Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, September 17, 2010

Rengsa


Pagi Jumaat ini 17 September 2010 saya menghabiskan helaian terakhir Rengsa. Bab 45 yang sengaja saya simpan untuk pagi ini. Dua bab sebelum sudah saya baca malam tadi, ketika terjaga jam 1, sesudah solat sunat. Sengaja saya bertangguh. Seperti sayang mahu menyudahkan. Saya sudah meneka nasib Budin. Kasihan anak yatim piatu ini. Tercapai jua hasratnya, terurai juga rindunya pada ibu dan ayah. Pemergian yang tragis. Tentu Pak Ngah Kassim terkesima dan meratap. Shima menangis. Pak Long Wahid terpaku ralat. Imam Osman, Cikgu Anuar, Tuk Penghulu Leman; semua orang yang kenal Budin. Rubiah ... tentu menangis lagi selepas tangisan untuk arwah Akob, abangnya.

Kasihan Mazlan. Tidak kesampaian hajat Budin mahu menyerahkan air doa yang sudah mengalir bersama air sungai ke kuala. Bermakna Mazlan akan terus begitu, menyeru nama Nek Miah. Dia belum diizinkan sembuh. Mungkin sebagai kifarah dosa. Namun dosanya kepada Budin sudah dimaafkan. Budin sudah tidak berdendam lagi.

750 muka surat. Penerbitan Tintarona Publications Sdn. Bhd, terbitan pertama 2006.  Gambar kulit buku yang memancing tanda tanya, sebiji mata dengan bayang anak muda yang sedang terbeliak memandang sesuatu.

Semasa mencari buku di rak perpustakaan Pandan 5 September lepas, saya terpandang novel tebal ini. Saya tertarik kepada tajuknya. Sefaham saya, rengsa bermakna penat, letih, rimas, radang dan tidak tenang. Biasanya agak ngeri dengan novel tebal-tebal. Selalu memaksa diri untuk menyudahkan. Ternyata Rengsa ada kelainan. Hanya apabila diri terlalu letih (letih beraya) dan mata pegun, menjadi lembab memproses ayat yang dibaca, barulah Rengsa saya ketepikan dengan agak berat hati. Tentu sekejap lagi ia hilang dari sisi. Tapi tak sampai hati hendak menyorokkan Rengsa.

Dalam pada itu, Rengsa menemani saya semenjak itu dan sepanjang musim raya sehingga saya masuk bersalaman dengan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman, Rengsa berada di dalam tas tangan. Ada juga teman tak dikenali sama membaca di ruang menunggu, saya jeling buku tanpa memandang empunya diri yang duduk selang tiga kerusi; Nancy Drew. Mungkin remaja.


lampu hiasan di siling dewan menunggu ke ruang dalam istana Nurul Iman

Pendek kata seolah-olah Budin sama beraya bersama saya.

Semenjak bab satu, saya sudah memancing abah Hidayat dengan novel ini. Sengaja saya war warkan lokasi Gemereh dan Kampung Lubuk Batu. Nampaknya taktik saya menjadi. Anak Johor berdarah Bugis campur Jawa ini tiba-tiba seperti kuat semangat kenegeriannya. Dia mula menyelak-nyelak semasa berehat di atas katil. Dia memang tahu sangat daerah kelahirannya, Segamat. Ini novel kedua yang dibacanya yang mengangkat kisah di Segamat selepas novel Saga.


Saya tak nafikan. Laluan Segamat-Muar adalah laluan saya saban hari semasa bersekolah di Convent, kemudian di STS. Bas Khamis (pemandunya bernama Khamis) yang penuh sesak tetapi saya sudah diperuntukkan sebuah kerusi khas. Kaki menjejak sahaja tangga pertama, akan berkumandang lagu popular waktu itu, “Intanku Kesepian”. Adik angkat punya kerja. Masih terbayang wajah pakcik kurus yang berwajah sendu memakai pakaian wanita, berjalan penuh gaya tersendiri di dalam dunianya yang misteri di laluan Gemereh.

Kembali kepada Rengsa, akhirnya saya terpaksa berebut dengan suami sendiri. Dengan Rengsa dia alah. Kalau sebelum ini abah Hidayat merungut kurang senang melihat saya membawa buku ke mana pergi. Kali ini dia mengingatkan saya supaya tidak meninggalkan Rengsa di rumah. Tentu saya berlapang dada, ruang untuk Rengsa ada di dalam tas tangan.


Berhenti seketika memandu, dia mencuri baca. Di tepi pantai menemani anak-anak mandi, dia leka dengan Rengsa sehingga matahari hampir terbenam di hujung lautan menebarkan lembayung merah. Kalau tidak, tentu dia sudah berang menggesa anak-anak keluar dari air. Nampaknya dia sudah tenggelam di dalam dunia Budin yang penuh kerengsaan.


Akhirnya abah Hidayat menyudahkan Rengsa. Saya masih terkial-kial dengan rutin. Naqib pula merayu kebenaran untuk menyelesaikan bacaan kerana lusanya dia akan kembali ke Semenanjung. Dalam pada itu, Hurin mula tertarik untuk menatap Rengsa. Dia mendengar kami bertiga berbicara tentang Budin dan orang tua berjubah putih. Namun dia agak kaget kerana novel terlalu tebal buatnya. Apa pun, sekarang ini saya sudah menyelesaikan dan sudah memperbaharui tarikh pemulangan untuk Hurin pula. Ah, budak ini mengulangkaji bahasa Melayu dengan Rengsa nampaknya. Tak mengapalah, mudah-mudahan subjek Bahasa Melayu dapat A dalam PSR nanti (dalam MOCK II lepas, Hurin satu-satu yang dapat A untuk BM di sekolahnya).

Kami saling bertanya, apa yang menarik sangat Rengsa ni?

Hmm, yang pasti terasa dekat kerana saya dan abah Hidayat tahu kawasan Budin tinggal.  Naqib pula kata ada lucu, saspen, sedih dan pengetahuan. (Dia tidak dapat menyudahkan Vamphra dulu kerana katanya bahasa terlalu tinggi. Hanya saya dan abahnya yang membaca buku ini.) Bermakna Budin berjaya menarik hati kami berempat (Hurin baru mula baca - tak ada komen tapi banyak tanya) sekali gus.  Saya suka kerana ada pengisian berbentuk rohani. Menjadikan watak benar-benar berjiwa Melayu Islam. Pembaca tidak tenggelam kosong. Ada kepuasan. Cerita dan watak begitu hidup. Terasa hampir dan dekat. Tambahan pula ada sesuatu yang kami dapat tahu dan boleh digunakan.
khusyuk

Masalahnya, benarkah watak Budin wujud? Siapa pula lelaki berjubah putih yang hadir dengan bau harum serta menggentel tasbih klasik itu? Abah Hidayat dan anaknya sepakat mengatakan itu adalah watak Junjungan SAW. Saya kata, bukan. Mereka nyatakan dialog imbas kembali di bab 45, “Tidak ada fitnah yang lebih besar selepas peninggalanku melainkan wanita; belum masanya kau menggali tentang rahsia ...” tapi saya tak fikir begitu.
hampir selesai

Siap saya semak semula di bab-bab awal mencari pertemuan Budin dengan lelaki berjubah putih dan menemui pesanan orang tua itu di halaman 205 – “Ingatlah sabda penghulu kita Muhammad SAW ‘tiada fitnah yang lebih besar sepeninggalanku melainkan wanita’, waspadalah,” ujar orang tua itu lagi.

Entahlah, hanya penulisnya yang tahu. Atau mungkin dia menyerahkan kepada pembaca untuk membuat tafsiran sendiri. Walau apapun, saya merasa puas di sepanjang perjalanan cerita Budin. Ayat yang mudah tidak bombastik, penjelasan situasi yang terang dan gejolak jiwa yang cukup menyentuh perasaan. Ringkasnya benar-benar ayat orang Johor. Saya rasa cukup serasi dengan lenggok bahasanya.

Kali ini saya tidak lagi jengkel dengan kata-kata perli abah Hidayat. Beberapa ketika yang lepas, dia sangat suka menyindir saya dengan istilah ‘Bahasa Melayu Tinggi’, ada puncanya. Saya setuju memang orang Johor menggunakan bahasa Melayu Tinggi sehari-hari, hanya ada loghat daerah yang sedikit berbeza. Kalau sebelum Rengsa, saya diam tidak menyahut sindiran abah Hidayat. Sesudah Rengsa, saya merasa bangga dengan kata-kata sinisnya. Saya rasa istimewa pula, leluhur Negeri Sembilan tetapi dibesarkan di Johor Darul Takzim.

Simpati, takjub dan sayang kepada Budin. Kagum dan hormat kepada Imam Osman. Benci menyampah kepada Mazlan, Pawang Junos, Akob, Mat Nor dan Kassim. Masing-masing yang berhati busuk kepada anak yatim akhirnya mendapat balasan setimpal.

Saya betulkan sendiri di minda mana-mana typing error. Tak kesah, jalan cerita sudah cukup bagus. Bangga kerana lokasi tempat saya lalu lalang diangkat di dalam novel ini. Abah Hidayat kata cerita ini sangat menarik untuk didramakan atau difilemkan. Tapi saya kurang setuju. Bolehkah drama atau filem mengangkat cerita ini sebaik novel? Bimbang jalan cerita bertukar, sesuai dengan cita rasa penerbit dan penonton sekarang, mungkin Rubiah akan menjadi watak utama. Ini sekadar fikiran cetek saya.

Semalam di perpustakaan Pandan yang tenang, saya mencari karya lain penulis Rengsa. Tak ada. Ini membuatkan saya merungut sendiri. Walau apapun, saya gembira kerana berkesempatan meninggalkan kesan kehadiran di blog penulis, dan bertambah gembira beliau sudi menjenguk blog Naqhuhines. Ini di luar jangkaan saya. Satu-satunya penulis novel yang membuatkan saya rasa dihargai, dan satu-satunya novel terkini dalam senarai saya yang paling hebat mengatasi novel-novel yang lepas. Saya, suami, Naqib dan Hurin sama-sama setuju dengan kehebatan novel ini. Hanya kami ini bukan para pembedah buku profesional.

Bacalah Rengsa dan nikmati sendiri kisah yang diangkat tentang Budin. Budak bodoh-bodoh alang yang gagap lagi yatim piatu angkara kebejatan nafsu manusia yang menghantar santau kepada ibu dan bapanya di satu malam yang menakutkan. Serba kekurangan dan daif, tetapi sepertinya menduduki darjat yang istimewa di sisi Allah Taala. Bahawa setiap doa dan harapan pasti dikabulkan oleh-Nya. Usah berputus asa menjalani kehidupan yang penuh pancaroba. Setiap permulaan pasti ada kesudahan. Setiap derita pasti ada bahagia. Dekati alam dan belajar dari alam. Juga usah menyakiti anak yatim. Doa orang yang teraniaya amat mustajab, terus naik ke langit tertinggi tanpa halangan.

Kepulangan anakanda sulung Naqib untuk kembali ke madrasahnya, sangat membuatkan saya rasa kehilangan.  Namun Budin membuatkan saya ralit dan terhibur.  Semasa Budin menyeret selipar yang tebal dengan tanah merah melekat, saya juga rasa payah hendak menyeret selipar saya yang sama tebal bertempek tanah kubur yang basah.  Tatkala Budin duduk termangu di tangga rumah, saya pula terpandang dua lembaga berkelubung putih yang sedang tersenyum manis kepada Budin.  Budin ... Budin ...  Saya juga sama meneguk air perigi yang tawar sedikit kelat. 

Tahniah buat penulis Rengsa – saudara Zharulnizam Shah Z.A. Semoga terus menghasilkan novel-novel yang bermutu di masa hadapan. Selamat berkenalan di medan seni. Terima kasih atas kunjungan.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing