Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, October 12, 2010

Alhamdulillah, hari ini Selasa 12hb, saya rasa semakin kebah. Walaupun ingin mengelak tetapi malam tadi saya sudah menelan dua biji panadol buat kedua kalinya. Alhamdulillah, seiring dengan masa perlahan-lahan antibodi dalam tubuh sudah kembali gagah melawan segala anasir penyangak penjahat dan perosak sel-sel baik dengan izin Allah SWT. Kahak tebal yang likat pekat berwarna hijau sesekali tersedak di tekak dan perlu dibuang segera. Mungkin mahu minum air perahan limau bersama madu atau gula batu lagi untuk mencairkan kahak itu. Tetapi cukuplah tujuh biji limau sambal, jangan sampai 11 biji macam kelmarin, masam membuatkan saya berkerut-kerut menelan air masam itu. Sendiri buat sendiri la minum. Nak buang, sayang. Jangan membazir. Tak besar mudarat, telan aje la.

Saat ini ada air masin peluh meleleh di pelipis. Tubuh rasa hangat. Tidak buka ekon atau kipas. Mahu tubuh mengeluarkan lebih banyak peluh. Petang semalam sudah bersiap mahu ke pantai Lumut untuk brisk walk tetapi saat akhir usai solat Asar, hujan gerimis turun. Kasihan anak-anak yang hampa. Saya pujuk dengan memberitahu esok (hari ini) akan ke sana, tambahan lagi saya masih kurang sihat sambil terus buat-buat semput terbatuk-batuk.

Si kakak macam selalu sangat cepat menaruh simpati dan menguatkan kata-kata saya dengan, “Dah la tu ... kan mama asthma tu!” kepada Hidayat yang terus merengek. Dia terus melompat ke atas katil membawa novel KCB episod 1 yang sudah berbulan saya beli tapi belum habis baca. Jilid 2 pun ada. Saya sedang kegilaan dengan buku-buku perpustakaan hingga membiarkan buku-buku dibeli tidak dibaca. Ohh ... tak boleh jadi macam ni! Satu sikap yang tidak positif. Kalau si abah tahu, tentu dia BISING. Beli tapi tak baca, buat apa? Ya, saya sudah tidak membeli. Saya hanya pinjam, perbaharui tarikh pinjam, pulangkan dan pinjam lagi. Tetapi kalau ada buku yang saya mahu beli, tentu akan beli juga. Hehe... setakat ini semua masih dalam kawalan. Kawal selagi mampu dikawal.

Untuk menyelamatkan keadaan jangan tambah kalut, saya segera membuka cd Chipmunks. Tak tengok pun tak apa. Tetapi nampaknya umpan saya menjadi. Hidayat mula menyusun kereta kertas spakomnya yang sudah penuh satu kotak kasut itu sepanjang lantai dengan gaya susunan tersendiri dan ada cerita tersendiri juga. Sebuah peperangan antara berbagai kereta dengan pangkat dan jenis masing-masing. Sekejap lagi tentu saya dipanggil untuk mendengar kisah peperangan antara askar baik dan askar jahat serta keajaiban kereta-kereta tertentu yang terlebih kuasa hebat.

Hanessa mengeluarkan tepak, kotak pensel warna dan buku dari beg – mula menulis, melukis dan mewarna. Mata masing-masing mengerling ke tv apabila mendengar suara tiga ekor Chipmunks yang tergedik-gedik itu nyaring menyanyi.

Itu kisah semalam. Sebenarnya saya baru selesai menyapu. Aktiviti yang membuatkan peluh merenik di dahi. Pelik ya! Setiap hari menyapu pun tetap ada butiran pasir dan habuk. Sampah kertas tu lain cerita la. Ni, yang habuk halus-halus ni. Oh ya, kulit kita sendiri sentiasa mengeluarkan kulit baru dan kulit lama akan tanggal. Kelemumur lagi, ohh ... Hmm, patutlah ... Cuba kejap lagi sapu, masih ada juga. Begitu juga kalau mop dua tiga kali, air mop tetap berwarna keruh. Saya salah cara ke atau pencuci lantai itu yang membuatkan air keruh? Erk, melalut.

Saya pula bukan rajin sangat. Hanya kerana ia sudah rutin dan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan. Bukankah Islam mencintai kebersihan ... dan mak saya sangat sangat sangat pembersih. Kalau balik kampung sampai sekarang mak akan ambil pakaian kotor kami sekeluarga untuk dicuci, sekiranya mak ada masa lapang. Hanya sekarang mak terkejar-kejar mengikut abah ke sana ke sini dengan urusan. Tapi mak akan curi masa juga. Tengok sahajalah! Mak pembersih tetapi mak mengaku dia tidak terperinci dalam bab mengemas menyusun. Janji bersih! Tidak ada habuk dan bebas dari kuman. Sebab tu mak suka guna air panas mendidih untuk jirus-jirus apa sahaja.

Oleh itu saya lebih suka ambil sikap sederhana sahaja. Bersih dan kemas seadanya. Pendek kata, tak lah terlalu malas dan tak lah terlalu rajin. Islam juga sukakan kesederhanaan. Itulah saya cuba berbuat. Kalau kawin dengan lelaki Arab, tentu saya goyang kaki dan tangan sahaja. Semua sudah dibereskan oleh pembantu rumah. Si abah pun Arab juga, cuma Arabnya hanya pada perasaan semata. Kalau iyapun sudah terlalu nipis lebih nipis dari kulit bawang yang paling tipis. Hanya tinggal nama sahaja pada bapanya, Mat Arbak sempena huruf keempat dalam Bahasa Arab; arba’a ... jadi Mat Arbak bin Abdul Wahid empat campur satu! Hehe gurau je ..!

Tetapi bukan kisah pembersihnya mak atau kekurangrajinan saya atau perasaan keAraban si abah yang sudah terlebih Jabu atau Buja (Jawa campur Bugis) yang nak didedahkan di sini. Selalu, kerap dan seringkali sebenarnya saya akui inilah hidup di dunia. Penuh habuk dan sampah-sarap. Penuh debu dan kekotoran. Penuh kuman dan bakteria walaupun ada bakteria baik macam dalam Vitagen tu. Sambil-sambil menyapu dan mengemop, saya memikirkan ini. Dan ...

Bagaimana agaknya kehidupan di syurga sana?

Mungkin berhabuk juga. Debu dan pasir juga. Sebab ada sungai dan lautan. Tetapi debu dan habuknya tidak mengotorkan. Bahkan semakin menambah indah kejadian. Kalau kediaman yang dikhabarkan adalah mutiara yang lompang, maka habuknya pun mutiara. Kalau istana dari permata yakut marjan, maka debunya adalah butiran halus permata merah juga. Berterbangan bersama angin syurga yang sepoi mengharum, yang apabila menerpa wajah semakin menambah seri paras ahli syurga. Dan kulit ahli syurga yang dari segala bahan yang wangi harum semerbak itu, tentulah habuk debunya juga sedemikian. Maha Hebat Allah yang Maha Pencipta dan Memberi Ganjaran sebaik-baiknya kepada hamba-hambaNya yang mendapat kebaikan!!!

Tatkala satu pagi saya termengah-mengah berlari-lari anak membawa kaki yang dirasakan semakin berat, saya terpana oleh kilauan pasir pantai yang dipanah matahari pagi. Begitu indah, seolah-olah pasir-pasir itu adalah pecahan batu-batu permata yang berserakan berkilau-kilauan. Itulah munculnya istilah di fikiran ~ pantai Firdaus. Lalu cuba pula membayang-bayangkan persisiran sungai syurga Firdaus. Sungai arak yang tidak memabukkan, sungai susu yang seputih salju dan sungai madu yang manis tidak memuakkan.

Ini hanyalah satu imaginasi ringan yang tentu tidak dapat sama sekali menggambarkan suasana syurga yang dirahsiakan oleh Allah dari segala pancaindera manusia ~ tidak dapat digambarkan oleh fikiran, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah dihidu oleh hidung dan tidak pernah dijengah oleh sesiapa melainkan Baginda Rasulullah SAW ketika Israk Mikraj perjalanan yang penuh keajaiban itu (dan kalangan hambaNya yang dikehendaki olehNya).

“Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia) ~ yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak). Mereka itulah orang-orang yag didampingkan (di sisi Allah), (tinggal menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat. (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia terdahulu. Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata. Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.

Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka ~ dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tidak pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan : “Selamat! Selamat!” (dari satu kepada yang lain.)”

Sekadar mengambil beberapa detik membayangkan hari yang kekal dari sudut ini. Hari-hari memikirkan hal dunia ~ dari celik mata hingga nak tidur balik malam. Hari-hari pula tetap perlu menyapu rumah walaupun kadang-kadang sahaja mengemop, dan terbayang-bayang persisiran tebing sungai di syurga... Bagaimana pula dengan NERAKA dan segala KHAZANAH SIKSAAN di sana? Allahumma ajirna minannarrrr .... sekali kita mengucapkan doa ini maka sekali neraka akan menjawab memohon kepada Allah semoga kita diselamatkan darinya... Ya Allah, selamatkan kami dari api neraka! Ameen.

1 comment:

kmieja said...

salamssss:)

semoga cepat sihat:)take care yer...

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing