Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, November 20, 2010

Mama, nak tanya boleh?

As salam.

Syahdu?

Sekadar cerita keluarga ...  bila dah keluar macam ni, rasa hmm ... 'kenapa tulis itu di sini ya?  Sekarang dah habis dibaca.  Awak tak segan ke makcik?' 

Itu adalah air mata yang saya tak fikir ada untuk kegagalan anak saya ke pusat tahfiz itu, tak sangka rupa-rupanya air mata itu sudah siap menunggu masa sahaja untuk terbit dari hati saya.  InsyaAllah hati kami semakin sembuh.  InsyaAllah ada tempat lain yang sedang kami intai.  Satu tempat yang pernah abah Hurilain nyatakan untuk menghantar dia ke sana kepada tenaga pentadbiran satu ketika dahulu.  Surat sudah saya draf untuk dimajukan ke pihak berkenaan.  Kali ini saya sudah bersedia untuk menghantar surat-surat rayuan sekiranya permohonan kami mendapat jawapan yang mengecewakan.  Saya akan lakukannya!  Ini hanya tindakan zahir.  Selebihnya didahului dengan doa dan harapan ke hadrat Allah.  Semoga Allah menerima doa kami.  Semoga tempat ini lebih baik dan terbaik buat Hurilain.  InsyaAllah.

Saya sedang download 'Seekor sapi menyebut Allah, sesaat sebelum disembelih' di FB sahabat.  Saya deactivate akaun Naqib tapi sebelum tu buka dulu dan terjumpa video ini.  Jenuh menanti, 'habih la duit hp ni ...' sebab downloading memang memakan duit.  Tak praktikal memasang telefon rumah di sini.  Kami tidak berniat mahu bermastautin di daerah ini.  Esok lusa mungkin berangkat ke daerah lain.  Tunggu la Kak Leha pasang telefon rumah, boleh tumpang semangkuk nanti guna line dia. Kak Leha sedang dalam semangat berkobar-kobar mahu memasarkan produk airnya nanti di internet.  Syabas Kak Leha!  Kali ini Hidayat mendesak mahu melihat lembu yang boleh bercakap menyeru nama Allah yang Maha Pencipta.  Masih boleh dilayan.  Dia sangat teruja nampaknya.

Tapi tadi Hidayat telah bertanya soalan yang saya tidak mahu mendengar dan menjawabnya.  Kerana saya tidak yakin jawapan yang boleh memuaskan hati budak lelaki 8 tahun ini.  "Mama, rogol tu apa?"  Maaf, saya tulis saja ni.  Tanpa niat buruk.  Ia menjadi catatan saya sendiri tentang anak saya, satu-satunya anak saya yang telah bertanya kepada saya tentang ini.  Oh ya, Hurilain pun rasanya pernah bertanya.  Dulu.  Mata saya bulat, buntang melihat Hidayat dengan dahi berkerut (walhal saya tak suka kerut dahi, tapi kali ini saya mesti kerut kening!).  Ada rasa seperti ... sedikit ngeri.

"Itu perbuatan tak baik oleh lelaki kepada perempuan."  Hidayat sengih.  Tentu dia memikir lagi.
"Buat tu berdosa, masuk neraka."  Ada respon dan soalan susulan lagi. 

Saya tak jelaskan apakah perbuatan itu, bagaimanakah ia dan sangat berharap Hidayat puas hati setakat itu.  Tapi, mungkinkah dia dapat mengesan di sebalik jawapan saya?  Maksud saya, dia sebenarnya mungkin sudah faham tapi mahu lebih faham dengan yakin dari saya? Nasib baik dia tak tanya 'buat tu' tu buat apa?  Saya akan tanya dia balik!  Huh ... 

Saat ini dia sedang bermain bantal dengan Hanessa.  Baik, saya tanya dia sekejap. 

Hmm ... dia mengaku tidak pernah berbicara 'tajuk' ini dengan kawan-kawannya.  Saya pun tak mengharap budak 8 tahun berbincang hal ini sesama mereka.  Walau saya masih ingat, mungkin anda juga, kes murid Tahun 1 buat praktikal video yang ditonton di rumah dengan rakan-rakan di bawah meja sekolah.  Ya Allah, selamatkan anakku dan kawan-kawannya dari fitnah akhir zaman. 

Saya rasa saya tahu bagaimana nak menghadapi pertanyaan sebegini, apabila bertembung dengan artikel atau soal jawab dari para ibu yang menghadapi dilema dari soalan anak-anak.  Dan tadi, saya kaget pula.  Apa yang penting adalah menyatakan prinsip perbuatan baik dan perbuatan buruk, dosa pahala dan natijah perbuatan yang dilakukan.  Dengan Hidayat, saya perlu menjawab dengan tegas.  Tidak boleh 'lari' dari soalannya.  Dia akan tanya macam-macam selagi dia tak puas hati.  Jadi, kena tegas juga.  "Nanti dah semakin besar Hidayat akan tahu hal ini."  Sebenarnya saya mahu cakap, "dah stop.  Jangan tanya lagi.  Mama nak tulis blog ni."  tapi tak sampai hati pulak.  Tak patut begitu.

Tadi siang dia adik-beradik menonton cerekarama Aidiladha 'Quran Buruk' dan dia mendengar perkataan 'sula'.  Hidayat dan kakaknya mempamerkan raut ngeri apabila mendengar maksud sula daripada saya. 

Saya pun suka bertanya pada mak dan abah dulu.  Tetapi mak selalu beri amaran, saya rasa.  Mak akan cuit saya kalau saya 'menyampuk cakap orang tua.'  Akhirnya saya berhati-hati daripada menyampuk dan lebih suka diam memerhati.  Saya tidak melakukan yang sama kepada anak-anak, hanya mengingatkan mereka supaya dengar dan jangan sama-sama bercakap waktu orang bercakap,  "Sapa nak dengar sapa ni?"  Lagi satu, kalau mama abah sedang bercakap, tunggu berhenti dulu baru mencelah.  Heee ... mungkin mereka ada idea yang mahu dikongsikan selari dengan tajuk kami, tapi oppss tunggu, jangan menyampuk!  Ada faham?

Nampaknya Hidayat macam puas hati.  Perkataan yang ditanyanya itu sudah ketara dan mudah ditemui di muka depan media, di rak buku kedai tempat dia membelek majalah Asuh dan Ujang.  Cukuplah dulu, Hidayat.  Kita hafal sifir dan doa Qunut cuti ni betul-betul, ok! 

Anak-anak sekarang...  Saya dulu pun jadi anak-anak juga.  Tapi pernahkah saya bertanya itu pada mak agaknya?  Pada arwah abah, tidak mungkin.  Sebab saya sangat segan pada abah.  Secara naluri, saya rasa kita boleh teka sesuatu itu perlu/sesuai ditanya atau tidak kepada orang yang sesuai.  Hurilain pun pernah bertanya sesuatu yang, saya tak pernah tanya mak.  "Mama, perhubungan suami-isteri tu bila boleh dilakukan?  Apakah sebaik sahaja selepas akad nikah?"  Sebenarnya dia sudah menjawab soalannya sendiri.  Saya tolong jelaskan sambil membantu dia menjawab sendiri dengan betul. 

Ada lagi soalan-soalan lain yang sesekali muncul dengan pendahuluan, "Mama ... nak tanya sikit boleh?"  Bila keluar ayat intro sebegini, saya rasa cukup cuak dan ... saspen.  Abah Hurilain tersengih sahaja apabila saya kisahkan hal ini.  Anak tak pernah atau belum lagi bertanya isu sensitif pada dia sebenarnya.  Dia senang je nak berhentikan soalan si anak.  "Dah, abah nak tengok tv ni."  atau "Jangan banyak tanya la!" Atau kadang-kadang abah akan tanya balik si anak sehingga dia terdiam pula.  Boleh ke?  Boleh kot, tapi kadang-kadang mereka pun loyar buruk juga pandai mengenakan si abah semula.

Sudah 9 malam Hurilain memakai bengkung selepas dioles kapur berperah air limau.  Cadangan saya, yang risau melihat tumbesarannya yang begitu laju.  Anda faham?  Dia masih rendah daripada saya semasa kami bercuti di Melaka tahun lepas.  Hari ini dia sajak memakai baju kurung saya.  Sama tinggi dan dia lebih berat dari saya.  Dia sudah tidak cemburu pada Along yang selalu mengukur tinggi dengan saya.  "Bila mama nak pakai bengkung pulak?"  tanya Hurilain.  Mama akan pakai selepas kamu pakai 40 hari nanti.  Hee ...

Esok Naqib akan pulang ke madrasah.  Esok pagi saya akan bersembang panjang dengannya menggunakan kadphone di telefon awam.  Cukup murah dan boleh bersembang lama-lama.  Ya Allah, bantulah anakanda Naqib selalu.  Lancarkan lidahnya dan terangkan hatinya, lapangkan dadanya dan kuatkan imannya.  Berilah dia kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.  Sembuhkan penyakitnya baik yang rohani mahupun yang jasmani.  Pimpinlah dia jangan biarkan dia ya Allah.  Ameen.

Hanessa pula telah melukakan pergelangan tangannya sepanjang 6 inci melintasi urat hijau di situ.  Mujur luka tidak dalam tetapi tetap mengeluarkan darah sedikit.  Dia bermain dengan cutter saya dan memotong-motong kotak air tebu yang sudah kosong.  Tiba-tiba dia mengembalikan pisau itu dan masuk ke dalam bilik lantas menutup pintu.  Jarang amat dia begitu.  Tidak lama kemudian dia menghampiri saya, "Mama, kalau Baby cakap jangan marah tau!"  katanya dengan muka sedih bergenang air mata.  Lantas dia mengunjukkan pergelangan tangan yang berdarah.  Ooo patutlah berani masuk bilik siap tutup pintu lagi.  Anak bongsu ini lebih kuat semangat dan berani.  Kalau Hidayat, saya rasa sudah menangis dan tak mahu mandi seminggu kerana takut rasa pedih.  Hanessa diam tatkala saya menyapu krim, dan dia berpesan "Mama jangan bagitahu abah ya."  Dia rasa bersalah kerana tadi enggan menurut tegahan saya.  Dan dia tak mahu 'dipadanmukakan' oleh abahnya.  Abahnya tentu akan ketawakan dia. 

Cuti akan menjelma.  Isnin ini masing-masing akan ke sekolah seperti biasa dan akan dimaklumkan kelas baru pada tahun hadapan.  Hurilain akan mendaftar di sekolah menengah berhampiran.  Jadual masa cuti perlu dibaiki.  Kemas tempat tidur, cuci pinggan sendiri, lipat baju sendiri dan kita pergi Gua Niah! InsyaAllah.  Oh ya, fax dan pos surat permohonan Hurilain ke Malaysia.  Tunggu jawapan dalam debaran sekali lagi, dan harapan yang tinggi.  Anak gadis ini suka nak balik ke sana tetapi bila ditanya "sanggup ke nak berpisah ni?", dia terdiam dan geleng kepala.  Saya tak akan tanya lagi sampai bila-bila. 

Wassalam dan jumpa lagi.

4 comments:

Ibnu Mutalib said...

huh,panjangnya kak...

Mieja@Faiza Amir 2001 said...

macam dalam cerpen:)hakikat sebuah kehidupan berkeluarga......:)

Noraini Hassan said...

masa kecil saya pun pernah tanya soalan sama pd emak.

Naqhuhines said...

kanak-kanak memang penuh dengan rasa ingin tahu. manusia yang baru menjengah dunia yang serba menghairankan.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing