Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, November 26, 2010

Bahasa Tubuh

As salam.

Jam 11.37 PM baru mampu membuka blog ini dengan agak lancar.  Kedengaran di luar seperti suara hujan.  Alhamdulillah, hujan rahmat di malam Jumaat setelah siang tadi panas berdenting!

Hidayat sudah dapat permainan lagi dengan wang $20 pemberian khas dari abahnya, sempena mahu berkhatan pada Rabu depan.  Nampaknya si abah menurut sahaja permintaan anak jantannya ini.  Dan budak ini pula memang pandai membeli hati abahnya dengan gurau senda dan gelak ketawa yang ceria.  Mujur dia menerima saranan abah supaya membeli permainan cantum pasang lagi, maknanya tak la mahal sangat.  Dia sudah rancang membeli jet perang untuk melengkapi koleksi.  Tiba masanya, jet impian sudah tidak ada di rak kedai.  Agak kecewa tentunya tetapi mana boleh lepaskan peluang, Hidayat membeli mainan cantum pasang istana yang lengkap dengan tentera berkuda bermisai lentik berharga $23.90.  Perlu tambahan duit dan saya tolong korek tabung duit yang ada dibawanya di atas kaunter bayaran, dan tolong tambah sedikit lagi dari dompet saya.  Teruk eh?  Hehe ...

Kalau ikutkan prinsip saya, dia mesti beli mainan yang tidak melebihi $20 itu kerana hanya wang itu yang dia ada.  Tetapi sesekali (yang kesekian kalinya) rasa kasihan menerpa andai harapan dia dihampakan.  Tambahan bukan semua permintaan dia yang tertunai sebenarnya.  Sudah bertahun dia berangan-angan memiliki PS2, PS3, PSP, komputer, basikal bla bla bla ... hanya basikal yang dia pernah miliki dan sekarang tinggal di Sijangkang, mungkin sudah beransur reput.  Juga desktop untuk dia bermain games setelah lama meminta.  Rekomen saya juga.  Saya cukup tak suka melihat dia tekun berjam-jam mengadap skirn komputer untuk bermain games, walaupun buat seketika kakaknya merasa tenang.

Semua tinggal di sana.  Di sini belum dapat dibelikan lagi.   Mana boleh dia seorang sahaja.  Kakak dan adik dia tentu menuntut sama, saya pun nak juga cuma isyarat semata!  Ishh...  Tapi firasat saya mengatakan Hidayat akan dapat basikal baru tak lama lagi.  Anak abah ...

Seperti yang sudah-sudah, si kakak yang bertahi lalat di jari telunjuk kiri itu yang beria-ia memasang binaan istana hingga siap.  Sepanjang masa itu, Hidayat sangat baik terhadap kakaknya.  Ternyata kakak dapat mengambil alih peranan Along yang jauh di sana.  Perhubungan yang saya katakan selalu di tahap kritikal umpama Israel dan Palestin ini sudah berubah menjadi kerjasama yang baik antara Jepun dan Malaysia untuk mengeluarkan kenderaan nasional kita. Satu pemandangan yang sangat menyenangkan hati saya.  Gelak tawa dan gurau-senda.  Ada tolak-ansur dan pemahaman.

Tetapi sebenarnya ia hanya sementara sahaja.  Si kakak dan adik lelakinya kadang-kadang seperti kutub utara-utara atau selatan-selatan yang bertentangan pada dua magnet yang dipertemukan sedemikian.  Pasti ada penolakan.

Kepada Hurilain yang lebih matang dan tua 4 tahun dari adiknya, saya sarankan supaya dia menghadiahkan al-Fatihah kepada adiknya yang agak keras setiap kali selepas solat, paling kurang tiga kali.  Selalunya saya cuba kendurkan ketegangan dengan mengusap-usap belakang Hidayat dengan lembut, dan alihkan kakaknya jauh-jauh.  Apakah keadaan itu seperti seekor cerpelai dengan tedung selar?  Atau ahli sumo yang saling bertolakan?  Apa lagi?  Dahsyat tu...  Sebenarnya tidak seteruk mana sekiranya ada yang mahu mengalah dan menahan dari membuat bahasa badan yang meningkatkan rasa geram.

Bahasa badan sangat penting untuk menjadi isyarat kepada orang lain yang memandang kita.  Renungan dan jelingan mata, kumat-kamit mulut tanpa suara - adalah dua bahasa yang sangat diperhatikan oleh Hidayat terhadap kakaknya.  Malangnya sehingga saat ini si kakak masih merasakan itulah satu-satu cara dia meluahkan perasaan yang membara.  Ohh ...

Untuk menghasilkan anak yang cemerlang  menurut Dr Fadzilah Kamsah ialah dengan mendoakan mereka tanpa jemu, terus mendidik mereka dengan hikmah dan visual yang jelas terhadap mereka bahawa mereka memang cemerlang.  Ubah persepsi ibu bapa terhadap si anak dari negatif kepada positif.  Persepsi yang baik juga merupakan doa ibu bapa terhadap si anak. 

Semoga Naqhuhines ; Muhammad Naqib, Amirah Hurilain, Muhammad Hidayatullah dan Amirah Nurhanessa benar-benar menjadi anak yang cemerlang dan pandai bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

Tadi siang, saya menunaikan janji untuk membawa Hanessa ke klinik gigi.  Dia semakin rimas dengan sebatang gigi kacip bawahyang sudah setengah bulan goyang, yang menyukarkan dia mengunyah makanan.  Anak ini sangat toleransi ketika saya terlupa membawa surat beranaknya semalam.  Tadi, dia dengan tenang dan penuh keyakinan mengikut saya masuk ke bilik bedah gigi untuk operasi mencabut gigi.  Rezekinya baik kerana mendapat layanan mesra dari jururawat bertugas yang sangat ramah yang pernah mengunjungi sekolahnya.  Ternyarta beliau sangat berpengalaman dalam bidang tugasnya dan pandai mencuri hati Hanessa.  Hanessa naik sendiri ke atas kerusi pesakit tanpa riak takut sedikit pun. Dan tidak ada setitis air mata untuk gigi kacip yang dicabut.  Sebelum pulang, jururawat peramah memberi beberapa keping stiker kartun untuk ditampal di dinding bilik air.  Perkhidmatan adalah percuma tetapi pihak berkenaan sedang dalam perancangan untuk mengenakan bayaran yang bersesuaian kepada pemegang kad pengenalan hijau seperti kami.  "Jaga gigi baik-baik ah, kalau sudah kena bayar nanti mahal atu harganya."  kata jururawat kepada Hanessa.  Saya tumpang seronok dan bersyukur kepada Allah yang memudahkan urusan ini.  Ini adalah kali kedua Hanessa mencabut gigi.  Kali pertama ketika dia berumur sekitar dua tahun apabila gigi hadapannya patah tebu gara-gara terhentak ke siku saya tatkala dia melakukan mainan rebah-rebah di atas katil.  Waktu itu dia cukup takut dan menangis, bahkan meronta.

Anak mama semakin cerdik dan matang.  Alhamdulillah.  Semoga Hurilain dan Hidayat juga belajar saling kasihan mengasihani, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.  Hidayat jangan tendang dan tumbuk kakak lagi ya, sakit dia.  Dia kakak kamu sampai bila-bila.  Kamu mesti jaga kakak dan adik baik-baik.  Jangan sakiti kakak, kasihan dia.  Ain, tolonglah kawal bahasa tubuh kamu tu.  Tunjukkan bahasa tubuh yang menyenangkan.  Kamu sangat sweet kalau bermuka manis.  Pergi tengok cermin kalau buat muka masam, cantik ke?  Mama tak rasa macam tu.  Pesan mama, jangan kerut dahi ya.

Salam sayang buat Naqhuhines.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing