Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, November 28, 2010

Majlis Penutup Sesi Persekolahan 2010

Pagi ini saya bersiap sama dengan anak-anak untuk ke sekolah.  Hanya Hanessa yang masih belum berketik dari tempat tidurnya.  Abahnya yang sudah selesai bersarapan roti cicah kambing masak semur bikinan saya semalam, sambil bersiap sambil memanggil dia bangun. 
"Bangun Adik, mama dah pergi sekolah dah ..."  Suara dia menangis tersedu-sedu mula kedengaran.  Segera tersedar bila mendengar ayat-ayat ini dari mulut abahnya.  Saya masih menyuap bersama Hurilain dan Hidayat di dapur.  Untuk menambah effect, saya beri isyarat kepada abahnya untuk menutup lampu dapur juga.  Kami kini menyuap makanan dalam samar pagi.  Ceh, gertakan yang ganas.  Apa komen Dr Fadzillah Kamsah agaknya kalau tau hal begini?
"Jangan ketawa kat dia.  Serius."  bisik saya sambil mencari mata Hurilain dan Hidayat. 
"Kesian dia, mama."  sahut kakaknya perlahan.  Cepat belas cepat pula membalas, karektor kakak ini.
"Shhh jangan cakap kuat-kuat ... nak mengajar dia tak mengapa."

Tidak lama kemudian Hanessa muncul dengan unifom lengkap di sebelah saya.  Air matanya makin lebat.  Mungkin geram.  Seperti yang sudah dipinta, tidak ada seorang pun yang ketawa.  Masing-masing selamba.  Jam 7.30 pagi kami sudah bersedia menuju sekolah.

Di dewan Sekolah Rendah Muhammad Alam, acara berlangsung dengan lancar.  Kami dipersembahkan dua tarian dari lagu Korea; "Nobody But You" dan satu lagi tak tau apa tajuknya (nak tanya Hurilain, dia sudah lena saat ini).  Ada instructor di bawah pentas sama menari, memandu anak-anak perempuan pelbagai usia yang sedang menari di pentas.  Akhir sekali ialah Dikir Barat Ulik Mayang Diulik dengan tukang karutnya adalah seorang guru lelaki.  Mengapa bukan pelajar yang 'mengarut' ... Saya suka dikir barat tetapi yang ini berentak slow.  Tapi, menarik dan tahniah kepada pelajar yang membuat persembahan.

Ada seorang wanita sudi duduk di sebelah saya.  Sejenak berbual, akhirnya kami bertukar nama dan nombor telefon.  Wajahnya 'sebijk' iras Puan Saripah, ibu Hakim yang pernah saya jaga di nurseri dulu.  Peramah dan boleh serasi.  Dia isteri pegawai polis bahagian jenayah Seria. 

Tengahari kami berkejar pulang ke rumah.  Batal rencana ke Perpustakaan Pandan untuk memulangkan buku.  Perlu mengejar masa makan dan solat, dan kembali ke sekolah semula untuk acara seterusnya - sukaneka.  kami memakai pakaian sesuai untuk acara yang banyak pergerakan.

Saya mendapat nombor 91 untuk cabutan nombor bertuah.  Tetapi nombor yang disebut hanya berdekatan dengan nombor saya ; 89, 92, dan 16 yang serupa tapi tak sama.  Tak mengapa, yang penting adalah penyertaan dan semangat kehadiran yang besar kesannya kepada anak-anak.   Kalau tidak kerana telah berjanji dengan Yus kawan Hurilain yang meminta saya datang, dan kerana Hurilain sudah berjanji dengan Mary, serta janji saya sendiri dengan Puan Jamilah kawan baru tadi, nenek Yus sendiri dan ibu Mary untuk hadir tengahari yang garing ini, rasanya dah lama saya lena qailullah.  Fuh, sabarrr dan rupanya sempat juga saya tersengguk di kerusi tatkala acara padang begitu hambar buat seketika.  "Mama ngantuk ke?"  tanya Hurilain sambil melakonkan gerak luar kawal saya.  Huh, budak ni memerhatikan saya rupanya dari jauh.

Kad kecil berwarna kuning dengan nombor 91 di tangan saya belek-belek.  Sesekali saya bercakap dengan Puan Jamilah di sebelah.  Sebentar lagi acara untuk ibu akan tiba, iaitu memasukkan bulu tangkis ke dalam kotak.  Geng saya sudah setuju akan menyahut cabaran ini.  Tiba-tiba anak telinga menangkap nombor 91 diumumkan.  Alhamdulillah, dengan senyum teramat lebar saya melangkah merentasi padang untuk mengambil hadiah di khemah urusetia.  Cikgu Dianawati, guru kelas Hurilain menyerahkan Jug Kettle Cornell ke tangan saya.  Terima kasih cikgu.   

Angin bertiup kuat.  Tentu susah nak masukkan bola tangkis ke dalam kotak kalau begini.  Memang pun.  Hanya berjaya memasukkan satu bola tangkis yang terbang melayah mengikut angin petang.  Nampaknya rezeki Puan Jamilah pula untuk membawa pulang hadiah tempat kedua.  Bola tangkis saya malu mahu masuk ke dalam kotak ketika saringan kedua. 

Jam 5 pm, selesailah acara Majlis Penutup Sekolah tahun 2010M/1431H dengan jayanya.  Semoga tahun hadapan bertemu lagi.  Saya sudah menambah beberapa kenalan baru lagi.  Makin mesra dan serasi dengan suasana.

Masih agak letih.  Sekadar sedikit catatan.  Tadi saya sudah lelap dan terjaga ketika mendengar telefon bimbit berbunyi.  Sungguh mamai, saya keliru sama ada ia adalah bunyi alarm atau panggilan masuk.  Saya jadi terpinga dan mengambil masa untuk sedar sepenuhnya.  Ishh macamlah apa, walhal hanya masuk acara sukaneka je ...  Akibatnya panggilan mak terputus beberapa kali hingga abah Hanessa terpaksa membantu saya.  Akhirnya dapat juga berbicara dengan mak, "Kenapa telefon ekau, asyik putus jo?"  mukaddimah mak.   Hehehe ...  Bertukar-tukar berita dan pastinya bertanya tentang cucu-cucunya di sini dan macam-macam lagi. 

Tiada feel yang biasa ada ketika mahu menulis.  Uhh ...  terasa hambar dan ... baik tidur, dah jam 12.14 pagi rupanya. 

Jangan tukar jadual harian anda termasuk waktu tidur - kesilapan biasa ramai orang lakukan di hujung minggu - kerana ia menyebabkan jam biologi anda keliru dan bercelaru lalu menjadikan anda semakin letih sebenarnya.  Makcik faham?

Makcik noted : surat-surat sudah diposkan siang tadi - kepada Naqib bersama lukisan dan keychain pistol celupan emas tiruan dari Hidayat sebagai hadiah hari lahir Along, dan dua lagi kepada pihak madrasah.  Minggu depan sampailah tu, insya Allah. Udah le tu, moh tido!

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing