Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, December 30, 2009

Aku abang dia!!

Petikan dari Halaqah.
Mungkin nama amsha ialah penghantar entri ini.  Jadi mulai entri ini saya akan pastikan saya menulis nama si pengirim.  Sesekali kita ketawa sikit, agar semarak aliran darah dan hormon kegembiraan di dalam tubuh.  Selain info, kisah harian yang (tak kisah la rekaan atau betul, janji tidak mengarut sangat) boleh juga dijadikan hiburan supaya hidup berwarna-warni sikit.  Ketawa nampak gigi je, tak yah la sampai nampak gusi.  Tapi kalau tak tahan nak gelak kuat, tutuplah mulut tu sikit.  Saya pun ketawa tapi tak boleh lama-lama, nanti boleh krem.

Inilah al-kisahnya...

Pada satu hari, di tengah-hari yang panas terik dek mentari...ada sepasang suami isteri yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya... Si suami seorang yang panas baran sehingga tak tertahan2 barannya kalau marah, walhal yang si isteri pulak seorang yang amat penyabar dan lemah lembut...

Setelah 20 minit berlalu,keadaan kesesakan jalan raya masih belum surut membuatkan si suami tadi mula naik darah dan melenting2, bagaikan nak terkeluar stereng kereta dihempap2nya..

Suami: hish,marah betul aku! diorang ni,kalau nak betulkan jalan pun,buat la waktu lain,ini tak...masa ni jugak terhegeh2 nak buat!

Isteri: sabarlah bang...tengok tu,kan ramai
orang kat depan tu,accident kot..
suami: arrrgghh..kau diam! orang perempuan mana tahu hal2 macam ni! oooo,accident ye?!

Dengan perasaan marah,si suami tadi keluar dan menghempap pintu kereta sehingga terperanjat isterinya yang ada penyakit lelah itu..

Isteri: eh,abang!nak ke mana tu?

Suami:kau jangan banyak tanya!duduk aja dalam keta ni,aku taula apa nak buat!

Dengan marah yang masih meluap2,si suami tadi berjalan dengan angkuhnya menuju ke arah orang ramai yang mengerumuni sesuatu tidak jauh dari situ...tiba2,si suami tadi menarik nafas dalam2 dan menjerit sekuat...

Suami: TEPI..TEPI...AKU ABANG DIA! AKU ABANG DIAAAA..!

Mendengarkan si suami tadi terjerit2 begitu, secara automatik semua orang beri laluan kepadanya. si suami tersenyum2 dan memuji dalam hati 'menjadi jugak taktik aku'. Apabila si suami sampai saja di tempat kejadian,bagaikan nak terkeluar biji matanya melihat 'adiknya' yang terlantar tak bernyawa... mana tidaknya,'adiknya' itu SEEKOR MONYET!
kesiaaann...

p/s: Fikirlah sendiri

Letih bukannya penyakit? ~Halaqah~

Petikan ini saya ambil dari Laman Komuniti Islam Halaqah.  Semoga bersama dapat mengambil kebaikan darinya.  Terima kasih kepada Halaqah atas entri bermanfaat ini.
 
Letih Bukannya Penyakit?   

   
Penat, letih dan lesu; berlainan istilah tetapi membawa erti yang lebih kurang sama iaitu keadaan diri yang tidak bermaya atau tidak bertenaga.
Pada hari ini banyak orang mengadu mengalami keadaan fizikal sedemikian. Senario ini membuka peluang luas kepada industri pengeluaran makanan kesihatan atau makanan tambahan (supplement). Pelbagai jenis, jenama dan produk ada di pasaran yang semuanya menawarkan kelebihan masing-masing. Ini memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Namun, dari satu segi, terlalu banyak pilihan pun mengelirukan pengguna.Mari kita lihat punca letih, cara mengatasi dan bagaimana makanan kesihatan atau makanan tambahan boleh membantu. Dari situ, anda mampu memilih supplement yang sesuai dengan keperluan diri tanpa perlu berbelanja besar.

Pada dasarnya, letih atau lesu bukanlah penyakit. Ia lebih kepada simptom atau gejala kepada masalah lain seperti, pemakanan yang tidak sempurna, terlalu kuat bekerja, kurang atau terlebih bersenam, insomnia atau tabiat tidur tidak sempurna, gangguan perubatan yang spesifik seperti sindrom prahaid bagi kaum wanita.

Punca Letih

Kebanyakan orang berasa letih kerana stress, runsing atau berasa cemas, depresi atau imuniti rendah dan jangkitan kronik. Ia berkait dengan penyakit kencing manis, tiroid atau ketidakseimbangan kelenjar adrenal; penyakit jantung, hati atau buah pinggang.

Kekurangan vitamin dan mineral menyebabkan kurangnya penghasilan sel darah merah dan ini boleh menyebabkan anda rasa lesu kerana sel-sel ini mengangkut oksigen yang digunakan untuk tenaga.

Bagi kaum wanita, rasa lesu berlaku akibat pergolakan paras hormon sewaktu kehamilan dan ketika menopaus atau daripada anaemia kerana darah haid yang banyak. Gangguan tidur dan ubat-ubatan, termasuk ubat bagi darah tinggi juga boleh menyebabkan seseorang itu berasa penat atau lesu.

Bagaimana makanan tambahan boleh membantu?

Senarai makanan tambahan atau supplement yang dipaparkan di sini seharusnya diambil hanya apabila rasa lesu atau letih itu bukan disebabkan keadaan perubatan.

Pengambilan supplement selama dua bulan akan memperlihatkan kesan dan rasa lega. Mulakan dengan pengambilan vitamin, asid amino dan dua jenis ginseng. Kemudian tambahkan magnesium, asid amino  dan minyak biji flaks (flaxseed) jika rasa lesu berterusan.

Vitamin B-kompleks pula menyokong sistem saraf dan imun. Vitamin ini meningkatkan lagi keberkesanan sel darah putih yang menentang bakteria dan virus. Ia juga perlu bagi penyalinan sel darah merah yang sempurna.

Vitamin C juga penting. Ia menggalakkan fungsi imun, membantu memperbaiki tisu dan menyokong kelenjar adrenal yang mengawal pengeluaran horman stress di dalam badan.

Salah satu kegunaan ginseng yang paling popular ialah untuk meningkatkan paras tenaga badan. Di Asia, Panax ginseng telah lama digunakan untuk tujuan ini. Siberian ginseng pula mengandungi kompoun yang terbukti dapat melawan kelesuan.

Bagi sesetengah orang, kekurangan sedikit magnesium pun boleh menimbulkan rasa letih. Pengambilan mineral tersebut selama dua bulan boleh mengatasi kekurangan itu. Setiap sel di dalam badan memerlukan campuran asid amino untuk membuat protein, dan dalam sesetengah kes paras rendah boleh menyebabkan lesu.

Minyak flaxseed membantu dengan membekalkan asid-asid lemak perlu, yang memelihara keutuhan sel membran dan meningkatkan sistem imun

Supplement yang disyorkan 

Vitamin B-kompleks
1 biji dua kali sehari bersama makanan.
Pilih satu B-kompleks yang mempunyai 150 mcg vitamin B12 dan biotin, 400 mcg asid folik dan 50 mg vitamin-vitamin B lain.

Vitamin C 1000 mg
3 kali sehari.
Kurangkan dos jika mengalami cirit-birit.

Panax ginseng 100-250 mg
dua kali sehari.
Dipiawaikan agar mengandungi sekurang-kurangnya 7% ginsenosides.

Siberian ginseng 100-300 mg
dua kali sehari.
Dipiawaikan agar mengandungi sekurang-kurangnya 0.8% eleutherosides.

Magnesium 400 mg
sehari bersama makanan. Diambil selama dua bulan.
Waspada apabila mengambil magnesium jika anda berpenyakit buah pinggang.

Asid amino kompleks
1 biji dua kali sehari.
Diambil ketika perut kosong.

Minyak flaxseed
1 sudu makan (15-20 ml) sehari bersama makanan.
Diambil pada waktu pagi.

Tips

*Tidur sebentar kira-kira 20 minit pada tengah hari (sebelum Zuhur) atau selepas kerja. Tapi jangan lupa memasang jam loceng: tidur lebih lama akan menganggu waktu tidur pada sebelah malam.
* Jangan abaikan sarapan.
* Ketika hampir waktu tidur, elakkan makanan berat, berlemak, atau minuman berkafein (seperti kopi, teh, koko).
* Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari.
* Tidurlah sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam.
* Bergiatlah selalu. Senaman yang sederhana boleh mengurangkan rasa  penat.
* Jangan bergantung kepada makanan pemberi tenaga atau bergula. Sebaliknya makanlah karbohidrat kompleks (pasta, bijirin dan kekacang) dan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran.
* Lakukan ujian darah untuk mengesan masalah tiroid atau anaemia jika lesu berlanjutan.

(Koleksi Anis)


Monday, December 28, 2009

Petua unik membersihkan periuk berkerak



Anda memasak makanan yang enak, malangnya periuk anda telah kehangusan meninggalkan kerak tebal yang sukar hendak ditanggalkan.  Bagaimana hendak membersihkan periuk berkerak itu, ya?  Okay, ibu saya pernah memberi satu petua mudah untuk membersihkan periuk yang 'malang' ini.  Usah dicuci dengan sabun atau disental dengan dawai besi itu, sebaliknya hanya buang sisa makanan dan jirus dengan air biasa.  Kemudian jemur di bawah panas matahari yang terik.  Anda akan dapati kerak itu mengering dan tertanggal sendiri dari dasar periuk.  Kata orang Negeri Sembilan, 'sudah longkah'.  Tak caya ke?  Boleh cuba dulu.  Kalau menjadi, inform kat saya ya.  Kalau tak jadi, cuba lagi.  Cuaca mesti benar-benar panas terik.  Itu sahaja.  Mudah, bukan ambil mudah.  Membantu orang yang praktikal.  Dan menyelamatkan periuk daripada calar-balar dek berus dawai besi tu.  :)

Sunday, December 27, 2009

Berkampung di rumah Izat

Jumaat kelmarin saya dan Nabilah telah merancang untuk ke Pasar Sabtu tanpa budak-budak ni.  Rencana yang agak 'jahat' demi mengelakkan 'aliran wang keluar' tanpa had, sebenarnya.  Walaupun budak-budak ni bukanlah tergolong dalam yang susah hendak mendengar kata.  Tetapi bukankah lebih mudah pergi berdua sahaja.  Tidak perlu berbuih mulut memberi ucaptama di pagi hari sebelum melangkah sebagaimana biasa, "No toys aaa! Makanan tak pe."
Dan budak-budak ni pun angguk-angguk macam burung belatuk.  Tetapi pabila tiba di sana... "Nak belon, nak kiub, nak tengok jap itu," antara ayat-ayat lazim yang akan kedengaran.  Apabila saya teruskan langkah menonong, mereka pun tergesa-gesa mengekori supaya tidak ditinggalkan.  Bukan tidak ada rasa kasihan, sebagai seorang wanita yang penuh naluri keibuan, pasti kasihan.  Tetapi bukankah sudah diperingatkan tadi.  Lagipun, sekejap sahaja benda-benda yang dibeli itu bermakna, kemudian entah ke mana.  Paling tidak saya sendiri akan mengemaskannya supaya lapang ruang rumah.  Namun, kadangkala Hanessa tidak dapat menahan hatinya.  Dia akan pegang sesuatu barang yang sudah menarik seluruh tumpuan minatnya dan letak di kaunter.  "Adik nak ini," katanya dengan yakin sehingga saya tidak mampu hendak mengalahkannya.  Jadi, "Hmm, setakat RM5 okey lah," semasa kami di kedai RM5 kelmarin.  Kemudian saya dijujut oleh Hidayat, "Adik ada, Dayat tak ada," kata budak lelaki ini pula.  Dia menghilangkan diri dan muncul dengan rangka besi berbentuk robot, pun RM5 sahaja.  Sebelum itu dia merengek mahukan mainan kecil ikan lumba-lumba kaca biru  Mainan perhiasan yang saya jangka akan masuk ke dalam laci permainannya atau pun masuk ke bawah katilnya, paling tidak sumpek atau pecah, bahaya.  Saya enggan melayan Hidayat.  Dia merajuk tetapi tidak dapat berbuat apa-apa lagi.  (Waktu ini saya rasa ralat pula... mengapa tidak dibelikan sahaja?  Alasan saya tunggu birthday dia tahun depan, lagi 7 bulan.  Rasanya macam nak pergi JJ semula, dan belikan perhiasan itu.  Setakat RM5 satu, apa salahnya.  Oh, tak mengapa, saya dan Nabilah sudah merancang lagi, tunggu mereka bersekolah semula dan kami akan mengorak langkah panjang-panjang.  Nabilah ni kaki jalan juga rupanya.  Iyalah, memerap di rumah sahaja boleh jadi bingung juga bagi gadis 20 tahun ini.) 
Pagi Sabtu semalam, kami pergi ke pasar Sabtu bersama Hanessa.  Dia bangun awal dan tidur semula di kerusi sebelah saya.  Dia perlu dibangunkan dan diajak pergi bersama supaya dia tidak terperanjat mendengar bunyi enjin kereta yang sudah jauh, lalu menangis kuat, lalu membangunkan Hidayat dan Ain (Ain tidur semula selepas solat Subuh).  Kalau semua terbangun, pasti agak gawat.
Beli sedikit barang, saya sengaja lalu di depan rumah saudara Izat, jiran taman sebelah yang akan buat kenduri akikah puteranya Ammar Haziq yang berumur 6 hari esok.  Khemah hijau putih sudah didirikan tetapi tidak nampak bayang orang perempuan rewang. 
Pertanyaan bermain di dalam hati sahaja.  Tidak lama kemudian semasa sedang makan kue teow bersama budak-budak ni, masuk panggilan telefon daripada Niza, isteri Izat.  Dia minta datang ke rumah, tolong bungkus telur.  Petang jam 330 kami pun sampai ke rumahnya dengan alasan terlewat sebab chatting online dengan orang jauh.  "Hooo tak apa difahami," kata Niza senyum-senyum.  Slim betul dia, macam anak dara bukan macam mak 4 orang anak.
Akhirnya kami pun berkampung di rumah Niza.  Potong-potong bawang di khemah dan tolong bibik di dapur.  Kerja tak banyak just prepare untuk buat sup kambing.  Yang lain katering sahaja. Solat Asar pun di sana.  Makan malam dan jamah sup kambing ala-ala sup ekor gitu, benar-benar supnya sahaja.   Dagingnya banyak tetapi masih melantun-lantun rasanya.  Ijat letak daun nangka untuk melembutkan daging.  Saya campakkan sudu besi pula. Ketika mahu balik, sudah jam 9 lebih tiba-tiba Ijat teringat kuih atau kerepek belum ada untuk diletak di atas meja tetamu.  Dia minta saya stay sekejap lagi dan dia terburu-buru ke kedai membawa Hidayat bersama.  Akhirnya jam 10 lebih kami pulang ke rumah.  Budak-budak ni dengan Nabilah stay up sampai jam 2 menonton Titanic dan cerita lain di tv, manakala Hidayat main games. 
Sekarang sudah hampir jam 10, kami perlu ke rumah Ijat tolong tengok apa yang patut.  Walaupun katering, tapi better muncul awal bukan sebagai tetamu sahaja.  Nampaknya selepas ketiadaan abang, saya jadi wakil pula.  Sudah dititipkan pesan begitu. 
Apa yang pasti, udara Taman Permai agak lembab dan sejuk dek hujan yang kerap turun ke bumi.  Kawan-kawan umpama mati kutu.  He he he he gara-gara Meon bawa diri ke Brunei!  Didoakan Meon panjang umur dan murah rezeki, sihat selalu.  Boleh balik selalu.  Ameen. 
Meon... Meon...  semoga bertambah baik dari semalam.
Gambar elek, lupa bawak kamera la...

Saturday, December 26, 2009

Pesakit leukemia 8A, dan lain-lain lagi.

Sekitar keputusan PMR

(petikan dari myMetro)



>Ketepi sakit demi kejayaan



KUALA LUMPUR: Kegigihan pesakit leukemia, Nur Liana Abd Latif, 15, yang hanya sempat hadir tiga bulan ke sekolah sepanjang tahun ini nyata membuahkan hasil apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki itu mencapai 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, semalam.

Meskipun pada mulanya Liana tidak digalakkan sekolah menduduki peperiksaan itu tahun ini kerana penyakit dialami mungkin menjejaskan pencapaiannya, baginya tiada istilah mustahil untuk berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh.



 

“Saya ketepikan kesakitan dialami kerana percaya dengan kebolehan diri, malah saya jadikan kekurangan ini sebagai cabaran dan dorongan untuk berjaya sama seperti rakan lain yang dikurniakan kesihatan yang baik.

“Masa banyak dihabiskan di hospital untuk rawatan dan kimoterapi, malah saya juga tidak dapat hadir ke sekolah selama dua tahun sejak dikesan mengidap penyakit ini ketika di Tingkatan satu,” katanya.

Ketika ditemui di sekolahnya semalam, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dengan pencapaian cemerlang itu dan ingin berkongsi kejayaan bersama ibu Nor Laila Abd Kadir, 47, dan ayah, Latif Burok, 52, yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Ibu dan ayah kekuatan saya untuk meraih kejayaan ini dan saya nekad mahu membalas pengorbanan mereka menjaga saya ketika sakit dengan keputusan cemerlang ini,” katanya.

Liana berkata, walaupun tidak hadir ke sekolah, dia sentiasa berhubung dengan rakan jika tidak faham mengenai sesuatu subjek terutama Matematik dan Sains.

“Saya juga terharu dengan pengorbanan guru yang banyak membantu memberikan soalan latihan, nota dan pihak sekolah juga menempatkan saya di kelas bawah kerana bimbang kesihatan terjejas apatah lagi saya tidak boleh menaiki tangga,” katanya.

Anak tunggal pasangan itu yang menyimpan impian menjadi doktor tidak pernah mengikuti tuisyen dan tidak mengambil peperiksaan percubaan kerana masalah kesihatan sebaliknya mengulangkaji pelajaran di rumah.

Liana disahkan menghidap leukemia tiga tahun lalu dan sejak itu bermulalah episod baru dalam hidupnya kerana perlu berulang alik ke Hospital Gleanegles untuk pemeriksaan dan rawatan kemoterapi.

Liana juga tidak mahu menduduki PMR di bilik kuarantin, sebaliknya mahu bersama rakannya di dewan sekolah walaupun pihak sekolah menyediakan ruang khas untuk tidak menjejaskan kesihatan berikutan antibodinya yang lemah.

Sementara itu, Latif berkata, dia dan isteri tidak pernah memberi tekanan kepada anak untuk belajar kerana memahami masalah kesihatannya menyukarkan tumpuan terhadap pelajaran.

“Bagaimanapun, Liana tidak menjadikan masalah kesihatannya penghalang untuk belajar, malah sikap positif dan enggan mengaku kalah seperti kata pepatah ‘pantang mengalah sebelum ajal’ menjadikannya semakin bersemangat mengulangkaji pelajaran.

“Selain itu, mungkin kematian mengejut neneknya selepas mengetahui Liana mengidap penyakit itu menjadikannya semakin kuat dan bersemangat untuk mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya.



>Pelajar cemerlang Orang Asli tebus kekecewaan



JOHOR BAHRU: “Saya langsung tidak sangka akan mendapat 8A, seperti tak percaya apabila nama saya diumumkan sebagai pelajar cemerlang PMR kategori Orang Asli,” kata Mohammad Safwan Rajab, 15, yang sekali gus menebus kekecewaan ketika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia bekerja keras untuk mendapat keputusan cemerlang dalam PMR kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapa dan guru.

“Ketika menduduki UPSR), pihak sekolah meletakkan saya sebagai pelajar sasaran 5A, namun saya sedar ramai yang kecewa apabila hanya memperoleh 2A 2B 1C.

“Bermula dari itu, saya tekad belajar bersungguh-sungguh berikutan tidak mahu melihat wajah kecewa guru dan ibu bapa,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon, Batu Pahat itu berkata, dia memperuntukkan masa dua hingga tiga jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah.

“Saya tidak mempunyai sebarang jadual pembelajaran yang ketat sebagaimana pelajar lain, namun mendisiplinkan diri untuk mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah pada setiap hari selepas tamat waktu sekolah,” katanya.

Menurut Mohammad Safwan, dia begitu meminati kerjaya polis dan berusaha mendapatkan keputusan cemerlang untuk bergelar anggota polis berpangkat tinggi.

“Selain itu, saya juga mahu mengubah nasib keluarga dan membuktikan kepada orang luar bahawa Orang Asli juga mampu cemerlang serta menggilap nama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Dia yang ditemani bapanya, Rajab Yasin, 44, menerima anugerah yang disampaikan Pengarah Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin di sini, semalam turut berterima kasih kepada guru Matematik, Arba’in Sapuan dan guru kelasnya, Rohana Sabahi kerana banyak membantu hingga mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan yang murah hati meminjamkan nota yang mereka peroleh semasa mengikuti kelas tuisyen.

“Tanpa bantuan mereka, saya tidak mungkin memperoleh keputusan cemerlang kerana tidak mampu membiayai yuran tuisyen,” katanya.



>30 diumum pelajar cemerlang



PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor menjadi sekolah menengah harian terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009, manakala sekolah berasrama penuh terbaik disandang Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

Selain itu, Sekolah Menengah Agama terbaik disandang Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Terengganu dan Kolej Yayasan Saad, Melaka diumumkan sebagai sekolah bukan kendalian Kementerian Pelajaran atau sekolah swasta terbaik PMR 2009.

Nama sekolah terbaik itu diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom dalam sidang media ketika mengumumkan keputusan PMR di Kementerian Pelajaran, semalam.

Alimuddin turut mengumumkan Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah yang memperoleh 9A sebagai calon istimewa terbaik PMR, manakala Debbie Lim Huey Chih dari SMK Sultan Ismail, Johor Bahru dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Datuk Penggawa Barat, Johor Bahru, Johor memperoleh 8A.

Sementara itu, seramai 30 daripada 28,188 calon dari sekolah seluruh negara diumumkan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A, 8A dan 7A.

Pelajar cemerlang PMR yang memperoleh 9A ialah Dinah Hanani Jamal dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al Mashoor, Pulau Pinang; Nur Aimi Atiqah Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu dan Nur Asyikin Solehan dari SMKA Pedas, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin berkata, seramai 12 calon Sekolah Seni Malaysia menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran teras yang diduduki dalam PMR 2009.

Katanya, mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR yang pertama kali diperkenalkan tahun ini di dua Sekolah Kesenian Malaysia di Johor Bahru, Johor dan Kuching, Sarawak menunjukkan prestasi baik di kalangan calon.

Menurutnya, pencapaian calon dibuat berdasarkan standard prestasi dengan empat band daripada Band Satu (terendah) hingga Band Empat (tertinggi).

Beliau berkata, bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan jumlah yang mendapat Band Empat diikuti muzik, seni visual dan tari.

“Pencapaian yang ditunjukkan calon amat memberangsangkan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang kesenian yang lebih khusus.

“Selain menerima slip keputusan peperiksaan PMR, calon Sekolah Seni Malaysia juga akan menerima sijil Pendidikan Kesenian yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

“Sijil ini mempunyai nilai tambah kepada keputusan PMR dan boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran, mendalami bidang kesenian atau tujuan lain dengan pengamal dan penggiat seni,” katanya.



>Kejayaan hadiah buat pengorbanan bapa



KUANTAN: “Setiap kali mengulang kaji pelajaran, hati dan perasaan saya tidak pernah lekang teringatkan ayah yang bersusah payah bekerja siang malam sebagai pengawal keselamatan bagi menyara kami sekeluarga.

“Kejayaan ini saya hadiahkan kepadanya sebagai tanda pengorbanan dilakukan bagi memastikan saya cemerlang dalam pelajaran walaupun kami daripada keluarga susah,” demikian luahan hati seorang pelajar selepas mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, semalam.

Muhammad Kamil Mokhtar, 15, dari Sekolah Maahad Tahfiz Tanjung Lumpur di sini, berkata pengorbanan dilakukan bapanya yang bertugas di sebuah kilang di Pekan menjadi pendorong utama kejayaannya.

Anak sulung lima beradik itu berkata, dia begitu terharu kerana dapat membuktikan kesusahan dihadapi keluarganya tidak menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan.

“Rata-rata rakan lain di sekolah ini golongan berada, namun ia tidak menjadikan saya rendah diri untuk sama-sama bersaing dengan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, bapanya yang menyara keluarga dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan sering berpesan supaya cemerlang dalam pelajaran kerana hanya cara itu dapat mengubah nasib keluarga.

“Ibu hanya suri rumah manakala tiga lagi adik masih bersekolah...saya yakin dengan pendapatan sebanyak itu perit bagi ayah menyara kami semua,” katanya yang berasal dari Kampung Penadah, Pekan.

Muhammad Kamil berkata, sebagai anak sulung yang akan menentukan masa depan keluarga pada masa depan, dia begitu tersentuh setiap kali mengenangkan detik bapanya keluar bekerja.

“Ayah bekerja syif pagi, petang dan malam...Jika satu hari nanti saya berjaya mencapai cita-cita bergelar ahli perniagaan sudah pasti tidak akan membiarkan ayah bekerja susah payah seperti dulu,” katanya.

Menurutnya, kejayaan diperoleh akan menjadi pendorong kepada empat adiknya berusia antara tiga hingga 11 tahun mengikut jejak langkahnya kelak.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Datuk Zulkifli Ali, berkata seramai 19 daripada 28 calon sekolah terbabit mendapat keputusan memberangsangkan dengan mencatat 9A.

Katanya, tujuh lagi mencatat keputusan 8A 1B manakala dua pelajar mendapat 7A 2B.

Berkat Kanta

Buat pendorong kepada anak-anak dan diri sendiri.  Jangan jadikan sesuatu sebagai alasan untuk menggapai kejayaan.  Sebaliknya sentiasa melihat hidup secara positif.  Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan.

Berkat kanta

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my


MELAKA: Kekurangan pada diri kerana hanya boleh membaca pada jarak 13 sentimeter tidak pernah melemahkan semangat gigih seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Ayer Molek (SMAM) memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009.

Pelajar terbabit, Muhammad Syarifuddin Abu Tahir, 15, dari Taman Seri Duyong, mendapat 7A dan 1C bagi keputusan diumumkan, semalam.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu mengalami masalah penglihatan sejak lahir tidak mampu memberi fokus serta silau cahaya dalam tempoh lama.

Ketabahan hati dalam menghadapi kehidupannya yang berbeza berbanding orang biasa menyebabkan remaja terbabit bersungguh-sungguh mendapat keputusan terbaik, walaupun tidak menyangka memperoleh kejayaan itu.



 

Muhammad Syarifuddin berkata, walaupun mengakui sukar memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas serta di rumah, dia tetap reda dengan ketentuan Allah dan tidak menjadikan takdir itu sebagai halangan buat dirinya.

Katanya, sekiranya gagal melihat dan mencatat apa ditulis guru, dia meminta bantuan daripada rakan ataupun meminjam nota mereka.

“Saya memang mempunyai masalah membaca kerana hanya boleh melihat tulisan pada bahan bacaan pada jarak 13 sentimeter dan ia juga bergantung kepada saiznya.

“Kalau tidak dapat melihat dengan jelas, saya terpaksa menggunakan dua jenis kanta pembesar khas bagi membaca.

“Memang saya akui agak lambat membaca dan berasa tidak selesa dengan menggunakan kanta, namun saya tabahkan hati mengulangkaji pelajaran untuk masa depan,” katanya, di sini, semalam.

Beliau sebelum itu menerima sijil penghargaan dan slip keputusan PMR disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Isa Abu, di Bukit Baru, dekat sini.

Pelajar terbabit mendapat 7A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam, dan C bagi kertas Bahasa Inggeris.

Muhammad Syarifuddin berkata, ketika belajar di dalam kelas, dia duduk di meja paling hadapan bagi membolehkannya melihat dengan jelas, dan rutin seperti itu sudah dilakukan sejak berada di sekolah rendah lagi.

Menurutnya, bagi memastikan kejayaan mampu digenggam, dia memperuntukkan masa selama tiga jam.

Friday, December 25, 2009

Wednesday, December 23, 2009

Anda ada resdung? Sila baca info ini

Informasi ini saya copy paste dari http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/2009/12/komplikasi-dan-tanda-resdung-sinusitis.html, baca selanjutnya.  Macam-macam ada kat link ini.  Terima kasih pada moderator.

Komplikasi dan Tanda Resdung (Sinusitis)

oleh Hafiz Addnan

Resdung (sinusitis) adalah perkataan yang digunakan untuk menggambarkan sejenis penyakit hidung. Salah satu punca gejala-gejala resdung adalah akibat jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya. Sebenarnya resdung bukan hanya boleh menyerang hidung anda sahaja, ia juga boleh menjangkiti mana-mana bahagian badan anda.


Apakah Sinus?

Sinus sebenarnya adalah rongga-rongga udara yang berada di dalam tulang muka, sekeliling hidung dan bahagian-bahagian badan yang lain. Rongga-rongga pada bahagian muka bersambung ke hidung melalui saluran yang sangat kecil.

Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga pada bahagian hidung setiap masa dan akan disalirkan ke dalam hidung. Jika aliran dari sinus ini tersumbat maka lendir akan berkumpul seterusnya kuman bakteria akan membiak dalam rongga sinus ini. Ini menyebabkan penghasilan nanah yang busuk dan bengkak akan berlaku di dalam lapisan hidung.


Boleh Membawa Maut

Ramai beranggapan rawatan penyakit resdung mengakibatkan komplikasi kematian, malah tidak kurang juga yang mengatakan bahawa penyakit ini sebenarnya tidak dapat dirawat. Sejauh manakah benarnya tanggapan ini?

Penyakit resdung sememangnya tetap merbahaya kepada mangsa yang dijangkiti. Kerapkali kita terdengar, ada pesakit yang tertanggal telinga, hidung atau botak kepalanya kerana serangan resdung.

Resdung merupakan sejenis penyakit yang merebak secara senyap. Dan apabila pesakit itu menyedari bahayanya, mungkin ia sudah terlambat.

Siapa Yang Berisiko?

Mereka yang :

* Alah kepada habuk, debu dan asap
* Elergi kepada makanan laut, pisang dll
* Mempunyai ketumbuhan dalam hidung
* Mempunyai dinding pemisah hidung yang bengkok
* Mereka yang mempunyai dinding hidung yang besar

Komplikasi

Resdung yang tidak dirawat dengan sempurna boleh mengakibatkan komplikasi yang serius kepada kanak-kanak dan orang dewasa.

Kanak-kanak

Resdung di kalangan kanak-kanak menyebabkan ia merebak ke dalam mata, mengakibatkan jangkitan sellulitis dan nanah (abses) mata. Sekiranya ia dibiarkan, ia boleh menyebabkan mata menjadi buta.

Punca yang menyebabkan kanak-kanak berisiko menjadi buta kerana dinding pemisah ethmoid dengan mata sangat tipis di mana sinus frontal mereka masih belum terbentuk. Sehubungan itu nanah akan dikeluarkan dari rongga mata.

Dewasa

Bagi orang dewasa, nanah dari sinus frontal tidak dapat keluar dari hidung dan akan masuk memenuhi ruang dalam otak. Dinding pemisah ini menjadi semakin tebal dan sinus frontal telah terbentuk dengan sempurna. Bagaimanapun, keadaan ini mengakibatkan ostia tersumbat.

Bahagian sinus maxilla merupakan kawasan yang sering dijangkiti sinusitis. Ini kerana nanah tidak boleh menembusi dinding maxilla yang tebal. Namun, sekiranya nanah merebak ke dalam otak, pesakit perlu menjalani pembedahan sinus frontal dan pembedahan neurosurgery. Bagi kes-kes seumpama ini, kadar kematian meningkat hingga 40%.

Tanda-tanda Awal

Antara tanda awal penyakit sinusitis ialah hidung berhingus, berbau busuk dan tersumbat. Pesakit juga mengalami sakit kepala di bahagian dahi dan pipi terutama sewaktu tunduk dan sujud. Hingus yang kuning kehijauan juga boleh terkumpul di bahagian tekak menyebabkan tekak sentiasa berkahak dan batuk. Penyakit sinusitis boleh dipastikan dengan melakukan x-ray pada rongga sinus.

Tanda-tanda penyakit resdung mengikut bahagian badan :

Rongga Dahi
- Migrain atau sakit kepala
- Kelemumur atau gatal-gatal kulit kepala
- Keguguran rambut

Rongga Mata
- Gatal mata, mata berair, bengkak atau sakit
- Penglihatan kabur

Rongga Hidung
- Selsema / bersin berpanjangan
- Hidung tersumbat / bernanah / berbau
- Kurang deria bau
- Sakit di pangkal hidung

Rongga Telinga
- Gatal dalam lubang telinga
- Telinga sakit / bernanah / berbau
- Masalah pendengaran

Rongga Pipi
- Masalah jerawat
- Kemerahan di bawah mata dan pipi
- Rasa sakit / gatal di muka

Rongga Mulut
- Gusi bengkak / berdarah / bernanah
- Gigi longgar / sakit

Dada
- Batuk
- Lelah dan berkahak
- Gatal dalam kerongkong
- Jerawat di tengkuk / dada / belakang
- Gatal-gatal badan

Usus Besar / Kecil
- Pembiakan cacing kerawit
- Buasir / berak berdarah
- Dubur bengkak

Kaki / Tangan
- Makan air di celah jari
- Kuku makan cekam

Peringkat Rawatan

* Peringkat 1 : Memakan ubat-ubat yang diberi oleh doktor biasa
* Peringkat 2 : Meletakkan ubat pada bahagian dalam badan oleh pakar
* Peringkat 3 : Pembedahan pada bahagian-bahagian berkenaan oleh paka

Topik dibaca 1563 kali di Halaqah

Petikan ini diambil dari laman  forum komuniti Islamik popular Halaqah http://halaqah.net/v10/index.php

, semoga dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar khususnya diriku sendiri dan anak-anakku dalam menjana daya ingatan yang hebat.

Daya Ingatan : Semakin digunakan semakin kuat

INGATAN umpama otot pada tubuh kita. Semakin kita menggunakannya, semakin kuat otot kita.

Daya ingatan boleh diperkuat dari semasa ke semasa.

Kebanyakan ahli psikologi percaya bahawa daya ingatan perlu dirangsang pada setiap masa.

Jika tidak, ia mungkin akan dirosakkan oleh sikap anda sendiri yang tidak memahami prinsip ingatan , iaitu 'jika tidak digunakan, ia akan hilang.'

Terdapat banyak teknik untuk para pelajar memperkukuhkan ingatan.

Jangan rungsing jika anda ada masalah lupa ingatan.

itu tandanya anda manusia normal.

Didapati bahawa 80 peratus dari apa yang kita baca hari ini akan lupa hanya dalam masa 24 jam.

Ini merupakan sesuatu yang normal. Cuma, kalau kita boleh mencipta teknik tertentu, maka tahap ingatan kita mungkin akan menjadi lebih baik.

Ramai pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak belajar atau membuat ulang kaji terlalu awal.

"Buat apa baca sekarang esok lupa juga."

Inilah kata-kata yang sering diucapkan.

Tahukah anda, sebenarnya anda tidak lupa, cuma anda belum melakukan cukup usaha supaya anda tidak lupa.

Terdapat perbezaan yang besar antara belajar awal dengan belajar waktu musim peperiksaan.

Anda perlu belajar awal untuk menyediakan nota-nota bermutu dan untuk memahami setiap mata pelajaran dengan sebaik-baiknya.

Jangan risau kalau masih banyak yang anda belum ingat, yang penting telah banyak tajuk-tajuk yang anda telah faham.

Fahami apa yang dibaca.

Memahami mata pelajaran adalah langkah pertama sebelum anda melakukan usaha untuk menghafalnya.

Menghafal bahan yang tidak difahami adalah perbuatan yang sia-sia.

Sekiranya anda belajar awal, anda pasti punya banyak masa dan berpeluang untuk bertanya kepada guru dan rakan-rakan agar setiap kekeliruan dapat diatasi sebelum terlambat.

Setelah anda benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda gunakan setiap kali datangnya musim peperiksaan.

Sediakan juga nota-nota poket dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk semula kepada apa yang telah dipelajari tanpa perlu membelek semula buku-buku asal.

Hafal kata kunci. Ramai pelajar yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk. Mereka cuba mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.

Contoh fakta:

Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.

Pertama sekali pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan kepada anda dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu, tetapi bukan menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan 'dua hemisfera' yang merupakan kata kunci kepada fakta.

Sekiranya anda ingat kata kunci ini pasti sahaja anda mampu menerangkan kepada orang lain apa maksud di sebaliknya. Sebab itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!

Pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil.

Sekiranya anda terpaksa menghafal terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya serentak.

Tidak perlu terburu-buru.

Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut kepada beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan ini.

Misalnya, kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta ini kepada tiga kumpulan kecil.

Setiap kumpulan mempunyai hanya lima fakta.

Baik, sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan yang 15 fakta atau kumpulan yang mengandungi 5 fakta?

Lihat! mudah-mudahkanlah pekerjaan anda.

Sekali lagi jangan terburu-buru.

Mempelajari bahan-bahan akademik memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.

Sering membuat imbasan.

Satu lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah menguasai tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali ulang kaji.

Awal-awal lagi telah dibuktikan bahawa 80 peratus daripada apa yang telah dipelajari akan lupa dalam masa 24 jam.

Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut dalam masa yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa mengulang baca keseluruhan tajuk sekali lagi pada musim peperiksaan.

Untuk menjadi seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat imbas apa yang telah anda baca dari semasa ke semasa secara sistematik.

Petua di bawah boleh digunakan dan terbukti berkesan:

Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.

Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.

Imbas 5 minit setiap 2 minggu.

Imbas 5 - 10 minit pada musim peperiksaan.

Gunakan teknik-teknik ingatan. Untuk memudahkan lagi proses mengingati fakta, anda perlu ada kemahiran tertentu seperti teknik mnemonik, teknik menggambar cara, teknik ceraian dan pelbagai lagi.

Pastikan anda kembali ke sini setiap minggu sebab pelbagai topik berkaitan dengan ingatan akan dimasukkan dari semasa ke semasa.

Elakkan tidur petang.

Ini lagi satu penyakit.

Tidur selepas waktu Asar akan melembapkan otak anda.

Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat tidak digalakkan.

Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini.

Kalau anda letih, tidur sahaja sebentar selepas solat Zohor, ini sunnah Rasulullah S.A.W.

Badan akan terasa lebih bertenaga untuk belajar pada waktu malamnya nanti.

Ajarkannya kepada orang lain.

Cari peluang untuk mengajarkan apa yang telah anda ketahui kepada orang lain.

Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan kumpulan.

Hanya dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji penguasaan anda terhadap satu-satu tajuk.

Raikan setiap soalan dan hujah daripada rakan.

Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya dengan cara inilah otak anda mula bekerja lebih keras untuk mencari jawapan.

Sumber:Utusan Melayu

Tuesday, December 22, 2009

Ngoc tidak pernah mengantuk

Ajaibnya kuasa Tuhan.  Ketika pakar perubatan mengatakan tidur yang berkualiti sekitar 4 jam untuk orang dewasa dan 8 jam untuk hidup selesa, lelaki ini menjadi bukti bahawa kuasa dan ilmu Tuhan tidak semua dapat dijelaskan atau dipertikaikan. 

Saturday, December 19, 2009

Termenung




Termenung memikirkan perbezaan blog picisanku dengan blog canggih manggih di luar sana, bukan setakat persembahan templatenya semata malah pengisiannya hebat belaka.  Pembangunan diri dan informasi berguna untuk kesedaran insan menjadi topik tumpuan. 
Tidak mampu hendak melanjutkan apa yang terdetik di dalam hati. 

Mudah-mudahan aku mampu membaiki diri dan menjalani hidup yang sementara ini dengan lebih baik.  Semoga hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini, dari segala segi.  Semoga redha dan ampunan Tuhan sentiasa mengiringiku dan seisi keluargaku, juga teman-teman blogger semuanya.  Ameen.

Kuakui kelemahan diri...
Kuinsafi kekurangan ini...
Ya Tuhan, bantulah aku membaiki diri.


Thursday, December 17, 2009

Travelog Haji Muhd Kamil Ibrahim



Saya temui buku ini di perpustakaan desa tanpa susah dan tanpa sengaja.  Tanpa berfikir panjang, saya ambil dan bawa pulang walaupun hati agak cuak kerana ada buku-buku lain juga yang ingin dibaca.  Membaca di celah-celah rutin harian selalu membuatkan saya terhenti-henti termasuk kemaruk merakamkan percutian di blog.  Hari ini, 17 Disember adalah tarikh akhir untuk memulangkan buku ini.  Sudah membuat sekali pelanjutan tarikh pinjam dua minggu lepas, tidak gamak untuk menyambung kali kedua sementelah Puan Rina memaklumkan ada seseorang yang sedang mencari buku ini juga.
Membaca secara maraton sambil mengadap blog Naqhuhines dan Sastera, muncul rasa terharu dan kagum.  Lampiran doa-doa yang pada saya begitu terperinci di dalam permintaan dan permohonan beliau ke hadrat Illahi untuk menempatkan dirinya sebagai yang amat teristimewa dalam perjalanan haji nanti.  Begitu kuat kemahuan dan fokusnya dalam tempoh yang panjang mengingatkan saya ciri penting orang berjaya.  Sekali beliau menetapkan matlamat, beliau terus fokus untuk mencapainya tanpa hilang tumpuan walaupun dalam masa yang begitu panjang. 
Saya baru di helaian 23 dan lampiran doa beliau.  Membaca terus tanpa cuba-cuba menyelak-nyelak lompat dari belakang ke depan seperti selalu, kerana saya ingin mengikuti kisah ini dengan sempurna dan tersusun. 
Puan Rina, saya akan pulangkan semua buku-buku lain tetapi buku ini saya minta tangguh dua hari lagi.  Saya mesti menghabisinya.  Mudah-mudahan saya beroleh sesuatu yang amat istimewa dari buku ini, seistimewa hajat dan hasrat penulisnya kepada semua pembaca, insyaAllah.
Kepada kekanda Noraini dan suami; semoga hasrat menjadi tetamuNya akan tercapai sempurna.

Wednesday, December 16, 2009

Medan Ikan Bakar Pasir Panjang


Malam di Tiara Beach Resort itu, kami ke Medan Ikan Bakar Pasir Panjang seperti yang dicadangkan oleh seorang rakan untuk makan malam bersama seluruh keluarga yang ada.  Semasa bertanya kepada pengawal di pintu masuk Tiara, tempat yang sama disarankan.  Setelah mendapatkan panduan ke sana, kami pun menuju ke tempat yang dimaksudkan.  Tidak banyak pilihan seperti di Umbai tempohari, kami terus membuat tempahan tempat dan pesanan makanan laut yang masih ada.


 
Ikan Tuka bakar antara hidangannya
Meja yang disusun panjang putus-putus dek stail meja dah melekat kat lantai, diselit dengan meja lipat.   Masing-masing kaki fotografi sibuk ambil gambar.


 
 Sotong goreng tepung diminta menggantikan udang besar yang kehabisan

 
 Lalah goreng pedas

 Ketam sweet sour

 
Sayur apa ni ek...?




Selesai makan, nak cuci tangan terpaksa melilau sekeliling mencari sink kerana sink terhampir sudah tersumbat.  Namun semua sink yang ada tidak berfungsi.  Hal yang tidak sepatutnya berlaku di tempat tumpuan seperti ini.
Beberapa bungkus nasi lemak dan lebihan lalah yang masih banyak ditapow.  Jumlah semua ialah RM627.00.  Selepas ini balik ke Tiara semula.  Apa yang ada di sana ya, malam masih muda...

Tuesday, December 15, 2009

Tabligh di Metro

Sedikit informasi mengenai pendakwah Tabligh dari akhbar Harian Metro bertarikh 14 Disember 2009, Isnin.

Jemaah tabligh

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

KETIKA awal kehadirannya, ramai yang pelik melihat gelagat mereka yang mengusung beg, periuk, cerek dan pinggan dari satu masjid ke satu masjid.

Dengan ketayap putih di kepala dan berjanggut, mereka sering diberi pandangan negatif.

Namun, lama kelamaan apabila jumlahnya semakin ramai, masyarakat mulai sedar mereka adalah kumpulan pendakwah yang dipanggil 'tabligh'.

Penulis turut mempunyai pengalaman diajak keluar bersama-sama menyertai sebahagian gerak kerja dakwah ketika di kampus.

Ketika itu ahlinya terdiri daripada pelajar sendiri yang akan melawat dari bilik ke bilik bagi menyampaikan peringatan atau tazkirah pendek yang dirungkai daripada hadis nabi atau ayat al-Quran.

Jadi pada setiap malam selepas solat Maghrib, dua hingga tiga ahli jemaah akan bersama dalam sesi tazkirah yang mereka sampaikan.

Mengikut sejarah, tabligh adalah jemaah Islam yang berpusat di India. Ia ditubuhkan pada akhir dekad 1920-an oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi di Mewat, sebuah wilayah di India.

Tabligh dilahirkan bagi mengajak masyarakat India Muslim yang masih berpegang kepada budaya Hindu melaksanakan Islam secara total.

Jemaah tabligh memegang kepada manhaj (formula) yang dijadikan dasar penting sebagai rujukan yang dinamakan Ushulus Sittah (enam dasar).

Ia merealisasikan kalimat thoibah, solat dengan khusyuk dan khudu' (penuh ketundukan), ilmu dan zikir, memuliakan Muslim, membaiki niat dan mengikhlaskannya serta keluar (khuruj) di jalan Allah.

Gerakan ini menjalankan tugas berdakwah tanpa mengambil kira asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya.

Jemaah tabligh mempunyai markas di setiap negara dan markas antarabangsa terletak di Nizzamudin, India. Setiap markas daerah dipimpin seorang shura dan kemudian membentuk ratusan markas kecil yang dinamakan halaqah.

Kegiatan halaqah adalah perjumpaan mingguan, sebulan atau mereka keluar (khuruj) selama tiga hari. Khuruj bertujuan meluangkan sepenuh masa berdakwah di masjid atau surau dengan dipimpin Amir.

Ketika ini, mereka banyak menghabiskan masa membaca hadis atau kisah sahabat yang biasanya dipetik daripada kitab Fadhail Amal karya Maulana Zakaria.

Kemudian mereka mengunjungi (jaulah) rumah ke rumah dan bermuzakarah. Sepanjang tempoh khuruj itu, mereka akan tinggal sementara di masjid atau surau.

Mereka memasak makanan sendiri dan makan beramai-ramai dalam talam besar.

Jemaah tabligh mengabdikan sepenuh jiwa raga untuk agama dan tidak menyentuh perkara berkaitan politik. Justeru, mereka dianggap kumpulan yang sukakan perdamaian.

Namun, bukan mudah untuk menjadikan seorang dalam jemaah tabligh yang tekun kerana memerlukan kekuatan diri terutama meninggalkan rumah tangga, isteri dan anak untuk tempoh beberapa hari.

Memang bukan perkara mudah melakukan perkara kebaikan kerana syaitan sentiasa membisikkan perkara yang melalaikan.

Usaha jemaah tabligh keluar berdakwah nampak mudah, tetapi terpaksa melalui jalan berliku terutama pandangan masyarakat.

Ada yang diherdik, dimaki, dihalau malah dianggap kutu rayau ketika melakukan tugas dakwah itu. Malah, ada umat Islam sendiri yang menyindir supaya mereka berdakwah kepada golongan bukan Islam daripada menyibuk datang dari rumah ke rumah.

Malah ada juga yang menyarankan aktiviti tabligh diharamkan di Malaysia kononnya ia boleh menyebabkan kemunduran umat Islam.

Justeru, jemaah tabligh memang dilatih menjadi penyabar kerana perkara itu memang sudah dijangka.

Bagaimanapun, jemaah tabligh membuktikan mereka berjuang dengan rela hati apabila sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari, seminggu, 40 hari atau empat bulan untuk mengembangkan agama Allah.

Mereka antara manusia bertuah kerana memperuntukkan sebahagian usia kepada agama, sedangkan ramai manusia berebut-rebut mencari habuan keduniaan.

Bukan semua sanggup berjauhan lama dengan anak dan isteri melakukan kerja dakwah sebegini.

Namun, jemaah tabligh yakin cara dakwah mereka menepati perbuatan Rasulullah s.a.w. Perkara paling penting dalam berdakwah mengikut cara tabligh adalah keikhlasan.

Kemuncak jemaah tabligh di negara ini ialah perhimpunan 200,000 ahli kumpulan itu dari seluruh dunia yang berkampung di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sempena ijtimak Tabligh Sedunia, baru-baru ini.

Jemaah tabligh daripada lebih 40 negara hadir yang membentuk saf solat bermula dari barisan hadapan hingga ke belakang sepanjang lebih satu kilometer (km) manakala setiap saf sepanjang 500 meter.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata jemaah tabligh membuktikan mereka dapat mengumpulkan umat Islam dari seluruh dunia. Ini satu perkara yang hebat.

"Namun, mereka perlu mengembang peranan dakwah, tidak hanya di masjid atau surau sebaliknya meluaskan jaringan itu kepada remaja bermasalah, vandalisme, penjara dan pusat pemulihan akhlak.

"Cabang dakwah ini luas dan ia perlu diperkemaskan supaya orang ramai dapat menerima cara penyampaian dakwah kita. Mereka juga boleh mengetengahkan cabang dakwah melalui penulisan dan kebajikan.

"Nabi Muhammad s.a.w berdakwah kepada semua peringkat umur dan latar belakang," katanya.

Zamihan berkata melalui kepelbagaian bentuk dakwah itu seseorang boleh menyampaikannya di mana-mana saja tanpa terhad kepada sebarang waktu.

"Kewajipan memperingati sesama umat itu terletak di setiap bahu kita. Dakwah yang sebenarnya tidak terhad di masjid atau di surau saja.

"Kelompok utama yang perlu kita hampiri adalah di kalangan ahli keluarga kita terlebih dulu sebelum melakukan dakwah kepada individu lain," katanya.

Mengenai keluar (khuruj) berdakwah ke tempat lain, ia bergantung kepada kemampuan diri. Jika mempunyai banyak tanggungjawab, utamakan keluarga dahulu sebelum perkara lain.

"Jika kita keluar menjalankan tanggungjawab berdakwah, tetapi pada masa sama membiarkan isteri dan anak terabai, hukumnya haram.

"Setiap individu juga mempunyai tugas besar terhadap kerjaya dan pelajaran. Pastikan tanggungjawab itu diutamakan," katanya.

Menurutnya, kehadiran jemaah tabligh di masjid atau surau untuk kerja dakwah diharuskan, tetapi mereka perlu menonjolkan disiplin tinggi bagi membolehkan orang lain menghormati mereka.

"Contohnya bersugi, ia memang amalan mereka, tetapi jangan dilakukan tanpa mengira tempat hingga menyebabkan orang lain tidak senang melihatnya.

"Pakaian dan penampilan diri mesti menggambarkan kualiti pendakwah yang Islam mahukan," katanya.

Namun, beliau menganggap jemaah tabligh sudah menjalankan tanggungjawab mereka, sekurang-kurangnya memberi impak kepada usaha mengembangkan Islam secara terbuka.

"Dalam menyampaikan dakwah, jangan kecewa atau marah apabila orang lain tidak menerima pendekatan kita. Apa yang penting penyampaian dakwah itu sudah dilaksanakan.

"Sentiasa melihat kelemahan diri sendiri kerana Rasulullah s.a.w yang maksum pun memohon bertaubat 100 kali sehari, apatah lagi kita manusia biasa," katanya.

Monday, December 14, 2009

Lagi kopi secawan dari cikgu

Uh dahsyat, ini tanggapan saya sebaik membaca kisah ke dua puluh satu bertajuk Kahwin Dua nukilan Shamsudin Othman (muka surat 82).  Seronok membaca kisah ini.  Serta-merta mengimbau kenangan lama semasa saya di Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Jementah.  Guru kelas saya bernama Cikgu Zainal Abidin bin Haris,  tinggi lampai, kurus dan hitam manis, manis wajahnya dan berambut kerinting ikal.  Cikgu suka memakai baju seperti baju Raihan dan memakai wangian semerbak.  Kami selalu menunggu kedatangan cikgu ke kelas dengan rasa ceria kerana cikgu pandai berlawak.  Cikgu mengajar matapelajaran Matematik iaitu subjek kegemaran saya waktu itu.
Setahu kami, cikgu masih bujang.  Setelah beberapa lama, muncul seorang guru wanita bertudung labuh yang ayu lagi manis wajahnya mengajar di sekolah kami.  Sosek-sosek gosip di kalangan pelajar bertiup mengatakan bahawa cikgu ini adalah tunangan Cikgu Zainal Abidin.  Saya berpindah ke sekolah lain setelah mendapat keputusan yang agak memuaskan di dalam SRP.  Dari kejauhan saya mendapat berita gembira mengenai Cikgu Zainal Abidin bakal menimang cahaya mata pertama. 
Setelah beberapa tahun kemudian, apabila sekali sekala bertemu rakan lama, khabar mengatakan rezeki cikgu kian bertambah dengan kehadiran cahayamata seterusnya.  Hingga kini saya telah terputus khabar berita tentang cikgu kegemaran saya ini. 
Saya terbayang-bayang situasi cikgu seperti cerita yang dikisahkan di buku Secawan Kopi.  Timbul bayangan nakal cikgu berbalas kenyitan mata apabila bersua di mana-mana... Bezanya cikgu tidak merahsiakan perhubungannya dengan tunangannya (cikgu berwajah manis yang namanya pun sedap disebut, tetapi puas saya bermenung cuba mengingati semula nama itu masih belum ketemu waktu ini...)
Haa, dah ingat pun!  Nama cikgu itu ialah cikgu Nurizzah.  Sedap namanya semanis wajahnya.

Gelak jangan tak gelak...


he he he he....
apabila ada yang tersasul
ketawa boleh menutup rasa
dah namanya tidak sengaja
apo nak dikato...
he he he he....

Salam Ziarah

Saya mengunjungi blog Azmah Nordin, sifu terkenal dalam penulisan dan telah banyak memenangi anugerah.  Sudah amat lama saya tidak ke blog beliau.  Saya beri salam ziarah kembali dan menjadi follower blog beliau.  Kenapa kali ini?...
Sekitar awal tahun, saya ada thread di situ.  Masih teragak-agak namun pelawaan kakak membuatkan saya ingin mencuba tanpa sebarang persiapan.  Akhirnya thread saya berkubur tanpa nesan, ewahh...
Lama juga hendak menyiapkan diri.  Kemaruk menulis di blog sambil merakamkan apa sahaja yang saya hargai sebagai kenangan hidup, bak kata kakak, "tidak mengapalah, menulis di blog itu buat mengasah skil menulis," apabila saya masih tidak memulakan apa-apa tentang cerpen baru atau novel (yang sibuk diwar-warkan). 
Dalam diam, saya koreksi diri dan menemui bayangan perkataan 'zon selesa' dan 'banyak buang masa' di sudut minda.  Oh, teruk amatkah aku?
.
.
.
.Oh Tuhan, jam baru 1.44 pagi.  Seorang demi seorang anak-anak bangun mendapatkan saya mengajak tidur semula.  Mataku yang masih segar (setelah terlelap awal malam tadi) dan kemahuan untuk menulis... terpaksa kuabaikan.  Dua buku yang sedang selesa di sisi, Secawan Kopi daripada Guru siri 2 dan Travelog Haji menunggu untuk dihabiskan.  Pelik sungguh anak-anakku, bagaimana mereka boleh tersedar ketiadaanku di sisi, walhal aku 'beroperasi' tanpa sebarang bunyi... 

Sunday, December 13, 2009

Tak habis-habis lagi ke?



Memang belum habis lagi cerita pasal cuti sekolah kali ini.  Percutian di Melaka bersama keluarga, dan disambung dengan Hari Keluarga yang santai di Tiara Beach Resort mengundang kenangan yang istimewa.  Bukan selalu dapat begini.  Kami jarang bercuti betul-betul macam ni, dan Hari Keluarga tu pula baru pertama kali dirancang untuk menghabiskan masa bersama seisi keluarga dengan bonda Zaleha yang baru pulih dari keuzuran tempohari, dan disertai oleh hampir semua anak-anak Hj Mat Arbak hampir 30 orang termasuklah kanak-kanak.  Itupun ada dua keluarga yang tidak dapat serta iaitu Khalid dan Abang Isa.
Dek kerana bukan selalulah, maka saya merakamkan kenangan ini di blog ini.  Lain kali kalau tak dapat ke mana-mana, boleh tengok-tengok gambar kat sini, jadikla....
Lagipun, bagi kami sekeluarga ada istimewa yang lain pula.  Hubby bakal berhijrah buat kali kedua ke Brunei Darussalam selepas 10 tahun mencari rezeki di tanahair sendiri, dan masa yang kian singkat sebelum kepergiannya ingin dikongsi bersama dengan sebaik-baiknya.
Aduh, pilulah pulak... Waktu saya menulis ini, hubby sudah pun 4 hari berada di sana.  Kami tidak turut serta kerana Ain akan menghadapi UPSR.  Jadi, kenalah berkorban menghadapi perpisahan sementara ini.  Dan kerana itulah juga Don-Don Mafia termasuklah Don Hantamsahajalah tidak aktif buat sementara waktu di facebook, sebab yang mainnya ialah hubby.  Rasanya selepas ini pun tidak aktif seperti selalu, seperti waktu hubby berehat panjang di rumah.  Tugas dan tanggungjawab sudah menanti...
Abang sulung saya, kekanda Ariff Hassan, juga sudah merancang Hari Keluarga sebelah kami, juga di PD tetapi kemungkinan besar kami tidak dapat turut serta.  Diucapkan selamat bergumbira kepada mereka...
Hari ini ada jemputan kenduri di rumah jiran, saudara Hanafi.  Kami nak bersiap-siap sekarang, sudah jam 11.15 pagi.  Di luar, matahari bercahaya marak terang menyilaukan mata.  Kami berinut dulu bah...
Esok hari lahir Naqib yang ke 13 tahun, SELAMAT HARI LAHIR BUAT ANAKANDA NAQIB, SEMOGA ALLAH MEMUDAHKAN SEGALA URUSANMU DAN MEMELIHARAMU SELALU.  Salam sayang rindu dari mama dan adik-adik.

Saturday, December 12, 2009

Lirik Lagu : Brothers - Doa Perpisahan

Pertemuan Kita Di Suatu Hari
Menitiskan Ukhwah Yang Sejati
Bersyukurku Ke Hadrat Ilahi Di Atas Jalinan Yang Suci

Namun Kini Perpisahan Yang Terjadi
Dugaan Yang Menimpa Diri
Bersabarlah Di Atas Suratan
Ku Tetap Pergi Jua

Kan Ku Utuskan Salam Ingatanku
Dalam Doa Kudusku Sepanjang Waktu
Ya Allah Bantulah Hamba Mu

Mencari Hidayah Daripada Mu
Dalam Mendidikkan Kesabaranku
Ya Allah Tabahkan Hati Hamba Mu
Di Atas Perpisahan Ini

"Teman Betapa Pilunya Hati Menghadapi Perpisahan Ini.
Pahit Manis Perjuangan Telah Kita Rasa Bersama. Semoga
Allah Meredhai Persahabatan Dan Perpisahan Ini. Teruskan
Perjuangan"

Kan Ku Utuskan Salam Ingatanku
Dalam Doa Kudusku Sepanjang Waktu
Ya Allah Bantulah HambaMu

Senyuman Yang Tersirat Di Bibirmu
Menjadi Ingatan Setiap Waktu
Tanda Kemesraan Bersimpul Padu
Kenangku Di Dalam Doamu

Semoga Tuhan Berkatimu

Secawan Kopi daripada Guru



Akhirnya saya temui juga buku ini di perpustakaan desa berdekatan. sebelum raya haji tempohari  Ada dua jilid.  Kewujudannya diilhamkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Rafie bin Mahat.  Mengandungi kumpulan cerita terpilih yang ditulis oleh guru-guru memaparkan pengalaman mereka semasa bertugas di merata tempat. 
Saya memulakan bacaan dengan buku pertama.
Saya amat tertarik untuk memetik kata pujangga yang menjadi pembuka kisah Hari Pertama Persekolahan nukilan Bustam Kamri yang berbunyi, 'Anak-anak, anda telah mencuba sedaya upaya dan anda gagal sepenuhnya.  Pengajarannya, jangan serik.' 
Ada juga cerita yang seperti tidak sudah, Kerana Senaskhah Cerpen.
Murid, Adik dan Isteri nukilan Ghazali Lateh pula amat menyentuh hati.  Walaupun kisahnya diringkaskan sedemikian rupa, tetapi saya dapat membayangkan suasana yang dilalui oleh guru ini.  Seperti kisah di dalam novel pula.  Kalau dijadikan novel, mesti meletup!
Saya belum menamatkan buku pertama ini namun setakat ini, kebanyakan cerita yang ada memang menarik dan menakjubkan. Buku yang selalu 'hilang' kerana letak merata-rata membuatkan saya mencapai buku siri 2 pula.
Di siri 2 ini, cerita pertama Budak Bertuah juga membuatkan saya terpegun sebentar.  Umpama watak sempurna di dalam cerita rekaan, saya kagum dengan pengalaman guru ini, Harun Mohammad, yang bertemu dengan Comel. 
Begitu juga dengan kisah Dia Telah Pergi, memaparkan sikap setia dan nilai persahabatan yang sukar ditemui, namun akhirnya sahabat yang baik pergi tiba-tiba kerana demam panas. 
Saya akan meneruskan pembacaan sehingga selesai.  Tarikh akhir pemulangan buku ialah pada 17 Disember ini.  Saya perlu memulangkan buku-buku ini termasuk Travelog Haji yang belum saya sentuh, setelah memperbaharui tarikh pemulangan tempohari.  Kesibukan berhari raya benar-benar membuatkan saya leka dan tidak membaca langsung.  Semasa bertemu Puan Rina minggu lepas, dia memberitahu ada orang yang sedang mencari buku Travelog Haji ini.  Saya berjanji akan memulangkan buku ini pada tarikhnya nanti.
Benar seperti kata-kata kekanda saya, Zulina Hassan, buku Secawan Kopi daripada Guru ini memang menarik, penuh pengajaran dan banyak nilai baik yang boleh dijadikan panduan.  Kepada anda, cubalah cari buku ini dan saya ucapkan Selamat Membaca! 

Friday, December 11, 2009

Aidiladha di Batu Anam

 
Selamat Menyambut Hari Raya Korban AidilAdha pada Jumaat, 26 November 2009.  Kami anak menantu pertama yang sampai di rumah mak mertua.  Petang raya barulah yang lain-lain menyusul.  Sudah begitu lama tidak meraikan AidilAdha bersama keluarga, kali ini kami menyambutnya di Segamat, Johor.  Bertahun-tahun kami mengorbankan masa dan tenaga di Shah Alam dan kemudian di Sijangkang kerana hubby terlibat dengan urusan korban di surau dan masjid.
Pada hari raya kedua, kami bergerak ke Batu Kikir dan bermalam di Bukit Perah satu malam.  Kemudian bermalam pula di Kubang Gajah, Seri Menanti satu malam.  Alhamdulillah, aidilAdha kali ni amat bererti buat kami.
Lirik Lagu : edCoustic - Muhasabah Cinta

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Back to Reff.

Tuesday, December 8, 2009

Ular oh Ular

Selepas naik Eye On Malaysia, kami singgah di khemah yang menempatkan berbagai jenis haiwan terutamanya ular berbagai jenis, warna dan saiz, ikan-ikan perhiasan dan kucing parsi berbulu tebal yang umpama sudah tiada emosi.  Juga sepasang ayam katik yang galak memaparkan aksi eksotik  Di khemah ini, kami masing-masing mengambil kesempatan mencabar keberanian membelai seekor ular yang cantik berwarna kuning.  Sewaktu kami sampai, ular ini baru sahaja dikeluarkan dari sarangnya di dalam khemah yang berhawa dingin.  Saya memberanikan diri menyentuh ular ini, terasa dingin dan lembap seperti kulit orang yang sedang berpeluh kuat.  Pergerakannya lemah gemalai dan mempesonakan.  Setelah mengagak-agak kesanggupan diri masing-masing, dimulakan oleh hubby, Naqib, Ain dan saya meletakkan ular yang baru kekenyangan ini di leher umpama selendang Nabi Sulaiman a.s.

Bawak balik goreng garam kunyit sodap agaknya...

Naqib paling lama bermain dengan ular ini, memang steady dia...

Hidayat mempunyai patung mainan harimau dan ular getah yang dibiarkan melingkar di katilnya.  Kadang-kadang timbul rasa ngeri seandainya saya terpegang ular betul yang menyusup masuk ke rumah, apabila saya memegang ular getah ini semasa mengemaskan bilik Hidayat.  Nampaknya bujang kecil ini lebih gayat daripada saya; dia langsung tidak makan pujuk untuk membiarkan ular diletakkan di tengkuknya biarpun kami bersungguh-sungguh mencabarnya.  Setakat usik-usik badan ular sedikit, nampaknya Hanessa lebih berani dari dia.  Mungkin lepas berkhatan nanti, dia akan mendapat keberanian sejati seorang lelaki, insyaAllah.

Hanessa tidak gentar memegang ular

Spesis mengkarung / iguana

 
Ular bola

Saya berani membiarkan ular ini berlingkar di tengkuk kerana memikirkan ada tudung sebagai lapik, jadi saya tidak merasa pergerakan ototnya.  Namun saya masih dapat merasa otot-ototnya bergerak perlahan di tangan.  Seriau, tetapi apabila hubby dan anak-anak memberi perangsang, saya terus bertenang sehingga gambar dirakamkan  sambil menahan perasaan.  Rasa puas kerana dapat mengatasi perasaan takut; terkenang semasa usia belasan tahun melawat Tokong Ular di Pulau Pinang, saya tidak berani langsung menyentuh ular-ular di situ yang jauh lebih halus dari ular kuning ini. 


Ular yang cantik; putih belang merah. Honduran Milk dari Amerika Tengah.

gebunya... tapi hanya boleh dipandang tidak boleh dipegang sebab tidak friendly langsung

Selesai lawatan kami bergerak pulang.  Puas hati dapat juga melihat haiwan-haiwan ini (saya peminat ular sebenarnya) dan anak-anak juga terubat rasa kecewa tidak dapat ke Night Zoo.  Acara seterusnya ialah menaiki the RM2.5mil amphibious craft iaitu Duck Tours `Quacker Boat` yang akan membawa kami bersiar di jalan raya sebelum turun ke laut  Melaka.

Monday, December 7, 2009

Kita juga pelakon


Anda penonton tv yang setia?

Pernah ada 5  buah tv di rumah kami, pelbagai saiz, pelbagai jenis hingga tidak tahu mana lagi nak diletakkan.   Beberapa bulan lepas, kami mengagihkan sebuah tv besar kepada seorang kenalan; tv itu sudah lama tersadai diketepikan sejak ia mula buat hal.  Esoknya kenalan itu datang dengan wajah ceria mengabarkan tidak ada apa yang tidak kena dengan tv tersebut; saya minta dia memulangkan semula tv itu tetapi disanggah oleh hubby, "Buruk siku!"...  saya hanya bergurau, tidaklah terlintas hendak meminta dia menghantar semula tv yang besar dan berat itu kembali.  Kini hanya ada sebuah tv lama milik abah yang  dibawanya dari kampung.  Kelmarin abah offer lagi sebuah tv comel, kami tolak dengan baik kerana bonet kereta sudah penuh sarat dengan beg pakaian.  Kalaupun masih ada ruang, kami tidak bercadang hendak menambah tv di rumah.  TV lama abah sudah memadai.  Cemburu juga melihat rumah orang menempel tv LCD penuh ruang dinding, tetapi tidak bercadang hendak membelinya; melainkan jika dapat rezeki terpijak nombor bertuah dan seumpamanya...
Kami selalu berlengah dengan pelbagai kegiatan harian lain, masih menonton tetapi tidak 'melekat' amat di depan tv. Di usia remaja, saya memang 'hantu tv' dan sanggup berjaga ke larut malam bersendirian sehingga selalu pening kepala dan 'jiwa kacau' gara-gara cerita yang ditonton., kini tidak lagi... syukurlah kerana ada banyak urusan lain untuk mengisi ruang terluang sehingga saya dapat menjarakkan diri dengan tv.  Agak pemilih kerana letih 'mengomen' dan selalu sakit hati, sakit telinga mendengar tengking herdik jerit pingkau  sambil anak-anak melongo menonton, ish ish... apakah kebaikannya melihat orang-orang menjerit-jerit, sepak terajang, tidur baring di katil?... Jarang amat  menonton kisah-kisah yang dapat memberi suatu pengajaran yang baik.  Namun hingga sekarang saya masih terpesona dengan 2, 3 siri drama luar Korea dan Jepun, yang pastinya bukan cerita cinta.

 

 
Terkini saya terperangkap dengan perasaan suka (bukan suka 'gila') kepada siri Soleha dan Nurkasih.  Seperti biasa, semua siri ini tidak pernah saya tonton dari awal, melainkan setelah suku jalan atau di pertengahan.  Saya tidak kisah jika miss beberapa siri kerana masih dapat memahami jalan cerita. Saya menilai sepintas lalu apabila mendengar dialog yang dituturkan dan muzik latar yang menarik perhatian.    Watak pelakon utama juga diperhatikan.  Kalau watak heroin, keayuan wajahnya dan keanggunan watak yang dibawanya jadi keutamaan.  Kalau watak hero pula, lebih subjektif.  Saya tidak mengikuti perkembangan artis keterlaluan, hanyalah melihat tajuk panas dan berita sensasi yang terpampang di akhbar.  Ruang hiburan bukan ruang kegemaran.  Tidak ketinggalan zaman dan tidak detail.  Saya tidak tahu nama sebenar pelakon Korea yang membawa watak orang miskin yang berjuang mencari ilmu sehingga menjadi doktor istana itu (err... betul ke dia pelakon Korea? Anda pernah tonton siri ini tak?).
 Saya masih ingat kata-kata guru tusyen Matematik semasa di tingkatan 3 dulu, Cikgu Mat Amin (arwah), katanya "Orang yang suka membaca majalah hiburan mempunyai mentaliti yang rendah."  Cikgu selalu mengulang-ulang pernyataan ini sebagai selingan semasa mengajar di kelas malam.  Ekoran itu saya menanam rasa tidak minat kepada sebarang majalah berbentuk hiburan yang menumpukankan pelbagai kisah sensasi artis tanpa rasa tertekan kerana saya memang tidak pernah membeli majalah sedemikian.
Cikgu Dima (terima kasih kerana follow blog Naqhuhines) menyatakan masyarakat Malaysia suka watak plastik.  Hmm... betulkah demikian?  Adakah kita mempunyai pilihan lain; watak yang selari di layar dan dalam kehidupan seharian?  Secara peribadi, bukan mudah dan hampir mustahil menemui Nurkasih  dan Soleha sebenar dalam realiti yang mahu dirinya ditonton di tv.  Manusia adalah pelakon di pentas kehidupan.  Pelakon adalah satu watak dari sekelian watak yang wujud.  Di dalam skrip kehidupan, ada insan yang mendapat ujian dan ia berjaya melaluinya.  Ada juga insan yang mengalah dan kecundang.  Ada pula yang terus bertahan selagi ada kemampuan.  Demikian juga golongan artis, sama seperti insan biasa di mana-mana, cuma kisah mereka diwar-warkan seantero alam dan dikomersialkan untuk keuntungan golongan yang mencari rezeki melalui penghebahan maklumat yang digemari oleh kebanyakan manusia; gosip dan berita panas kehidupan orang-orang terkenal yang diminati / ikon / idola iaitu golongan artis yang sentiasa menonjolkan kesempurnaan.  Kadang-kadang timbul rasa simpati kepada golongan artis ini; pesona dunia glamor selalu membawa mereka kepada kekecewaan melainkan yang 'terpilih''  untuk bebas dari kongkongan itu.  Wardina Saffiya semakin hebat mengacara rancangan langsung di tv, 'Ali Setan'  juga hebat dengan perniagaannya, ... siapa lagi?  Maaflah, saya ingat pada mereka berdua ini kerana selalu menonton Wardina di tv, dan melihat iklan  Hiraq di majalah Anis di mana Azmil Mustafa adalah duta produk ini. Mungkin anda ada contoh-contoh lain yang boleh dikongsikan bersama. Sefaham saya, mereka sudah tidak berlakon lagi.
Akhir sekali, tidak timbul rasa kecewa menyaksikan kisah di sebalik tabir para pelakon ini.  Sememangnya kita perlu maklumkan kepada diri bahawa tidak ada manusia yang sempurna di alam jagat ini seperti  watak yang kita saksikan di dalam drama kegemaran itu.  Usah biarkan diri tertipu oleh pesona kelembutan sehingga kita mengharapkan mereka benar-benar sedemikian di luar drama.  Perhatikan kenyataan para pelakon yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh menjiwai setiap watak yang dilakonkan.  Mereka amat berbangga dengan kebolehan 'menipu' dan mempengaruhi penonton; bangga jika kita membenci separuh mati watak jahat yang dihayati, mahupun cinta separuh gila watak sempurna yang dipersembahkan.
Memadailah kita kembali kepada watak sempurna ciptaan Tuhan yang kekal sempura selama-lamanya; para Nabi dan Rasul yang maksum; juga serikandi-serikandi Islam yang berjiwa teguh dan kental iman mereka.
Sekian dahulu, sehingga ketemu lagi, selamat membaca dan mengomen...


Saturday, December 5, 2009

Jamuan Nasi Beriani Kambing di madrasah

Satu jam dalam perjalanan, akhirnya kami tiba di madrasah pada 11.30 pagi.  Sepatutnya waktu ini pelajar sudah menyuap hidangan, tetapi nampaknya kali ini lewat sedikit.
Periuk-periuk dimasukkan ke dalam bonet kereta
 
Seorang pelajar hafiz sedang posing di periuk acar

Sedang mencedok nasi beriani ke dalam dulang di ruang makan madrasah

Dulang demi dulang dipersiapkan untuk makan tengahari, dah lewat nih...

"Bismillah... Allahumma bariklana..."  Naqib membaca doa makan.  Saya dan anak-anak mengambil tempat di rumah tetamu.

Nyam...nyam...  kunyah... kunyah...

Gambar pelajar-pelajar sedang menikmati hidangan berdulang terlupa untuk dirakamkan, kerana tukang gambar pun sama-sama makan...  Saya dikhabarkan 100 pelajar makan berderet memanjang dua barisan dengan setiap dulang dikongsi oleh 4 atau 5 pelajar.   Alhamdulillah, hajat hendak menjamu disampaikan Tuhan.  InsyaAllah, apabila ada kesempatan di lain tahun, kami merancang untuk masak di madrasah bersama pelajar pula, mudah-mudahan dapat menambah ikatan kemesraan dengan mereka.

Friday, December 4, 2009

Beriani Kambing Chef Meon

Kami mula memasak jam 5 pagi, lewat dua jam dari jadual asal.  Tidur lambat bangun pun terlewat, tetapi tidak terlalu kesuntukan masa.  Sebaik masuk ke dapur, hujan pun turun.  Tidak mungkin memasak di ruang terbuka di belakang rumah, periuk dan tungku disiapkan di dalam dapur sahaja. 
Bermula dengan menyiapkan pes beriani, perlahan-lahan saya membantu hubby menyediakan bahan-bahan lain untuk diramu bersama.

Menyediakan pes beriani

Daun Pudina
 

Gula Melaka


Sebahagian bahan menambah sedap perisa 


Kerisek menambah rasa lemak


Daun sup dihiris halus untuk ditabur di atas nasi dan dihiris kasar untuk ramuan beriani


Menumis bawang dan rempah tumis; minyak masak campur minyak sapi
Aromanya semerbak satu rumah

Menumis rempah beriani; kemudian dimasukkan buah tomato dan daun pudina 
 
Apabila daging kambing sudah masak, kelihatan minyak timbul di permukaan.  Sungguh menyelerakan!  Rugi sesiapa yang takut nak makan daging kambing.


Prepare untuk masak nasi beriani ; masukkan air dan biarkan ia mendidih.  Sementara itu sukat beras basmathi pula.

Kat mana lagi chef nak posing, baring depan tungku pun jadik... hehehe.  Inilah kelebihan memasak di dalam dapur, boleh baring-baring lagi...



Apabila air sudah menggelegak, beras pun dimasukkan


Minyak lauk beriani yang bergenang di permukaan dicedok 


Nasi sudah separuh masak; kuah beriani dicurahkan diikuti dengan minyak sapi dan susu cair.  Pewarna juga direnjiskan menjadikan nasi cantik, memang menyelerakan!


Periuk nasi ditutup dengan lapisan akhbar yang dibasahkan sedikit untuk menghalang wap keluar di celah tudung periuk manakala api tungku dikecilkan


Tanam sedikit lauk di dalam nasi; waktu ini aroma yang menerpa memang amat menggoda, ...waduh!!


Sepinggan Nasi Beriani Kambing yang ... uhmm!


Chef kenalah rasa dulu, rasanya hmm... memang enak!!

Akhirnya jam10 pagi, Nasi Beriani Kambing siap dimasak sepenuhnya bersama acar hidup timun dan nanas.  Dalca sahaja yang tidak ada, tapi masih okey dengan beriani kambing yang pekat lemak berkuah.  10 bungkusan disiapkan untuk beberapa kenalan rapat dan jiran sebelah.  Tepat jam 1030 pagi kami bergerak ke madrasah dengan pemanduan perlahan, khuatir kuah melompat dari dalam periuk.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing