Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, December 17, 2010

Mari bikin lassi

Sudah lebih seminggu susu penuh krim dalam kotak itu berada di dalam peti ais comel kami (semuanya comel di 'chalet' ini).  Saya tertunggu-tunggu, tetapi abah Naqhuhines tak menunjukkan petanda yang bagus langsung.  Hari berlalu macam biasa. 

Semalam saya dan Hurilain berpuasa sunat 10 Muharram.  Alhamdulillah.  Saya fikir mahu bersahur sesuatu yang menyegarkan.  Tentunya lassi penuh krim itu, yang si abah buat dek je tu.  Kebetulan saya terjumpa satu tray kecil limau sambal tersorok di sebalik sayuran dan barangan lain di dalam peti ais. Saya mesti cuba sendiri.  Kali pertama dia membikinnya sebulan lepas, dan ohh memang enak.  Kali pertama saya menikmati minuman susu masam buatan sendiri tetapi sangat berkhasiat untuk perut ini.  Sekelip mata susu lassi sekotak selesai oleh kami sekeluarga.  Memang rasanya sangat hampir dengan minuman kegemaran anak-anak iaitu Vitagen (dan lain-lain yang serupa dengannya).

Caranya mudah sahaja.  Perah beberapa biji limau ke dalam susu kotak (untuk tidak menambah lemak tepu kepada tubuh, gunakan susu rendah lemak) bergantung kepada kemasaman yang anda suka dan letak sedikit garam halus.  Goncang supaya sekata dan simpan semula di dalam peti ais untuk proses penapaian. 

Pagi esoknya blender susu ini bersama sedikit gula (bergantung kepada kemanisan yang anda suka) dan sudah boleh menikmatinya.  Lebih enak jika dikisar bersama sedikit ketulan ais.  Hmmmmmmmmm ... memang enak bangat!  Dan selepas solat tadi, susu lassi bikinan sendiri ini dalam sekelip mata juga selesai oleh kami sekeluarga hehehe ... Alhamdulillah syukur ke hadratMu ya Allah yang memberi kenikmatan rezeki kepada kami.  Terlupa mahu bersahur dengan air lassi, ternyata lebih enak menikmatinya bersama semua ahli keluarga.

Hari ini saya dicadangkan memasak Asam Pedas Ikan Mayong.  Ikan ini kurang terkenal di negara ini.  Kata abah Naqhuhines, pelanggan lain memerhatikan dia memborong empat ekor ikan mayong di pasar Gadong semalam.  Usah terkejut, satu kilogram hanya $2, berbanding RM 6- RM 10 satu kilogram di Segamat. Inilah kali pertama kami menemui ikan mayong di sini. 

Bukan apa, cuma terkenang-kenang masakan mak mertua di Segamat.  Boleh dikatakan setiap kali balik kampung, kami akan dihidangkan dengan Asam Pedas Ikan Mayong.  Kalau telefon tanya khabar, "Mak masak Asam Pedas Ikan Mayong,"  kata mak mertua saya, huh terliur dibuatnya.  Pasar Batu Anam sentiasa ada bekalan ikan mayong, kerana permintaan yang tinggi dari penduduk terutamanya dari keluarga mertua saya.

Jadi sekitar jam 9 pagi saya sudah membawa radio masuk ke dapur, mendengar siaran Nur Islam sambil menyiapkan bahan tumisan.  Untuk mendapatkan kuah yang lazat, bahan tumisan terutamanya cili mesti digoreng tua hingga cantik warna merahnya.  Saya panaskan minyak di dalam pan bertangkai tidak lekat dan campak sedikit halba.  Pan ini sangat sesuai untuk menumis lama kerana tidak berkerak hangus, hanya kecilkan api dan tutup dengan akhbar.  Kacau sesekali supaya masak rata.  Sesudah itu baru pindahkan ke dalam periuk besar sesuai dengan kuantiti ikan yang mahu dimasak.  Masukkan asam jawa pekat dan sedikit gula.  Garam kasar sudah ditumbuk siap dengan rempah tumis.  Kami tidak menggunakan sebarang bahan perasa tambahan, cuba mengelakkan seboleh mungkin. 

Kata mak, campur cili hidup dan cili padi sedikit lagi sedap.  Kalau mak saya memasak asam pedas, dia mesti akan letak beberapa tangkai daun kesum.  Memang besar khasiat untuk badan.  (Juga sedikit belacan.) Tetapi mak mertua tidak menggunakan daun kesum langsung.  Jadi abah Naqhuhines pun tak kesah tentang daun kesum ini.  Tentulah dia ikut cara maknya.  Saya ikut cara mak saya.  Abih tu?  Kat sini mana ada daun kesum, susah nak jumpa.  Hmm ... tak kesah la tu.

Si bongsu Hanessa orang yang pertama merasa masakan ini kerana dia lewat bersarapan.  "Mama, minta maaf dulu ya.  Bau ikan ni macam tahi ikan,"  katanya sambil mengerutkan dahi apabila saya tanya sedap ke tak sedap.  Hari ini puasa juga, bersama Hurilain.  Jadi saya tak cuba langsung untuk merasa menggunakan lidah.  (Tapi kalau anda perasan, masakan orang berpuasa selalu sedap aje).  Ohh risau saya dibuatnya.  Sebelum si abah merasa tengahari nanti, lebih baik saya mengaku awal-awal tentang ikan yang 'hanyir' macam kata Hanessa ni dan minta dia adjust rasanya nanti.  Boleh ke?

Haa, inilah rahsianya.  Kalau ikan mayong masih terasa hanyir (walaupun sudah dicuci dengan asam limau), tumis beberapa tangkai daun kari bersama sesudu lagi halba - petua abah Naqhuhines. Ternyata rasanya bertambah sedap dan tidak hanyir langsung.  "Okehh!!"  kata si abah tatkala menjamah lauk ini. Alhamdulillah.   Hehh, Hanessa memang bikin gempar hati saya aje.

Tips tambahan : Pastikan semua insang sudah dibuang dan tiada ketulan darah atau lendir tertinggal di celah bahagian kepala.  Jika menggunakan lobak asin, rendam selama setengah jam dengan air baru dimasukkan ke dalam kuah.  Tetapi saya lebih suka elakkan sayuran jeruk ini.  Mak mertua saya tak suka tetapi anaknya pula mahu mencuba kali ini.  Hmm ...

Selamat menikmati air lassi yang enak dan ... asam pedas ikan mayong juga!

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing