Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, June 20, 2010

Dia berbisik-bisik..

Dia berbisik-bisik, amat perlahan sambil menarik tangan kiriku hingga aku tertarik tersenget ke arahnya,  "Mama duduk sebelah Dayat, ya!"  Aku angguk acuh tak acuh.  
"Cakap insyaallah!"
"Insyaallah." sahutku cepat supaya tidak lagi digesa-gesa dan dipaksa-paksa.
Baru puas hatinya.  Baru tenang wajahnya.  Baru ceria rupanya.
Dia berlalu ke ruang hadapan.
"Mama, duduk sebelah Ain tau!"  Muncul gadis tembam hitam manis dengan deretan gigi yang putih menawan tersenyum padaku.  
"Uhmm.." aku terus acuh tak acuh, angguk.  "Cepat bentang tikar, susun pinggan, isi air dalam gelas, ambik lauk susun.  Panggil abah.  Cepat, cepat! Duduk dapur tak boleh lembap lembap.." Aku mengeluarkan arahan supaya segera diberikan bantuan, sambil aku sendiri terkocoh-kocoh mencuci periuk dan kuali serta senduk sudip dalam sinki.  Tambahan untuk mengelakkan dari terus ditekan perasaan serba-salah oleh mereka.
Puteri kecil pula muncul tetapi dia menyenangkan hati kerana dia tidak pernah (jarang-jarang) mengeluarkan permintaan untuk duduk di sisi.  Hanya Dayat dan Ain, selalu, sentiasa, kerap, memang begitu setiap kali mahu makan di mana sahaja, baik di tempat makan di dapur rumah, di kampung, di kedai juga berebut mahu duduk di belakangku di dalam kereta.
"Kamu ni, mentang-mentang mama masih muda, masih sihat, masih cantik (uhu, perasan la pulak!)" aku mencala-cala sendirian, mengomel sambil mencuci pinggan makan yang berlapis-lapis di dalam sinki.  
"Ahah, duduklah sebelah abah pulak.." sahut Ain.
"Tapi tadi, Kakak tak bagi pun Dayat duduk sebelah mama.  Kata je nak duduk sebelah abah!" Dayat mengecam perbuatan Ain yang tidak selari dengan bicara.
"Ehh.. mana ada.  Kakak tak dapat duduk sebelah abah sebab Dayat dah duduk situ." Enggan mengalah si kakak yang semakin tembam ini.
Adik hanya diam memasang telinga dan mengambil penyapu serta penyodok sampah lalu menyapu-nyapu sekadar kudratnya yang bertubuh halus comel.  Lalu tikar dibentangkan.
Sudah selalu aku tekankan supaya duduk sahaja di mana-mana, janji kita makan sama-sama.  Lagipun mengapa perlu berebut duduk dengan mama, nanti apa pula kata abah?  Abah tak tunjuk hatinya mengecut atau mengecil kerana dia seorang lelaki, seorang suami, seorang bapa, seorang yang memiliki apa yang dinamakan ego dan tinggi hati.  Tetapi cuba letakkan diri kamu di dalam kasut abah (hah? kasut abah? besar kasut abah tu, saiz 9..).  Hmm.. atau bayangkan kamu sebagai seorang bapa yang anak-anak kamu asyik dengan ibu anak-anak kamu sahaja sedangkan kamu membelai mereka sama rata sepanjang masa (hmm.. lama lagi tu, isyh isyh..).

Okaylah.  
Dah baca doa makan?
Bismillah...
Allahumma bariklana...

Mata Dayat menjeling-jeling kepadaku.  Aku terus acuh tak acuh.  Aku terus menyelesaikan  urusan di sinki dan menuju ke tungku dapur mengambil telur mata kerbau terakhir buat diri sendiri dari pan.  Itulah helah terakhir yang selalu aku lakukan, sengaja buat sibuk dan mengambil tempat di mana-mana yang ada (biasanya sudah sedia dengan pinggan berisi nasi dan lauk-pauk) di sisi sesiapa.  Kadang-kadang aku sengaja menyakat perasaan mereka, "Kali ini mama nak duduk sebelah abah, nak suap dengan abah."  Dan mata-mata mereka bersinar-sinar melihat aku mengangakan mulut dengan mesra bersahaja tatkala abah mereka menghulurkan nasi ke mulutku.  

Bukan tidak rasa bertuah, rasa dikasihi, disayangi, rasa diperlukan.  Tetapi tidak jarang ia mencetuskan pertelingkahan dan sakit hati di antara mereka.  Aku kembali pening kepala.  Akhirnya aku catatkan di sini sebagai memori; apakah mereka akan dapat membacanya 10 tahun lagi?  Lalu tersenyum-senyum atau mengalirkan airmata?  Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing