Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, July 9, 2010

As salam.

Hari ini.. mula-mula kereta terperosok di rumput berselut hingga tayar kiri terbenam rapat tidak bergerak langsung. Ke depan tidak ke belakang pun tidak. Secubit lumpur yang terbang melepasi tingkap terbuka terus masuk ke anak tekak Hidayat lalu ditelannya.  "Hmm.. sedap macam kuih kepala manis!"  Tertelan lumpur terbang cakapnya pun jadi tersasul.  Hari ini giliran Hidayat duduk di seat depan.  


Kami sedang mencari jalan pulang ke rumah.  Jam 10 pagi Jumaat saya buru-buru mencapai kunci kereta untuk menjemput Ain dari kelas mengaji al Quran di Masjid Zainab.  Baru dua kali dia mengikuti kelas ini.  Sari, kawan barunya mahu menumpang balik ke rumah.  Sari sudah berada di masjid seawal jam 6 pagi dan terpaksa menunggu bapanya menjemput pada jam 11 pagi.  Walhal kelas mengaji bermula pada jam 8 dan tamat jam 10.  Jadi saya bersetuju menghantar dia pulang.  Saya suka kerana Ain mendapat seorang kawan lagi.  Sari berwajah lembut dan tinggi lampai, lebih tinggi dari saya walaupun Sari hanya berumur 12 tahun.

Membawa kereta menuju ke rumah perpindahan yang didiami Sari.  Saya terkagum dengan deretan banglo-banglo indah yang tersusun dan pelbagai bentuk mengikut citarasa pemiliknya.  Alangkah bertuahnya menjadi rakyat Brunei yang kaya raya dan aman damai.  Alhamdulillah, saya merasa tempias kedamaian negara ini.  Tiba-tiba saya dikejutkan jeritan si kecil Hanessa mengatakan saya sudah tersalah jalan.  Tadinya Sari yang menjadi penunjuk jalan.  Kini saya menggagau mencari jalan pulang hingga memasuki jalan mati di kawasan banglo-banglo tidak berpenghuni.  Hmm kalaulah saya dapat mendiami banglo yang kosong itu.  Waduh!!  Yang pastinya tidak mungkin kerana kerajaan tempatan tidak membenarkan rumah perpindahan disewakan.  

Meter minyak saya kerling.  Hati menjadi agak tenang kerana masih penuh.  Tangki minyak baru saya isi $20 semalam di Seria.  Kalau sesat barat dengan minyak penuh tidak mendatangkan kegundahan buat saya.  Saya tidak membawa dompet bermakna tidak membawa kad pengenalan dan lesen memandu.  Tadi saya memang terburu-buru keluar setelah menyarung tudung, mencapai telefon bimbit dan kunci kereta.  Saya memikirkan saya tidak akan turun dari kereta kerana tidak ada tujuan lain selain mengambil Ain pulang ke rumah.  Rupa-rupanya saya tersilap jangka.  Mujur baju labuh yang saya selalu gunakan di dalam telekung ini ok.  Tetapi saya terasa selekeh pula.  Ah, surirumah.  Apa nak malu.  Saya memang santai sebenarnya.

Nah, saya sudah membuat pusingan U di rumput berselut.  Setengah jam kami tersadai melihat seorang hamba Allah mengikat tali yang halus berpilin di bawah bonet belakang kereta saya yang terbenam, disambung ke pecangkuk di Pajero kawannya.  Dua kali percubaan, kami menyaksikan tali itu putus.  Saya membuat panggilan telefon kepada abah Hidayat.  Meminta dia tidak terkejut dan meminta maaf kerana saya mahu dia datang ke tempat kami tersadai.  

Kemudian muncul seorang lelaki botak dari celah-celah kawasan perumahan di situ.  Dia membawa bersamanya seutas tali berwarna merah tetapi ukurannya masih sama seperti tali yang telah putus tadi.  Lelaki ini mengikat tali untuk menarik kereta saya, dan dia duduk di kerusi pemandu.  Alhamdulillah, kali ini Pajero itu berjaya menarik kereta saya keluar dari selut.  Saya bersyukur dan gembira.  Lelaki-lelaki itu juga kelihatan gembira dan turut bersyukur.  

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka, khususnya kepada orang pertama yang berhenti ketika melihat kereta saya diam tidak bergerak di dalam rumput tadi.  Namanya Hamidun, dan saya minta nombor telefonnya.  Saya mahu berikan kepada suami nanti untuk mereka berkenalan.  Apabila saya hubungi suami, rupa-rupanya dia sudah sekerat jalan dengan diekori lori syarikat, untuk menarik kereta saya setelah saya adukan kegagalan akibat tali putus tadi.  "Tak payah, bang.  Dah selamat pun.  Nanti telefon la orang ni untuk ucapkan terima kasih,"  saya mengajarnya pula.  Terima kasih kepada En. Hamidun dari perpindahan Lumut.

***

Saya keluar ke Seria dengan anak-anak jam 5 pm.  Hujan turun barai-barai kata orang sini.  Saya sudah mengarahkan Hidayat dan Hanessa membersihkan cermin depan kereta supaya tidak kelabu teruk ketika hujan turun.  Penghawa dingin sudah lebih tiga minggu tidak berfungsi.  Saya terseksa memandu ketika panas terik, dan ketika hujan turun.  Penghawa dingin menjadi pemanas yang memanggang saya di dalam kereta.  Tingkap pemandu pula sudah jem.  Kalau hujan, cermin menjadi kelabu menganggu penglihatan saya yang semakin rabun jauh ini.  
Nampaknya cermin itu sudah berkilat bersih.  Tetapi Hanessa dan Hidayat pula berdebu dengan bedak.  Saya yang menyuruh mereka mengelap cermin menggunakan helaian akhbar dan bedak.  Saya terpaksa akur bahawa mereka memang budak-budak lagi, dan masih budak-budak namanya.  Saya pungut akhbar yang berselerak di lantai porch sambil marah-marah juga menyuruh mereka yang bertenggek di atas kereta supaya turun segera.  "Kita nak pergi Seria cepat!"  Ain merungut tentang badan kereta yang kotor disaluti lumpur akibat terbenam pagi tadi.  "Nanti hantar basuh kat carwash la.."  Agak saya, dia segan kalau saya dengan selamba memasuki pagar sekolah untuk menjemput dia balik Isnin nanti.  Nanti apa kata kawan-kawannya terutama Jan.  Hush, mama pun tak nak biar kereta ni bermake-up lama-lama... 

Kami melangkah ke ascalator untuk ke tingkat tiga Plaza Seria.  Saya tercangak-cangak sebentar hendak mengingati kedai yang saya hantar tempahan percubaan tiga minggu lepas.  Hah!  Yang itu.  "Sudah siap?"  saya ajukan pertanyaan mesra setelah memberi salam kepada Maria,  tukang jahit bangsa Indonesia itu.  Maria cepat-cepat mengambil baju tempahan yang nyata sudah siap dan meminta saya mencuba.  Saya sudah peringatkan sekiranya buatannya bagus, saya mahu menghantar kain lagi arahnya.  Saya masuk ke sebuah bilik kecil dan mula mencuba pakaian itu.

Ah, pelik rasanya.  Tidak ngam seperti pakaian yang ditempah di sebelah kedai Acheh.  Lehernya tidak bertulang belut tetapi dilapik sahaja.  Tali butang pun fesyen kurung moden.  Pelik semakin hebat kerana lengan saya sempit di bahagian siku.  Cangkuk di pinggang pun tidak seperti yang sudah saya khabarkan dulu.  Sepatutnya di kiri, bukan di kanan.  Alamak, teruknya orang ni buat baju aku!!

Saya keluar dengan baju kurung itu.  Sayapun berkata-kata.  Tetapi saya sudah agak pandai meniru lenggok bahasa Anna Althafunnisa yang lemah gemalai itu.  Nampaknya Maria suka dengan reaksi saya.  Dia memberitahu fesyen kurung di sini memang damit (sempit / kecil) di bahagian siku.  Dia ralit dan keliru.  Walhal saya sudah jelaskan saya orang Malaysia.  Sejak kecil saya memakai kurung yang longgar tetapi sedap terletak.  Angin boleh masuk dari bawah dan dari hujung lengan.  Tadinya saya sangka Maria sudah tersilap sambung hujung lengan ke pangkal ketiak baju, macam saya pernah buat satu ketika dulu.  Rupanya tidak...

Maria beria-ia pula hendak membetulkan potongan lengan baju saya itu.  Walau saya katakan saya tidak kisah kalau memiliki sepasang baju kurung potongan tempatan.  Nampaknya dia memang berhati-hati dengan pelanggannya.  Saya hantar sepasang lagi kain untuk diri sendiri dan kain Ain dua pasang.  Insyaallah saya rasa positif untuk melanggan perkhidmatan Maria lagi.  Dia lemah lembut dan pandai melayan pelanggan.

***

Alhamdulillah.  Saya sudah menyiapkan bab dua novel pertama saya.  Yahoo!!
Seronok dan tenggelam dalam rasa syok sendiri.  Tetapi masih perlu pembaikan.  Mesti ada nilai murni, pengajaran dan sesuatu yang mengesankan.  Supaya ia mampu memberi nilai yang murni kepada pembaca.  Tetapi saya belum mahu menghantar ia ke bengkel untuk sentuhan sifu.  Saya mahu pastikan ia sempurna pada penilaian sendiri sebelum dijamah oleh mata sifu.  Saya lihat semula bab satu.  Hmm.. patutlah sifu komplen saya tidak mengasingkan paragraf hingga akhirnya keluar satu tajuk khusus tentang 'tekan dua kali untuk asingkan paragraf tulisan peserta bengkel' di sana.  Saya la tu... terasa pulak.  Paragraf saya terlalu panjang dan memang boleh membuatkan mata sifu semakin sepet dan sakit.  Mohon maaf banyak-banyak sifu ya...  Bab dua ni lebih baik dari bab satu, insyaallah.  

Saya baca akhbar Utusan hari ini, tentang Dr Danial, kisah Dr Farhan Hadi dan tentang HSKU.  Kini saya semakin teruja hendak mula membaca dengan bersungguh-sungguh, ketika tahap rabun saya makin tinggi dan terpaksa memakai kaca mata untuk mendapatkan penglihatan yang seimbang di kedua-dua mata.  Alhamdulillah, saya masih berpeluang membaca.  Seperti mahu balik berdiri di hadapan rak buku di perpustakaan rumah, hendak membaca semua buku yang tidak saya baca dengan betul dulu.  Saya tidak mahu membaca di depan terus ke belakang dan meninjau di tengah buku lagi.  Saya mahu membaca dengan betul dan menjadi pembaca yang baik, seperti waktu membaca yang saya amat nikmati zaman kanak-kanak dahulu.  Insyaallah.

Wassalam.


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing