Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, October 22, 2010

Askarnya hilang tangan

Salam.
Semenjak add image dah berubah cara, mood untuk meletak sebarang gambar telah terbantut.  Ia mengambil masa yang lama membuatkan rasa jemu dan 'mencuri' kredit B-mobile saya dengan menunggu kosong begitu.  Boleh sahaja muat turun siap-siap gambar kat Picasa Web Albums, pun tidak membantu sangat kerana saya perlu memilih gambar yang bersesuaian.  Tambahan lagi saya tidak sentiasa dapat mengadap blog ini.  Secara tidak langsung, hobi merakam sudut menarik turut menjadi dingin.  Sudah lama saya tidak merakam gambar yang menarik.  Langit Seria pun tidak seindah selalu.  Apatah lagi sehari dua ini turut mendapat tempias jerebu  yang menghalang cahaya matahari dan turut mematikan angin.  Semoga cuaca akan pulih semula seperti biasa.

**
Hidayat sudah dapat menyiapkan permainan cantum pasang dengan bantuan kakaknya.  Kelmarin waktu mereka sepatutnya sudah lena, si kakak masih menekuni sekotak permainan itu dan berjaya menyiapkan binaan kereta dengan sempurna seperti yang tertera di kertas yang disertakan.  Hmm agak mengagumkan juga.  Tak sangka si budak perempuan ini boleh membina kereta itu seperti abangnya juga.  Yang lebih baik lagi, Hidayat mula menghormati kakaknya lebih dari waktu-waktu lepas.  Memang dia gembira sangat.  Binaan kereta tentera berwarna hijau dengan kepingan kecil-kecil itu kelihatan tegap dan sama seperti gambar di kotak.  Tetapi ada lagi kepingan yang masih lerai belum dibina.

Terasa mahu menitik air mata apabila binaan kedua asyik mahu patah di jari-jemari saya.  Memanglah ia BUKAN mainan orang dewasa!  Tetapi saya 'dipaksa' oleh Hidayat untuk membuat binaan kereta yang sebuah lagi.  Dia merengek, mendesak dan hampir menangis kerana mainan itu juga asyik tercabut di tangannya.  Saya cukup malas mendengar rengekan dan desakannya, jadi mahu tak mahu turun tangan mencuba dengan segala kepakaran yang ada.  Tidaklah menitik pun air mata, hanya satu manifestasi betapa geram dan agak tertekan juga.  Si kakak tiada selama dua jam kerana mengaji di masjid berdekatan. 

Tetapi akhirnya dapat juga mengelak diri apabila sampai masa menjemput si kakak dan masuk ke dapur untuk memasak.  Mainan kedua itu sampai saat ini belum menjadi lagi.  Yang baiknya, dia semakin tekun dengan permainan itu.  Bermacam bentuk kereta yang dapat dicipta darinya.  Dia lupa mengajak saya ke perpustakaan untuk bermain games di komputer, dan tidak lagi terintai-intai Rohith yang masih berkurung dalam rumahnya kerana masih kurang sihat.  Kembang hatinya kerana abahnya memuji permainan itu bagus kerana boleh merangsang perkembangan otak.

Waktu ini Hidayat sudah pun lena.  Lena bersama air mata ... Tadi selepas abah membantu dia menyiapkan homework Matematik, dia pun bermain kereta askar yang dipasang oleh kakak malam semalam.  Abah pun menumpang sama, saja nak menyakat sebenarnya.  Tiba-tiba si abah bergurau dengan 'merotan' tiga orang askar yang sedang berdiri tegak di atas kereta askar itu hingga terpelanting ke atas lantai.  Askar yang terpelanting dikutip semula dan dipasang di atas kereta seperti tadi.  Tiba-tiba Hidayat berubah wajah dan mula menangis.  Laa ... rupa-rupanya sebelah tangan satu askar dah tercampak entah ke mana.  Askar itu telah cacat hilang tangan sebelah.  Masing-masing mula tolong mencari termasuk saya juga.  Sedangkan si abah santai sahaja membaca majalah kegemarannya sambil memujuk-mujuk Hidayat dari jauh.  Cepat-cepat si abah menawarkan wang $7 untuk tambang trip sekolah ke Bandar Seri Begawan yang diminta Hidayat semalam untuk menyejukkan hati si anak.  Hmm ...

"Tak apa la, askar tu cacat kena la baring kat stretcher, masuk dalam ambulan askar"  kata si abah.  Makin sedih Hidayat mendengarnya ... 

Siapa sangka tangan askar akan hilang?  Esok mama menyapu nanti mama akan jumpa tangannya dan pasangkan, okay.  Macamana kalau tak jumpa tangannya?  tanya Hidayat lagi.  Dia sudah merancang nak beli permainan baru.  Dia menangis dengan suara tertahan-tahan, takut abah jadi berang.  Kasihan padanya.  Itulah, pujuk pujuk pujuk akhirnya terlelap juga.
**

Tiba-tiba masuk panggilan telefon dari nombor madrasah Naqib.  Terdengar suara anak sulung saya meminta return call.  Rupa-rupanya bungkusan mengandungi kurtanya yang tertinggal semasa bercuti Syawal tempohari sudah sampai.  Sungguh cepat!  Hari Selasa 19hb jam 350pm saya ke pejabat pos dan membuat kiriman pos laju dengan wang setem $20, siang tadi 22hb sudah sampai ke penerimaan Naqib dengan selamat.  Alhamdulillah.  Selain kurtanya, ada dua helai t-shirt dengan gambar Masjid kubah emas untuk kawannya, key chain dan coklat.  Beratnya 2.19 kg.  Lagi katanya, ustaz sudah menetapkan kelasnya boleh menerima panggilan pada hari Jumaat jam 5.40 petang ke atas.  Dia juga baru beberapa hari mula menghafaz juz ke enam (juz 25).  Selepas berpesan-pesan dan menyampaikan khabar keluarga yang terkini, kami memutuskan perbualan.

Seronok hati saya apabila mendengar suara Naqib yang ceria dan tegas bunyinya.  Terbayang kini dia sudah serasi dengan kehidupan di madrasah.  Semoga dia menjadi hafiz yang hebat.  Kisah dia dihantar ke madrasah dengan tajuk 'Selamat Datang ke Madrasah Miftahul Ulum' menjadi entri yang paling popular di blog Naqhuhines.  Kekadang saya rasa bersalah, andai entri ini telah mencuri masa pelayar yang sebenarnya mencari info tentang madrasah tetapi sebaliknya terjumpa kisah budak lelaki  yang kesedihan pula.  Tetapi komen-komen yang muncul dengan doa-doa untuk Naqib adalah doa yang mujarab dan sangat berkesan.  Alhamdulillah dan terima kasih buat anda.

Alhamdulillah, lega rasanya kerana bungkusan selamat sampai ke tangan Naqib.  Saya sudah mula terfikir-fikir hari ulang tahun kelahirannya pada Disember ini, apa hadiah yang boleh kami kirimkan untuknya dan bersesuaian dengan dirinya kini ...  mungkin sesuatu yang dapat membantu dia membaiki hafazan dengan lebih efektif lagi, insyaAllah.  Tentu abahnya sudah ada idea yang lebih baik, kan ...  :)

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing