Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, November 30, 2010

Hidayat berkhatan

Ceria.  Tak ada gaduh-gaduh.  Makin malam beransur dingin, makin galak dia bercempera.  Ishh budak ni... Esok, semoga tiada aral dan dimudahkan urusan oleh Pemilik Waktu, Hidayat akan berkhatan di Hospital Tutong.

Anak yang paling murah kos bersalinkan dia, RM390 sahaja tanpa bermalam pun.  Abahnya bukan kakitangan kerajaan, dan pada kami di antara empat anak-anak, kos Hidayat adalah paling murah.  Waktu itu, kami menetap di TTDI Jaya U2, Shah Alam.  Berbicara dengan rakan-rakan, saya tertarik untuk mencuba bersalin di Hospital Putrajaya.  Setelah congak-congak jarak dan masa dari rumah, abah Hidayat menjangkakan laluan tidak sibuk untuk kami bergegas ke sana apabila sampai masa nanti.  Sekitar 30 minit dan boleh sampai lebih awal kalau tekan minyak dan nyalakan lampu isyarat kecemasan sekiranya perlu.

Jadi, kami pun pergi ke hospital yang masih baru itu untuk membuka fail.  Staf menyuruh kami kembali ke hospital hanya apabila saya sudah sampai masa.  Mudah je.  Siang hari 9 Julai saya memulakan aktiviti menolak almari dan memindah katil.  Tiba-tiba datang mood nak mengubahsuai kedudukan perabut dalam bilik.  Buat kerja sorang-sorang dan senyap-senyap supaya tak ketahuan.  Mudah-mudahan taktik ini menjadi sebab tarikh jangkaan bersalin sudah tiba.  Hanya saya tidak mendapat apa-apa tanda, jadi apa kata saya cuba mendatangkan tanda.

Menjelang tengah malam saya mula rasa sengal-sengal di pinggang.  Semakin lama semakin kerap.   Jam 2 pagi, kami bergerak ke hospital  Putrajaya setelah memaklumkan kepada mak.  Perjalanan selesa dan tenang, tidak terburu-buru.  Alhamdulillah, akhirnya 10 Julai 2002, Rabu bersamaan dengan 29 Rabiul Akhir 1423Hijrah,  Hidayat lahir seiring dengan suara azan Subuh dari masjid berdekatan.   

Ketika itu, belum banyak kes bersalin di hospital ini kerana ia baru dibuka.  Kami yang beralamat Shah Alam pun diterima tanpa soal jawab.  Setelah selamat bersalin dan dibersihkan, saya dihantar ke sebuah bilik yang nun jauh berbelok-belok, memang terasa jauhnya.  Timbul rasa pelik menerima pandangan kehairanan dari pekerja pembersihan dan jururawat bertugas yang datang menjenguk.  "Dik, kalau boleh balik hari ni, baliklah ye.  Tak payah la tido sini."  kata jururawat pangkat kakak kepada saya dengan ramah sambil tersenyum.  Hari masih siang terang benderang, dan saya menangkap sesuatu di sebalik kata-katanya.  Sempat saya berehat bersama bayi kecil di sisi.  Tidak lama kemudian abah Hidayat muncul bersama mak, Naqib dan Hurilain.  Setelah diperiksa oleh doktor bertugas sambil mendengar soksek soksek jururawat dengan doktor, saya dilepaskan pulang kerana tidak ada sebarang  komplikasi yang membimbangkan.

Sebelum pulang, saya bertemu jiran bilik sebelah, menjenguk dan mengucapkan selamat tinggal. Sudah tak ingat dengan jelas setelah lapan tahun berlalu, namun rupa-rupanya saya bukan ditempatkan di bilik untuk wanita bersalin.  Bilik itu sudah lama tidak berpenghuni, kata jiran bilik sebelah.  Syukurlah, kalau sudah jururawat sendiri menasihati saya supaya tidak tidur di situ, saya pun memang tak sabar nak balik ke rumah. Dan saya tak mahu fikir atau bayangkan apa-apa pasal bilik itu. 

Petang hari kembali dari hospital, abah Hidayat menerima sebahagian tunggakan payment yang sudah lama ditunggu-tunggu.  Alhamdulillah.  Kelahiran yang membawa rezeki kerana waktu itu kami berada di dalam kesempitan sebenarnya.  Biasalah, perniagaan yang ada turun naik dan surut pasangnya.

Usia Hidayat tiga minggu, majlis akikah untuknya dijalankan di Masjid TTDI Jaya.  Dua ekor kambing hitam dikorbankan, yang setinggi berdiri apabila digantung selepas disembelih.  Ramai tetamu yang datang - jiran dan kenalan serta sanak-saudara.  Tiga orang ustaz memulakan tahnik dengan menyuapkan cebisan kurma dan sedikit madu ke mulut  Hidayat iaitu Ustaz Ramli, Ustaz Zaki dan Ustaz Sujak bagi mengambil berkat mereka, semoga Hidayat menjadi anak yang soleh dan bertakwa insyaAllah.

Serasa masih baru berlalu majlis berkhatan Naqib, dua tahun lepas.  Sebuah majlis yang meriah.  Kali ini giliran Hidayat pula.  Dia agak kecewa kerana tidak ada majlis yang pasang khemah seperti majlis Along.  Tak ada sesiapa yang datang menjenguk dia.  Iyalah, kalau di Sijangkang insyaAllah majlis sebegitu boleh diaturkan untuk meraikan dia.  Tak apalah, Hidayat.  Wan dah janji masukkan RM100 ke dalam akaun TH Hidayat, atuk pun.  Kalau bagitau Tuk Leha dan Tuk Arbak, tentu ada bahagian untuk kamu tu.  Atuk tengah kayo tu, duit getah naik melambung-lambung hehehe ...

Apa yang penting ialah kamu tak lagi membawa najis bersama.  Boleh solat dengan abah di masjid.  Kamu patut bangga sebab empat tahun lebih awal berkhatan berbanding dengan Along.  Memang kamu perlu dikhatankan sekarang sebab selalu ikut abah ke masjid.  Lagipun  perkara yang baik eloklah kita segerakan.  Okay Dayat!  Tadi Uncle Yahya dah info abah suruh bawa kamu awal pagi esok ke hospital.  Mama, kakak dan adik akan ikut untuk bagi sokongan.  Mama mesti ambil gambar kamu, sebab nanti wan tak caya kamu dah sunat hehehe ...

Akhir sekali semoga kamu cepat sembuh.  Kalau dah okay, Ahad nanti kita ke Miri dan naik ke atas sejauh 90 km lagi untuk ke Gua Niah.  Rehlah melihat kejadian alam ciptaan Tuhan iaitu gua terbesar di Malaysia dan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia.  Ia dianggarkan seluas 12 hektar atau seluas tiga kali padang bola sepak.  Kamu tentu tak sabar nak tidur di chalet, penginapan yang memang kamu suka sangat.  InsyaAllah.  Janji kena jaga pemakanan dan ... segera sembuh.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing