Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, July 8, 2010

***
Saya menyelongkar laci, mencari sesuatu. Akhirnya saya temui juga. Salinan kad pengenalan dan passport antarabangsa Naqib yang kami fotokopi semasa mahu ke sini tiga bulan lepas. Salinan itu saya serahkan ke tangan abah Naqib dengan senyum-senyum di wajah.
“Akhirnya dia beraya dengan kita juga, ya?!” Wajah suami yang bersahaja saya renung. “Tapi kenapa cakap macam tu hari tu?” Tidak puashati kerana tidak ada sambutan.

“Kenapa? Tak boleh?” selamba sahaja jawapan yang terluncur.
“Tentulah tak boleh! Menyakitkan hati sahaja.” Terus-terang sajalah…

Abah Naqib tersengih-sengih, tersenyum-senyum langsung tertawa-tawa. Ada nada menyakat, mendajal dan mengusik. Yang pasti saya sudah terusik kelmarin. Walaupun berandai-andai juga sendiri tidak mungkin abah Naqib benar-benar hendak membatalkan kedatangan anak sulung itu, tetapi wajah yang masam mencerlung, tegang dan menggerunkan seriusnya waktu itu membuatkan saya ‘terpaksa’ menelan cakapnya.

(Ahh.. alangkah bagusnya jika lelaki berwajah garang ini lebih berhemah lembut seperti Abdullah Khairul Azzam. Tetapi… tentu tidak selari jika wajah yang garang itu tiba-tiba mempunyai watak Abdullah Khairul Azzam. Mungkin lebih selari dengan watak Kiai Lutfi, bapa Anna Althafunnisa. Tetapi kiai itu pun tak garang, cuma karismanya memang menyerlah sebagai pemilik pesantren yang terkenal. Ternyata pemilihan para pelakon memang tepat.)

Insyaallah tiket penerbangan akan dibeli dalam sehari dua ini. Setelah dibuat perbandingan, abah Naqib memutuskan pemuda remaja ini akan turun di Airport Bandar Seri Begawan. Belanjanya lebih kurang sama dengan turun di Miri. Bezanya kami perlu melalui imigresen dan menetapkan budget masa sebaiknya supaya tidak terkandas dalam trafik jika ke Miri. Wajah adik-adik Naqib cerah bercahaya mendengar khabar tiket untuk Along akan dibeli. Mereka memang tidak makan saman langsung dengan usikan abah tempohari. Saya sahaja yang terusik benar. Iyalah, jika benar dia tidak dapat ke sini, tentu kehampaannya berganda-ganda. Kasihannya dia.. Itu yang tidak mampu saya bayangkan. Saya pun hampa juga. Adik-adiknya juga.

Apa yang berlaku tidak diketahui oleh Naqib, sehinggalah kelak dia membaca blog ini ataupun adik-adiknya bercerita waktu ketemu nanti. Tentu yang sedang bermain-main di fikirannya, angan-angannya, mimpinya mungkin, ialah dia akan terbang di udara dan mendarat ke dalam kasih bonda ayahanda dan adik-adiknya tidak lama lagi.

***
Insyaallah kita akan bertemu juga. Penuhi janji dan ikrar kamu tempohari, ketika kamu mengabarkan mahu menyelesaikan hafazan lima juzuk sebelum kamu bertemu kami nanti. Alhamdulillah, walau kamu pernah berterus-terang sejujurnya dengan ustaz bahawa kamu tidak mahu menghafaz al Quran di waktu awal kamu mendiami madrasah dulu; dan ustaz dengan tenang penuh bijaksana meminta kamu duduk sahaja mendengar teman-teman mengulang-ulang hafalan mereka dan menghantar sabaq; akhirnya kini ustaz sudah memberitahu kami bahawa bacaan kamu semakin baik, hafalan kamu semakin bagus, dan kamu juga berjaya mendapat tempat yang bagus di dalam peperiksaan. Alhamdulillah. Kami yakin kamu boleh, dan kamu mampu sebenarnya. Rintislah perjalanan yang istimewa ini dengan sabar dan tabah. Cuma mungkin kemampuan kamu berbeda dengan teman-teman. Bergantung kepada usaha dan kecekalan masing-masing. Setiap orang diberi kelebihan yang tidak sama. Namun, teruskan usaha. Seperti yang kamu sudah target dulu. Moga-moga satu hari tidak lama lagi kamu bakal menjejak kaki ke bumi anbia, melangkah di atas jejak-jejak tinggalan para nabi dan rasul. Menyusuri lipatan kenangan Mak Su kamu yang pernah berkampung di tanah berkah itu. Menterjemah angan-angan tidak kesampaian mama satu ketika dahulu menjadi kenyataan.

Semalam mama terpandang sebuah buku tebal yang berbalut plastik dan mahal harganya. Dinyatakan ringkasan isinya tentang beberapa peristiwa yang dimaksudkan sudah dikira mengikut perkiraan Arab kuno. Semuanya tentang peristiwa akhir zaman, tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar Hari Kesudahan bumi dan alam fana ini. Bergetar hati mama, walaupun mama tidak dapat meninjau isinya yang berbalut kemas itu. Mama ingin membeli buku itu. Tetapi hati kecil mama melarang. Cukuplah al Quran sebagai peringatan. Biarlah mereka yang mungkin Allah beri kelebihan ‘melihat’ masa hadapan memberitahu apa yang mereka telah tahu, moga-moga bukan dari bisikan syaitan. Tetapi ia boleh menakutkan ramai orang. Bayangkan tarikh-tarikh dan tahun-tahun yang diramalkan berlaku segala sesuatu yang dahsyat itu tidak jauh dari hari ini. Untuk menguatkan hujah kebenaran, diberikan bukti ramalan yang sudah terjadi. Mama sudah pernah kalut dengan tarikh-tarikh begini. Akhirnya biarlah kita hidup seperti biasa. Biarlah orang lain mengikut gelombang yang melanda. Biarlah kita menjadi kelompok yang terpinggir dan terpencil. Tetapi bukan bermakna kita lalai dan alpa. Sudah diberitahu kepada kita, walau apa yang terjadi, berpeganglah kepada al Quran dan Sunnah. Sehingga jangan kita solat kerana hanya takut kiamat yang sudah dekat. Boleh sahaja Tuhan menyegerakan atau menangguhkan. Semua sudah tersurat di Luh Mahfudz. Kiamat kecil pun bila-bila sahaja, apabila Izrail sudah merenung-renung kita dari sisi yang tidak kita sedari, atau apabila daun itu sudah menguning tanda akan gugur tidak lama lagi. Atau apabila masa terus mencuri muda kita. Hmm.. cuma kalau nak baca apa salahnya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita ambil iktibar dari sana.

Selalunya, bila mama sudah selesai menulis sesuatu yang ingin mama tulis untuk kamu semua, mama rasa mama sudah tersilap tulis. Tetapi kalau mama terus memikirkan hal itu, mama akan jadi seperti Lukmanul Hakim, anaknya dan kaldai nanti. Jadi, mama tulis juga, mengikut buah fikiran dan ilmu mama seadanya. Kamu tapis-tapis juga ya. Ambil yang baik dan tinggalkan yang sebaliknya. Cuma, mama puas bila usai menulis. Hanya mama terfikir-fikir impaknya kepada kamu. Hanya kepada Allah mama berserah. Sesungguhnya mama selalu khilaf, semoga Dia sentiasa menunjuki mama dan kita semua. Ameen.
***

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing