Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Thursday, January 28, 2010

Hidayat oh Hidayat..
Hidayat ohh Hidayat..
Hidayat ohhh Hidayatttt...

Waktu sedang menunggu Naqib memulangkan buku dan memperbaharui tarikh untuk buku-buku yang tidak disentuh lagi di perpustakaan awam berdepan dengan sekolah, tiba-tiba masuk panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
"Mama, datang sekolah cepat! Hidayat sakit perut," suara Ain menerjah telinga.  Semestinya dia menggunakan telefon gurunya.
"Ok, mama kat library ni.  Bawa Hidayat ke pondok pengawal,  mama ambil di situ."
Saya bergegas ke pagar sekolah dan menemui Ain di situ. 
"Mama, cikgu suruh mama ambil Hidayat di tandas.  Mama masuklah ke sana," Ain menggesa saya.
Alamak, saya sengaja membawa Naqib bersama agar dia turun mengambil Hanessa dan membantu memulangkan buku, tanpa saya perlu turun dari kereta.  Nampaknya saya terpaksa kembali ke rumah, tukar pakaian yang lebih sempurna dan membawa pakaian ganti untuk Hidayat.
Kembali ke sekolah semula, loceng terakhir untuk pelajar tahap 1 telah berbunyi.  Pelajar tahun 1, 2 dan 3 telah keluar untuk pulang ke rumah.  Ain masih menunggu saya dengan setia di pintu pagar dan kami beriringan menuju tandas.
"Siapa bagitahu Ain pasal Hidayat?" tanya saya ingin tahu.
"Faez yang bagitahu.."
Saya teringatkan Faez, anak jiran kami yang sebaya dengan Hidayat.  Dalam diam saya berterima kasih kepada Faez kerana sikap mengambil beratnya itu.
Di dalam tandas, Hidayat sedang berdiri di tepi pintu.  Tanpa menyedari kehadiran saya, Hidayat menangis sambil meminta Ain memberitahu saya tentang keadaannya.  Sedihnya dia... Saya terus masuk menunjukkan diri, dan tangisan Hidayat menjadi lebih kuat...
"Kenapa Hidayat buat macam ni? Mengapa tak bagitahu cikgu Hidayat sakit perut?" tanya saya bertubi-tubi.
"Hidayat tak dapat buka talipinggang..." lirih sahaja suaranya.
"Kenapa tak minta tolong cikgu?" tanya saya lagi, geram jugak ni.
"Cikgu tak ada, cikgu dah keluar."
Saya terdiam.  Talipinggang biru berkepala besi itu memang agak ketat sehingga saya sendiri selalu gagal hendak membukanya dan kerapkali menyuruh Hidayat meminta tolong daripada Naqib.
"Sudahlah, buka baju ni dan pakai baju yang mama bawa," gesa saya.  Tidak mahu berlama-lama di tandas itu.
Ada seorang pakcik sedang menyemburkan air ke serata tandas.  Dia hanya ketawa apabila mengetahui perihal Hidayat yang tidak dapat membuka talipinggang untuk menunaikan hajat.  Semua tandas tiada kemudahan air paip, ada paip yang tidak berkepala, ada yang langsung tiada paip air.  Oh, begini rupanya tandas sekolah ini..  Pakcik itu menyerahkan paip getah yang sedang digunakan kepada saya. 
Ohh... mujur anak sendiri.  Itupun dua tiga kali saya hampir terbelahak menahan perasaan.  Lama kelamaan barulah hidung dapat menyesuaikan diri dengan bau-bauan utama yang muncul.  Mujur bukan dalam mengandung, mungkin-mungkin saya muntah hijau di situ juga.
Sambil dibersihkan, Hidayat masih mahu bercakap-cakap dengan saya.
"Mama, kawan Hidayat kata nak panggil kakak tapi dia terus balik."
"Hmm tak mengapalah, Faez dah bagitahu kakak."
"Mama, semalam Hidayat nak beli cd Rabbani, tapi mama tak bagi."
Kisah semalam petang pun disebut, ada-ada sahaja. 
Sambil membersihkan Hidayat sebersih mungkin, fikiran melayang.  Andai pelajar tahun 1 yang sedemikian, tambahan pula sekiranya ibu bapanya bekerja di tempat yang jauh, tentu tidak dapat tidak gurulah yang terpaksa menguruskan pelajar itu.  Besarnya pengorbanan seorang guru.  Semasa Naqib di tahun 1 dulu, pernah juga terjadi hal sebegini, dan saya hanya menerima Naqib yang sudah dipakaikan dengan pakaian bersih oleh gurunya.  Terkenang pula semasa di darjah 1 dulu, ada kawan-kawan yang takut hendak memberitahu guru sehingga terbuang hajat di dalam kelas.  Sesudah itu gurulah yang terpaksa membersihkan kelas. 
Hidayat telah bersih dan memakai pakaian basahan yang saya bawa.  Stokin dan kasutnya telah basah.  Dia terpaksa berkaki ayam mengekori saya menuju ke kereta.  Saya telah terlupa hendak membawa seliparnya.  Sampai di rumah, saya menyuruh Hidayat terus masuk ke bilik air untuk membersihkan badannya dengan sabun mandi.
"Sabun dan mandi, sabun lagi dan mandi."
"Lepas tu?"
"Sabun dan mandi lagi."
"Lepas tu?"
"Sabun dan mandi lagi."
"Sampai malam?
"Haah..."
Pakaian sekolahnya saya rendam di dalam mesin basuh dengan empat sekop sabun, dan kasut sekolahnya juga direndam dengan 2 sekop sabun.
"Sakit perut tak?"
"Tak.."
"Siap pergi sekolah petang."
"Tak mahu, tadi mama kata tak payah sekolah petang."
"Tadi mama ingat Hidayat sakit perut, tapi tak sakit perut maknanya boleh sekolah."
"Tak mahu."
Macam-macam kerenah anak-anak.. dari yang sulung hingga yang bongsu.  Bukan mudah menjadi seorang ibu.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing