Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, December 7, 2010

Bukan Sebarangan Penjual Soya

Saya sedang memerhatikan anak-anak mandi sambil memikirkan apa barang yang sudah terlupa untuk dibawa turun ke tepi kolam mandi ini.  Ahh, buku, kamera dan tuala mandi.  Seketika tadi bertembung dengan mamat yang menjaga fitness centre, dan dia mengatakan tuala untuk pengunjung yang mandi di kolam hanya tersedia jam 10.  Masih teragak-agak, perlukah saya mandi juga?  Larat ke? Jangan menyesal pulak dah sampai rumah kang baru teringin nak mandi, makcik! Ishh ...  Budak bertiga terus mengajak dan separuh mendesak.

Dari kolam ketiga yang berjajaran dengan kolam kedua sedalam 1 meter ini, seorang lelaki hitam manis tercegat di dalam air memerhatikan saya.  Di hadapannya ada tiga orang kanak-kanak lelaki sedang bermain air.  Kami saling pandang-memandang dalam jarak 5 meter lebih kurang.  Err macam kenal tapi tak ingat di mana.  Ishh sapa pulak ni pandang-pandang semacam je.  Rasa serba salah dan segan berbaur.  Saya pandang semula kepada anak-anak saya yang sedang terkinja-kinja mengajak mandi.  Pandang lagi lelaki hitam manis rambut tegak sedikit itu, dan dia terus tercengang melihat saya.  Tiba-tiba, "Kak ... ?"  Dia agak menjerit.  Saya ternganga sambil mengangkat dagu. 
"Saya yang jual soya kat Sijangkang tu!"

Ohh ... serta-merta ingatan menyerbu.  Secepat kilat saya melangkah mendekati tebing kolam berdekatan dengannya.  Ya, ya,  sah budak ni ialah penjual air soya dan taufu fa kegemaran kami sekeluarga di pasar Isnin di depan Sekolah Kebangsaan Sijangkang.  Tidak lama kemudian saya berkenalan pula dengan isterinya, Yati,  orang Tumpat.  Ah, kami dah macam kenalan lama yang baru bersua pulak di tepi kolam.  Tak boleh jadi, saya mesti naik ke tingkat 5 semula untuk memanggil 'pakcik degil' oppss ... abah Hanessa (gurau je la!!) yang sibuk nak main Mafia dulu.  Tadi sempat dia sound saya supaya tidak memaksa dia turun mandi di kolam bersama anak-anak.  Huh, tak sebulu juga kadang-kadang.  Rupa-rupanya kalau kita ulang-ulang pelawaaan yang sama, nadanya seperti memaksa walaupun tiada niat sedemikian.  Ni, mesti dia tak mengelak lagi.  Tentu ada banyak cerita nak dikongsi bersama Fauzi usahawan baru kita di Bintulu ni.

Orang Sijangkang tentu kenal benar dengan penjual air soya ini.  Air soyanya enak, sederhana manis dan tidak mudah basi.  Apabila dibiarkan beberapa lama, tidak ada keladak yang terbentuk.  Oleh kerana itulah air soya Fauzi menjadi kegemaran kami.  Tambahan, orangnya tidak lokek senyuman.  Kadangkala saya tidak singgah membeli tetapi tetap berbalas senyum.  Bukan apa, jari dah penuh dan dompet pula dah kering hehe ...

Tatkala abah Hidayat berbual bersama Fauzi, saya pula menyesuaikan suhu badan di dalam air sambil menduga-duga sendiri kemampuan menahan nafas dalam keadaan batuk dan hidung tersumbat begini. Setahun sekali berjumpa kolam renang, setengah jam saya mencari keyakinan.  Akhirnya, alang-alang dah masuk kolam kanak-kanak 0.5 meter ni, biarlah basah betul-betul.  Yang seronok sakan tentulah budak-budak bertiga ni.  Kami beredar ke kolam kedua dan buat sekian kalinya selepas setahun, saya berenang lagi di bawah air.  Wahh, memang mengujakan!  Tidak lama kemudian, Yati pun turun sama ke dalam air dan bersembang lagi sambil anak-anak bermain di sekeliling kami. 

Kagum mendengar cerita-cerita panjang yang diringkaskan oleh Yati tentang perjalanannya hingga ke Bintulu.  Rupa-rupanya sudah setahun mereka sekeluarga menetap di daerah tersebut semenjak Fauzi merintis perniagaan mengeksport produk kelapa ke Jepun bersama rakan kongsi dari negara matahari terbit itu.  Barulah saya tahu, selama ini saya membeli air soya seorang pemegang ijazah ekonomi dari universiti Jepun yang mahir berbahasa Jepun, demikian juga dengan isterinya memiliki ijazah IT dan mereka bertemu di negara bunga Sakura itu juga. 

Sekadar pertemuan dan perkenalan yang terlalu singkat, saya ingin memelihara persahabatan yang baru terjalin di perantauan ini dalam kepungan rasa hormat yang wajar.  Jadi hanya setakat ini yang dapat dikongsikan tentang kisah menarik Fauzi dan Yati.  Tentu mereka pun tidak menyangka sama sekali.  Psst maaf ye.

Sesuatu yang mengetuk pemikiran saya. Selain daripada sikap diri yang positif dan sentiasa ada matlamat untuk maju, kita perlu gunakan usia muda dengan sebaik mungkin untuk mencari ilmu dunia dan akhirat seimbang.  Fokus, sentiasa beristikharah dan cepat berfikir serta bertindak.  Tidak putus asa.  Juga sokongan dari keluarga menjadi tunggak kekuatan.  Persefahaman, keikhlasan dan kasih sayang.  Akhir sekali adalah nasib baik atau untung baik yang dikurniakan Allah untuk disyukuri. 

Semoga saudara Fauzi dan Yati ceria, berbahagia dan selalu dalam keberkatan Illahi.  Ameen. 

Kami juga memiliki kenalan Fauzi dan Yati yang lain dari daerah yang sama namun perjalanan hidup yang berbeza.  Semoga Fauzi dan Yati yang ini pun ceria, berbahagia dan sentiasa berada di dalam limpahan rahmat Allah yang berkah.  Ameen.

Buat sekian kali, Makcik Ju membuat kunjungan tahunan ke blog ini, iaitu makcik kepada Naqhuhines.  Kesibukan yang tidak pernah habis dan profesionalisme yang didukung membuatkan kemunculan tiba-tiba beliau sangat mahal nilainya kepada kami.  Sedikit komen yang memberi senyum.  Terima kasih ya ...  Seperti hadiah menjelang Maal Hijrah pula.  Jumpa lagi tahun depan ??

Sudah 10.12 pm.  Sudah sampai masa mengundur diri.  Semua ahli keluarga sudah mula membayar hutang mata masing-masing.  Sudah sampai giliran saya juga, semenjak berjaga dari jam 3.30 pagi tadi.  Sehingga ketemu lagi, semoga semua rakan bloggers ceria dan sentiasa beroleh petunjuk dan kasih sayang-Nya.  Ameen.

Selamat pulang ke pangkuan keluarga buat kekanda Hajjah Noraini Hassan dan Haji Razihin Mansor. 
Salam Maal Hijrah sekali lagi dan semoga bertemu di lain waktu, insyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing