Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, February 4, 2010

Makhluk paling riang

Waduhh, pagi ini aku sudah berlari-lari di dalam kawasan sekolah kerana hendak mengejar Ain yang sedang menuju ke kelasnya.  Kalut sedikit pagi ini, agak terlewat menghantar mereka ke sekolah.  Sehingga sampai di pagar sekolah yang baru dicat warna kuning itu, bersalaman dan mencium pipi masing-masing, mereka berlalu pergi tanpa wang saku.  
Kasihan memikirkan di waktu rehat nanti mereka bakal terpinga-pinga mencari wang di dalam saku, aku gagahkan diri memanjat tangga ke kelas Ain. Dia agak terperanjat (langsung tak ingat pasal wang saku la tu..) kemudian tersenyum, dan aku pesankan agar dia pergi ke kelas Hidayat juga (segan nak merayap di kawasan sekolah dari hujung ke hujung) untuk memberikan wang kepada adiknya itu.  Kelas Hidayat di bangunan berasingan dan paling jauh dari bangunan kelas Ain.  Ain enggan tetapi kemudian harus akur dengan amanah yang kuberikan.
Menuruni tangga, kulihat dua pengawas sedang memujuk Hanessa yang terduduk di mata tangga sambil menangis.  Di tangannya ada sehelai wang kertas RM1 dan beg tersadai di belakangnya. "Ini anak acik ke?" tanya pengawas perempuan yang lebih besar sambil memandangku.  Aku mengangguk sambil menghadiahkan senyuman.  Lalu kubangunkan Hanessa membawanya menuruni tangga.  Hampir dia terjatuh kerana kurang imbangan badan.  "Duit ni..." katanya mengunjukkan wang di tangannya.  Sejak aku memberinya wang tadi, dia kepoh sedikit kerana tidak dapat menyimpan wang di poket belakang seluarnya.  Semalam guru telah memberi semua pelajar sepasang pakaian untuk dipakai setiap Selasa dan Khamis, iaitu baju-t berwarna kuning dan seluar track berwarna merah menyala dengan tulisan prasekolah Sekolah Kebangsaan Sijangkang.  Sejak malam tadi Hanessa sudah menyiapkan pakaian itu untuk dipakai hari ini.  Bersemangat sungguh dia. Cuma poket seluar baru itu di bahagian belakang, sukar untuk dia meletakkan wang ke dalamnya.  

Kami terus berjalan ke kelas prasekolah Anakku Gemilang.  Tidak ada pelajar yang bersidai seperti selalu.  Cuma ada seorang kanak-kanak lelaki yang agak lucu menghampiri pintu lalu menyapa Hanessa, menyebut namanya berkali-kali.  Aku teringat pelajar inilah yang juga mengulang-ulang nama Hanessa semalamnya.  Dia ketawa riang sekali.  Hmm.. kanak-kanak memang putih bersih hatinya, tidak memikirkan sebarang permasalahan dunia.  Keriangan dan tawa mereka begitu tulus dan jujur.  Andai hati rawan dan bimbang, lihatlah kerenah anak-anak yang periang ini, pasti kita akan terhibur.  Banyakkan bersedekah kepada kanak-kanak kerana mereka makhluk yang paling ikhlas menerima pemberian anda; keikhlasan dan kegembiraan mereka menjadi penyebab doa anda diterima Allah Taala, insyaAllah.
Tatkala Hanessa melangkah masuk ke kelasnya, sempat kujenguk ke ruangan belajar.  Kebanyakan kanak-kanak sedang duduk di tempat masing-masing asyik bermain sesuatu di tangan sambil menanti waktu untuk minum pagi.  Pagi ini tiada aroma yang menyelerakan yang kadang-kadang menyapa pancaindera bau kami, jadi mungkin hidangan pagi ini ialah biskut dan air teh sahaja. Di satu meja, seorang kanak-kanak lelaki sedang duduk menghadap arah pintu.  Dia tersengih lebar memandang Hanessa sebagai alu-aluan.  Hanessa yang masih bersisa bekas tangisan di pipi, tiada langsung secebis senyuman.  Namun, urusanku tetap beres apabila dia tidak berpaling lagi meninggalkan pesanan demi pesanan seperti selalu.  Aku tahu hatinya kembang riang kerana berpakaian baru seperti kawan-kawannya yang lain.  Tentu hatinya bertambah kembang berbunga-bunga apabila bakal menerima sepasang uniform ungu pula.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing