Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, October 20, 2010

Temuduga dan ustazah nan ayu

Pagi ini, 11 Zulkaedah 1431H bersamaan 19 hb Oktober 2010 (Selasa) – Hurilain menjalani temuduga bacaan al-Quran bagi pengambilan pelajar-pelajar baru untuk sesi pengajian 1432H/2011M di Institut Tahfiz Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kami menjangkakan akan ada temuduga kedua, wallahualam.

Beberapa detik selepas jam 8.30 pagi, saya menerima panggilan telefon dari abahnya yang mengabarkan dia tak sempat nak parkir kereta pun. Sudah ada pegawai bertugas yang mengarahkan supaya Hurilain ditinggalkan dan jemput semula jam 11 pagi nanti.

Saya melakukan kerja rumah dengan debaran di dada. Berbagai bayangan dan jangkaan muncul silih berganti. Andai dia berjaya, bagaimana ... Andai dia tidak, bagaimana pula ... Macamana jika dia gabra dan tertekan. Pendek kata, macam-macam yang muncul menambahkan debaran saya semata.

Imbasan negatif cepat-cepat saya tepis. Ia boleh melemahkan jiwa dan membuatkan rasa putus asa yang tidak dibenarkan oleh Tuhan. Kita tidak boleh berputus asa. Tidak sekali-kali. Rahmat Tuhan menanti di mana-mana, sentiasa tersebar di seluruh pelusuk hati dan alam. Mulut saya tidak putus membaca al-Fatihah berselang seli dengan doa ke hadrat Illahi - semoga Tuhan membantu gadis saya dan memudahkan segalanya buat dia. Sesudah itu saya mengucapkan selawat ke atas Junjungan Rasululullah SAW sepuas-puasnya.

Saya capai bawang putih, bawang merah dan mula mengupasnya untuk memasak makanan tengahari. Gadis kecil saya yang ponteng sekolah mampir ingin membantu. Tiba-tiba saya terfikir, mengapa tidak saya berkongsi rasa dengan seseorang. Serta-merta saya teringat kepada kekanda-kekanda dan adinda saya. Sebenarnya ini adalah satu kebiasaan saya untuk ‘bermanja-manja’ dengan mereka. Lalu saya utuskan pesanan ringkas melalui telefon bimbit; ‘Ain sedang temuduga Pusat Tahfiz sekarang. Mohon doa untuknya. Terima kasih.’ Satu permintaan yang ‘urgent’.

Tidak berapa lama kemudian masuk dua pesanan ringkas berturut-turut. Kata kakak sulung, ‘Ya Allah ... mudahkan urusan temuduga Ain n berilah yang terbaik untuknya ... ameen' – saya rasa ‘fuh, leganya.’ Kakak ketiga pula ringkas sahaja tetapi mengesankan, ‘InsyaAllah berjaya.’ Adinda saya belum membalas lagi. Tetapi tentu sudah ada doa untuk Ain darinya. Respon dari kakak-kakak membuatkan saya rasa lapang dan tersenyum. Saya juga yakin semua nenek dan atuk Ain sudah menitipkan doa kepada Allah Taala untuk kejayaannya. Begitu juga onyang yang disayangi, dikasihani dan dirinduinya, sudah mengucapkan harapan yang terbaik buatnya.  Sebenarnya ada ramai yang turut mendoakan Hurilain dan memberi kata-kata perangsang.  Terima kasih buat semua.

* Alhamdulillah, hidup penuh keajaiban sebenarnya.

Tengahari ini, seperti biasa saya menyiapkan bekalan makan tengahari, mengambil Hidayat (Hanessa – sejak akhir-akhir ini selalu enggan ke sekolah dengan alasan orang tak nak kawan dengannya) dari sekolah dan menuju Masjid Seria. Di perkarangan masjid, saya bertembung dengan Hurilain dan abahnya yang baru sudah solat Zuhor. Dari kejauhan, saya lihat gadis saya tersenyum manis sekali. Tak sabar rasanya nak mendengar cerita dia ditemuduga tadi.

Selepas bersalaman dan si abah beredar untuk ke pejabat semula, kami masuk ke ruang solat wanita dan saya mula mengajukan pertanyaan demi pertanyaan. Dan si gadis ini pun bercerita dengan penuh bersemangat. Perkataan pertamanya, “Senang!” Alhamdulillah. Terima kasih wahai Tuhan Sekelian Alam yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tak saya duga perkataan ini yang akan diucapkannya.

Dek risau, saya pesan sungguh-sungguh pada dia pagi tadi tika mahu ke sana – “Ingat, jangan risau kalau lihat ada pelajar yang berkumpulan dan berteman. Ingat, berteman dengan Tuhan lebih baik. Ingat, Tuhan sentiasa lihat kamu dan tak biarkan kamu sendirian. Kalau baca Quran karang jaga tajwid terutama sabdu (sebab saya fikir dia selalu baca tak perhati tanda sabdu). Ingattttt!!! Dan sentiasa berselawat, al-Fatihah dan berdoa.” Anehnya, gadis yang selalunya cepat gabra ini tenang-tenang sahaja. Wah, ini sudah terbalik nampaknya. Tapi tak mengapalah. Janji dia tenang dan yakin diri, yakin kepada bantuan Allah Taala.

Saya rapatkan muka ke wajahnya, merenung dia dan memasang telinga sungguh-sungguh. Dan dia mula bercerita ... selepas diberi nombor giliran, dia dipanggil masuk ke bilik temuduga. Dadanya berdebar kencang, dak duk dak duk dak duk. Terasa hati dan jantung bagai mahu melompat keluar dari rongga dadanya. Dua orang ustazah yang cukup ayu bertudung litup dengan wajah bercahaya sudah sedia menanti. Mereka memberikan senyuman mengalu-alukan kehadirannya. Terpegun dia menatap wajah ustazah hingga tanpa disedari debarannya lenyap sendiri. Dia memberi salam dan mengucup tangan ustazah. Kenudian dia duduk di sebuah meja besar bertentangan dengan mereka. Selepas memperkenalkan diri, dia diminta membuka al-Quran muka surat 14 dan membaca ayat 90 dan sebuah surah yang lain. Kemudian dia ditanya sekiranya ada menghafal sebarang surah. Dia membaca surah Yassin beberapa ayat hingga diminta berhenti. Benarlah jangkaan abahnya tentang temuduga ini. Abahnya kerap kali mengingatkan supaya dia membaiki bacaan surah Yassin..

Kata Hurilain, “Ustazah saling pandang-memandang satu sama lain, angguk-angguk dan catat sesuatu di atas kertas di hadapannya.”

Beberapa soalan lain menyusul seperti ‘full’ tak solat, niat mandi hadas besar dan benar-benarkah berminat belajar di situ.

Ketika dia memberi jawab ‘full’ solat, ustazah memberi senyum sinis. Alhamdulillah, dua waktu (Zuhor dan Asar) wajib bersolat di sekolah manakala solat Maghrib dan Isyak berjemaah di rumah. Tetapi dia mengerutkan kening tatkala mendengar soalan niat mandi wajib. Alahai anak aku ni ... Ustazah tanya lagi, dah uzur ke belum. Geleng kepala. Hmm ... patut la kerut kening tadi. Ustazah tersenyum-senyum. Hurilain tersipu-sipu.

Akhir sekali dia memberitahu ingin mengikut jejak abangnya yang belajar di pusat tahfiz di Malaysia, sebagai dorongan dia memohon belajar di situ. Ustazah angguk-angguk lagi.

Kata Hurilain, respon kedua-dua ustazah itu seperti positif dan meyakinkan. Riak wajah mereka juga seperti agak terkejut apabila dia menyatakan akan membaca surah Yassin tadi. Dia sempat berkenalan dengan Nurul, seorang pelajar yang berasal dari Malaysia juga dan sudah lama menginap di Brunei. Nurul membaca surah tiga Qul dan beberapa surah pendek lain. Dia juga terpandang ahli keluarga Mufti pertama Brunei turut hadir, mungkin menghadiri temuduga seperti mereka juga.

Saya akan terus berdoa dan memohon kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan jawapan yang bakal diterima kelak adalah jawapan yang kami harapkan. Semoga dua tahi lalat manis di dagu kirinya itu menjadi tanda dia sentiasa berbicara perkataan yang baik-baik dan sentiasa membaca kitab yang mulia di bibirnya dan hatinya di sepanjang kehidupan yang sementara ini. Mudah-mudahan dia dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia yang menghafaz dan mempraktikkan isi al Quran di dalam kehidupan. Insya Allah. Ameen.

* Alhamdulillah, hidup penuh keajaiban sebenarnya.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing