Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, June 23, 2010

Bertemu Kenalan Lama

“Bila sampai sini? Terus menetap di sini ke?” Wanita hitam manis itu merenungku dengan matanya yang bersinar-sinar sambil tersenyum mesra, membuatkan lesung pipit yang menghiasi kedua-dua pipinya bertambah lekuk ke dalam.
“InsyaAllah. Hmm..hujung bulan Mac lepas sampai dah..” balasku juga dengan huluran senyum kepada Kak Esah yang peramah.

Kemudian aku kembali memandang Kak Hudziah, yang kami panggil Kak Fuziah sahaja, Hudziah atau Fuziah lebih kurang sebutannya. Wanita peramah dan periang yang comel ini semakin rendang tubuhnya, sekarang membuat coklat enak pula untuk diniagakan. Kak Fuziah benar-benar terkejut apabila mengetahui kami sudah lebih dua bulan berada di bumi minyak ini. Bertalu-talu dia bertanya dengan separuh sesal, mengapa aku hanya mendiamkan diri dan tidak berkunjung ke rumahnya. “Tak nak kawan Onn.. tak nak kawan Onn..” katanya dengan senyuman riang nada bercanda kerana aku disembunyikan daripadanya. Mungkin baru puas hatinya berkata begitu biarpun suamiku entah di mana tidak mendengar pun apa yang diungkapkannya itu.

“Datanglah rumah akak. Betul-betul kat bandar. Macam-macam ada! Intan pakai apa..?” tanya Kak Fuziah lagi. Nampaknya aku mendapat perhatian sepenuhnya dari tetamu Kak Piah yang seorang ini.
“Pakai apa, kak?”

Kak Fuziah ketawa lepas melihat aku yang terpinga-pinga tidak dapat menangkap maksudnya. Lantas dia menyapu-nyapu tapak tangan kanannya di pipi.. Ohh.. bedak, make-up? Kak Fuziah mengangguk-angguk dan ketawa lagi mempamerkan barisan giginya yang berderet rapi.

“Saya pakai campur-campur, entah brand apa..”
Ketawa lagi. “Haa.. datang rumah akak, macam-macam ada tau!” Tak sudah Kak Fuziah terus memancing hatiku. “Malam minggu ni, tidur sekali ya.”
“Huh, patutlah Onn takut nak bawak saya, sebab macam-macam ada!” sela ku sambil ketawa geli hati. Kami terus ketawa bersama, riang dan penuh mesra, sama seperti dulu-dulu, tidak berubah.

Kali terakhir kami bertemu ketika aku sekeluarga membuat kunjungan ‘surprise’ ke rumah keluarga Kak Fuziah di Kajang setelah mendengar khabar beliau mahu mengahwinkan satu-satunya anak perempuannya; Intan. Namun yang terjadi adalah sebaliknya apabila kami pula yang terkejut kerana majlis telah usai semalamnya lagi. Kami tidak mendapat jemputan setelah terputus hubungan hampir 10 tahun lamanya. Dan malam tadi, kami bertemu lagi. Intan pun ada bersama sambil mengendong cahayamatanya yang sudah berusia 8 bulan, yang baru menyambut ulangtahun pada petangnya tadi.

Kami semua berada di rumah Kak Piah, memenuhi jemputan beliau yang mengadakan kenduri bacaan Yassin dan Tahlil, yang dibawakan oleh Ustaz Abdul Rahman, suami Kak Esah yang berlesung pipit itu, antara orang Malaysia yang paling lama telah menetap di bumi minyak ini sejak masih muda belia. Tadinya, sebelum majlis bermula, ketika baru tiba, Ustaz Abdul Rahman yang masih segak dan tegap itu sama seperti 12 tahun lepas rupa penampilannya, seperti mencari-cari seseorang, berdiri di hadapan kami yang duduk bersimpuh di sudut ruang tamu, dan aku hanya tersenyum (tapi tidak disambut pun)sambil beragak-agak hendak menegur, tetapi segan pula kerana wibawa Ustaz (dan huluran senyum yang tidak disambut tadi) lalu hanya tersenyum separuh.

“Mana tuu.. haa.. sapa??” katanya tiba-tiba sambil terus memerhatikan kami tetapi lebih kerap melihatku. “Intan!” suara Kak Esah yang duduk di sofa bersetentangan dengan Ustaz berdiri mencelah menyambut soalan suaminya, yang kurasa dari awal memerhatikan lagak suaminya itu.
“Tuu haa…” mata Ustaz terus singgah padaku saling bertembung pandang lagi. Saling berbalas senyum dengan rasa hormat dan mesra.
“Saya Ustaz,” Aku menjawab serentak dengan sahutan Kak Esah.
“Apa khabar Ustaz?” sambungku dengan rasa segan.
“Ni yang lahir di sini dulu kah?” tanya Ustaz sambil angguk-angguk kepala, menjawab pertanyaanku sekali gus menunjuk ke arah Ain. Aku pun angguk-angguk kepala. Ustaz senyum.
“Yang lagi sorang mana? Yang sulung tu?” Naqiblah maksudnya tu, yang selalu kami kendong ke mana-mana sahaja termasuklah ketika berkunjung ke rumah beliau.
“Yang tu kat sana..”

Kemudian, Ustaz beredar tatkala semakin ramai kaum wanita muncul di sekitar mencari ruang untuk melabuhkan punggung. Aku pula merasa puas, kerana masih dikenali di kalangan kenalan lama. Mereka masih ingat seperti aku juga ingat pada mereka.

Selain Kak Esah yang terkenal dengan keenakan masakannya yang sudah lima belas tahun bekerja di dapur Istana, yang aku rasa hanya Kuih Koci Kak Esah sahaja dalam dunia ini, yang benar-benar serupa dengan Kuih Koci buatan arwah Nenda Sariah binti Ibrahim yang aku rindui yang sangat teliti dalam pekerjaannya itu sehingga aku selalu mampu menghabiskan begitu banyak kuih itu kerana terlalu enak, lembut dan lemak dengan inti kelapa muda terpilih yang diparut perlahan tidak mencecah bahagian tempurung yang bakal mencemar kelapa parut yang putih suci, kemudian dimasak bersama gula anau atau gula kabung buatan paling sedap di kampung hingga kering dan aku selalu mencuri-curi menjamahnya, kemudian dibungkus lalu dikukus sesudah menyelimutinya dengan sesudu demi sesudu pati santan lemak masin yang paling pekat.

Aku juga bertemu dengan Cik Li dan isterinya Shima yang kini ditemani anak perempuan comel berumur 8 tahun. Mereka ini di antara rakan-rakan lama yang pernah berkawan mesra sebelum kami kembali ke tanahair pada 1998 yang lepas. Shima masih ramping dan semakin ‘loyar buruk’ sepadan dengan Cik Li yang lupa-lupa ingat umur anak keduanya yang berada di bumi Malaysia sekarang ini. Katanya, dirinya haram dimakan kerana sifat dirinya dua alam. Amfibia la tu, sahutku tapi tak didengarinya. Hisy, umur anak sendiri pun tak ingat, sebab asyik menyelam sahaja, rungutnya kepada diri sendiri sambil menggaru-garu kepalanya yang berambut lurus nipis, sedang misainya bergerak-gerak terbang ditiup angin suaranya dan angin kipas di siling ruang tamu itu. Kami tergelak-gelak melihat kelucuan Cik Li, berbeza benar dengan raut wajahnya yang bermisai melintang dengan mata tajam merenung garang tapi serabai sederhana hanya memakai baju ‘Pagoda’ putih dan seluar slack coklat kelabu, seperti seseorang yang ‘melarikan diri’ sebentar dari pekerjaan yang tidak pernah selesai untuk memenuhi jemputan kenduri. Aura seorang pensyarah yang pasti digeruni oleh para pelajar beliau, namun di sisi kawan rakan, adalah seorang teman yang menceriakan suasana.

Selesai membungkus Nasi Beriani Ayam masakan Abang Ayob si tuan rumah yang juga chef di Istana, kami saling bersalam-salaman hingga ke kereta. Tiba-tiba Ain menyampuk, “Abah, Ain lum solat!”
“Hah.. masuk balik pergi solat. Karang tak payah berhenti mana-mana lagi,” arah suamiku sambil memberi isyarat supaya aku menemani Ain masuk semula ke rumah Kak Piah. Jam hampir 11 malam, tentu Ain, Hidayat dan Hanessa akan melentok-lentok ke kiri dan ke kanan di dalam kereta sebentar lagi.

Tidak lama kemudian, suamiku muncul di ruang tamu bersama-sama tuan rumah, “Assalamualaikum, kami baru sampai nii..” ucap suamiku bersahaja. Beberapa tetamu yang masih bersantai tergelak.
“Duduklah Onn, kau nak air apa? Nanti Kak Piah buatkan air kopi,” isteri Abang Ayob yang peramah dan mesra dengan senyuman menuju ke dapur.

Tidak lama kemudian aroma segar air kopi panas merebak di ruang tamu. Sementara itu, Kak Piah memanggil-manggil aku untuk mengambil lagi Nasi Beriani Ayam yang sudah dibungkusnya di dalam plastik sederhana besar, setelah aku sendiri membungkus tadi bersama-sama Kak Lang Zai sambil tergelak-gelak dengan lagak lucu Kak Lang Zai yang amat bersahaja namun boleh membuatkan tubuhku krem kerana ketawa terlalu banyak.

Setelah bersalam-salaman lagi buat kali ke dua, kami bergerak disusuli oleh Cik Li sekeluarga dan suara Kak Piah melangsing berpesan supaya jangan bawak kereta laju-laju. Sambil menuju ke kereta, masih juga berbual-bual rancak. Kata Kak Piah, kalau nak berborak lagi masuk balik. Buat teh tarik pulak, celahku. Lepas tu tarik tilam terus tidur, sahut suamiku tiba-tiba. Ketawa lagi. Abang Ayob yang mengiringi berkata, "Masih macam dulu ya!". Agak tersipu tapi Kak Piah menyambut, "Sebab tu Onn tak senang hati duduk jauh-jauh.." Mereka menggiat lagi; kata Kak Piah, dia ingatkan Onn dah putih melepak berkurung dalam rumah sahaja, tapi nampaknya sama sahaja malah makin boroi!! Hahaha... Biasala tu Kak Piah. Abang Ayob bercerita pula tentang kemuculan singkat dan tiba-tiba rakan sekerjanya Badrol yang sudah kembali ke negaranya, tapi dia pun tak sempat berjumpa hanya mendengar cerita sahaja. Kami saling mengenali dan pernah duduk berdekatan semasa di Rauyah Apatelle, Sengkurong.

Kami kembali ke Seria, sebagai tetamu paling jauh, hampir 100 km, dan hampir satu jam perjalanan lancar di lebuhraya. Tamat sudah cuti persekolahan penggal kedua 2010 selama dua minggu dan esok sesi persekolahan bermula lagi seperti biasa. Alhamdulillah. Rutin sebagai pelajar buat anak-anak dan sebagai suri rumah sepenuh masa dengan hobi menulis di sela-sela jadual harian pun berulang lagi.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing