Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, August 19, 2010

Selamat Kembali buat Cik Mat yang diingati

Cik Mat nama panggilannya.  Baik tua baik muda memanggil begitu.  Setiap hari rutin beliau mengambil kanak-kanak untuk dihantar ke sekolah.  Tengahari beliau sudah siap-siap parkir dekat dengan pintu pagar untuk memudahkan kanak-kanak mendapatkan vannya.  Tugas berakhir apabila tamat sekolah ugama pada petang hari.

Tatkala hari hujan Cik Mat menunggu dengan payung.  Kalau ada yang merayau, Cik Mat tunggu dengan sabar.  Kalau ada yang terlewat bangun waktu pagi, lambat bersiap, Cik Mat tunggu juga.  Anak-anak saya pernah menggunakan perkhidmatan beliau.  Hurin pernah kelewatan.  Cik Mat tunggu juga walaupun kanak-kanak lain mula merungut.  "Sabar.. sabar.."  kata Cik Mat.  Pernah Cik Mat memujuk Hurin yang menangis terkejut ketika nak naik van.  Ada katak dalam kasutnya.

Selasa, 7 Ramadan di Malaysia.  Kami mendapat panggilan hampir jam 4 pagi.  Berita disampaikan oleh Cik Nafi, mengabarkan Cik Mat telah kembali ke rahmatullah.  Innalillah hiwainna ilaihirajiun..

Cik Mat rupa-rupanya sakit jantung.

Cik Mat mengadu sakit dada jam 12 malam, dihantar ke klinik dan terus ke hospital Klang.  Arwah menghembuskan nafas yang terakhir jam 1.15 pagi.

Tatkala bertukar-tukar berita dengan Cik Nafi, pengerusi Taman Sijangkang Permai 1, dikhabarkan arwah pernah bertemu doktor.  Doktor telah menasihatkan beliau ke hospital untuk rawatan lanjut.  Bermakna arwah memang ada mengalami simptom serangan jantung. 

Itulah yang membuatkan kami terharu.  Arwah kata, dia banyak tanggungjawab. Tak boleh memudah-mudahkan ambil dan hantar kanak-kanak nak belajar di sekolah.  Mereka nak menuntut ilmu untuk menyuluh hidup di masa depan.  Besar pengorbanan Cik Mat.  Beliau korbankan diri sendiri.

Jadi, arwah mengenepikan keperluan dirinya sendiri.  Sepatutnya beliau sedang mendapatkan rawatan dari doktor.

Kalau masuk wad, siapa pula nak ambil dan hantar kanak-kanak ke sekolah.  Bukan dua trip, tapi banyak trip sampai ke petang.  Bukan kanak-kanak taman sahaja, tapi serata kawasan sekitar.  Memang ramai yang menggunakan perkhidmatan Cik Mat.  Beliau sahaja yang menolak kadang-kadang kerana lagi jauh lagi banyak masa untuk sampai ke sekolah.  Nanti lewat pula.

Saya pun pernah bawa van tetapi hanya untuk bawa anak-anak sendiri juga anak-anak nurseri.  Itupun tidak lama, hanya beberapa bulan sahaja.  Tidak bersaing dengan Cik Mat pun.

Cik Mat peramah orangnya.  Kalau bertemu, pasti angkat tangan dan bertukar senyum.  Kerap juga Cik Mat menyalakan lampu sebagai isyarat menyapa.  Paling tidak angkat kepala sedikit.

Mak saya cukup suka mengusik Cik Mat.  Cik Mat pula pandai menyambut gurauan mak.  Kemudian terdengarlah suara Cik Mat yang besar garau ketawa berdekah-dekah.  Mak pula terkekeh-kekeh.  Pantang nampak Cik Mat lalu di depan rumah, tentu terpaksa berhenti kerana ditahan mak.  Ada-ada sahaja storynya..  Sebab tu mak dapat gelaran tak formah, Mak Ngah Joyah.

Jam 10 pagi semalam, jenazah arwah selamat dikebumikan di perkuburan Islam Sijangkang.  Pergilah seorang insan yang baik budi.  Hanya tinggal kenang-kenangan seorang bekas pengerusi taman yang budiman.  Tinggal ingatan Cik Mat yang besar tinggi agam orangnya.

Kini terpaksalah beberapa orang menjadi bidan terjun mengorbankan masa mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah.  Itulah tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi.

Selamat jalan dulu Cik Mat.  Kami utuskan doa semoga Cik Mat ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman.  Semoga Cik Mat tenang di sana.  Dengan rahmat Allah yang Maha Pengasih mencucuri rohmu.  Semoga Cik Mat berada di satu tempat yang adalah satu daripada pintu-pintu syurga.  Al Fatihah buat arwah Muhammad Tarmizi bin Tajul Arof.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing