Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, November 17, 2010

Mencari Keyakinan

Jam 4.30 pagi.  Semua lampu dinyalakan dan penghawa dingin di'off'kan.  Alhamdulillah sempat solat tahajjud dan tidak lama kemudian azan Subuh pun berkumandang.  Semua dijera bangun, mandi sunat aidil adha dan bersiap untuk memulakan perjalanan.  Kami sempat menjamah kari ayam bersama ketupat, dan selebihnya sudah diasingkan untuk dibawa ke tempat tujuan - Kedutaan Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Alhamdulillah selamat sampai dan dapat parking di dalam kawasan tempat letak kereta pelawat.  Belum ramai yang datang nampaknya.  Oh belum pukul 7 pun.

Saya dan anak-anak perempuan menuju ke tempat solat muslimah bersebelahan dengan ruang solat lelaki di dewan Kedutaan.  Wajah pertama yang terpampang ialah wajah manis Ustazah Aisyah, kenalan baru di aidil fitri yang lalu.  Saya sudah menetapkan tidak akan menyentuh langsung tentang hal temuduga Institut Tahfiz tempohari.  Beliau adalah salah seorang tenaga pengajar di sana dan turut terlibat di dalam mesyuarat pemilihan pelajar (baru diketahui).

Kami solat bersama.  Wajah Hanessa berubah riak.  Dia asyik merenung telekung cantik anak ustazah yang sebaya dengannya.  Gadis kecil itu memakai telekung putih yang dipenuhi bunga merah jambu, warna kegemaran Hanessa.  Sedang telekung yang disarungnya hanya ada renda pink di sepanjang tepinya - telekung murah $10 yang tak boleh tidak dimahunya ketika kami ke Giant bersama Naqib dulu.  "Mahu telekung macam tu?"  tanya saya.   Hanessa mengangguk perlahan, matanya masih tertumpu pada anak ustazah yang duduk bersama kakaknya.  "Insyaallah, nanti mama belikan, ya."  Hanessa mengorak senyum.  Dia sudah ada telekung renda biru bikinan saya sendiri tetapi "suka pink jugak!"  Apasal budak perempuan ni terpesona sangat dengan warna tu eh?

Telekung saya pun telekung yang sangat simple.  Kain kapas yang tidak jarang dengan renda putih di sekeliling bahagian muka dan tepi telekung.  Sudah bertahun saya menggunakannya, dipadankan dengan kain samarenda biru corak kotak-kotak. Sangat selesa memakainya.  Saya ada beberapa telekung lain, dua helai diberikan kepada Hurilain dan yang lain adalah pemberian suami yang dibeli di tanah seberang.  Namun telekung renda putih ini juga yang menjadi kegemaran.  Saya dah tak ingat tetapi kemungkinan saya membelinya 8 tahun lepas di Rawang.

Air mata tanpa sedar terbit sendiri tatkala mendengar kisah Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah agar mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail.  Macam biasa, ada sahaja yang terperasan hal ini, "Mama, kenapa menangis?"  Huh, malas nak jawab.  Syyyhhhh! Dengar kisah nabi tu.

Usai solat, kami menuju ke tempat jamuan.  Sudut hadapan kanan Kedutaan dan bilangan kerusi yang terhad.  Sangat sederhana.  Kami makan berdiri setelah menjeling-jeling orang lain yang berbuat demikian juga.  Ada yang berlabuh di atas tong gas, ada juga di atas tungku dapur yang belum digunakan. Hmm ... tak semeriah sambutan aidil fitri.  Duta baru pun belum datang lagi.

Ah,  terserempak lagi dengan Ustazah Aisyah.  Dia berkata, "Kak, abang kata akak frust!".  Hah, frust?? Mana ada, biasa je.  Yang cakap frust orang lain, orang lain pulak yang kena.  Pak Meon saja nak mengenakan saya nih ...  Kan saya dah kata tadi, saya tak akan buka cerita tu dengan ustazah ni.  Nampaknya dia yang buka cerita dulu.  Saya pun kata, "Tak apa, dah tak de rezeki.  Cuma Hurilain yang nampak frust, menangis dia."  Saya tenang, monotonous, dan merenung jauh ke dalam anak mata ustazah di sebalik kaca matanya.  Saya ... lupa nak pakai kaca mata hari ini.  Bayi comel dalam pelukannya mula resah.  Melintas bayangan anak gadis saya menangis tempohari.  Di luar sedar sambil terus merenung mata ustazah, mata saya kabur sendiri.  Dan saya terus sungguh-sungguh melihat anak mata ustazah yang jernih hitam dengan sebuah ketenangan yang mula tergugah.  Sekali ... dua  kali ... tiga dan "Kak, janganlah sedih.  Insyaallah ada yang terbaik untuk dia.  Bla bla bla ..."  ujar ustazah dengan lemah-lembut sambil membetulkan gendongan si comel yang mula merengek kepanasan.  Hahhhh?? Saya sedih?  Mana ada!  Tapi eh, awat macam ...  Menangis ke ni?  Laaaaaaa ....  dan dengan selamba saya tarik sehelai tisu (mujur ada tisu spare) dari tas tangan dan bersahaja mengelap air mata yang bergenang.  Ishhh ... buat malu betul.  (Apasal air mata keluar ni ha?  Entah, tak tau!) Ok,  cool!

Tak sengaja.  Kan saya dah kata, no more story about that, no more and never ever!  Kami bersama melangkah dan melabuhkan punggung di kaki lima.  Nun di hujung padang belakang Kedutaan, seekor kerbau dan dua ekor lembu yang terikat di pokok sedang tegak kehairanan melihat manusia yang mula berpusu menghampiri.  Beberapa ketika, kerbau dan lembu dua ekor masih termenung entah memikirkan apa.  Terdengar, "Pisau nak sembelih tak de."  Uhm ... no komenlah.

Saya sambung sedikit lagi bicara dengan ustazah.  Tenang dan dalam kawalan.  Kemudian kami menuju tempat penyembelihan untuk melihat dengan lebih dekat lagi secara berasingan.  Pak Meon memberi isyarat supaya saya snap shot sudut menarik.  Uh, tak de mood dah.  Akhirnya Hurilain dengan wajah kelat, klik klik sana sini dalam terik matahari pagi yang kian garang.  Dan saya, apa yang dah terjadi pun terjadi sendiri.  Tapi saya rasa orang ramai di situ lebih memberi tumpuan pada kerbau dan dua ekor lembu yang satu persatu mengeluh, mengeruh dan mendengus melepaskan nyawa terakhir di atas lubang berdarah daripada wanita serba hitam bertas merah yang juga bermata merah yang asyik mengelap matanya hingga hilang celak mata.

Harapan, impian, dan tertanya-tanya.  Puas mencari keyakinan tentang hikmah dan rahsia takdir Allah.  Mesti ada hikmah yang tersembunyi.  Pasti, tidak ada yang tidak pasti melainkan kepastian yang jitu dan benar belaka.  Tentu Allah SWT yang Maha Pengasih mahu memberi yang terbaik.  Belum terlewat dan tidak terlambat lagi.  Namun mengapa ustazah kata ada panggilan kedua dan dia tanya mengapa saya tak hubungi dia.  Saya dah buat tapi panggilan tak diangkat.  Mahu menghubungi sekadar ingin memaklumkan dan membuat sedikit pertanyaan, itu sahaja.  Tak lebih.

Sambil terus mengelap air mata yang susah benar nak kering dan berkeadaan macam saya seorang diri sahaja di situ, bayangan Hurilain terus menjelma silih berganti dengan wajah ustazah yang sudah kembali duduk di kaki lima nun di sana.  Ah, dah segan nak ke sana kembali dengan mata yang merah begini.  Pak Meon langsung tak perasan hal saya.  Tiba-tiba, "Meon! Meon! Meon!", suara Kapten memanggil-manggil dia.  Sejenak kemudian saya nampak tiga lelaki saling membantu menyalakan rokok.  Arghh!!  (Menyampahnya aku bab merokok ni!)

Satu hal yang susah nak kawal ialah mata anak-anak yang sangat peka dengan perubahan saya.  Hidayat terutamanya bertanya berkali-kali mengapa saya menangis.  Hurilain juga.  Menangis pasal lembu kena sembelih ke?  Ingat kampung ke?  Ingat Along ke?  Elok orang tak tau jadi tau.  Aparaaa ...  dan akhirnya Pak Meon pun tau.  Intan sedih ingat kampung ... katanya pada Abang Azmin yang tersenyum-senyum memandang.

Sekadar catatan.  Sudah tiba masa kami memikirkan tentang masa depan anak-anak dengan lebih serius.  Lebih serius berdoa dan memanjatkan pengharapan kepada Allah SWT.  Lebih fokus dan tidak mementingkan diri sendiri lagi hingga mengabaikan kepentingan anak-anak.  Bukan tidak serius sebelum ini tetapi perlu ada perubahan yang lebih baik.  Bina impian positif dan cemerlang untuk mereka. Semoga menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada insan lain dan menjadi hamba Allah yang pandai bersyukur atas segala nikmatNya.

Semoga Naqhuhines menjadi anak-anak yang soleh; menjadi 'mentari yang menyinar di ufuk ilmu' dan kehidupan.  InsyaAllah.  Kita merancang, Allah pun merancang dan Dia adalah sebaik-baik Perencana.  Hanya kepada Allah tempat berserah diri.

1 comment:

Ibnu Mutalib said...

hoho, syahdu juga ni.

kak,kalau dapat lagi sorang Naqhuhines tu nak modify cane lak,heh

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing