Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, August 12, 2010

Tahap Kritikal

  Bulu matanya lentik seperti anak bulan..


Dia berasal dari India.  Ketika ibunya bertanya kelas tusyen Bahasa Melayu, saya pun menawarkan diri.  Sudah masuk bulan kedua dan dia sudah sampai ke buku 6.  Saya cerewet tetapi dia tidak mengulangkaji di rumah.  Ibunya pun tidak fasih Bahasa Melayu.  Hanya angguk dan geleng yang lebih.  Maka 'tahu' menjadi 'tahi'.  Kadangkala saya tidak dapat menahan diri tergelak kuat mendengar dia menyebut perkataan yang salah.  Tetapi cepat-cepat saya berhenti kerana amatlah tidak baik mengetawakan murid saya yang comel ini.  Biasanya saya serius sahaja dan saya agak dia merasa sedikit gerun.  Cuma Hurin suka membuat aksi lucu yang menyebabkan dia tertahan-tahan ketawa.

Sejak akhir-akhir ini saya lihat tulisan berangkai yang cantik istilah BI di atas beberapa perkataan. Saya mengerti sendiri tentu Rohidh tidak memahami apa  yang dibacanya selama ini, jadi ibunya telah menuliskan makna perkataan itu untuknya.  Saya pun sejak itu cuba menerangkan makna-makna perkataan dengan menggunakan Bahasa Inggeris, memek muka, aksi atau suara yang boleh membuatkan dia faham.  Rohidh selalu mengangguk-angguk, mengulang semula perkataan saya perlahan dan ketawa melihat aksi saya berlakon-lakon. 

Kadang-kadang saya agak putus asa kerana dia tidak begitu mahir Bahasa Inggeris.  Tetapi daripada tak faham langsung, sekurang-kurangnya puas hati juga melihat dia ketawa dan macam faham. 

Kini sudah ada tiga pelajar kritikal, iaitu Hurin, Rohidh dan saya sendiri. 

Hurin perlu menggandakan usaha untuk menyaingi kawan-kawannya di sekolah.  Nampaknya ada peningkatan dalam subjek bacaan seperti Sejarah.  Bahasa Melayu masih skor.  Matematik dan lain-lain kurang memuaskan.  Memang kritikal, PSR akan bermula selepas riang ria hari raya, iaitu 4 Oktober nanti.

Rohidh juga perlu menggandakan usaha untuk menguasai Bahasa Melayu.  Namun kesnya tidak terlalu kritikal.  Dia ada banyak masa untuk membaiki penguasaannya.  Cuma dia kenalah banyak membaca dan menyemak perkataan di kamus bergambar.

Saya pula? 
Ohh.. saya memang di tahap serius lagi kritikal.  Apa tidaknya... setelah ke sana ke sini terlonta-lonta, barulah saya sedar saya menyukai Sastera.  Tatkala meneliti tajuk-tajuk buku di rak, saya teruja melihat buku-buku rujukan aliran Sastera untuk PMR, SPM dan STPM.  Saya beli untuk rujukan sendiri sebuah buku peribahasa yang agak lengkap untuk pelajar SPM.  Apa yang pernah dipelajari waktu sekolah dulu tentulah tidak cukup untuk melengkapi penulisan.  Saya hanya menyedari ini tatkala saya sudah beranak 4, setelah saya mendaki usia dewasa. 

Itulah yang pelik lagi menghairankan.  Waktu sekolah dulu, saya dimomokkan dengan pandangan aliran Sastera untuk pelajar kurang berpotensi atau kurang pintar.  Kini saya rasa ia adalah sesuatu yang jauh dari benar. 

Saya mencintai Bahasa Melayu.  Hingga saya berangan-angan satu ketika nanti bahasa ini akan muncul lagi menjadi bahasa antarabangsa.  Orang bermata sepet berkulit kuning, orang tinggi besar berkulit putih, orang berhidung mancung berambut perang, orang berambut ikal bermata jeli; mereka semua berbicara menggunakan Bahasa Melayu!

Terlalu banyak yang saya tidak tahu tentang Sastera.  Jadi, memang saya pelajar kritikal di tahap kritikal dan perlu mengganda-gandakan usaha untuk memasuki kelompok orang-orang Sastera. 

Dan saya sedang memulai langkah awal.  Kini, beberapa ketika kebelakangan (baru sahaja), saya mula asyik membaca.  Saya pinjam buku-buku dan novel-novel yang memenangi hadiah.  Barulah saya menyedari, ada banyak yang saya tidak ketahui.  Terasa begitu kerugian membiarkan bertahun-tahun berlalu tanpa buku, atau tidak dapat menghayati pembacaan.

Kini saya di tahap kehidupan yang agak tenang.  Si kecil sudah 5 tahun.  Kami perlu menggalakkan mereka membaca sebagai jambatan ilmu.  Namun dalam ketenangan ada semangat dan kegusaran juga. 

Mungkin perlu meneroka fikiran bawah sedar.  Apakah yang telah dirancang oleh diri tanpa sedar?  Andai ia merugikan diri, perlu dibaiki dan ditanam azam-azam baru yang membawa kebaikan.  Usah takut mengejar kejayaan.  Usah ngeri mendaki puncak. 

Sempena Ramadan yang mulia penuh berkah.  Marilah bersama mengorak langkah.  Mencapai cita-cita dan impian yang diinginkan. 

Bismillah.. dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

Kejayaan ummah dunia dan akhirat buat semua; kami, kamu dan kita bersama.  Insyaallah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing