Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, November 7, 2010

Dan Malam Apabila Ia Berlalu; hampa tidak kecewa

Salam.

Selesai sudah novel Dan Malam Apabila Ia Berlalu oleh SN Abdullah Hussain, dinihari ini.  Karya yang hebat dan dipenuhi unsur saspen sehingga menjelang helai-helai terakhir baru saya terfikir betapa saya tidak dapat menjangkakan jalan ceritanya sebegitu.  Ayat-ayat yang panjang untuk dinoktahkan.  Novel berunsur Islamik tetapi saya tertanya-tanya jika kisah ini kembali ke 70-80an apabila bukan muhrim masih bersalaman dan fesyen bertudung yang mengizinkan anak rambut terjulur keluar.   Oh sekiranya kini masih berterusan sebenarnya keadaan ini dan ia dinyatakan bersahaja di dalam novel.

Walau apapun, saya semakin mengerti dan menikmati apa yang dimaksudkan oleh Sifu tentang unsur saspen di dalam novel. Apabila wujud unsur ini menyebabkan pembaca semakin laju membaca dan timbul rasa ingin tahu yang membuak-buak untuk meneruskan pembacaan hingga selesai.  Hilang rasa penat dan timbul satu kepuasan setelah menghabisinya.  Ada beberapa novel sahaja yang saya kira sangat memberi kepuasan kepada selera pembacaan saya.  Ia mengesankan.  Yang pasti, bukan cerita cinta atau penuh dengan kejadian ajaib yang direka-reka.  Ia mesti ada pengajaran, pendidikan dan ilmu kepada pembaca.  Ada nilai-nilai murni dan mengangkat martabat akhlak mulia dan moral vs perangai buruk.  Ganjaran baik untuk perbuatan yang baik dan sebaliknya.  Semua penulis akan menulis mengikut peraturan ini, hanya yang membezakannya ialah cara penulisan mengikut keperibadian dan ilmu penulisan.

Membaca untuk membangunkan jiwa.  Menulis untuk membangunkan bangsa.

***

Hampa tetapi tidak sampai kecewa.  Keputusan temuduga Institut Tahfiz al-Quran belum sampai ke tangan, dan apabila disusuli melalui telefon - kami diberitahu "Maaf, anak tuan tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sini."  Rupa-rupanya awal minggu ini sudah berlangsung kursus singkat membaca al-Quran untuk calon-calon yang berjaya.  Salah seorang ustazah di sana yang adalah isteri kepada kenalan kami menelefon bertanyakan status Hurilain, yang kemudian meminta kami menghubungi pihak berkenaan untuk makluman lanjut.

Ia menghampakan.  Hurilain menangis.  Si abah juga terpalit rasa.  Saya terpaku.  Walau bagaimana pun, syukur alhamdulillah tetap dipanjatkan ke hadrat Illahi.  Tentu dengan keyakinan bahawa ada hikmah yang tersembunyi.  Si abah pun mengulas satu persatu kebaikan dan hikmah yang dapat dicapai akal.  Sedangkan ada banyak lagi rahsia tersembunyi.  Selepas dipujuk-pujuk dan diberikan semangat keyakinan, anak gadis ini kembali mengukir senyuman.

Sebuah pusat pengajian yang berprestij tentunya - berdasarkan nama sahaja sudah tergambar prestijnya.  Dan bukan Hurilain seorang sahaja yang gagal.  Tentu pemilihan adalah ketat dan kouta pelajar luar pula adalah terhad.  Tahniah kepada semua calon yang berjaya.  Semoga mereka terus berjaya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Demikian juga kepada Hurilain, walau di mana menyambung belajar selepas ini mama dan abah akan terus membantu dan memberi sokongan.  Mama dah tak sabar nak mencuba resepi makanan otak yang diperolehi dari blog DarwishnDarwisya tu.  Kamu ni semua memang mengelat kalau disuruh hatta mahu disuapkan kurma, kismis dan biji goji tu.  Mungkin dengan resepi Puan Lina yang enak dan lemak tu, insyaallah dapat membantu membaiki prestasi kamu adik-beradik dalam penghafalan dan pemahaman pelajaran.  Insyaallah.

Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan mendoakan.  Kita hanya berusaha dan berdoa, natijahnya tetap di tangan Allah SWT.

Kegagalan adalah perkara biasa yang perlu diterima dengan redha.  Walau seperti sudah berbuih berdoa kepada Allah SWT, diikuti dengan nazar dan sedekah, apabila belum tercapai bermakna perlu terus koreksi diri. Usahlah pula terlalu berlapang dada, 'ah, sudah tak ada rezeki'. Tanyakan pada diri ~  Permohonan ampun ke hadratNya bagaimana?  Rintihan dan pengharapan yang paling kudus dari sudut hati paling tersembunyi di malam yang sunyi, bagaimana?  Doa sesungguh hati sepenuh jiwa, apakah benar-benar sudah dipanjatkan kepadaNya?  Istiqamahkah dalam berdoa dan berusaha begitu?  Bagaimana dengan dosa-dosa kecil yang berkumpul menjadi dosa besar, terfikirkah yang itu?  Bagaimana pula dengan dosa besar yang memerlukan taubat nasuha dan memohon ampun hingga mengalir airmata keinsafan, sudahkah?  Ini semua soalan untuk diri sendiri.

Ya Allah, tunjukilah kami selalu.  Janganlah jadikan kami kaum yang lalai.  Selamatkanlah kami dari golongan orang-orang yang menyesal di hari yang tidak ada kesudahan.  Masukkanlah kami dalam golonga orang-orang yang bertaubat dan memohon keampunanMu.  Ya Allah, tiada tempat untuk kami mengadu dan bermohon, melainkan hanya kepadaMu.  Ya Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Tetapkanlah iman kami dan langkah kami di atas jalan yang Engkau redhai.  Hidupkan hati kami, janganlah matikannya.  Berilah kami takdir yang baik dan selamatkanlah dari takdir yang buruk.  Sampaikanlah cita-cita kami yang baik dan selamatkanlah dari cita dan harapan yang buruk.  Jadikanlah kami pencinta ilmu kebenaran dan selamatkanlah kami dari ilmu yang menyesatkan lagi melalaikan.  Ya Allah, hanya kepadaMu tempat kami kembali dan hanya kepadaMu tempat kami berserah diri.  Kabulkanlah doa kami dan ampuni kami.  Ameen ya Rabbal alameen.

 ***

Quote ~  "Terus! Jgn berhenti. memang menulis begitu seperti belayar! Lemas, tenggelam, berjuang pd diri sendiri utk terus menulis.."


Wassalam.  4am/ Ahad.

1 comment:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing