Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, July 15, 2010

Bukan Salah Beg Sandang

Bismillah..
Mungkin salah saya. Mungkin bukan juga. Ia bergantung kepada mata yang memandang, mungkin juga. Mungkin berdasarkan penampilan. Mungkin ia satu cara pembawaan diri. Mungkin ia sudah rezeki diberi Tuhan. Syukran ya Allah.

Apa yang pasti, mereka tidak mengenali dan baru pertama kali bersua. Dek kerana itu mereka tersilap sangka. Tapi itulah, mereka tak boleh dipersalahkan. Mereka menyangka yang baik, walaupun sudah tersalah sangka. Walaupun ada juga yang pernah ketemu tapi lama dulu, masih tersalah sangka, “bini muda ke?”.. hmm orang lelaki memang suka benar hal-hal yang ‘muda’, macam tak suka pada tua.

Saya baru tertarik menggunakan beg sandang setelah mendapati jahitan zip tas tangan itu mula meregang. Saya sayangkan tas tangan yang tidak mahal ini, khuatir koyak kerana saya cerewet memilih.  Lagipun saya mahu keadaan yang ringkas untuk bergerak. Setiap hari persekolahan menjemput anak-anak di sekolah pagi, salin pakaian di masjid dan makan di bawah pokok rendang di kawasan lapang depan Soon Lee, dan menghantar mereka ke sekolah ugama. Di sela-sela waktu terluang saya mahu membaca. Saya perlu beg untuk membawa novel, buku catatan dan kamera.

Saya cuba memikirkan alternatif sedia ada tanpa perlu membeli sebuah tas tangan yang lebih besar untuk berjimat. Akhirnya saya temui beg sandang Prada hitam yang baru dipakai sekali oleh suami. Beg itu tersadai di atas kabinet dengan passport antarabangsa kami di dalamnya. Sejak itu saya memakai beg sandang. Cuma agak ranggi kerana saya selimpangkan talinya di badan.

Beg sandang ini saya harap tidak menarik perhatian peragut dan pencopet. Ia hanya mengandungi beberapa helaian cerpen akhbar yang naik lunyai tapi belum juga sempat dibaca. Juga ada purse yang sesekali mewah sedikit isinya. Selain itu hanya kamera digital yang menjadi teman dan selalu kehabisan bateri serta beberapa barang remeh orang perempuan. Alhamdulillah, di sini tidak terdengar berita pencopet dan peragut, namun perlu berhati-hati.

Beg sandang ini bukanlah puncanya. Pertama sekali saya bersyukur ke hadrat Tuhan yang memberi saya kesihatan yang baik. Bukankah Dia sudah mengatakan, bersyukurlah maka Dia akan menambah lagi nikmat yang diberi..? Moga-moga saya benar-benar perfect sihat, bukan seperti buah kuini yang cantik berkilat kulitnya tapi berulat di dalamnya. Na’uzubillah..

Kedua, ucapan terima kasih buat ibu yang mengandungkan saya selama 9 bulan, mengendong saya di dalam rahim ke hulu ke hilir tidak pernah ditinggalkan. Terima kasih buat ayahanda yang bersebabkannya saya wujud di alam fana. Juga buat mak abah yang memelihara saya dari kecil hingga dewasa dan menjaga saya seperti menatang minyak yang penuh. Alhamdulillah.

Ketiga, terima kasih kepada suami juga tentunya. Kerana dia pandai menjaga isterinya ini. Cukup makan pakai walaupun kekadang mahu lebih lagi. Dia amat prihatin ketika saya di dalam pantang bersalin. Dia mencari lempoyang lalu ditumbuk dengan lada hitam dan bilis mentah, dan diperah dengan air asam jawa yang pekat. Sungguh menyelerakan baunya apabila digaul dengan nasi panas. Dan dia pun menyuap sama ke mulutnya. Suami juga mencari hati lembu untuk dimasak semur pekat seperti yang ibunya pernah masak. Ikan haruan masak pindang pekat. Wow! Sedap!! Membelikan saya ubat-ubatan untuk membaiki kesihatan diri selepas seribu urat saya putus. Hingga kini dia masih menjaga saya dengan baik. Seiring juga tentu ucapan terima kasih buat bonda dan ayahanda mertua yang melahirkan lelaki ini untuk saya. Buat mak Leha, terima kasih kerana menjaga saya selepas bersalin Hurin. Mak jaga saya macam mak jaga anak mak sendiri.

Juga terima kasih kepada mak angkat saya, primadona lagenda filem Melayu yang tetap anggun jelita. Beliau mengajar saya selepas bersalin Hurin, serba sedikit kaedah menjaga kesihatan wanita dan mengurut tubuh saya bersungguh-sungguh hingga menitik peluhnya. Anak perempuan beliau waktu itu sudah beranak dua, namun begitu remaja parasnya. Saya memang tak larat nak mengikut cara beliau menjaga kesihatan. Semoga auntie sihat dan ceria selalu.

Jadi beg sandang bukanlah puncanya. Ia hanya aksesori. Selebihnya ialah kurniaan Allah Taala kepada makhlukNya. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan kehidupan yang baik kepada saya. Alhamdulillah. Biar kita jadi pertengahan dan sederhana. Apa yang pasti, ada yang lebih hebat lagi dan tak kurang yang lebih menderita, andai kita rasa sudah amat menderita.

Dek kerana itu, mereka tidak salah. Saya pun tidak bersalah. Hanya kerana mereka tersilap tanya kepada suami, “Ini anak ke?”. Atau keliru antara saya dan Hurin. Atau apabila mereka bertanya kepada Naqib dan Hurin, “itu kakak ke?” Kekeliruan tidak boleh disalahkan tapi perlu dijelaskan.

Lalu saya teringat kisah jiran lama yang begitu ‘baby face’ dan amat lemah-lembut tutur kata dan tingkah lakunya. Lebih kurang sahaja ceritanya. Ada juga keadaan yang sebaliknya. Saya kerap disangka kakak sejak kecil, kerana saya lebih besar dari kakak yang dua tahun lebih tua dari saya. Dia slim sampai sekarang walau sudah beranak enam. Saya belum pernah berjaya jadi seramping dia.

Akhir sekali, kita memang perlu menyayangi apa yang kita ada sebelum ia ditarik dari kita. Nikmati hidup ini sebaiknya dan berpada-pada mengikut rezeki yang diberiNya. Memang setiap manusia berbeda-beda dan itu agar kita saling mengenali dan mensyukuri nikmat Tuhan. Bukan untuk dibangga-banggakan. Ia hanya sementara, yang kekal hanya Pencipta, Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Kekal selamanya. Oleh itu, yang berwajah muda pun akan kerepot akhirnya. Apabila kulit yang tegang akan menggelambir, kedut pun bergaris di dahi dan pipi. Matapun tenggelam ke dalam rongganya. Warna mata yang berkilat hitam menjadi samar kekelabuan. Mula terpaksa memakai kacamata. Rambut yang hitam menjadi seperti perak yang bercahaya. Gigi yang putih menjadi kusam dan mula berlubang, goyang lalu tanggal satu persatu. Dada yang ranum mula kempis. Perut yang sebelum ini boleh disumbat apa sahaja, mula berkisar perlahan dan terhad jamuannya supaya tidak sakit ulu hati dan tidak berangin kembung. Segala sendi mula ketat dan hilang pelincirnya. Mula terpaksa memegang tongkat untuk menambah daya.

Ketika muncul pelbagai kaedah untuk mengekalkan kemudaan dan keremajaan. Sapu krim sepuluh minit sudah menjadi remaja. Segala kusam dan noda hitam hilang serta-merta. Ada pula cara menggunakan tali untuk menegangkan wajah yang sudah layu. Tiba-tiba nenek pun menjadi 10 tahun lebih muda dan bertambah anggun bila berkebaya nyonya. Semua mahu muda, tidak mahu tua dan tidak mahu mati.

Saat ini saya memikirkan, biarlah hidup berjalan seadanya. Tak mungkin kita menongkat dunia selamanya. Moga-moga saya tidak terbuka hati untuk menyuntik wajah atau mengikat tali bagi menegangkan kulit wajah yang sudah jatuh. Kerana kerepot dan kulit mengelambir itu ertinya kita semakin dekat dengan alam kekal. Kita akan meninggalkan alam sementara yang penuh pancaroba ini. Moga-moga kita tidak perlukan usia subsidi yang terlampau. Hingga kita umpama kembali ke alam bayi semula. Jadi biarlah hidup berjalan lancar di atas landasannya yang semulajadi.

Ya Allah, hidupkanlah daku dalam keimanan dan matikanlah daku dalam husnul khatimah. Rahmatilah hidupku dengan rahmat yang berkah dan ampunilah segala dosa-dosaku. Ameen. Maaf Zahir Batin.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing