Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, July 6, 2010

“Ada apa-apa lagi, Along?” saya ingin menamatkan perbualan. Terubat sedikit rasa rindu kepada anak sulung.
“Tak ada apa-apa.” Jawab Naqib cepat.
“Betul, semua ok?” saya masih inginkan kepastian.
“Err.. duit Along kena curi.”
Hah! Saya terkesima.
“Along letak duit bawah bantal, tak sesiapa pun tahu Along letak di situ.” Naqib meneruskan setelah saya desak supaya berterus-terang tentang hal sebenar.
“Berapa? Kenapa letak bawah bantal? Kalau tak ada yang tahu, bagaimana boleh hilang? Mengapa tak simpan dalam locker? Mengapa tak bagi terus pada ustaz? Apakah locker kena kopak kuncinya? Apakah ustaz tak ada di pejabat?
Aduh, saya mula resah. Duit itu duit yuran bulan Jun rupanya. Bermakna yuran pengajian bulan Jun yang sudah berakhir belum lunas. Dan Naqib tidak memberitahu kami. Mungkinkah dia takut dan mungkinkah dia sukar hendak mengabarkan? Bukankah dia pernah miss call semasa kami masih di Sijangkang. Kemudian kami menelefonnya semula. Mengapa dia tak miss call ke sini, saya berteka-teki.


Patutlah.. patutlah mak menyuruh saya menelefon Naqib, semasa saya bertanya mak sama ada surat kiriman saya sudah sampai ke tangannya atau belum. Mak tidak bercakap apa-apa, namun hati saya berdetak. Kalau tak ada apa-apa, mengapa mak berkata begitu. Sesudah itu tubir mata kanan saya berdenyut-denyut. Beberapa hari, membuatkan saya kurang selesa. Mak pernah berkata, itu petanda sesuatu, dan petanda itu bergantung pada diri sendiri. Ia berbeza-beza. Tetapi kebanyakannya sama sahaja, mahu menangis. Apabila saya perhatikan suasana hati, hati saya masih tenang. Tidak berdegap degup keresahan. Jadinya, ah, tenang sahaja. Sambil berdoa kepada Allah.


Rupa-rupanya akhirnya saya menangis. Airmata saya menitis sesudah saya khabarkan kehilangan duit yang dititipkan melalui mak kepada Naqib untuk yuran bulan Jun itu, kepada bapa Naqib. Bapa Naqib terkejut sama, tentu. Dan dia membuat keputusan untuk membatalkan kedatangan anak itu di hujung Ramadhan ini untuk menyambut Syawal bersama. Itu sebagai hukuman buat Naqib. Si bapa beranggapan Naqib tidak pandai menghargai wang, bermakna tidak mengerti setiap sen yang diberikan itu adalah sama seperti setiap titis keringat abahnya yang mencari rezeki. Naqib perlu diberi pengajaran yang secukupnya. Biar dia rasakan! Biar dia mengerti!! Biar dia lebih berhati-hati di masa hadapan!!! Untuk itu, biar dia rasakan kehampaan tidak dapat ke sini bertemu kami!!!!


Kerana itu airmata saya menitis. Semasa dia bercuti selama seminggu di awal Jun itu, saya beberapa kali bercakap dengannya di telefon. Beberapa kali itu dia bertanya-tanya, tentang bagaimana dia akan datang ke sini bertemu kami. Dia agak risau kerana dia akan bersendirian dari sana. Satu pengalaman yang baru buatnya, menaiki kenderaan udara. Walaupun dia pernah menaiki kapalterbang tetapi waktu itu dia teramat kecil untuk menikmati rasanya. Bahkan dia menasihati adik lelakinya, Hidayat yang kebosanan tidak ada kawan selepas habis waktu sekolah, agar beragak-agak meminta permainan dari abah. Supaya abah cukup duit untuk membeli tiket kapalterbangnya kelak. Kalau tidak, dia tidak akan dapat ke sini nanti, “dan Hidayat tak dapat jumpa Along!” katanya di dalam telefon kepada Hidayat. Adik-adiknya semuanya memang tidak sabar hendak bertemu Along mereka. Masing-masing menghitung hari, terutama Hidayat yang rapat dengan abangnya.


Dan lagi, sebelum kes kehilangan duit ini, kami sendiri selalu bertanya Naqib tentang tarikh mula cuti raya. Kami mahu kepastian supaya dapat membeli tiket pada masa yang sesuai. Kami telah berbincang dengan Naqib dan mak, bahawa dia akan bersama kami sekitar sepuluh hari. Kemudian dia akan pulang ke sana untuk menghabiskan tiga hari lagi bersama mak di kampung, atau kalau sempat menziarahi Tuk Leha dan Tuk Arbak sebagai mewakili kami yang jauh ini.


Tetapi kini, abahnya bertegas agar dia tidak datang ke sini. Dia tidak tahu lagi hal ini. Apa yang dipertikaikan ialah mengapa Naqib tidak memberitahu kami hal itu secepat mungkin.
“Mungkin dia ada beritahu mak,” kata saya menyedapkan hati suami.
“Dah sebulan baru dia bagitahu?” suami masih berang.
“Mungkin dia sukar nak menghubungi kita, tapi mak dah suruh saya telefon dia cepat. Mungkin sebab inilah. Cuma mak tak beritahu apa-apa, mungkin dia nak kita dengar sendiri dari Along,” kata saya ‘bermungkin-mungkin’.
“Lagi, apa dia kata?”
“Dia dah bagitahu ustaz. Dan ustaz memarahi dia juga.” Hanya saya sahaja yang berbicara dengan Naqib kelmarin. Hanya ini sahaja yang diberitahu Naqib.


“Huh, budak madrasah mencuri? Betul ke duitnya dicuri...?” satu rasa pelik menjalar.
Apakah Naqib menipu? Atau benarkah dia kecurian? Sekadar tertanya-tanya begini, tanpa penjelasan, tidak akan ada jawapan. Kami belum menghubungi Naqib lagi untuk penjelasan yang lebih detail. Kami menunggu satu ketika yang baik, dengan mood yang baik dan tenang, insyaallah.


Madrasah, tempat remaja terpilih untuk mendapatkan siraman cahaya al Quran. Tetapi remaja tetap di dalam sarung keremajaan. Satu usia yang penuh perasaan membuak-buak. Di dalam satu perjalanan yang sudah ditetapkan dan sentiasa di dalam pemantauan, kadangkala masih ada yang tergelincir sedikit. Kerana itu masih ada kisah pelajar madrasah yang dirotan gara-gara menyelinap sebentar untuk menonton perlawanan bola misalnya. Tambahan dengan adanya kawan-kawan sekepala, rasa takut dan khuatir tertangkap diketepikan. Malangnya mereka benar-benar ketahuan. Dan mereka mendapat padahnya.


Memang bukan mudah berada di dalam kelompok yang terpencil ini. Ketika sebahagian besar remaja berhuha dengan telefon bimbit, internet dan teman-teman persekolahan, mereka pula dititipkan kepada ustaz-ustaz di corok kampung yang dingin hawanya dan jauh dari keriuhan. Hanya suara-suara yang berselang-seli bertalun membaca ayat-ayat suci yang kedengaran. Kadangkala sampai juga udara luar yang ‘mencemar’ perasaan pelajar-pelajar terasing ini. Kerana itulah, ditekankan amat dalam pengisian taklimat awal-awal dahulu, keluarga amat perlu menyediakan platform yang sama seperti tapak di madrasah buat pelajar-pelajar ini. Kerana sejam dua di luar lingkungan madrasah, boleh mengubah mereka dengan sekelip mata.


Buat Naqib. Hal ini kami anggap pengajaran buat kami juga. Tentu pengajaran buat kamu, pastinya. Andai kita tidak bersama di Syawal ini, raikan ia di mana sahaja kamu berada sebagai tanda kemenangan kita melawan hawa nafsu. Kita masih bersama meraikannya, hanya tempat kita berbeza. Dipisahkan dek Laut China Selatan. Namun masih di bumi yang satu yang hijau kebiruan, di planet ketiga dalam jajaran Bima Sakti ini.


Mama cuba tidak menyalahkan kamu. Mama minta kamu lebih berhati-hati di masa hadapan. Mama juga tidak mahu menyalahkan sesiapa. Anggap itu bukan rezeki kita. Juga sebagai kifarah dosa kita. Sudah sampai masa untuk kamu kehilangan sesuatu. Di ketika lain, mungkin orang lain pula mengalaminya. Bukankah hidup ini seperti roda? Jadi, sentiasa redha dan bersyukur kepadaNya. Mungkin kali ini kamu kehilangan, mungkin di masa lain kamu kedapatan, siapa tahu. Seperti ketika kamu tiba-tiba dihulurkan wang RM100 oleh kawan abah kamu yang terserempak dengan kamu di surau di Shah Alam tahun lepas itu. Satu jumlah yang cukup besar buat pelajar seperti kamu yang baru berumur 12 tahun waktu itu. Cuma, tolong lebih berhati-hati dan usah berbohong. Kata pepatah orang tua-tua, bercakap bohong lama-lama mencuri. Tolong, jangan berbohong dan tolong jangan mencuri. Mama telah berbincang dengan abah kamu. Insyaallah selepas ini kami akan online sahaja yuran kepada akaun ustaz. Kemudian kami akan telefon ustaz untuk memaklumkan kemasukan wang itu. Cara ini insyaallah lebih selamat bahkan lebih mudah. Iyalah, ini memang menjadi pengajaran buat kami sebenarnya.


Mama, seperti ibu-ibu yang lain, sesekali tidak mahu bersangka buruk kepada anak yang pernah menghuni rahim ini. Anak yang pernah menelan tetes susu yang telah menjadi darah kamu. Tetapi mama insaf, kamu juga insan biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Kita semua manusia biasa yang selalu khilaf. Oleh itu, mama mahu kamu perbaiki diri dari saat ke saat. Sehingga kamu benar-benar dapat mencapai insan kamil di kesementaraan ini. Semoga cahaya al Quran akan menyinari hati kamu selamanya. Dan kamu membawa cahaya itu pula untuk menyinari kehidupan kita sekeluarga.


Maafkanlah teman-temanmu, dan mohonlah kemaafan. Semoga hidupmu dan teman-temanmu diredhaiNya dan ceria selalu.


(Mama sebenarnya sudah berangan-angan hendak menonton Ketika Cinta Bertasbih bersama kamu di sini.. ceritanya menarik dan mama mahu dengar komen kamu. Kamu kan pandai memberi komentar. Walaupun ini hanya lakonan, mungkin benar-benar ada di luar sana keperibadian soleh dan solehan sedemikian di zaman ini. Hanya kita yang tidak ketemu sehinggalah ia dipaparkan sebagai satu kisah di skrin. Itu hanya di filem. Mama mahu kamu sedemikian, menjadi satu watak hebat yang benar-benar hidup, bernafas dalam nada seorang hamba yang sentiasa mencari keredhaan Tuhannya, dalam setiap saat hidupnya, seperti watak Abdullah Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa itu. Insyaallah.. Moga-moga kita dapat menontonnya bersama, ya.)

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing