Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, January 20, 2010

Ziarah Selasa, 19 Jan 2010

Beberapa wanita berdiri mengelilingi sesuatu.  Ramai lagi yang duduk memenuhi setiap ruang yang ada.  Saya terpaksa menyelitkan diri seboleh mungkin untuk melihat apakah yang sedang berlaku.  Ohh, rupa-rupanya jenazah sedang dikafankan di perbaringan.  Saya meneliti wajah jenazah.  Cukup tenang namun ada kehibaan.  Sepasang matanya seolah memandang kejauhan penuh sayu.  Wajah itu cengkung, tidak berisi langsung.  Serta merta bayangan kekanda Liza menjelma di ruang mata.  Al Fatihah terus menerus saya hadiahkan kepada arwah.  Tiga wanita separuh umur saling bekerjasama menyusun helaian kapas dengan teratur di tubuh dan wajah arwah.  Mereka memakai baju kurung bunga kuning bertanah hitam,pakaian seragam untuk membezakan mereka daripada tetamu.  Di kanan jenazah, seorang kanak-kanak perempuan sekitar 8 tahun memerhatikan dengan tekun.  Dia dipangku oleh seseorang.  Wajahnya tenang namun ada riak hiba, sayu dan sedih.  Seorang wanita di sisi saya memberitahu kanak-kanak itu adalah anak arwah.  Agak jauh di hujung kepala jenazah, ada seorang lagi kanak-kanak yang lebih besar mungkin 10 tahun usianya, merah wajahnya menahan sebak dan kadang-kadang ia mengesat-ngesat matanya.  'Mungkin itu juga anak arwah,' duga saya.
Tubuh jenazah mula dibungkus dengan kain putih yang ditaburi kapur barus dan haruman air mawar.  Pekerjaan wanita-wanita itu cermat dan lancar.  Sekadar meninggalkan bahagian wajah untuk dilihat buat kali terakhir, ahli keluarga terdekat arwah menghampiri seorang demi seorang memberikan kucupan terakhir sebelum berpisah buat selama-lamanya, dimulakan oleh kedua orang tua diikuti dengan suami dan anak-anaknya, dan diakhiri oleh adik-adiknya dan kaum keluarga terdekat.  Suara tangisan yang sayu mula kedengaran perlahan, mengusik rasa hati.  Masing-masing cuba seboleh mungkin mengawal tangisan namun airmata tumpah jua dan wajah terbias rasa duka yang dalam.
Pengumuman dibuat untuk jemaah lelaki masuk melaksanakan solat jenazah.  "Beri laluan kepada muslimah untuk keluar terlebih dahulu." Seorang tua memberikan arahan.  Kaum wanita yang memenuhi ruang mula bangun dan keluar dari ruangan itu.  Saya cepat-cepat menuju ke arah Cik Som, ibu arwah dan menyalami tangannya.  Saya cium tangannya dan saya paut tubuh Cik Som. "Sabar, cik.."
Kemudian saya menyusup di celah-celah kaum wanita yang mula berpusu-pusu keluar.  Bertembung pula dengan Cik Bahaman dan Cik Jufri, kedua-duanya bapa saudara suami saya.  Cik Bahaman adalah bapa arwah.  Selepas berbasa-basi, saya dan Naqib mengatur langkah keluar dari kawasan perkarangan rumah.  Di luar ramai orang lelaki berdiri-diri menunggu untuk bersolat jenazah.
Al Fatihah untuk arwah Salmah bt Bahaman yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini kerana kanser perut.  Dua tahun lepas adinda arwah telah terlebih dahulu kembali ke hadrat Illahi kerana kanser.  Semoga roh kedua-duanya dilimpahi rahmat Allah dan ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman.  Ameen.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing