Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, December 17, 2010

Ada tikus!

Kelmarin malam, saya masuk ke dapur yang masih terang dengan lampu untuk membuatkan Hanessa air milonya.  Objek hitam bergerak laju di atas dapur dan berlari pantas ke bawah sinki yang dipenuhi beg plastik untuk guna pakai, sangat memeranjatkan. Sejak bila haiwan ini tinggal bersama kami?  Berani sungguh, terang benderang pun dia berani buat projek.  Boleh tahan saiznya, mungkin si bapak yang sedang mencari makanan.

Patutlah kadang-kadang ada bau hancing di satu-satu ketika, terimbas dek angin dari luar.  Mulanya saya menyangka mungkin ada kucing Kak Leha yang dah menyelinap masuk dan membuang kencing, tetapi tak logik pulak sebab pintu depan belakang memang tak pernah dibiarkan terbuka tanpa sebab.  Keluar tutup masuk tutup.  Kecuali kalau sengaja membiarkan pintu terbuka dan duduk di pintu. 

Jadi, terbongkarlah rahsianya iaitu bau itu datang daripada kencing makhluk yang satu ini.  Semenjak terserempak tanpa sengaja itu, saya mula temui najisnya yang kecil dan hitam di merata tempat di dalam dapur, seolah-olah "Alang-alang dah ketahuan, biarlah aku buang rata-rata."  Peket spaghetti sudah robek.  Tepung penyalut gorengan pisang juga digigit hingga berterabur isinya.  (Baik sangka je.  Itu maknanya sama dengan soalan "Bila nak masak spaghetti dan bila nak goreng pisang?")

Kini memasuki ruang dapur yang comel ini, terbit sedikit getaran halus di dada.  Ish, entah apa lagi yang sudah dirobek hari ini ...  Kemudian semua barangan makanan saya masukkan ke dalam beg plastik dan gantung di dinding.  Hmm insyaAllah dia tidak akan mampu memanjat dinding untuk mencapainya.

Semalam tiba-tiba Hurilain memberi isyarat kepada saya.  Dia mendengar suara halus datang dari arah mesin basuh pula.  Ohh, baik sangka sahaja agar jangan getah penyalur air menjadi mangsa gigitannya.  Teringat lantai yang sedikit basah ketika mencuci pakaian, yang tidak pernah basah sebegitu sebelum ini.  Teruskan baik sangka, mungkin ada cantuman yang sudah longgar disamping percikan air cucian itu sendiri.

Pokoknya, Kak Semuncit atau Mickey Mouse gelaran dari abah Naqhuhines ini masih berada di dalam rumah ini.  Perangkap sangkar yang dipasang hanya kehilangan umpan rotinya.  Memang pintar dia!  Kami terus sabar menanti.  Beberapa malam berlalu, kelihatannya haiwan ini seperti sudah bosan dengan umpan roti.

Membuat pencarian di alam maya. 

1.  Nampaknya yang paling mudah ialah mencari penyembur serai wangi dari pasaraya dan sembur rata-rata di tempat strategik tempat haiwan ini bersarang atau menyorok diri.  Lipas pun tak suka bau serai wangi.  Jadi faedahnya dua dalam satu.  Boleh dipraktikkan. 

Saya fikir kalau betul-betul alami iaitu serai wangi asal tentu lebih mujarab.  Teringat rumpun serai wangi di luar pagar PJAC yang ditanam oleh Encik Razali, ayah Ikhwan.  Sangat menyegarkan badan jika dibuat mandian bersama air suam.

2.  Batang atau ranting pokok durian Belanda?  Tetapi abah Naqhuhines kata daunnya.  Apa sahaja la, tetapi kat mana kami nak cari pokok durian Belanda di penempatan ini.  Petua ini terpaksa diketepikan dulu.  Kalau jalan-jalan nanti terjumpa pokok durian Belanda, bolehlah minta pada tuan punyanya. 

3. Beli sedikit kapur barus dan ditumbuk separuh hancur kemudian letak di pintu sarang.  Bahan ini tidak mahal dan mudah ditemui di kedai India atau kedai menjual peralatan untuk menguruskan jenazah.  Boleh cuba.  Mungkin Mahmoon atau Nasa ada menjual bahan ini.  Nanti kita cari, ok.

4.  Yang ini pun tak mahal.  Tetapi saya kurang suka kerana ngeri melihat tikus yang terperangkap dengan leher hampir putus berdarah di penyepit perangkap.  Juga perekat tikus.  Setakat lalat atau cicak, masih boleh kawal perasaan.  Tetapi membayangkan tikus melekat di atas perekat itu dan melihat matanya terkebil-kebil saling berpandangan dengan saya, ishh tak sanggup rasanya.  Lepas tu nak buat apa dengan tikus tu? 

Nak lenyek dengan kereta?  Masukkan dalam beg plastik dan  hentak ke dinding hingga mati?  Atau gunting lehernya dengan gunting yang paling tajam?  Saya tak pernah melakukan semua ini.  Dulu-dulu mak yang akan selesaikan masalah tikus di rumah kami.  Saya hanya diperingatkan jangan usik perangkap tikus.  Sampai sekarang saya terus menjauhinya.  Jadi, kalaulah ada yang terperangkap, abah Naqhuhines akan menyelesaikannya juga.  Macamana dia nak buat?  Dia kata, "Goreng sodap!"  Arghh!

Teringat semula nostalgia lampau.  Membeli katak dan melemaskannya di dalam air, pinkan di atas meja dan belah untuk lihat organ dalaman.  Mr Chua nama guru Biologi tu (harap tak salah nama).  Guru yang lucu dan mak masih simpan set peralatan bedah tu di kampung.  Kesian katak-katak tu!

5.  Begitu juga dengan racun tikus.  Saya yang daif dengan perihal haiwan ini mudah sahaja mencadangkan supaya meletak racun pada umpan makanan.  Tetapi abah Naqhuhines menerangkan, apabila racun mula memberi kesan, tikus akan melarikan diri ke tempat yang sejuk dan paling tersembunyi, mati dan mengeluarkan bau.  Tugas siapa yang mencari punca bau dan mengeluarkan bangkai tikus?  Kalau bau datang dari atas bumbung, siapa nak naik ke sana?  Jadi takdo kojo usah cari kojo.  Ringkasnya idea ini tidak mendapat persetujuan. Oh ya, anda juga perlu berhati-hati menyimpan racun ini di tempat yang selamat dan sukar dicapai kanak-kanak.

6.  Ultrasonic Rat Repeller.  Baru seekor tikus, rasanya tak payahlah guna yang ini.  Walaupun ia menjimatkan, tapi sebenarnya kami lebih suka menggunakan kaedah alami seperti serai wangi tu.  Melainkan jika nanti kami membuka restoran Nasi Katok Mama, peralatan ini mungkin bertukar menjadi satu keperluan.  Bukan satu, bukan dua tetapi mungkin 10 unit akan dipasang di merata sudut.  Ia menjadi alat bantu (selain kaedah alami tentunya) untuk memastikan kebersihan dan keselamatan stok bahan masakan, dan tidak ada pelanggan yang termakan tikus goreng.  Eeee!

Err bila nak buka restoran tu?  Ntah ... tapi insyaAllah.  Kalau tak saya, mungkin anak, mungkin cucu, mungkin cicit, mungkin piut, mungkin anda?

7.  Pelihara kucing?  Hmm kami dah tolong jeling-jelingkan kucing-kucing Kak Leha tetapi untuk bawa masuk ke dalam rumah, oh tidak!  Kalau nak bawa masuk pun mungkin si Moyeng, kucing jantan manja kesayangan Kak Leha yang gemuk tu.  Tetapi gayanya yang pemalas dan tak mengenal beza kucing jantan dan betina, rasanya tak menakutkan tikus langsung. 

Buat sekian kali, cukuplah rumah di Sijangkang yang bebas kucing-kucing kami keluar masuk.  Putih, Brown dan anak-anaknya serta Zara (mak Brown).  Dulu, Ewa kucing kesayangan arwah abah pun ada.  Kemudian Baby dan Noneng kucing kesayangan mak yang diangkut ke mana sahaja pun sama.  Kini, semuanya menjadi kenangan yang manis.  Ada yang mati dan ada yang hilang.  Putih dan Brown anak-beranak khabarnya sudah dihantar oleh Cikgu Ija ke sekolah tempat dia mengajar.  Dia sama tolong memberi makan tetapi sepeninggalan kami, kucing-kucing itu makin tidak berbela.  Jadi biarlah mengadu nasib di kantin sekolah dan kedai-kedai makan sekitarnya. 

Eh, bila pulak nak beli spray serai wangi ni???

4 comments:

Mieja@Amiizaa2001 said...

salamssssss.....nampaknya kita punya masalah yg sama....huhuhuhu mlm td dah dapat sekor,nak kena cari lagi dlm stor tu kot2 ada kawan2 dia....

Naqhuhines said...

Salam, Mieja. Wah cepat betul saya dapat geng yang senasib hahaha! Maknanya haiwan comel tapi merosakkan ni memang mudah muncul di mana-mana. Semoga dapat membenterasnya dengan jaya. Terima kasih atas kunjungan Mieja.

Syah Rizal said...

Tips yg no 2 tu xberkesan la. Saya dah cuba. Dah lama saya cuba tapi tikus tu buat selamba jek main2 dengan daun durian belanda tu. Mungkin antara faktornya, tikus dah semakin bijak. Saya pun skg ni tengah cari spray serai wangi, minta2 berkesan. Tp kat mana?

Naqhuhines said...

Syah Rizal, cuba dapatkan serai wangi yang sebenar, letak daun2nya tu kat tempat2 strategik yg mungkin dilalui tikus. Spray serai wangi boleh dibeli di pasaraya, ada tu. Tikus ni biasanya akan mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan perumah. Masa entri ni ditulis, saya tinggal di Lumut. Kawasan itu memang sesuai untuk sang tikus buat port sebab banyak tempat2 sejuk dan tak digunakan di belakang rumah tempat kami tinggal. Alhamdulillah balik Sijangkang ni, kawasan lebih tersusun jadi belum nampak bayang sang tikus lagi. Janganlah ada hendaknya. Tambahan kucing-kucing tak bertuan sentiasa berkeliaran. :) Semoga masalah anda akan selesai nanti. InsyaAllah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing