Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, February 23, 2010

Hai anakku...

Jam tanganku menunjukkan tepat 2.30 petang. Cuaca panas terik di luar.  Si Putih, Tompok dan anak-anaknya tidak kelihatan, tidak seperti selalu akan muncul berlari-lari mengiau meminta makanan menuju ke bekas aiskrim biru kuning yang berisi biskut berperisa ikan kegemaran mereka sebaik sahaja aku membuka gril sliding tepi kolam. Mungkin kucing-kucing itu sedang berehat kelelahan menyembunyikan diri di tempat sejuk nyaman di belakang rumah, melebihi keperluan mereka kepada makanan. Bagus jua, kudapat sedikit ketenangan.  Kerapkali aku hampir tersungkur ke dalam longkang ketika meniti kaki lima ini kerana Tompok dan Putih suka menghalang-halang langkahku.  Juga anak Tompok pernah terjerit kesakitan apabila kasut tumit 2 inciku terpijak kakinya tanpa sengaja. Ah, memang sengaja menempah bala berada dekat-dekat dengan kakiku yang tidak bermata ini.

Aku jengah Hidayat di biliknya, dia sedang berehat bersandar di bantal di penjuru katilnya sedang katil itu penuh dengan pelbagai barang termasuk permainannya. Aku putarkan tombol suis kipas untuk melajukan putarannya yang sederhana lalu menatap wajah Hidayat. Hmm, ada airmata meleleh di sudut mata kirinya menuruni pipi kirinya. 
"Mengapa menangis?"  Mendengar pertanyaanku, Hidayat terus terisak-isak, berjujuran airmatanya.
Aku tidak memperdulikan situasi itu, lalu menuju dapur dan mengisi air masak ke dalam tumbler panjang untuk dibawa ke dalam bilik semula. Melintasi bilik Hidayat, kuhulurkan tangan menutup suis kipas, "dah, jom masuk bilik mama."  Aku terus masuk ke dalam bilik tanpa menunggu.
Kemudian, Hidayat muncul di pintu bilik. Dia hanya berdiri tanpa suara, menanti reaksiku.
"Dah, tidur.  Jangan bergaduh dengan adik."

Waktu ini, anak itu sudah lena memeluk bantal peluk berwarna biru dengan gambar planet dan kapal angkasa. Wajahnya tenang, nyenyak dan agak kepenatan. 

"Cepat pakai baju ni, nanti lambat sampai sekolah."  Aku menggesa Hidayat tadi. Balik dari sekolah kebangsaan, dia menghilangkan diri di dalam bilikku.  Kujenguk, kelihatan dia berbaring di atas lantai masih berseragam sekolah lengkap.  Dia enggan makan.  Kusogokkan tambahan wang poket untuk memancing keinginan ke sekolah ugama petang. Setelah puas aku melayani sembangnya yang entah apa-apa, tanpa aku cuba menunjukkan bahawa aku amat mengerti maksudnya, akhirnya Hidayat menyatakan isihatinya.... "Kakak tak sekolah semalam...."  Airmata Hidayat meleleh.
"Cikgu tampar muka Hidayat tadi sebab tak siap kerja..."
"Tadi adik pun tak sekolah..."
Satu persatu Hidayat meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya.

"Hidayat, kakak ada hal orang perempuan.  Memang kadang-kadang dia pening," aku memberi alasan.
"Cikgu sayang Hidayat lebih dari kawan-kawan, sebab tu cikgu nak Hidayat belajar betul-betul dan cepat buat kerja." aku cuba merasionalkan tindakan cikgu itu.
"Hidayat tau kan pagi tadi adik muntah selepas sarapan, dia tak sihat." aku cuba mengingatkan peristiwa pagi tadi di meja makan.

Aku dan Hidayat saling berpandangan. Saling menyelami. Aku cuba mengerti.  Hidayat mahukan keadilan dan persamaan hak.  Dia rasa dia juga berhak untuk ponteng sekolah seperti kakak dan adik, walaupun dia tiada alasan yang sesuai, hanya dia perlu tidak ke sekolah. Dan dia memilih petang ini untuk maksud itu. 

Bahang panas serasa bersaing dengan kesejukan penghawa dingin di bilik ini. Aku sudah meminimakan suhu  penghawa dingin namun masih terasa bahangnya. "Baiklah, kalau tak nak sekolah, tukar baju.  Tapi mama tidak benarkan Hidayat main komputer atau masuk di bilik mama.  Hidayat kata Hidayat tidak sihat, jadi buat cara tidak sihat.  Baring di bilik sendiri." Aku berkata nada tegas. Tidak ada kelembutan atau kemanisan.  Serius.  Hidayat berlalu dengan tangisan.   Dia ada menyebut kepalanya pening... alasan yang didengarnya dari Ain semalam.

Namun, naluri keibuan tidak membenarkan aku menyisihkan anak ini sendirian di biliknya. Aku tahu dia agak penakut, dia tidak segan untuk meminta Hanessa menemaninya di pintu bilik air atau ke dapur baik waktu siang apatah lagi di malam hari,  bahkan Hanessa lebih berani dari dia.  Aku cuma mahu menunjukkan ketegasanku dan bahawa aku tidak kompromi menghukum dia kerana mahu ponteng sekolah. 

Hai anak, ini semua mama catatkan dalam perjalanan bersama kalian. Andai mentari tetap bersinar 100 tahun lagi, kamu akan dapati catatan ini sebagai kenang-kenangan ketika masa telah berlalu meniti usia, untuk kamu kongsikan bersama anak-anakmu pula.... bahawa mama sangat mencintai kamu. Harapan dan doa mama, semoga anak-anak mama kelak menjadi orang yang berjaya dalam segala usahamu.  Jangan menjadi beban tetapi jadilah seorang pahlawan dalam menempuh segala onak pancaroba kehidupan. Gantungkan hatimu kepada Allah SWT yang mana jika kamu mengingatiNya dan menunaikan hakNya, Dia tidak akan membiarkan kamu sendirian dan kedukaan.  InsyaAllah.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing