Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, December 18, 2010

Hidayat antisosial

Saya tak sukakan tajuk ini tetapi inilah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perlakuan anak lelaki kedua saya ini.

Kami di Perpustakaan Pandan.  Hari ini adalah Hari Pustaka Ria di mana pemenang bagi setiap pertandingan yang dijalankan sepanjang awal cuti sekolah dua minggu ini akan menerima hadiah masing-masing sebentar lagi.  Alhamdulillah, Hurilain dan Hanessa berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan yang mereka sertai.  Kemudian kami dijamu dengan hidangan mee goreng, sandwic, tart telur dan air oren.  Nyaman bah! 

Hidayat?  Dia masuk pertandingan menulis cantik iaitu menulis semula dua rangkap sajak bertajuk Ayah secantik yang boleh dan menghiasnya.  Tatkala saya serahkan kertas hasil tulisan Hidayat, saya berkata, "Sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja," dan disambut gelak gelihati oleh pustakawan tersebut (saya fikir mungkin bosnya).  Hidayat langsung tidak cuba meninjau kanak-kanak lain di meja lain, dan dia menulis semula sajak itu seperti menulis karangan pendek dengan muka masam dan sedikit air mata.  Saya cuba membantu dia menulis sekali lagi di atas kertas yang lain tetapi dia enggan.  Jadi saya biarkan dan sokong dia menyudahkan tulisan yang 'aneh' itu.  Di bawah sajak itu saya minta dia melukis sesuatu sebagai hiasan dan dia melukis sebuah kereta yang besar tanpa mewarnakannya.  Mungkin ini ialah 'kereta ayah saya'.  Aduhh budak ini!

Di hari yang lain dia dan Hanessa masuk pertandingan mewarna gambar enam ekor anak kucing comel dan tiga biji bola.  Ini bukan gambar kegemaran budak lelaki.  Tetapi Hidayat akur dengan desakan saya.  Pertandingan yang mudah untuk dapat hadiah.  Cuma warnakan dan hantar.  Beberapa ketika Hidayat muncul di sisi saya di dalam CC, "Hidayat tak nak warna la,"  katanya berbisik.  Hanya dua ekor kucing yang diwarnakannya yang mana seekor daripadanya diwarnakan keseluruhan hitam hingga hampir hilang bentuk, seperti seekor kucing yang sedang meremang bulu.  Aduhh Hidayat!  Seketika dia sudah duduk berlawan dalam Counter Strike.  Jadi Hidayat tidak mendapat sebarang hadiah sedangkan hadiah yang disediakan lumayan semuanya.  Semua orang suka menerima hadiah kecuali budak ini - hadiah berkhatan dari wan masih ditangguhkan dan hadiah pertandingan ini dia tak hairan pun.  Alhamdulillah Hanessa yang memang hobi mewarna telah membawa balik hadiah Thomas & Friends Art Set.

Hanessa memang kerap meminta pensel warna.  Lima bulan persekolahan yang lepas, dia sudah membeli empat atau lima kotak pensel warna.  Si abah tak suka dia membeli kerap, jadi selalunya adalah rahsia untuk beberapa lama yang boleh.  Dia mewarna dengan tekun dan menekan pensel. Sekejap sudah pendek dan tugas saya menajamkan menggunakan pisau.  Jika guna pengorek pensel lagi cepat pendek.  Hidayat pula sangat cermat mewarna (atau tidak suka mewarna).  Set pensel warnanya 24 batang, jarang ditajamkan (kelihatannya cermat menggunakan). Kotaknya rebeh, sangat daif untuk melindungi semua pensel warna yang ada tetapi dia tak kisah langsung.  Dia meminta set 12 batang pensel warna untuk kegunaan di sekolah ugama petang, dan selepas sebulan baru dia memaklumkan set yang baru dibeli itu sudah hilang entah di mana (dirahsiakan dari abah seberapa lama yang boleh). 

Beberapa ketika kami menonton gelagat kanak-kanak yang memasuki sukaneka ringkas tadi, dia pun masuk ke dalam terus menuju ke komputer untuk bermain Counter Strike kegemarannya.  Walhal kawan baru dia yang sama rambut tegak dan muka nakal tu sudah memaklumkan, "Kau tak boleh main games sebab semua orang kena duduk di sini."  Tetapi apabila Hidayat bermain games, budak ini ada bersama di sisinya.  Huhh ...

Kami sudah terlepas permainan sukaneka pertama.  Apabila permainan kedua mahu bermula, saya ingin Hidayat dan Hanessa menyertainya.  Saya pujuk dan pujuk dan pujuk Hidayat.  Matanya langsung tidak beralih dari skrin komputer dan tangannya menggerakkan mouse dengan cekap.  "Dayat malu,"  alasan yang diberikan.  Grrr ... geramnya!  Kawan barunya tu pun tak bergerak langsung dari sebelah Hidayat.  Bila saya tanya nama pun tak mahu beritahu.  Apa masalah budak ni agaknya? 

"Dah la mama.  Lain kali jangan bawak dia."  Hurilain mula bosan melihat saya yang terus memujuk dan Hidayat yang terus enggan.
"Nanti jangan tumpang hadiah kitorang,"  kata Hanessa pula.  Hidayat tak perduli langsung.

Ya, nampaknya Hidayat mula bersikap antisosial.  'Malu' hanya alasan semata.  Dia pernah mengikuti pertandingan di Perpustakaan Seria pada cuti pertengahan tahun dan menang hadiah buku cerita.  Di sana, tidak ada games kegemarannya.   

Counter Strike - games tembak menembak yang telah membuatkan Hidayat asyik hingga dia sanggup tak makan selama 4 jam dan pernah terlepas solat Zohor.  Tanpa bersarapan sekadar milo segelas, dia tak menyentuh nasi katok yang saya beli dan hanya makan selepas waktu Asar di rumah.  Dia juga tahan sejuk, walhal suhu dalam perpustakaan ini membuatkan saya kecut dan menggigil.  Saya fikir dia pemain paling top di sini.

Ini SERIUS!  Ia mesti diperlahankan dan akhirnya dibenteras total.  Bayangkan otak Hidayat merakam imej tembakan dan orang mati kena tembak, diikuti perasaan teruja dan gembira kerana berjaya menembak dengan tepat, seterusnya menjadi igauan dan impian dia dan perlahan-lahan membentuk gambaran masa hadapannya.

Ya, dia bercita-cita mahu menjadi tentera hebat yang membawa jet pejuang.  Dia mahu menambrak pengganas dan penjahat di mana sahaja.  Dia kata, "Okey la mama, Dayat jadi jurutera, arkitek dan juruterbang jet pejuang," apabila saya pujuk dia dengan cita-cita yang pada saya lebih bermanfaat dan juga impian ramai ibu.

Pokoknya, andai kegemaran ini tidak dikawal dengan baik dari sekarang, jalan untuk Hidayat mencapai cita-citanya akan menjadi lorong yang sukar.  Tidak menafikan sedikit kebaikan kerana Hidayat cekap mengkoordinasi mata dan jari-jemari, cekap menembak musuh dan dia jadi tak sensitif pada bahasa tubuh si kakak yang selalu membuatkannya tercabar sendiri.  Tetapi ini sudah melampau.

Saya pernah ajukan cadangan kepada abah Hidayat untuk membeli desktop terpakai untuk dia bermain games.  Mungkin di sini dia tidak mahu bergerak langsung dari komputer itu kerana bimbang diambil alih oleh budak lain sedangkan dia belum puas bermain.  Mungkin jika desktop sendiri di rumah, kami boleh mendisiplinkan dia menggunakan masa.  Semasa di Sijangkang, kelihatan seperti dia boleh menguruskan masa dengan baik - bermain games, bermain basikal dengan kawan-kawan dan rutin lain.  Hanya perlukan pemantauan dan disiplin.  Kita anggap ini latihan keibubapaan dan latihan disiplin kepada anak-anak.  Sebenarnya lebih kepada ujian untuk ibu bapa sendiri - sejauh mana dapat menerapkan disiplin kepada diri dan kemudian kepada anak-anak.  Betul?

Betulllll!

Hidayat adalah anak zaman ICT.  Ditegah sama sekali menjadikan dia buta ICT dan ketinggalan zaman.  Dibiarkan akan merosakkan diri.  Ohh semoga saya menjadi ibu yang sabar.  Sesi persekolahan baru akan menjelma tidak lama lagi.  Hidayat, Hurilain dan Hanessa akan menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah.  Tidak ada Counter Strike kecuali dua minggu sekali ketika saya harus memulangkan buku yang dipinjam.

Ya Allah, daku bermohon kepadaMu, masukkanlah anak-anakku dan kami semua ke dalam golongan ulul albab yang tinggi ilmu, akhlak dan ketaqwaan kepadaMu.

Hidayat, tiga tahun lagi ya, insyaAllah.

P/s : noted untuk abah - 'dirahsiakan dari abah seberapa lama yang boleh' tu hanya TERHAD kepada hal-hal kecil seperti contoh di atas.  Hehehe ...

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing