Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, September 22, 2010

Azam Farid al-hafiz

Azam Farid

Novel motivasi remaja ini dipinjam oleh Hurin, sama tarikh dengan peminjaman Rengsa awal September dulu. Terbitan PTS One Sdn Bhd, cetakan pertama pada 2005.

Inti cerita yang menarik tentang Farid bermula dari kisah dia masuk ke pusat tahfiz hingga akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi untuk menggenggam segulung ijazah.

Penceritaannya laju, seperti kebanyakan novel-novel PTS yang lain yang pernah saya baca. Tempoh jalan cerita juga panjang. Kisah Farid anak bongsu yang manja dari 4 beradik bermula pada usianya 12 tahun, berakhir sekitar umurnya 20 tahun.

Novel yang sederhana tebal 228 muka surat ini mengandungi semua peristiwa penting sepanjang lebih kurang 8 tahun hidup Farid. Apa yang ditekankan ialah cabaran hidup apabila seseorang itu melangkah mengikut lorong para huffaz.

Farid datang dari keluarga agak berada telah menjadi anak yatim piatu dalam usia belasan tahun apabila ayah dan ibunya meninggal dunia dalam sela masa yang tidak lama. Kemudian abang sulungnya turut meninggalkannya kerana penyakit hati yang tidak dapat dirawat lagi.

Namun Farid amat bertuah memiliki seorang kakak yang penyayang. Ustaz Baharin, abang iparnya yang juga gurunya ketika di madrasah pertama dulu juga sangat prihatin dan mengambil berat tentang diri Farid. Fauziah dan Ustaz Baharin tidak jemu-jemu memberi galakan dan bimbingan kepada Farid.

Dalam keadaan berduka yang masih belum hilang dan setelah hampir 6 tahun melalui kehidupan di madrasah, tibalah masanya Farid melalui ujian hafalan yang sangat penting dan amat mencabar. Jadual harian Farid semakin padat. Farid tekun melalui rutin bermula jam 4.30 pagi untuk melakukan solat-solat sunat bagi memohon bantuan Allah Taala. Kakak dan abang iparnya juga turut memberikan nasihat dan kata-kata semangat untuk menguatkan jiwanya.

Akhirnya Farid berjaya menyelesaikan bacaan 30 juzuk al Quran dalam sehari dengan melakukan dua kesilapan sahaja. Bacaan bermula sesudah solat Subuh sehingga hampir jam 11 malam dengan dipantau oleh tiga orang ustaz jemputan. Ini bermakna Farid dapat melakukan syahadah dengan cemerlang. Bacaan 30 juzuk dalam sehari hanya dicadangkan oleh ustaz kepada pelajar yang layak sahaja. Akhirnya Farid bergelar hafiz.

Kemudian Farid mengambil SPM persendirian tanpa sijil PMR. Untuk itu, Farid perlu menunggu setahun lagi untuk memenuhi syarat berumur 19 tahun pada Januari tahun dia mengambil peperiksaan. Sementara itu, Farid mengikuti kursus jangka pendek pemasangan komputer dan berjaya dengan cemerlang. Dia juga berusaha mengambil kelas tambahan di tempat tusyen. Akhirnya Farid menjalani peperiksaan SPM dan berjaya dengan kelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke IPT.

Kakaknya Fauziah sentiasa memastikan Farid mendapat kedua-dua ilmu dunia dan akhirat. Sementara menunggu panggilan ke mana-mana IPT, Farid mengambil kursus intensif Bahasa Inggeris di British Council, Kuala Lumpur. Kelas bermula jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari selama dua minggu.

Selesai kursus bahasa, Farid menjadi guru Quran buat sementara. Kemudian Farid mencuba peluang sebagai penyelia projek pula di tapak pembinaan. Farid merasa penat dan pekerjaannya cukup meletihkan tetapi dia tetap menguatkan semangatnya. Dia merasa malu untuk menyusahkan kakak dan abang iparnya lagi. Ingatan kepada ayah dan ibunya yang telah pergi sentiasa dijadikan penguat semangat di masa dia merasa lelah.

Akhirnya Farid dapat membayar yuran pengajian pada hari pendaftaran menggunakan wang yang dikumpulkan dari hasil titik peluhnya sendiri. Bermulalah perjuangan Farid menimba ilmu dunia pula.

Novel ini tidak selesai di sini sahaja. Penulisnya, Ida Rizyani Tahir dan Nuriazam Ismail, menyambung dengan semangat niaga yang mula tumbuh di dalam diri Farid semasa di IPT. Tanpa ibu dan ayah, Farid perlu mencari sumber kewangan sendiri untuk menampung yuran dan perbelanjaan hariannya. Di bab-bab terakhir, diceritakan Farid berjualan makanan segera dan nasi lemak panas di waktu malam. Muncul aduan berbau fitnah terhadap Farid sehingga dia terpaksa menutup jualan.

Seterusnya Farid mengajukan permasalahannya kepada Dr. Firdaus, ketua jabatan Fakulti Pengajian Islam yang amat prihatin kepada para pelajar beliau. Dr. Firdaus kemudian menawarkan pekerjaan sambilan kepada Farid sekali gus mengurangkan beban kewangan yang sedang ditanggung oleh Farid. Akhir sekali, Farid merancang bersama kawannya untuk mengedarkan kerepek-kerepek yang diambil dari pembekal kepada koperasi kolej dan kedai-kedai runcit sekitar.

Apa yang menariknya, terdapat petua atau teknik tertentu menghafaz al Quran yang disertakan di dalam novel ini. Juga kisah rakan-rakan Farid yang datang dari keluarga miskin dan tidak mendapat sokongan keluarga untuk mengikuti pengajian di madrasah tahfiz. Malah ada yang memiliki sehelai jubah sahaja dan terpaksa mencari pekerjaan sambilan di dapur madrasah untuk mendapatkan wang buat membayar yuran sendiri.

‘Hanyalah kepada Allah tempat mengadu dan Dialah tempat meminta pertolongan.’

Kisah sedih rakan-rakan Farid membuatkannya terkejut dan menambah motivasi ke dalam diri untuk terus berusaha. Setiap insan tidak sama ujian yang ditetapkan iaitu bergantung kepada kemampuan empunya diri. Dan itu semua hanya Allah Taala yang Maha Mengetahui. Namun usahlah merasa bimbang, kerana ujian yang diberikan tidak akan melebihi kemampuan yang ada pada diri kita. Selebihnya berdoa dan terus berusaha serta bertawakal kepada-Nya.

Sabda Rasullullah SAW, “Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar al Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)

Semasa M.Naqib datang kelmarin, saya ada menyuruh dia membaca novel ini. Entah bila dia membacanya tidak nampak di mata saya. Tetapi ketika saya bertanya lagi di petang sehari sebelum dia pulang ke Semenanjung, dia mengatakan sudah lama selesai membacanya. Mungkin waktu saya dan abahnya sibuk membuat persiapan membakar lemang di malam raya itu. Semoga dia mendapat sedikit ilham dari kisah Farid.


Kepada anda di luar sana yang masih tertanya-tanya tentang kehidupan pelajar di madrasah tahfiz, bolehlah membaca kisah Farid ini. Ia memberi gambaran umum tentang mereka dan hidup seharian bergelumang dengan rutin yang berbeza dari pelajar lain. Ia sebuah kehidupan yang tenang; diselubungi cahaya al Quran yang sentiasa basah di lidah pelajar hafiz. Para pembimbing (ustaz-ustaz) yang tegas untuk mendisiplinkan pelajar demi memastikan mereka mencapai tahap keperibadian hafiz yang berkualiti rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Masih ada kerengsaan tetapi jauh berbeza dengan kerengsaan si Budin. Namun tunggaknya tetap satu, iaitu Allah Taala yang Maha Pencipta dan Maha Pengasih.

Bacalah, dan buat komentar anda sendiri. Selamat menyelami kehidupan Farid al-hafiz bin Lokman ini. Penceritaan yang mudah tetapi kisah yang mengesankan.


~ Terfikir pula tentang Budin. Kalau Budin sempat diselamatkan (kenapa tidak? Dia sentiasa berselubung dengan keajaiban), membesar menjadi insan berhemah berkeperibadian tinggi dengan pelbagai ilmu bantu anugerah Tuhan, tentu dia adalah seorang manusia yang hebat. ~

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing