Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, May 30, 2010

Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.

Semenjak saya beroleh kunci kereta, hampir setiap pagi kami mengintip sekolah ini, memerhatikan kereta yang berderet masuk keluar yang menurunkan  pelajar berpakaian krim coklat dan berkasut hitam.  Ada beberapa guru menunggu di kaki lima.  Kami lihat setiap pelajar akan mengadap guru, diambil suhu badan di dahi, diperiksa tapak tangan barulah pelajar berlalu ke kelas.
Kami terus mengintip.  Tiap-tiap pagi.  Saya mahu trio ini bersemangat kembali ke sekolah.  Memang mereka semakin bosan dan tertunggu-tunggu detik melangkah kaki ke bangunan itu, tetapi kami perlu tunggu sehingga urusan dengan pihak imegresen selesai.  
Akhirnya saat dinanti pun tiba.  Sebaik cop 'dependent pass' tertera di pasport masing-masing, kami anak-beranak menuju ke bilik guru besar dengan penuh sukacita.  Alhamdulillah, walaupun pas penuntut belum diperolehi, namun dengan kerjasama baik di antara pihak sekolah dan pejabat pelajaran yang terletak hanya di belakang bangunan sekolah, trio dibenarkan memulakan persekolahan serta-merta. 
Sudah hampir sebulan trio ke sekolah.  Sudah seminggu pula hubby mengambil alih tugas menghantar mereka ke sekolah, seperti rencana asal.  Memang sekolah mereka sama lokasi dengan pejabat hubby, di daerah comel Seria.  Trio pun menurut sahaja mengikut jadual yang telah ditetapkan; jadual 'siapa duduk depan hari ini?'.  Maka kadang-kadang Hurin duduk di sebelah abahnya.  Kadang-kadang Hidayat dan kadang-kadang Hanessa.  Kalau tidak, tentulah Hidayat semata yang melekat di kerusi depan dengan bangganya.  Semenjak mereka bersetuju jadual disediakan, Hidayat tidak lagi boleh menbantah.  Cumanya, masing-masing selalu membodek Hanessa untuk menumpang duduk bersama apabila tiba gilirannya di depan.  Mentang-mentang si kecil tu memang halus tubuhnya.  Boleh muat duduk berdua.  
Kembali kita ke kisah SRMA ini.  Muridnya tak ramai.  Kelas Hurin pun hanya 18 orang sahaja.  Tahun 6 ada tiga kelas.  Wajah guru-gurunya tenang dan manis belaka.  Semasa menghantar trio ke kelas masing-masing, saya lihat suasana kelas yang bersih, tenang dan dalam kawalan.  Setiap meja ditutup dengan alas meja dan sususan di buat dengan menarik.  Tidak la lurus tegak dan sempit seperti di sekolah lama dulu.  Iyalah, murid tak ramai, boleh la buat susunatur sebebasnya.  Namun tak semua kelas ada penghawa dingin.  
Keseluruhannya persekitaran sekolah juga tenang.  Tidak nampak kelibat guru-guru dan pelajar di merata kawasan walaupun waktu rehat.  Bentuk bangunan yang tertutup menyembunyikan pelajar dan guru-guru di sebalik bangunan dengan rapi.  Hanya semasa balik barulah nampak pelajar berjejeran di sepanjang kaki lima, pun tidak kelam-kabut dan merimaskan.  Tenang semuanya.  
Sedikit kisah tentang Hurin.  Sebenarnya kami suami-isteri agak bimbang andai trio mendapat kejutan terutamanya Hurin.  Dia akan menghadapi peperiksaan besar PSR (seperti UPSR juga) pada bulan Oktober nanti.  Tidak meletak beban harapan keterlaluan, kami mahu dia enjoy ke sekolah seperti biasa.  Al maklum semasa di sekolah lama, dia selalu jadi mangsa buli.  Tahun 4 diikuti tahun 5, dan akhir sekalil di tahun 6; dia selalu disakat pelajar lelaki.  Tak ramai, seorang sahaja. Hari-hari pulang rumah dengan cerita orang yang sama mengusik dan menyakat dia seorang sahaja.  Seorang sakat seorang... Orang hitam manis memang manis agaknya, makin dipandang makin ingin diusik barangkali.
Sebagai persediaan, kami usahakan air doa dari seorang kiai di penempatan.  Untuk Naqib yang akan ditinggalkan, dan untuk trio yang akan menempuh situasi baru di sini.  ALhamdulillah, di samping doa-doa yang dipanjatkan dan kata-kata perangsang yang dirangkaikan untuk anak-anak ini, serta dengan pertolongan Allah yang Maha Pengasih, minggu pertama dan seterusnya begitu ceria dan mudah untuk mereka.  Hurin sama sekelas dengan Ketua Pengawas paling periang dan paling kelakar, yang telah membantu menghilangkan segala kerungsingan di hatinya.  Bahkan setiap pagi Hurin semakin bersemangat hendak ke sekolah walaupun pernah dia hampir menangis kerana tidak memahami ucapan guru Bahasa Inggerisnya.  Sebenarnya saya merasa satu keajaiban.  Selama ini Hurin disakat dan dibuli hingga menangis pulang sekolah, kali ini dia sentiasa riang dan ceria.  Setiap hari masih bercerita, tetapi dengan nada berbeza.  Nada keriangan dan ceritanya pun cerita yang meriangkan. 
Syukur ke hadrat Illahi yang mencorakkan lakaran indah buat kami di sini.  Alhamdulillah..

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing