Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, August 6, 2010

Perpustakaan Kampung Pandan Kuala Belait

Gembira sungguh rasanya apabila mata terpandang bangunan biru tercegel tidak jauh dari roundabout paling hening. Tertera perkataan memperkenalkan statusnya iaitu Perpustakaan Kampung Pandan Kuala Belait, Dewan Bahasa Dan Pustaka Brunei Darussalam dengan logo khas di puncaknya. Hurin bersorak-sorai. Akhirnya bertemu juga kami dengan bangunan yang ingin dicari-cari semenjak 5 bulan lepas.
Moden dan serba lengkap

Mudah sahaja rupanya lokasi perpustakaan ini. Ikut sahaja laluan ke Kuala Belait melalui jalan lama dari Seria. Tegak ke angka 12 di dua bulatan besar yang akan ditempuhi. Cukup mudah!

Sudah dua kali saya ke situ. Pertama kali bersama Hurin, ketika membawa dia pulang dari hospital Kuala Belait tempohari. Kami meminjam empat buah buku sahaja kerana saya khuatir tidak sanggup menghabis baca buku-buku itu seperti selalu.
Masjid berkubah hijau di bahagian belakang perpustakaan

Kali kedua pada Isnin lepas, 1 Ogos, untuk memulangkan buku-buku itu yang lebih awal dapat diselesaikan membacanya. Hanya 15 minit dari Seria. 15 minit dari rumah saya pula. Cuma pemanduan berhemah membuatkan perjalanan singkat menjadi lambat. Jalan begitu lurus membuatkan saya menahan geram. Kenderaan bergerak berkumpulan saling mengekori di kedua-dua lorong jalan lama ini. Saya perlu menjaga imej pemandu Malaysia yang antara paling terpercaya di sini. Kalaulah di sana, tidak saya, pasti ada pemandu-pemandu ranggi yang sudah berdesup jauh lalu menghilang. Di sini pun ada, Ferrari, Porche, Lotus yang lebih kerap ditemui di BSB.

Saya sudah menetapkan buku-buku yang perlu dipinjam seterusnya. Apa yang pasti, buku karya kreatif FT mesti saya pinjam. Aneh, saya tidak mengantuk membaca buku tulisannya. Itu petanda saya amat tertarik dan tulisan itu berjaya menarik hati saya. Padanlah dia memenangi hadiah novel sastera. Ada pengetahuan dan perjuangan dengan bahasa yang lancar indah.

Kali ini saya meminjam lapan buah buku. Tatkala mengambil buku puisi, saya rasa resah. Novel hantu berbahasa Inggeris. Buku panduan hak cipta penulisan. Buku cerita rakyat dan edisi khas trilogi cerpen yang tebal hingga menakutkan saya pula.

Dan, alhamdulillah, saya berjaya menghabisi karya kreatif FT pada hari pertama. Buku kedua dan ketiga pada hari seterusnya. Saya mula menikmati bahan bacaan dan melihat perbezaan-perbezaannya. Ada karya hebat dan ada karya sekadar hiburan. Dengan mata yang kabur, saya akan terus membaca, insyaallah.

Kini kembali kepada novel hadiah dari penulis tersohor yang amat saya hormati. Saya berhenti membaca novel beliau beberapa ketika, dan memulai semula dengan penghayatan yang lebih baik. Dapat dibayangkan gambaran ceritanya, dan mendengar debaran jantung sendiri. Saya berkali-kali menahan kemahuan melompat terus ke perenggan di muka sebelah. Saya mesti membaca dengan berhemah. Menjadi pembaca yang baik, dan tidak membuat konklusi cerita memandai-mandai. Memang beliau penulis yang hebat. Patutlah kerap menggondol tempat terbaik di pertandingan.

Maaffff.. saya berkata apabila mata melirik ke novel-novel tebal bersadur potret wajah romantik. (Mengapa kebelakangan ini saya kerap melihat novel-novel berwajah Pan Asian bertudung dan berkopiah di kulit luar novel-novel ini? Muka orang Melayu asli dah tiadakah?) Apakah satu ketika saya wajib meminjam novel tebal ini pula? Hmm..mungkin juga, dan membacanya dengan penghayatan yang cukup tinggi. Mampukah aku tanpa rasa terseksa?

Buku hantu itu! Kadang-kadang awak perlu berpura-pura suka, dan awak benar-benar akan suka. Saya pun menghadap buku hantu itu dengan penuh selera lalu menghabisinya tidak sampai ke petang. Tiba-tiba celakanya elektrik putus, ruang rumah yang bertutup rapi menjadi gelita dan terbayang-bayang muka hantu di kulit buku. (Seram sangat ke..? Tak pun, novel remaja je. Habih tu?)

Koleksi puisi yang tebal itu! Biarlah aku berpura-pura sendiri. Akan kuteliti setiap perkataan dengan ghairah yang hebat hingga ke noktah terakhirnya. Moga-moga memberi kebaikan dan tidak lagi kepura-puraan yang menyeksakan.

Kata seorang editor persendirian, saya mesti banyak membaca karya sasterawan. Menulis sesuatu perjuangan dan mengeluarkan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan sejagat melalui tulisan. Itulah yang ditekankan oleh penulis pembimbing saya. Itulah yang saya sedang fikirkan. Apakah perjuanganku?

Saya terhenti usaha menyiapkan bab di novel. Saya baiki cerpen awal remaja dengan bahasa yang saya fikir sesuai. Namun kata pembimbing, bahasa saya masih tidak secocok untuk remaja. Dia menyuruh saya memikir-mikir untuk novel dewasa atau akhir remaja.

Waktu ini, hati saya melonjak-lonjak hendak membaca karya Pak Hamka dan Kisah 1001 Malam. Masih belum berjumpa di perpustakaan Kampung Pandan. Ada ke tak ada, wallahualam.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing