya meminta kepastian.  Tampangnya iras Kak Long Imah isteri Zul.  Kemudian kami saling bercerita lagi berbagai kisah macam kenalan lama dan akhirnya sampailah bab berkhatan.  Hidayat menepuk dahinya, "Berjahit pulak ke?" tatkala mendengar pelbagai cara berkhatan.  Alamak, dah terlepas cakap depan dia pulak ...

Chalet yang besar untuk kami sekeluarga.  Dua bilik dengan setiap bilik ada 4 katil bujang dan kabinet pakaian yang gedabak.  Lengkap dengan ruang tamu, peti ais dan kabinet dapur (tapi tak de kettle letrik, request pun tak dapat). Kami menggunakan sebuah bilik sahaja.  Tidak ada tv.  Radio tak ada siaran.  Tidak ada akses internet juga.Selepas saling tolong mengurut betis-betis yang sakit dan lenguh, masing-masing lena ke alam mimpi hingga waktu Subuh.  Alhamdulillah hari baru yang indah menjelma lagi.

Sila lawati sendiri kawasan Monumen Sejarah Kebangsaan 1958 dan kemudian diwartakan sebagai Taman Negara ini dan nikmati sendiri segala keseronokannya.  Kami menyimpan angan untuk mengunjungi Taman Negara Gunung Mulu pula di mana terletaknya 'Sarawak Chamber' iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh menampung 40 biji kapal terbang Boeng 747, insyaAllah.  Ok bang, tahun depan boleh?? 

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing