Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, June 10, 2010

Apa khabar, Along?

9 Jun 2010, Wednesday.
Assalamualaikum.
Along yang dikasihi. Apa khabar? Bagaimana dengan kudis gatal di celah-celah jemari Along tu? Kasihannya anak mama ni. Lama sudah Along diuji dengan penyakit kulit itu. Sabarlah banyak-banyak. Mungkin itu ujian untuk Along. Insyaallah lambat laun nanti akan sembuh juga. Bila kita bertemu, mama akan belikan Along multivitamin dan krim vitamin E. Tapi Along kena maintain la makan multivitamin tu, juga sapu krim tu ke tempat yang dijangkiti.
Mama, abah dan adik-adik sihat semuanya, alhamdulillah. Beberapa peristiwa semasa mama rakamkan ke blog Naqhuhines. Hingga kadang-kadang mama tertanya-tanya blog apakah itu sebenarnya? Apakah ia blog anak-anak, atau blog mama atau blog apa? Macam-macam ada di situ. Yang pasti, mama mahu ia dikongsikan bersama kita sekeluarga khususnya.
Usahlah Along rasa terpinggir pula bila lihat gambar-gambar kami di sini. Jangan sedih, ya. Walau ceria macamanapun, kami tetap ingatkan Along. Hinggakan pandang budak kecil yang putih melepak pun teringatkan Along masa kecil dulu. Terserempak dengan budak lelaki berbadan gempal memakai jubah putih langsung terkenangkan Along juga. Bukan mama seorang, tapi Hurin, Hidayat dan Hanessa juga!!
Hmm.. kalau Hidayat bergaduh dengan Hurin, dia akan sebut nama Along mengenangkan saat bergumpal dengan Along di atas katil mama. Bila Adik merajuk dengan kakak, dia pun mula menangis nakkan Along, teringat pulak waktu naik motor dengan Along ronda-ronda keliling taman. Terpaksalah kami pujuk dia baik-baik supaya rindunya tak berterusan. Karang semua akan susah, Along pun akan terkena tempiasnya.. Bila dah macam tu, Hidayat pun kata, dah la jangan sebut nama Along selalu nanti Along kat sana tak senang hati teringatkan kita pulak. Pandai dia, sebab mama yang selalu tegah dia menyebut nama Along, kemudian dia pulak menegah Adik. Menegah tu bukan tak mahu ingat Along, tentulah ingat cuma tak mahu Along jadi resah bila nama diseru-seru dari jauh.
Hari ni Along balik ke rumah ya.. Wah, mesti banyak bawak gendong baju kotor tu. Kesian Uwan kena mencuci pakaian Along. Nanti jangan lupa ucap terima kasih kat uwan dan atok. Susah payah mereka berulang alik ke rumah kita untuk jenguk Along. Mudah-mudahan perjalanan mereka sentiasa selamat, ameen. Baik-baiklah bawa diri tu. Cuti seminggu ni janganlah mengadap tv je ya. Dan jangan lewat bangun solat Subuh. Mama harap kebiasaan bangun sebelum masuk waktu Subuh di madrasah tu dah semakin sebati dengan diri Along. Tentu ustaz ada menyediakan helaian peringatan untuk pelajar di sepanjang cuti ini. Ingat segala pesanan ustaz tu. Usah leka dengan kehidupan di luar yang tentulah berbeza dengan kehidupan di madrasah yang sentiasa di bawah pemantauan mualim.
Sekian dulu catatan buat Along. Mama tak pasti sama ada catatan ini sempat Along baca sebelum kembali ke madarasah semula. Tak mengapalah, lain kali boleh baca, kan. Sedikit berita buat Along; kemungkinan besar tahun hadapan Hurin akan menyertai Along di madrasah. InsyaAllah, doakanlah ya. Keputusan di tangan abah, dan Allah Taala yang menentukan segalanya. Setakat hari ini, nampaknya hati Hurin semakin mantap untuk ke jalan yang sama. Semoga Allah yang memegang hati menetapkan hati kita semua dengan pilihan yang terbaik ini.
Selamat menghafaz. Tingkatkan usaha dan ketekunan. Sekadar makluman, mama hampir berjaya menghafal surah Al Waqiah. Cumanya pertengahan surah agak mengelirukan menyebabkan selalu mama tersasul. Bukan mudah tapi hati mama puas. Tak dapat hafal satu Al Quran hanya surah-surah terpilih pun tak mengapalah. Nanti Along dengar mama baca dan betulkan tajwidnya ya. Insyaallah selesai surah ini, mama nak sambung dengan surah lain pula. Tok Leha pun dah hafal beberapa surah terpilih, jadi mama nak menyertai dia. Kalau balik Segamat, mama nak dia dengar juga supaya dapat dibetulkannya mana yang salah. Dalam diam-diam Tok Leha jadi idola mama rupanya. Uwan Juriah dan Uwan Ramlah pun idola mama juga, dengan kelebihan masing-masing. Uwan Juriah dengan keceriaannya yang selalu menghidupkan suasana. Uwan Ramlah pula memberi contoh terbaik dengan kezuhudannya. Bertuah mama memiliki tiga orang ibu yang sangat istimewa.
Bila nak berhenti ni? Oklah, Along, mama beri noktah di sini, sehingga bertemu awal September nanti untuk menyambut Syawal bersama, salam sayang buat Along dari mama, abah, Hurin, Hidayat dan Hanessa. Salam penuh kasih dan rindu. Jaga diri dan senyum selalu. Wasalam.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing