Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, October 7, 2010

Kicap putih?

“Mama, nak coklat.” Maksudnya Ferrero Rondnoir.

Saya bangun lagi dari kerusi. Belum sempat panas tempat duduk, sudah berkali-kali saya bangun. Duduk dan bangun. Duduk dan bangun lagi.


“Mama, nak buang air.”

Saya petik suis lampu bilik air. Hanessa meluru masuk sambil berkicau, “Mama tunggu kat sini.” Jarinya lurus menunjuk arah mesin basuh di pintu bilik air. Huh ...

“Mama jangan tipu, bohong dosa. Jangan pergi mana-mana, tunggu sini tau.” Sambungnya lagi. Ishhhh ... tunggu je la kejap.

Saya perhatikan dia sesekali. “Buka paip air tu. Ehem ehem ehem tiga kali. Cuci bersih-bersih.”


Nak jengah ruang masak pun, hmm ... ikan jenahak tu masih keras lagi, sedang defrost atas sinki. Karang je potong bawang.


Hari ni Hurilain keluar dewan peperiksaan lewat sedikit, 11.45am sebab ada tiga kertas ~ BM2, Science 1 dan Science 2. Mudah-mudahan dia dibantu Tuhan menjawab soalan-soalan. Jadi boleh la masak lambat sikit.


Hanessa sudah selesai. Saya betulkan seluar birunya dan serah semula pada dia. Pakai sendiri.

“Mama, nak quaker oat.” Saya ke dapur menyiapkan bubur quaker oat yang diminta.

Saya sedang edit Sakinah, tetapi hampir setiap lima minit atau kurang saya perlu bangun gara-gara si bongsu ini. Pagi tadi dia menangis enggan ke sekolah. Walhal pakaiannya sudah saya tanggalkan, tinggal masuk bilik air dan dimandikan sahaja. Dia mengeraskan badan. Kata abang Hidayatnya ketika mahu melangkah ke sekolah, "Tak pe la mama ... bukan belajar sangat pun dia tu ..." Sporting la cik abang ni, buat keputusan yang memihak pada adiknya. Mentang-mentang prasekolah.


Katanya, “Tak mahu pergi sekolah. Faizah tak kawan Baby ...” Ohh, Faizah lagi. Kenapa tak garang dengan dia, kat rumah boleh garang dengan kakak. Dia mengadu Faizah menampar pipinya. Saya tak pernah lihat Faizah lagi. Benarkah Faizah begitu dominan di dalam kelas? Atau sekadar alasan. Semalam Hidayat kata kawan sepermainannya Rohith tak sekolah kerana demam. Entah-entah ...


Saya letak mangkuk hijau dan sudu bongkok kaca di hadapannya. “Panas tu.” Saya duduk lagi dan edit beberapa baris ayat di bab tiga. Argh, bila nak hantar bab dua kat sifu ni. Jangan tunggu pertanyaan sifu muncul lagi di blog! Sifu yang baik dan penuh dedikasi.


“Mama, nak tuala lap mulut.” Bangun ke dapur. Lampu dapur tidak dinyalakan. Dalam samar saya capai tuala hijau di hujung meja kayu putih bertutup kain kotak-kotak hijau.

Saya perhatikan si bongsu yang sedang menyudu bubur quaker oat ke mulutnya. Selamba dia, sambil mata menatap tv menonton cerita Upin dan Ipin kegemaran. Tulus dan mulus. Belum ada dosa. Bersih hati dan jiwa.


(Tiba-tiba teringat pula pada adik Nurin Jazlin yang pernah menggemparkan seluruh negara dengan kisah yang menyayat hati. Dalam hati ada getaran. Semoga orang yang melakukannya sudah mendapat BALASAN di atas perbuatannya yang di luar batasan kemanusiaan itu. Sehingga hari ini dia masih selamat bersembunyi. Mungkin sebenarnya dia ada di mana-mana, di kalangan kita dengan wajah bertopeng ketenangan.


Berhati-hatilah selalu, wahai rakan taulan semua. Jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Adik Nurin adalah kes luar biasa yang cukup mengesankan diikuti beberapa kes lain. Andai si pelaku terlepas dari hukuman dunia, hukuman akhirat tetap menanti. Bahkan cukuplah hatinya menghukum dan mengutuk perbuatannya sendiri. Andai dia seorang yang tidak waras, oh Tuhan, tahankanlah dia dari melakukannya lagi.)


Ada rantai emas berloket bujur di leher Hanessa. Apakah kerana itu agaknya? Tak tau la, kerana saya tidak membenarkan dia memakai rantai ke sekolah, jadi dia enggan ke sekolah. Kalau tidak rantai akan dilucutkan dari leher.


Sesekali dia meminta saya membuka rantai leher dan menyarung ke lehernya pula. Kanak-kanak pun pandai bergaya, mengerti perhiasan diri. Dia pernah bercerita kawannya memakai dua utas rantai emas halus dan anting-anting emas. Tetapi saya tetap tidak akan membenarkan dia berhias-hias ke sekolah. Pihak sekolah pun tidak menggalakkan, bahkan sudah jelas peraturan tentang barang kemas. Ah, kanak-kanak ...


Saya kembali duduk mengadap laptop yang sudah berusia 6 tahun ini. Tidak ada internet. Koleksi lagu yang sudah jemu didengar ...

“Mama ...” Saya segera menoleh. Dia sedang duduk di penjuru dinding, dengan gaya seorang pemain akrobatik amatur. Sudah bosan agaknya.


“... nak makan nasi.” Mangkuk hijau sudah kosong tapi belum dihantar ke sinki lagi.

“Lauk lum masak lagi.”

“Baby laparrr ...”

“Letak kicap?”

“Okay.” Ish budak ni, asyik lapar je duduk kat rumah. Sebelum quaker oat dan coklat tadi, dia dah minum secawan milo dan tepi-tepi klim karipap segera yang rangup itu.



Saya ke dapur lagi. Senduk nasi panas (mujur nasi masak awal) dan buka kicap baru beli semalam. Saya renjis-renjis kicap Habhal stiker hijau perisa manis ke atas nasi panas berasap tipis. Jari saya menjamah ketulan ikan di dalam besen kecil. Nampaknya ikan masih keras walaupun ketulan paling atas sudah lembut. Tidak direndam dalam air supaya manisnya tidak hilang. Jam 10.30 akan mula masak ikan jenahak masak kari. Fuhhh ... mudah-mudahan sedap. Perut yang diikat dengan niat puasa sunat Syawal bernyanyi pula. InsyaAllah hari keenam. Esok raya, hehe...


Saya letak pula pinggan merah samar berisi nasi panas berkicap di hadapannya. Duduk lagi. Hanessa mula menyuap nasi dengan sudu quaker oat tadi.

“Mama, tak nak la nasik ni.” Hanessa menolak pinggan.

“Napa?”

“Kicap ni rasa pelik.” Saya kerut dahi.

“Kicap biasa yang mama beli tu.” Kicap Habhal stiker warna hijau. Tak payah baca dah tau mesti kicap soya manis. Apa yang lain pulak ni? Huh, dah kenyang la tu. Dulu-dulu mana ada kicap manis. Semua masin. Tapi budak zaman sekarang ni ada banyak pilihan. Pengusaha makanan pun cukup pandai menginovasikan keluaran mereka untuk memenuhi selera pengguna yang tak pernah puas.


Saya bangun lagi (kan betul tak sempat nak memanaskan kerusi!) ke dapur, belek botol kicap. Laa, stiker hijau juga tapi tulisnya kicap lemak masin. Jadi, yang merah tu lemak manis? Nak cari botol lama dah buang pulak semalam. Hmm ... dah selalu tapi sasul juga. Nampaknya macam kena beli kicap lagi. Pastikan tengok stiker dulu. Memang kali ini saya capai sahaja botol kicap tanpa melihat stikernya. Dan kali ini saya tersilap. Apakah pengilang sudah menukar stiker hijau dengan perasa masin dan stiker merah dengan perasa manis tanpa pengetahuan?


Memikirkan tentang kesilapan diri pula. Entah berapa banyak saya melakukan kesilapan tanpa disedari agaknya ... oh Tuhan. Memang sah, terang lagi nyata, jelas dan hakikat kenyataannya bahawa manusia tidak pernah lari dari berbuat kesilapan. Tak banyak sikit mesti ada. Macam orang yang tersasul baca permulaan doa makan semasa tadah tangan untuk doa qunut Subuh. “Allahumma bariklana fiman hadait ...” Nak makan apa dalam solat?


“Mama salah beli la sayang.” Saya mengaku. Hanessa memandang saya. “Mama terbeli kicap masin.”

“Mama tanya la dulu kat orang tu kicap masin ke kicap manis.” Amboi pandainya dia. Sudah ada tanda kemahiran menyelesaikan masalah.

“Selalunya mama beli botol merah ke botol hijau ye?” Ingin mengajak dia berbincang cara orang dewasa.

Hanessa berkerut kening seolah memikir. “Botol putih jugak!” Jujur dan bersahaja dia. Lurus dan yakin diri.


Hahaha ... hihihi ... tapi berhaha hihi dalam hati sahaja. “Ooo ...” sambil menahan tawa. Kalau terbongkar gelak, tentu dia akan menerkam memberikan cakaran anak harimau berkuku kontotnya itu.


Tergambar botol kicap berwarna hitam kesukaan ramai bertukar jadi putih. Kicap apa tu? Tentu tak boleh lagi usik Hurilain kalau botol kicap warna putih. Sebab selalu orang kata makan kicap banyak kulit jadi hitam. Hurilain kan hitam manis, makin dipandang semakin manis. Dan selalu kena kata dengan mulut-mulut jahat di kelasnya.


Saya asyik semula dengan Sakinah. Mata mengerling si anak. Nampaknya nasi berkicap masin itu sudah luak perlahan-lahan. Menonton Barbie pula. Senang hati, tak la membazir.


Tiba-tiba, “Mama, nak kek coklat.” Hah?!!!

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing