Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Friday, January 29, 2010

"Ain!" saya agak menjerit kepada Ain.  Kelibat gurubesar terlihat sedang memerhati pelajar-pelajar yang masih bergerak menuju kelas masing-masing.
Ain menunggu lalu saya hulurkan duit poketnya yang terlupa hendak dibagi selepas bersalaman di kereta tadi.  Hanessa merengek-rengek minta didukung tapi tidak saya perduli, terus sahaja menyeretnya laju menuju bangunan prasekolah Anakku Gemilang.  Ramai pelajar tahun 4 di bangunan bersebelahan bersidai di tepi pagar menunggu waktu untuk pendidikan jasmani.  Loceng belum berbunyi.  Seorang kanak-kanak lelaki bermain buaian, manakala beberapa orang lagi bergayut di monkey bar.  Saya berbisik kepada Hanessa yang mula monyok, "Nak main buaian?"
Hanessa mengangguk-angguk perlahan.  Suasana pagi ini agak meriah dan ceria berbanding dengan hari-hari lain.  Hanessa saya tuntun ke arah buaian.  Mungkin ini boleh menjadi daya penarik kepadanya untuk lebih gembira hendak ke sekolah.  Kanak-kanak di prasekolah hanya berkesempatan bermain permainan luar yang disediakan tatkala mereka pulang di tengahari ketika cuaca telah panas terik dan berbahang.  Biasanya di waktu pagi mereka terus masuk ke kelas selepas menyusun kasut di rak disediakan.  Hingga hari ini Hanessa masih menangis apabila saya membuka pakaian tidurnya untuk dimandikan, dan "tak nak sekolah.." itulah perkataan yang diulang-ulang setiap pagi.  Kemudian saya terpaksa mendukungnya dari dalam rumah ke kereta, dari kereta ke depan pintu kelasnya.  Hanya hari ini saya telah mengheretnya laju kerana hendak mengejar Ain tadi.
Selepas meninggalkan Hanessa yang masih leka bermain buaian dan memberikan lambaian bye-bye, saya menuju ke kereta semula.  Loceng telah berbunyi.  Hidayat masih lagi di dalam kereta berpangku dengan Naqib di seat depan.  
"Cepat, loceng dah bunyi!" kata saya menggesanya keluar.
Alahai, dia menangis pula.  Hidayat enggan keluar dari kereta.  Setelah bertarik-tarik masih kaku, satu cubitan singgah di tubuhnya, mana yang dapat dek jari saya.  Makin banyak airmatanya keluar bersama raut cemek di wajahnya.
"Naqib, keluarkan dia." Saya suruh Naqib mengangkat Hidayat keluar dari pangkuannya.  Masih bertarik-tarik, saya beri isyarat supaya Naqib mengunci pintu kereta dan membantu saya menyongsong Hidayat masuk ke kawasan sekolah.  Tidak kisah mata yang memandang.  Ah, biasalah budak-budak punya perangai.  Naqib memegang lengan kanan Hidayat manakala saya di kirinya memegang kuat-kuat agar tidak terlepas.
"Tak payah pegang!" bentak Hidayat kepada Naqib sambil cuba melepaskan pegangan.
"Kau lari, siap!" gertak Naqib pula.
Saya terus mengheret Hidayat menaiki tangga menuju kelasnya dengan Naqib umpama back up di belakang Hidayat, andai kata dia mahu melarikan diri.  "Aduh, sakit mama," kata saya kesakitan.  Dalam saya memegang lengannya, Hidayat membenamkan kukunya (panjang, lum potong) ke daging saya. 
"Hidayat, sakit mama!" bentak Naqib yang terdengar jeritan kecil saya tadi tanpa mengetahui sebabnya.  Hidayat diam tetapi sekali lagi kukunya dibenamkan ke lengan saya sehingga berbekas.  Saya hanya dapat bersabar sahaja sambil menahan sakit.  Sampai di kaki tangga, saya terus menariknya tanpa memberi peluang dia melepaskan diri dari pegangan.  
Hidayat mengalah dan terus mengikut saya ke mejanya.  Begnya masih terbuka, dan buku Matematik masih di atas meja dengan semua alat tulis seolah-olah dia sedang membuat kerja sekolah.  Sebenarnya tengahari semalam kami terlupa hendak mengambil beg Hidayat gara-gara kelam kabut dengan kes Hidayat qada hajat di dalam seluar.  Hanya pada malam tadi baru saya menyedari apabila saya tanyakan homework yang ada untuk dibuat, Hidayat memberitahu beg tertinggal di sekolah.  Itulah yang ditangiskannya, dia rasa malu seandainya kawan-kawan mengejeknya nanti.  Sensitif benar anak yang seorang ini.  Hidayat duduk tapi dengan mata berair.  Saya menegur rakan-rakan di sekelilingnya,  bertanya nama dan pesankan supaya memberitahu cikgu tentang kelewatan Hidayat membuat homework kerana tertinggal beg semalam.  
"Cikgu tak datang, cikgu demam." Kata kawan-kawan Hidayat.
"Oh ya? Hidayat boleh buat homework ni sebab cikgu tak ada, buat sampai siap."  Saya berlalu pergi tanpa teringat hendak mencium pipi Hidayat seperti selalu.
Memang terasa kelam kabut setiap pagi menguruskan hal anak-anak. Daripada mengejutkan mereka bangun, terpaksa pula memandikan yang kecil, yang sudah boleh mandi sendiri pun mahu dimandikan dengan air suam pula, pakaikan baju sekolah hingga setokinnya.  
Terkenang kelmarin berkejar-kejaran dengan Hanessa yang berlari ke pintu pagar sekolah kerana enggan bersekolah.  Mujur ada seorang guru wanita berdiri di pintu pagar itu menghalang Hanessa membuka pagar.  Manakan tidak jadi demikian, satu ketika dia maelihat pelajar Tahun 1 menangis enggan masuk ke kelas.  Kira ok lagi, setakat tahun 1 boleh diterima.  Tapi kelmarin itu, pelajar Tahun 4 yang buat perangai sehingga guru disiplin paling garang terpaksa datang membantu.  Sudahlah kelas pelajar itu bersebelahan dengan bangunan prasekolah Hanessa dan dapat dilihatnya dengan jelas.  Sehingga akhirnya seorang lelaki (mulanya saya sangkakan guru di situ) mengherdik dan menengking pelajar lelaki itu yang sedang memeluk ibunya supaya masuk ke kelas segera, barulah pelajar itu dapat ditarik oleh ibunya ke tempat duduknya di dalam kelas sambil diperhatikan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar yang ada.  Kemudian kelihatan lelaki garang tadi menaiki kereta dengan wajah yang masih berbaki kegarangannya bersama ibu pelajar itu.  Oh, bapanya rupanya.  Pelik juga apabila pelajar Tahun 4 yang bersikap demikian.  
Makanya, setiap kali mak menalipon pasti akan ditanya tentang Hanessa.  Apabila saya ceritakan perihal Hanessa setiap pagi, mak ketawa.  "Anak bongsu, gitulah."  Nampaknya kurang berkesan air jampi pak Haji yang kami ambil di kampung kelmarin.  Sekadar hendak berusaha dan mencuba.  Sebenarnya saya fikir, Hanessa masih belum dapat menyesuaikan diri dengan jadual persekolahan yang memerlukan dia bangun awal pagi dan bersiap dengan pakaian sekolah.  Dia tidak biasa sebagaimana kebiasaan anak-anak orang bekerja yang dibangunkan awal pagi semenjak masih merah untuk dihantar ke nurseri atau baby sitter.  Silap saya juga kerana sudah diperingatkan awal-awal supaya membiasakan dia dengan rutin ini dari mula. tetapi masih terleka  Hmm, tidak mengapalah.  InsyaAllah seiring dengan masa, Hanessa akan dapat melalui perubahan ini dengan lebih baik.  Bukan mudah hendak membaiki diri, apatah lagi seorang manusia lain walaupun anak sendiri.  Cumanya jangan ada rasa putus asa dalam mendidik anak-anak (mengingatkan diri sendiri...).  Ini semua akan jadi kenang-kenangan sebagai ikatan kasih sayang dan kemesraan yang tidak terlupakan apabila satu ketika tiba-tiba disedari mereka sudah bersedia untuk menjalani kehidupan sendiri.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing