Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, July 7, 2010

Ketika sedang mencuci pinggan-mangkuk, tiba-tiba handset saya berbunyi rancak.
“Ambil cepat!” saya menggesa Hidayat yang sudah mencuci tangan. Suami dan yang lain masih belum selesai dengan hidangan malam yang ringkas.
“Jom la..” kata Hidayat. Huh, bila la kamu nak jadi hero berani ni!
Saya berlari-lari anak mendapatkan handset di atas katil lalu melabuhkan punggung di kerusi rotan di ruang tamu. Suara mak menjengah gegendang telinga. Hati saya merasa riang. Sebenarnya saya memang mahu menelefon mak petang tadi, menggunakan kad, di telefon awam. Ia jauh lebih murah dan boleh berbual-bual sepuas-puasnya. Menggunakan telefon bimbit B-mobile juga ok, cuma tentu tidak semurah belanja menggunakan telefon awam. Biasanya memang hanya menggunakan telefon bimbit. Hanya kali ini saya rasa mahu bercakap lebih lama dengan mak. Tetapi kelekaan di petang hari, tiba-tiba sudah kelewatan kerana Maghrib akan menjelma. Jadi saya tangguhkan ke pagi nanti. Rupanya gerak hati sudah siap berbicara lebih awal. Mak lebih dahulu menelefon saya.

“Mak kat Sijangkang ni,” suara mak jelas amat, dan ceria seperti selalu.
“Ooo, bila mak sampai?”
“Mak gi tengok Along tadi. Dia pesan kalau nak jumpa ustaz, uwan datanglah masa belajar. Mak dah bercakap panjang dengan ustaz. Dua orang.”
“Ooo, ustaz yang mana, mak?”
“Pengetua dan sorang lagi tu, mak tak ingat namanya.”
”Kalau pengetua tu, namanya Ustaz Yusuf, mak. Mungkin ustaz lagi satu tu ustaz kelas Along, namanya Ustaz Azman.”
“Entah la, mak tak ingat. Tapi mak dah bercakap panjang pasal masalah ni dengan ustaz. Ekau tau tak duit eh hilang tu?” tanya mak.
“Haah, dah telefon kelmarin. Lum sempat nak bagitau mak. Nak telefon tadi, dah lambat. Ingat pagi sok baru nak telefon mak. Banyak duit mak telefon sini, ni.”
Mak memberitahu, Naqib tidak mahu mak yang menyampaikan hal kehilangan duit itu kepada saya. Naqib mahu sendiri memberitahu. “Agaknya dia takut mak sampaikan lain nanti. Pandai cerdik bijak anak kau tu, Tan..”

Mak rupa-rupanya sudah mendahulukan wang yuran bulan Julai, sekali gus mengganti duit yang hilang untuk yuran bulan Jun. Bermakna mak membayarkan yuran untuk dua bulan. Terima kasih, mak. Terima kasih, abah.

Mak juga membawa Naqib membeli barang-barang. Kemestian setiap kali mak datang.
“Dia main ambik je, Tan.. mak ikut dan perhati je la. Diambiknya tong Milo yang paling besar, katanya nanti tak masuk semut. Mak ikutkan je la. Mak pun tak pernah beli tong Milo yang besar gitu. Hai, cucu.. cucu.. hahaha…” Mak seronok menceritakan hal Naqib, walaupun dompet mak tiris dek cucu sulungnya itu. “Abah kata, Naqib ni macam kamu, boros..” Tanpa diduga saya terseret sama. Hmm.. apa yang borosnya, ek? Mungkin mak tak suka saya beli banyak makanan kemudian mak kata tak sedap tu agaknya. Mak memang cerewet tentang makanan yang dibeli. Al maklum perniagaan makanan bukan semua yang memenuhi citarasa seperti makanan yang dimasak di dapur sendiri.

“Baldi dia pecah lapan, Tan.. gayung pun ntah ke mana. Tiap-tiap bulan beli baldi baru. Ni mak nak cari tong cat je bagi dia pakai. Kawan dia pun guna tong cat je.” Tiap-tiap bulan beli baldi, tiap-tiap bulan baldi pecah. Memang ganas namanya. “Mak nak cari baldi besi, tapi tak jumpa pulak.”

Suami mencelah, “Suruh mak mintak tong cat kat Fauzi. Mesti banyak tong cat kosong tu.” Fauzi kawan baik suami yang sedang mengerjakan rumah Haji Hamid, betul-betul di hadapan pagar rumah kami. Iyalah, nampaknya lepas ni Naqib pun guna tong cat untuk meletak pakaian kotornya. Moga-moga tak pecah lagi. Kalau pecah lapan puluh pun tak apa, ada banyak lagi tong cat boleh digantikan. Cuma jangan kulit kamu tercemar oleh saki baki bahan kimia pewarna dinding rumah itu, sudahlah.

Lama kami berbual di telefon, hingga terasa hangat telinga saya. Lebih setengah jam. Banyak duit telefon mak kali ini. Macam-macam kisah yang lain juga. Kisah Kak Yan cucu abah yang sudah sarat dan menunggu hari sahaja untuk melahirkan, tiba-tiba dia demam. Pergerakan bayi semakin perlahan. Rupa-rupanya Kak Yan tiba-tiba mendapat kencing manis di saat akhir. Bayinya tidak dapat diselamatkan. Akhirnya bayi lelaki itu menjadi simpanan buat Kak Yan suami isteri untuk bertemu lagi di pintu syurga kelak. Kak Yan pernah keguguran. Nampaknya masih belum rezeki Kak Yan suami isteri untuk menimang cahayamata. Insyaallah semoga Tuhan menggantikan dengan yang lebih baik di masa hadapan.

Kak Tam, anak saudara mak yang bercuti dari kerjaya sebagai pramugari itu juga dengarnya ada masalah dengan kandungannya. Urinya ke bawah sangat, jadi sentiasa berada di dalam pemantauan doktor. Kak Tam pun pernah keguguran kali pertama. Semoga kali ini Kak Tam selamat melahirkan.

Kemudian kami kembali ke kisah Naqib. Mak terkedu tatkala saya khabarkan Naqib mungkin-mungkin tidak beraya bersama kami. “Jangan lukakan hatinya. Dahlah dia jauh seorang diri kat sini. Mak cukup jaga hatinya tu. Mak kesian sangat bila tengok dia kalau buat muka monyok, muka sedih. Mak pun rasa nak menangis sama. Tak sampai hati mak.”
“Ustaz dia pun dah tahu dia nak ke sana tu. Panjang angan-angannya tu, Tan. Psikologi apa yang kamu guna ni, Tan?”
“Dah la tu, ni waktu dia yang kehilangan. Kita tak tau, mungkin waktu lain dia kedapatan. Bukan dia seorang sahaja yang mengalaminya. Ada juga yang lain. Budak-budak namanya, Tan. Mak bagitau ustaz tu, “budak-budak ni lidahnya je al Quran, ustaz. Hatinya belum al Quran lagi.” “Betul tu, makcik.” Jawab ustaznya. Bagus ustaznya, Tan. Cukup hormat. Mak dah cakap panjang lebar dengan ustaz. Mak dah pun ambik nombor akaun ustaz. Senang mak masukkan je yuran ke situ.” Ternyata apa yang mak cakap, sudah saya bicara di dalam hati. Dan mak seperti selalu, sentiasa panjang akal dan penuh inisiatif.

Dapat saya bayangkan cara mak bercakap dengan ustaz. Mak pandai bercakap. Cakap mak jelas dan penuh keyakinan. Saya terbayangkan ustaz angguk-angguk kepala. Dan tak terkata apa. Cakap mak tentu lebih banyak daripada cakap ustaz. Mujur mak tak jadi cikgu. Sebab tentu sekejap masa mak akan sandang jawatan guru besar. Sekejap masa mak sudah jadi nazir. Sekejap masa mak sudah jadi pegawai pendidikan. Hahaha… Hmm.. mak tak sempat belajar tinggi. Masih sunti sudah disunting arwah abah yang terpesona melihat gadis putih melepak berbibir merah merekah tanpa gincu, seperti gadis Cina itu. Gadis yang pernah menyanyi-nyanyi di batas sawah dengan riang, dan tiba-tiba tersembam ke dalam selut apabila tiba-tiba angin bertiup lalu menutup wajahnya dengan terendak lebar di kepala. Uwan masih tergelak lucu jika sekali-sekala ‘mengungkit’ kisah ini kepada kami. Dan mak moncong panjang mendengarnya, ketika kami tertawa-tawa gelihati cuba membayangkan.

Buat mak abah, terima kasih kerana bersusah payah menjenguk Naqib. Bukannya dekat dari kampung ke madrasah. Abah, hati-hatilah memandu. Terima kasih kepada abah, kerana melayani Naqib seperti cucu sendiri. Intan rasa lebih dari cucu sendiri, sebenarnya. Cuma, usahlah diikutkan sangat kehendaknya yang main ambil sahaja barang-barang di rak. Kalau bersama kami, masih ada disekat-sekat. Tak mahu dia bermewah-mewah. Walaupun mungkin pelajar-pelajar lain mewah, ada juga pelajar yang seadanya sahaja. Biarlah dia mencontohi orang yang sekadarnya itu. Itu lebih baik. Lagipun makanan segera yang suka dibelinya itu bukan bagus untuk pelajar seperti dia. Lebih baik dia beli kismis atau kacang pistachio. Nampaknya dia benar-benar menggunakan peluang yang ada, kerana tahu dia mendapat sepenuh perhatian dari mak dan abah. Memang cerdik cucu sulung mak ni. Dia siap provokasi Ain di dalam suratnya, bahawa dia mahu ke mana sahaja mesti uwan dan atuk bawak. Dan dia duduk di belakang, di tengah-tengah, seolah mahu mencuit hati Ain agar cemburu padanya.

Bersamalah kita mendoakan semoga Naqib selamat dalam perjalanannya ini, dan berjaya mencapai matlamatnya. Matlamat kita juga. (Juga semoga dia dapat bersama kami di sini, pada Syawal ini. Mudah-mudahan.. Mungkin psikologi seseorang yang pernah mengendalikan pusat asuhan kanak-kanak belum dapat selari dengan pemikiran seseorang yang mengendalikan peralatan hawa dingin. Tapi mungkin ada satu titik pertemuan nanti. Kerana kita semua ada hati nurani, perasaan, belas kasihan, pertimbangan dan kasih sayang. Kan, bang..?)

1 comment:

armouris said...

info tentang bayi demam di SIHAT SELALU - FAQ Tentang Bayi Demam

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing