Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, September 3, 2010

cuti sekolah dan tali pinggang.

Cuti sekolah untuk hari raya sudah bermula, hampir 20 hari.
Semalam, Khamis 2 Ogos 2010, hari terakhir Hurin bersekolah. Juga hari terakhir peperiksaan MOCK II, kertas Science. Wajahnya berseri tatkala datang ke kereta. “Ma, Cikgu Syamri bagi duit raya,” katanya dengan nada girang sambil menunjukkan sekeping sampul duit berwarna hijau.
”Dah dapat angpow..!?” sahut saya, teruja. “Bukak la, berapa?”
Hurin meneliti sampul duit itu dan membuka dengan hati-hati. “Wow, lima ringgit!” sorak Hurin riang. Matanya terus terpaku ke dalam sarung itu. Perlahan-lahan Hurin menarik sekeping wang kertas Brunei berwarna hijau.
“Alhamdulillah, wang raya pertama.”
Cikgu itu telah mengagihkan wang raya kepada semua pelajar darjah 6 A, B dan C, ramai juga tu. Hampir 60 orang. Mereka berkumpul di dewan untuk MOCK II.
Saya seperti dapat melihat betapa seronoknya pelajar-pelajar itu mendapat kejutan tatkala cikgu menghulurkan sampul-sampul duit. Dan saya seperti dapat merasai kepuasan dan kegirangan hati Cikgu Syamri sendiri.
Ya, menggembirakan hati seseorang, kita akan turut mendapat tempias hati yang riang itu. Saling memberi dan menerima, adalah anjuran ugama. Termasuk senarai moral yang baik. Ia menimbulkan kasih-sayang dan mengeratkan ukhwah. Diutamakan orang yang hampir dengan kita, kaum keluarga dan sanak-saudara sebelum melangkaui yang lainnya. Bersedekah! Tidak heboh. Sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan sebelah lagi. Maknanya, dengan hati yang ikhlas. Tidak ada udang sebalik batu.
Sekiranya ada hajat pula, bersedekahlah juga. Amat mujarab dan cepat hajat kita ditunaikan oleh yang Maha Mengabulkan Permintaan. Ikhlas, tidak semestinya nilai yang besar.
Beberapa kali saya melihat anak-anak saya yang masih kecil dihulurkan wang satu ringgit oleh seseorang, tiba-tiba. Kami sedang makan di kedai, salah-satu peristiwa itu. Mungkin pak cik perkenan pada anak-anak yang duduk baik-baik itu. Pak cik mengusap-usap kepala anak-anak. Apakah dia teringat dan rindu pada cucu-cucunya.. Kami rasa gembira. Baiknya hati pak cik itu. Lalu saling mengucapkan ucapan terima kasih, mewakili anak-anak yang sedikit terkejut berhati senang.
Mungkin pak cik yang berwajah redup tapi riang ramah itu memang mengamalkan budaya bersedekah.
Masih tak hilang nakal, saya minta lagi satu ringgit untuk anak perempuan saya yang terkulat-kulat, yang agak jauh dari abang dan adiknya. Pak cik itu berhenti, melihat ke arah gadis kecil saya dan mengeluarkan sekeping lagi wang kertas. He he he... Dia senyum.
Memberi anak-anak kecil seronok kerana mereka tak pandai menilai kecil besarnya wang itu. Yang pasti mereka gembira menerima. Menggembirakan anak-anak kecil, kita juga rasa gembira.
Gembira, sihat dan awet muda. Bersedekahlah selalu dan usaplah kepala anak-anak.

Cuti sekolah, bermakna Hurin, Hidayat dan Hanessa berkumpul di rumah sepanjang masa. Yang paling nakal, tentunya si rambut halus lembut tegak-tegak, yang matanya sepet-sepet sedikit dan satu-satunya anak lelaki bersama kami. Sekarang, saya mengucapkan kata-kata amaran dengan nada keras dan paling tegas. “Jangan cetuskan pergaduhan.” Saya menekan nada supaya mereka tahu, saya serius dan mesti mengambil perhatian besar kepada amaran ini. “Cuti dua minggu ni, hati-hati. Jangan sampai salah satu hari itu atau beberapa hari kamu terpaksa menerima hukuman,” saya menegaskan lagi. Masing-masing diam. Mungkin memamah kata-kata saya.
“Dengar tak?”
“Dengarrrr...”
Sehelai tali pinggang hitam selebar hampir tiga jari digantung di tengah-tengah pintu bilik. Biar cukup ketara dan cepat dilihat. Itu sindiran dan amaran. Siapa mahu menempah, silakan. Siapa tak mahu, ‘jangan cetuskan pergaduhan’.
“Kalau kakak kacau Hidayat, kakak kena, kan mama?” kata si nakal ini. Sengih-sengih, nakal sungguh tapi bijak sebenarnya. Dia lebih keras watak berbanding si sulung kami yang lembut dan berhati-hati memberi respon. (Tetapi jangan mencabar sampai over limit. Kalau dah marah, teruk si adik dikerjakan juga).
“Ya, kalau kamu yang mula dulu, kamu kena.”
“Tapi kalau kakak mula dulu, kakak kena kan mama.” Dia tanya lagi, sama. Tak puas hati.
“Siapa pun yang mulakan, dua-dua akan kena.” Ini lebih mudah. Anda tahu siapa yang salah sebenarnya dan siapa yang dipersalahkan? Masing-masing tak akan mengalah. Ini biasanya kerenah di tahap paling hyper. Mungkin sudah penat, mengantuk, lapar mencucuk-cucuk dan bosan. Tentu ada sahaja kerenah yang boleh mencabar keseimbangan fikiran.
Biasanya berkesan. Masing-masing lebih waspada. Orang yang bersalah ialah yang mencetuskan perbalahan dengan membesar-besarkan isu kecil. Juga orang yang tak pandai hendak mengalah dan membezakan hal besar dengan hal kecil. Ya, kamu tak salah pun akan kena. Kamu nakal dah tentu kena. Jadi, mengalah. Susah nak mengalah sebab geram sangat? Okay, buat hal sendiri-sendiri.
Ah, sebenarnya hidup memang saling berhubungan dan memerlukan. Setakat mana tahan buat hal sendiri-sendiri. Setakat mana tali pinggang hitam itu boleh menyindir. Setakat mana boleh mengalah buat-buat tak faham kerenah.
Anak-anak ... tak mengapalah selagi ada usaha hendak mengalah walau kadang-kadang hilang sedikit kawalan diri. Kita semua belajar membaiki diri, dan sentiasa belajar. Semoga Allah mempermudahkan kita.
Tak sabar menanti Along datang. Lagi tiga hari. Isnin ni akan ke airport menanti dia. Terbayang-bayang susuk Along yang gempal dan gigi Along yang besar-besar, gigi kapak atau gigi arnab tu. Along ... Along ... Along ... kami semua rindu pada Along. Juga pada semua keluarga, wan dan atuk, onyang dan semuaaaaa.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing