Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, January 4, 2010

Jenayah di madrasah

Ahad 3 Januari, jam 9 pagi, Naqib sudah siap menunggu di madrasah.  Malam tadinya dia menelefon (minta call back) memberitahu mahu outing esoknya.  Maknanya dia mahu keluar sebentar.  Apabila saya sampai, dia terus mendapatkan saya di kereta dengan senyuman lebar.  Wajahnya berseri-seri, tentu hatinya sedang keriangan dengan kedatangan saya sebagaimana yang telah dijanjikan dua minggu lepas.
"Mama, Along nak khidmat dulu sekejap," kata Naqib sebelum menghilangkan diri semula di dalam asramanya.  Saya menunggu di dalam kereta, menghidupkan enjin dan mendengar nasyid Anak Soleh.
Akhlak ialah bunga diri
Indah dilihat oleh mata
Senang di rasa oleh hati
Semua orang jatuh hati
       Akhlak nilai diri manusia
       Modal hidup di mana-mana
       Ke mana pergi orang suka
       Banyak kenalan murah rezeki
Ini nasyid kegemaran saya serta anak-anak.  Semasa memandu, kami akan bernasyid bersama-sama sepenuh perasaan sehingga terbatuk-batuk dan tersedak-sedak, dengan lagunya yang sudah agak rosak kerana sudah lama digunakan dan terlalu kerap.  Rasa release.. dan mengasyikkan.
Sambil menikmati nasyid, mata saya melilau memerhatikan suasana sekitar.  Saya sedang menghadap beberapa pekerja berwajah India Muslim yang sedang berkhidmat mendirikan bangunan masjid.  Seorang sedang memantau mesin memutar simen, manakala seorang lagi sedang menyodok pasir dan simen untuk dimasukkan ke dalam mesin yang sedang berputar perlahan.  Ada beberapa orang lagi yang kelihatan sedang mengerjakan bahagian pagar di tepi khemah gergasi yang menempatkan segala peralatan ijtimak tahun lepas.
Mata saya beralih pula ke bangunan asrama.  Seorang pelajar berjubah kelabu yang segak rupanya berjalan ke hujung ke pangkal, kemudian mula mengelap tingkap luar bilik ustaz.  Seorang pelajar lagi yang berpakaian baju Melayu cekak musang biru berseluar hitam turut menyertainya mengelap tingkap yang lain pula.  Kemudian muncul pula seorang pelajar berkain pelikat kotak-kotak dan berbaju melayu biru tua membawa gergaji menuju ke bahagian kiri asrama.  Entah apa yang hendak dipotong, tidak dapat dipastikan.  Dia dituruti oleh seorang lagi pelajar yang juga membawa gergaji.  Di sudut kiri asrama, 5 orang pelajar sedang mencuci kereta Iswara Aeroback berwarna coklat; dua orang mencangkung mencuci bahagian tayar manakala yang lain menyiram badan kereta dengan sebaldi air bergilir-gilir.
Ada juga yang bermain bola di kaki lima bangunan, mungkin tugas mereka telah selesai.  Beberapa kali bola ditendang bergilir-gilir, akhirnya bola itu menuju ke kereta saya lalu terselit di bawah pintu kereta.  Saya tersenyum melihat masing-masing menunjukkan aksi melopong.. kelakar budak-budak itu.  Saya buka pintu kereta dan menolak bola itu keluar dari bawah pintu kereta.  Tidak lama kemudian datang seorang dari mereka mengambil bola itu.
Saya terus memerhatikan pelajar-pelajar yang muncul silih berganti di kaki lima asrama.  Ada seorang pelajar yang tinggi, jauh lebih tinggi daripada mana-mana jua pelajar yang saya nampak.  'Mungkin inilah pelajar dari California tu..' getus hati kecil saya.  Kata Naqib, pelajar ini bahkan lebih tinggi daripada ustaz-ustaz di sana.
Tidak lama kemudian, Naqib muncul semula siap dengan jubah putih dan serban.  Dia menjinjing dua beg plastik di tangan, 'pasti baju kotor la tu..'
Selepas mendapatkan kebenaran dari Ustaz Hafiz, kami bergerak pulang ke Sijangkang.
Bermulalah dialog antara saya dan Naqib.

"Mama, Along rasa senang nak menghafaz bila Along tahu mama nak datang hari ini..."
"Ye ke?  Selama ni susah ke?"
"Iyalah, masa dengan abah tu, Along tak tahu bila mama nak datang.  Along fikir je selalu."
"Kenapa nak fikir-fikir pulak.  Mama datang la bila tiba masanya."
"Tetapi bila mama dah berjanji akan datang selepas dua minggu, Along rasa senang hati.  Along sudah  khatam juz 30,  sekarang tebuk juz pula.  Tak sabar nak masuk juz 29."

Saya diam.  Memang selepas abahnya berangkat ke luar negeri tempohari, saya menghantar Naqib pulang ke madrasah lalu saya terpaksa berjanji akan menziarahi dia dua minggu sekali, berlawanan dengan ketetapan asal abahnya iaitu ziarah dua bulan sekali.  Ternyata jejaka muda ini senang hati dengan persetujuan dan kesanggupan saya.  Namun saya tetap berhati-hati dengannya, bimbang terjebak dengan permintaan di luar undang-undang madrasah.

"Bila abah balik?"
"Awal bulan hadapan."
"Along nak cuti sehari."
"Eh, apahal pulak memandai-mandai cuti ni?"
Saya mula rasa semacam...
"Boleh la mama.. Along nak bagitahu ustaz, ustaz akan mesyuarat dulu."
Saya diam.
"Ada budak yang balik sehari.  Sabtu petang balik rumah, Ahad sebelum Asar balik madrasah.  Ustaz bagi."
Naqib menjelaskan bersungguh-sungguh.

Saya berfikir-fikir, menimbangkan permintaan Naqib.  Saya cuak, andai perlepasan pertama mengundang permintaan seterusnya.

"Baiklah, kita akan ke klinik pakar kulit sekali."  Akhirnya saya bersetuju.  Dapatlah kami sekeluarga berkumpul bersama, dan pada masa yang sama boleh membawa Naqib mendapatkan rawatan lebih lanjut di klinik pakar sekitar Klang nanti.  Sudah tiga bekas krim dan tiga peket ubat menahan gatal yang dibeli di farmasi Tangkak tempohari untuk sebulan digunakan, tetapi keadaan gatal yang dialami Naqib masih belum menampakkan kesan baik.  Hati saya amat belas melihat Naqib.  Kulitnya yang putih gebu semasa bayi telah bertukar dengan kesan parut hitam yang jelik.  Sungguh kasihan melihatnya!
Tengahari itu, kami bersama ke kenduri khatam quran dan berkhatan di taman sebelah.  Kemudian kami pulang, dan Naqib mengambil kesempatan berehat sebentar di dalam bilik saya.  Jam tiga, saya mengejutkan Naqib supaya bersiap untuk pulang ke madrasah.  Uwan dan atuknya pun turut serta.  Uwan nak merasakan Naqib naik kereta baru Persona sambil ingin melihat madrasah.  Ain dan Nabilah tinggal di rumah kerana tidak muat hendak ikut serta. Hujan turun agak kasar membuatkan saya memandu perlahan dan berhati-hati.  Kereta baru... mesti lebih cermat dipandu.  Mak menyandar di belakang melayan kerenah Nessa yang mulai mengantuk.  Sebelum itu, Naqib meminta saya singgah di kedai Aceh untuk membeli keropok kegemarannya dan kicap buatan Indonesia, "sedap gilerrr..." kata Naqib menceritakan keenakan keropok perasa udang dan kicap itu yang pernah dirasanya kepunyaan kawannya dari negara seberang itu.
"Bila kamu menggoreng keropok ini?" tanya saya.  Naqib pernah membawa sepeket keropok ini ke madrasah dua minggu lepas.
"Time ginilah, apabila ustaz tidur atau keluar, dan tukang masak pun tiada."
"Bahaya tu.. jika terjadi apa-apa semasa di dapur."
"Bukan Along yang goreng, budak-budak lain yang goreng."
"Jadi, sekali adap sajalah?"
"Haah.. ramai-ramai makan."

Itulah jenayah di madrasah.  Jenayah masak magee di waktu semua sudah masuk tidur dan mula berdengkur, mereka yang kelaparan dan panjang akal bangun memasak magee.  Menggoreng keropok di dapur asrama tanpa pengetahuan pihak pengurusan juga boleh dianggap jenayah, jenayah ringan yang merbahaya.  Ada juga yang membentuk kumpulan kecil dan berjaga sepanjang malam, berbual-bual kemudian membangunkan kawan-kawan seawal jam 4 pagi, "bangun! sudah jam 5, sekejap lagi Subuh!!" lalu membuka lampu-lampu menjadikan suasana bilik asrama terang-benderang.  Namun ini selalu berlaku pada hujung minggu sahaja.  Keadaan di hari biasa lebih terkawal kerana jadual pengajian yang lebih ketat dalam pemantauan ustaz-ustaz.

Sekitar setengah jam di madrasah, kami beredar selepas bersalam-salaman dengan Naqib. Uwan dan atuk menghulurkan RM10 masing-masing kepada Naqib.  Bertambahlah duit poketnya..  Kami bergerak pulang dalam hujan renyai yang kian kasar.  Naqib melambai-lambai dari jauh dengan wajah yang tenang.  Tiada riak yang menyusahkan minda saya.  Alhamdulillah. 
Petang itu, sekembali dari Giant dan Jaya Jusco, mak terpandang peket beg plastik berisi keropok kegemaran Naqib tertinggal di dashboard belakang.  "Kasihannya cucu aku, kalau dekat aku pergi hantar sekarang jugak!" kata mak.  "Itulah asyik buat budget je, last last keropok sedap gilerrr pun tertinggal," rungut mak lagi mengisahkan perlakuan Naqib yang asyik mencatatkan barang keperluan yang perlu dibelikan nanti.  Ahad ini saya akan ke sana lagi untuk membayar yuran bulanan dan membawa keropok sedap gilerr tu juga...

 
tiang-tiang masjid sudah mula tegak di hadapan asrama lelaki



No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing