Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, May 8, 2010

Kak Leha

Alhamdulillah, sudah satu bulan satu minggu kami di bumi bertuah yang sentiasa biru indah bumbung langitnya, sentiasa putih bersih berbagai bentuk awannya dan hampir setiap hari pelangi melingkari pinggir langit.  Hampir setiap petang pula kami menatap mentari merah yang menyebarkan lembayung senja yang menghamparkan lukisan alam nan indah begitu hidup di tepian pantai Liang Lumut.  Sempat juga merakamkan beberapa detik matahari tenggelam dengan langit yang kebiruan, sambil mengucapkan betapa indah dan hebatnya alam ciptaan Tuhan buat hamba-hambaNya di bumi ini.  Kadang-kadang kami bersua dengan tubuh obor-obor yang berdampar kaku di pasir halus, dan sekali bersua dengan lingkaran ular laut yang sudah maut.  Hanessa dan Hidayat semakin galak bermain air laut, biarpun ombak kadangkala ganas menghentam pantai.  Bermain pasir, mengutip kulit kerang dan menangkap ketam yang menyorok di dalam kulit siput, itulah aktiviti anak-anak dalam percutian yang agak panjang ini.  Aku menjadi pengusaha nurseri privasi dengan pelbagai aktiviti untuk menghilangkan kebosanan dan melalui hari dengan sesuatu yang masih merangsang pemikiran.
Hampir setiap hari kami akan menghantar beg sampah ke Jastre lalu terus ke Seria untuk menghafal jalan ke sekolah dan kedai-kedai di sepanjang pekan.  Beberapa hari lepas kami berjaya menemui perpustakaan Seria yang agak tersorok di hujung Lorong Bolkiah, dan penemuan itu amat menggembirakan kami, namun sehingga hari ini belum pula berkesempatan untuk menjenguk tambahan pula cuaca agak lembap dengan hujan di malam dan pagi hari.  Sebaik sahaja menerima kereta tiga minggu lepas, aku menyediakan jadual giliran 'Siapa Duduk Di Seat Depan' untuk Ain, Hidayat dan Hanessa dan alhamdulillah membantu anak-anak ini untuk patuh dan mengurangkan persaingan.  Syarat tambahan ialah sesiapa yang duduk di seat depan turut bertanggungjawab mengambil sampah dan membuang sampah di Jastre.  Cuma kadangkala kasihan kepada sikecil Hanessa, Ain membantunya dan mengenakan syaratnya sendiri iaitu 'kakak duduk depan dengan kamu'.  Hanessa pula bukanlah adik yang terlalu mengada-ngada dan cerewet bahkan tutur bicaranya selalu lebih matang daripada usianya.  Maka kadangkala Hidayat turut mengambil kesempatan memujuk Hanessa untuk membenarkan dia duduk di seat depan bersama-sama.  Aneh, mengapa seat depan sangat menarik perhatian... Apakah semua anak-anak begitu?  Atau hanya bersama aku sahaja...
Kami juga semakin mesra dengan tuan rumah yang kupanggil Kak Leha dan Abang Mansur.  Watak Kak Leha saling tak tumpah seperti mak yang sentiasa aktif dan mesti melakukan sesuatu, diamnya bererti kurang sihat.  Manakala wajahnya amat mirip dengan Mak Lang Bidah, adik mak di Rasah Jaya (Hei, namanya pun sama la! Zaleha jugak!!) .  Setiap kali aku melihat dia, segera aku teringat kepada Mak Lang yang jarang-jarang ditemui.  Bila mendengar pelbagai rencana yang disusunnya, aku teringat pula kepada mak.  Dia dan mak sama-sama sayang kepada kucing.  Kucing-kucingnya banyak dan sihat-sihat belaka dengan bulu yang bersinar.  Ada seekor bernama Moyeng yang paling manja, paling besar dan paling istimewa.  Kak Leha turut berbicara dengan Moyeng, sama seperti mak yang berbual-bual dengan kucing-kucingnya.  Sayangnya Hanessa semakin arlegik kepada kucing menyebabkan aku terpaksa selalu memperingatkan dia agar tidak memeluk Moyeng yang manja.  Kak Leha turut membela pelbagai jenis tikus.  Haiwan-haiwan inilah yang menjadi hiburan anak-anak.  Juga ada seekor itik yang telah selamat dikorbankan dua minggu lepas, apabila Kak Leha meminta suamiku menyembelih langsung memasak rendang itik. Nyaman juak walaupun agak liat. 
Semalam, Kak Leha membawa kami ke BSRC di Seria.  Anak-anak mandi sepuas-puasnya di kolam mandi sehingga sukar hendak diajak balik.  Hmm.. Kak Leha pula suka melayan anak-anak.  "Biar tah!" kata Kak Leha setiap kali aku merungut kerana sukar hendak membuatkan anak-anak keluar dari kolam.  Apa tidaknya, masih ramai yang terus mandi-manda biarpun suasana semakin suram petang. 
Mudah-mudahan catatan ini dapat disiarkan tanpa masalah.  Menggunakan b-mobile semata, coverage internet kurang memuaskan.  Salam buat semua dan ketemu lagi.  InsyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing