Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, December 15, 2010

Istighfar 100 kali

Hanessa bersahaja duduk di penjuru ruang sambil memandang TV dan jemarinya bermain-main dengan beg plastik kuning.  Ada beberapa keping wang kertas dan siling di dalam beg itu.  Dompetnya entah ke mana dicampakkan.  Beg plastik pula digunakan.  Hidayat dan Hurilain duduk dengan jarak dua kaki, bersandar di dinding.  Saya menghadap mereka.  Sesekali Hidayat mengesat matanya dengan leher baju.  Hurilain memasamkan mukanya.

"Kenapa buat kakak?"
Hidayat mahu menjelaskan tetapi tidak jelas langsung kerana berbaur dengan tangisan.  Dia kelihatan sangat marah sehingga perasaan itu dihamburkan dengan tangisan.  Dia cuba bercakap tetapi hujungnya adalah tangisan semata.  "Cuba cakap dengan jelas.  Berhentilah menangis!"

Saya toleh kepada Hurilain pula.  Dia menjelaskan punca mengapa sebentar tadi dia mengejar Hidayat dan mencubit adiknya itu sekuat-kuat hati sambil menangis dengan kuat. 

Hidayat telah memulakan serangan kepada kakaknya tanpa sebab yang kuat.  Hanya dia sangat marah kerana si kakak mengadu perihal adik yang terlalu kreatif makan biskut Belanda di hadapan TV. 

"Kenapa Hidayat marah sangat pada kakak?"
Hidayat memberi alasan, tetapi nyatanya alasan yang tidak kukuh dan berkait dengan ungkitan di masa lepas yang entah bila.  "Mengungkit la tu!"  kata Hurilain merungut.  Mendengar kata-kata si kakak, Hidayat semakin geram dan mahu terus menangis lagi.  Dia tidak bergerak untuk menyerang kakak kerana saya sedang berada di hadapan mereka.  Ah, rotan entah ke mana bersembunyi di saat seperti ini. 

"Malam tadi abah bawak rotan ke dapur masa mama ternampak tikus tu."  kata Hurilain.  Dia tersenyum-senyum sambil menggosok-gosok kesan lebam yang kecil di lengannya,  cubitan Hidayat sebentar tadi.  Tetapi saya tidak bangun untuk mengambil rotan itu.  Biarlah untuk sekian kali saya kendurkan marah si adik dan radang si kakak dengan lembut.  Sedang si bongsu yang menjadi punca berantakan ini terus bersahaja, seperti tidak ada apa-apa berlaku langsung.

"Tengok, dia selamba aje.  Kamu berdua bergaduh kerana dia."  Dan bermulalah ceramah pendek untuk petang ini.  Ya, kita semua sering melakukan dosa kerana kita bukan nabi atau rasul.  Hanya nabi dan rasul yang maksum, dipelihara Allah daripada dosa.  Allah sangat suka kepada orang yang bertaubat. 

Dan itulah bezanya antara orang lelaki dengan orang perempuan.  Orang perempuan lebih prihatin dengan hal kecil-kecil. Kakak tegur adik dan adukan perlakuan adik kepada mama kerana dia tak suka tengok adik buat macam tu.  Kalau kakak tak tegur, Dayat pun tak tegur, nanti adik buat macam tu kat dalam majlis, macamana?  Adik sapa, adik Dayat jugak!


"Kenapa kita buat dosa, nabi dan rasul tak buat dosa?"
"Boleh ke kita nak jadi wali Allah?"
"Macamana nak jadi wali Allah?"

Hidayat terkebil-kebil dengan bekas airmata yang kering di tubir mata dan pipinya.  "Jangan biarkan syaitan bersorak gembira dengan tangisan marah kamu ni.  Dia sedang bergerak di dalam saluran darah kamu dan berbisik menyuruh kamu terus marah dan bergaduh.  Mama nak denda kamu tetapi tak mahu merotan.  Kita tukar cara denda."

Penat sebenarnya jika saya turut naik darah dengan perlakuan anak-anak seperti ini.  Alasan yang sangat remeh, mereka bergaduh sakan.  Walhal beberapa ketika sebelum itu saya mendengar gelak tawa mereka tiga beradik.  Tadi si abah terkejut tatkala balik sebentar untuk rehat tengahari.  Khemah besar untuk enam orang menyekat jalan, memenuhi ruang famili di tengah rumah ala chalet kami.  Tak sabar nak berkhemah di pantai hujung  minggu, Hidayat tetap mahu khemah yang baru dibeli berharga $37.90 ini di dalam rumah.

Kalaulah peristiwa hari ini akan mereka ingati sampai bila-bila ...

Saya bangun mengambil tasbih hitam 100 biji dan duduk kembali di hadapan anak-anak ini.  Kami saling berpandangan.  "Kelmarin pertama kali mama denda kamu begini.  Hari ini kita buat sama-sama ya.  Mungkin ini cara yang lebih kamu suka daripada kena rotan atau kena marah, kan."  Masing-masing angguk.  Saya imbaskan pada mereka saat kemarahan menerpa si abah.  Anak-anak ini geleng kepala pula.  Mereka masing-masing tidak suka mendengar abah marah.  Kata-kata abah hebat sangat. 

Petang ini, kami beristighfar bersama-sama sebanyak 100 kali.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya dan terus memberi petunjuk untuk mendidik anak-anak ini dengan cara berhikmah.  Semoga hati ini kembali bersih dan jernih agar dapat menerima hidayat Allah tanpa titik-titik hitam yang menghalang.  Tidak lama kemudian Hidayat dan kakaknya saling bersalaman sambil mengulum senyum. 

Lain kali buat nakal lagi, tambah istighfar sehingga 1000 kali.  Lebih afdal daripada menerima hukuman rotan di betis atau tapak tangan.  Hati yang panas membara pun menjadi sejuk, menambah pahala pula, insyaAllah.

1 comment:

Anonymous said...

Looks like you are an expert in this field, you really got some great points there, thanks.

- Robson

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing