Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, February 3, 2010

Gadis Kecilku

Hari ini hari ketiga bulan pertama gadis kecilku tidak membuat ragam di pagi hari.  Dua hari semalam ada tercetus rengekan kecil tetapi cepat padam dek amaranku.  Dia tidak lagi berdukung ke kereta, tidak juga ke kelasnya.  Cuma aku masih perlu menghantar dia sambil berpegangan tangan dengannya, hingga ke hadapan pintu kelas.  Hari ini hari pertama juga dia membuka kasutnya sendiri dan meletakkan di rak kasut.  Kemunculannya disambut oleh senyuman rakan-rakannya, yang bersidai di hadapan pintu kelas.  Ada yang memanggil-manggil namanya berulang kali, hingga "Apa? Kau ingat aku pekak ke?..." jawab gadis kecilku dengan nada suara yang ceria diiringi senyuman mesra.
Aku mengucup kedua pipinya dan menghembuskan doa selawat ke ubun-ubunnya, dan dia mencium tanganku.  Aku melangkah dengan tenang tanpa ada lagi pesanan seperti 'mama, tunggu di pondok itu.' atau 'mama, tunggu dalam kereta sahaja.' yang tidak pernah aku lakukan sebenarnya.
Alhamdulillah, dia semakin pandai menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di sekolahnya.  Setiap kali pulang, kami menuju ke kedai pilihannya dan di sana ada juga kawan-kawannya yang sedang membeli jajan sebagai hadiah setelah setengah hari berseronok dan makan-makan di kelas.  Jadi setiap hari dia akan memastikan duit poketnya juga ada seperti yang diperuntukkan buat kakak dan abangnya.  "Mama, Baby nak duit kertas." katanya memperingatkan setiap pagi. Dia akan bersiap hendak membayar di kaunter dengan wang kertas RM1 itu dan aku perlu menyediakan wang lagi untuk mencukupkan bayaran.
Kelmarin dia bercerita bahawa kawan-kawannya begitu seronok bermain magnet.  "Jadi, kamu bawa magnet ke sekolah?" aku membayangkan magnet-magnet bujur berwarna hitam yang  kubeli semasa belajar dulu, untuk permainan dan pembelajaran kanak-kanak di nurseri.  Gadis kecilku mengangguk sambil tersenyum lebar-lebar.  
"Mana magnet itu sekarang?" 
"Kawan-kawan Baby nak.." katanya tanpa secubit pun perasaan bersalah.
Aku mengalahkan perasaan sendiri, bahawa itu adalah hadiah gadis kecilku kepada rakan-rakannya.  Nampaknya kebaikan hatinya itu telah menambat mereka terhadapnya seperti yang kulihat akhir-akhir ini daripada sambutan selamat datang yang diberikan.
Awal minggu, dia bercerita tentang kawan-kawan termasuk gurunya yang kegelian melihat lipas getah yang dibawanya dari rumah.  Dia sungguh riang ketika menceritakan kisah itu.  Tentu lebih gamat andai dia membawa cicak getah yang lembik dan sejuk itu.  "Cikgu suruh Baby simpan lipas tu balik," katanya bersahaja.

Semangatnya semakin melonjak dan membuak.  Dia pelajar paling menikmati pembelajaran di sekolah dibandingkan dengan dua lagi pelajar di rumah ini.  Sebaik sahaja kembali ke rumah dari sekolah, dia akan mengeluarkan buku Kalam (mengenal huruf) dan mula membaca di bawah pemantauanku.  Dia akan membaca dari muka surat pertama walaupun sudah kenal benar dengan huruf  a  dan b itu.  Dia akan susah hati apabila lambat mewarnakan gambar-gambar yang ada.  Kadang-kadang guru membekalkan beberapa buah buku untuk disiapkan dan dia tanpa bertangguh akan menyelesaikannya.  Apabila abangnya lambat membuat homework, dia dengan bangga mengatakan homeworknya sudah selesai.  
Secebis kisah tentang gadis kecilku, satu-satunya orang terakhir yang membuat perubahan baik di prasekolah SKS ini. Semoga dia terus cemerlang dalam usaha mencari ilmu buat pedoman di hari-hari yang dilalui.  Ameen.

2 comments:

fzi said...

Salam mazzuin...
Seronok melayan kerenah si kecil ya... kurang2 awak ada lagi anak kecil... anak saya yang paling kecil nya dah tak kecil mana...dah form 3...huhu

NaqHuHiNes said...

hmm gitulah melayan kerenah si bongsu ini. dia pun akan membesar seiring dengan masa yang berlalu. fzi, saya cadangkan tambah lagi seorang anak kecil tentu keluarga akan ceria selalu.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing