Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, November 30, 2009

Kembali dari percutian


Assalamualaikum.
Tengahari ini, Isnin, 30 November 2009, kami kembali ke teratak permai di Sijangkang.  Kolam ikan mengalami tsunami kecil apabila rak kayu di tepi runtuh masuk ke dalam kolam beserta dengan barang-barang di dalamnya.  6 ekor ikan Koi merah putih menyorok di bawah lumut hijau, mendiamkan diri umpama ketakutan dan penuh saspen.  Kasihan ikan-ikan ini.
Si Tompok coklat putih menyambut kepulangan sambil merayu-rayu meminta makanan.  Si Putih mata biru sebelah dan hijau sebelah buat tidak endah; mungkin telah kekenyangan makan di dapur jiran.  Zara ibu kepada Tompok terlentang lena di belakang rumah, tidak perduli apa-apa.
Naqib mengetuai adik-adik mengangkat beg dan barang dari bonet kereta.  Namun separuh jalan kemudian dia menghilangkan diri di dalam tandas...  Selebihnya saya bantu kerana adik-adik terutama Ain, mula merungut-rungut dengan kerenah si abang yang tidak disengajakan.
Alhamdulillah, rumah ini dipelihara Allah dari mara bahaya dan pencerobohan; sesuatu yang menakutkan kerana panasnya kawasan perumahan ini yang sering menjadi tumpuan bermusim perompak-perompak yang bergelandangan dari jauh; teori yang dimunculkan berdasar ciri-cirinya.
Beberapa kisah percutian singkat penuh ceria sekeluarga yang menunggu masa sesuai untuk dikongsikan bersama buat kenangan di hari kesunyian nanti, insya Allah. 
Tidak lama kemudian Haji Hamid yang sedang membangunkan mahligainya di hadapan rumah kami muncul menghulurkan daging korban yang disimpan semenjak semalam.  Alhamdulillah, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Demikianlah adanya.  Sampai jumpa lagi, wassalam.

Tuesday, November 24, 2009

Selamat bercuti


Pakaian sudah dimasukkan ke dalam beg.  Tadi, sedikit peringatan diberi supaya pakaian dibawa sekadarnya.  Saya, selalu membawa pakaian diri dan anak-anak secukupnya untuk setiap hari di dalam percutian.  Saya tidak mencuci pakaian semasa di rumah mertua kerana masa selalunya cemburu kepada kami.  Melainkan di rumah mak, beliau sendiri akan mengambil semua pakaian kotor kami dan mencucinya tanpa pengetahuan, tau-tau sudah siap dispin hanya tinggal disidai sahaja.  Oleh demikian, selalu beg pakaian diperuntukkan untuk setiap seorang, bermakna ada 6 beg.  Kali ini, tidak lagi demikian.  Saya membayangkan seandainya cuaca basah seperti selalu, anak-anak akan excuse mandi dan memakai pakaian yang sama untuk 24jam.
Kami akan turun ke Melaka untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama.  Kami singgah di madrasah mengambil Naqib dan terus ke destinasi.  Rupa-rupanya ramai pelajar yang telah pulang lebih awal sebelum waktu Asar.  Naqib telah bersedia untuk bercuti bersama segendong pakaian  kotor yang perlu dicuci serta cadar dan sarung bantal.  Bonet kereta yang sendat semakin padat dengan barang-barang Naqib.  Naqib dan adik-adiknya ceria dapat bertemu semula.  Pada mulanya Naqib hairan melihat arah perjalanan kami yang tidak melalui jalan biasa pulang ke kampung, kemudian senyumnya lebar apabila adik-adiknya memaklumkan tujuan sebenar awal percutian yang singkat ini.
Aidiladha akan diraikan bersama keluarga mertua di Segamat, kemudian akan ke Batu Kikir pada Sabtu nanti.  Semoga perjalanan dimudahkan Allah. Selamat bercuti kepada semua.

Monday, November 23, 2009

2012


Ooo pocot mak!  Terkejut melihat angka pelawat mencecah ke 8956 dan yang sedang online 10.  Betul ke tak betul?  Saya rasa tak betul tu.  Bukan pula menafikan, kalau betul pun saya tak kisah.  Cuma seperti kurang logik, tiada apa yang menarik benar di blog Naqhuhines ini, sekadar kisah anak-anak dengan pelbagai kerenah dari pandangan seorang ibu yang selalu pening kepala melayan mereka.  Saya menyimpulkan setiap ciptaan manusia walau secanggih manapun ia, masih ada kekurangannya.  Jadi saya andaikan telah berlaku sedikit kesilapan teknik.  Rasa terkejut itu cuma respon semulajadi seorang manusia normal, he he he.  Risau juga sebenarnya andai ada blog rahsia saya yang tersilap setting hingga telah dibaca oleh ramai manusia di luar sana... oh tidak!!!  Saya check semula dan insyaAllah, masih selamat.  Atau mungkin lebih selamat saya tutup terus blog-blog sedemikian, dan tulis di diari sahaja.

Hari ini kami sekeluarga (kecuali Naqib yang masih di madrasah) ke Banting menyelesaikan beberapa urusan yang memerlukan kami ke bandar itu.  Selesai, kami singgah semula di rumah, angkat pakaian di ampaian dan solat Zuhor, bergerak ke JJ Bukit Tinggi.  Tujuan membawa anak-anak  bermain bouncer yang telah dilihat oleh Hanessa tempohari, dan menunaikan permintaan Hidayat menonton wayang.  Agak teruja dengan cerita dunia tsunami besar pada 2012, tiket dibeli untuk jam 345 petang.  Ain kurang seronok kerana dia lebih berminat menonton Senario The Movie 2 tetapi terpaksa akur dengan pilihan abahnya.

Masih awal, saya menemani Ain, Hidayat dan Hanessa bermain di bouncer.  Setiap kanak-kanak dikenakan bayaran RM5 tanpa had masa.  Kemudian mereka saya tinggalkan dengan pesanan keras supaya tidak cuba-cuba mencari di mana-mana, saya menemani hubby pula memilih tali pinggang dan kasut yang dipromosi jualan murah.  Setelah baki masa tinggal 15 minit, saya mendapatkan anak-anak di bouncer semula.  Ain sedang duduk tersipu di tepi bouncer; memberitahu skirt labuhnya telah terkoyak kerana terpijak semasa sedang melonpat-lompat di dalam bouncer. 
"Itulah, tadi mama dah cakap supaya pakai seluar, kamu tak mahu!" sedap saja saya memulangkan paku buah keras.  Ain hanya terkebil-kebil.  Kami meluru ke dalam pasaraya JJ bahagian pakaian melilau mencari skirt labuh untuk Ain.  Dalam pada itu hubby telah berkali-kali menelepon saya sambil marah-marah kerana kami telah terlewat 15 minit untuk masuk ke panggung.  Sempat saya rembat sehelai skirt labuh untuk diri sendiri, dengan harga RM29.90 sahaja.  Ok la, tak mahal sangat.  Setelah Ain bertukar skirt baru, kami meluru pula ke aras 2 mendapatkan hubby yang sedang menunggu.
Suasana di dalam panggung yang gelap cuma diterangi cahaya dari skrin, membuatkan kami melangkah berhati-hati menuruni tangga.  Dapat tempat agak hampir dengan skrin membuatkan kami mendongak sedikit.
Anak-anak agak seriau menonton 2012.  Saya seriau juga. Ain sempat berdengkur sekitar 10 minit, masih kepenatan dengan aktiviti khemah ibadah pada Sabtu dan Ahad semalam.  Hanessa tidur nyenyak di pertengahan cerita, juga kepenatan bermain di bouncer tadi.  Dia tidur di pangkuan saya,  membantu menyelamatkan emosi saya yang gelora melihat suasana dunia yang dilanda tsunami.  Saya peluk dia erat memberi rasa lega.  Selesai menonton, kami pulang mengejar masa yang kian larut.
Di dalam kereta, masing-masing mengeluarkan pendapat mengenai cerita tadi.  Ringkasnya 2012 mengambil kisah Banjir Besar di zaman Nabi Noh a.s. yang telah diubahsuai  untuk manusia era sains dan teknologi.  Masih ada nilai kemanusiaan yang murni apabila seorang presiden negara besar sanggup mengenepikan keselamatan diri demi rakyat dan dunia, agar setiap orang yang tidak bernasib baik naik ke kapal penyelamat masih dapat bermaafan dan menanti detik bersama orang yang dikasihi.  Seorang penulis yang memainkan peranan penting membantu menyelesaikan masalah teknikal gerbang kapal penyelamat yang tersangkut tidak dapat ditutup rapat dengan mempertaruhkan nyawanya; setelah menyeludup masuk dengan cara bahaya.  Juga seorang doktor yang berhati murni dan amat setiakawan. 
Seperti biasa, melainkan di zaman kanak-kanak, hati saya jarang serasi dengan cerita yang ditonton.  Tahu semua cerita hanya rekaan semata.  Cuma tersangkut dengan siri Soleha; amat berminat melihat dialog watak-wataknya yang lembut dan ayat-ayat yang disusun di dalam situasi tegang.  Siri Nurkasih juga menarik.  Ada kelembutan dan pengajaran yang baik, sukar untuk dicemuh sebarangan.  Akhirnya, 2012 bukan cerita dunia kiamat, tetapi banjir tsunami yang besar dan sebahagian manusia kulit putih yang selamat sedang menuju tanah besar yang baru untuk penempatan baru.
Sekian dahulu.  Saya akan bercuti dari dunia blog buat sementara waktu.  Selamat Hari Raya Aidiladha, semoga kita bersama dapat menghayati makna Korban kali ini dengan lebih baik, insyaAllah.  Pesanan biasa - berhati-hatilah di jalan raya.  Usah memandu jika mengantuk.  Bacalah doa apabila masuk ke dalam kenderaan anda.  Oh ya, sudah servis ke keretanya tu...? 
Esok petang akan ambil Naqib dari madrasah.  Pelajar dibenarkan pulang selepas Asar, dan 'dikembalikan' semula ke madrasah sebelum Asar pada Selasa depan, 1 Disember.  Kami semua sudah rindu nak bertemu dia. 
Ya Allah, selamatkan kami dari huru-hara Hari Kiamat dan segala fitnah akhir zaman.  Amin.

Saturday, November 21, 2009

Nak dekat mama!



Puas hati dengan persembahan blog Naqhuhines setakat ini, saya jenguk-jenguk blog sendiri sekadar hendak mencuci mata tanpa keinginan menulis sesuatu.  Nampaknya follower blog Naqhuhines dah bertambah 10 orang, termasuklah diri sendiri... ha ha ha ha.  Sesiapa boleh tolong saya delete muka saya tu?
Terima kasih pada anda yang sudi follow blog Naqhuhines.  Saya lihat ada blogger yang bagi hadiah atau bertukar-tukar hadiah sesama blogger, hmm... saya tak cuba lagi.
Okeylah, ada sedikit kisah anak-anak.  Ia bermula dengan Naqib... (Naqib lagi!).  Apabila kami sekeluarga akan bergerak keluar menaiki kereta, Naqib awal-awal akan booking seat di belakang saya.  Pada awalnya, semua adik-adiknya tidak kisah langsung dengan permintaan Naqib.  Jadi, hampir setiap kali kami keluar, Naqib mengambil tempat di belakang saya.  Dia sering mencuit bahu saya, dan berbisik-bisik dengan saya.  Ada sahaja ceritanya sehingga saya kerap tertoleh-toleh ke belakang.
Kini Naqib berada di madrasah, bermulalah cerita baru adik-adiknya yang ditinggalkan.  Ain kini menjadi anak paling tua di rumah ini.  Dia mengambil alih peranan yang ditinggalkan oleh Naqib.  Di antaranya ialah booking seat di belakang saya setiap kali kami sekeluarga keluar ke mana-mana.  Namun sedikit malang, adik-adiknya sudah perasan perkara ini dan mereka tidak sudi bertolak-ansur sewenang-wenangnya terutama Hidayat. Setiap kali kami merancang hendak keluar, Ain atau Hidayat akan berebut tempat duduk di belakang saya.
"Mengapa nak duduk di belakang mama?"
      "Sebab kitorang sayang mama."
"Kalau sayang mama, bukan berebut duduk di belakang mama macam ni."
   "Abih tu?"
"Ikut cakap mama, belajar pandai-pandai.."
  "Hmm."

Walaupun faham, tetapi perebutan tempat duduk menjadi bertambah buruk sehingga saya tidak dapat menahan diri mengadu pada hubby.  Apa tidaknya, Ain dan Hidayat boleh bertumbuk, bercubit-cubit dan tendang menendang dalam senyap kerana timbul perasaan tidak puas hati.  Akhirnya saya menetapkan supaya masing-masing mengambil giliran, tetapi kadang-kadang masih ada yang mengelat.  Itu kisah di dalam kereta.
Di meja makan pun sama juga.  Sambil menghidang makanan dan menyusun pinggan di atas meja, Ain atau Hidayat akan berbisik-bisik meminta saya duduk di sebelah semasa makan nanti.  Apabila permintaan tidak saya penuhi, atau tempat duduk di sebelah saya diambil oleh yang lambat booking, akan adalah wajah yang kelat menahan rasa.  Pada awalnya masih di bawah kawalan, tetapi lama kelamaan menjadi lebih berat dan seperti selalu, saya adukan pada hubby.
Setakat hari ini, saya jadi pengadu apabila berada di peringkat paling sukar untuk mengawal anak-anak.  Cukuplah dengan mempamerkan muka yang serius, saya sendiri agak kecut perut dengan hubby.  Lelaki ini, kalau jadi guru mungkin ramai pelajar yang kena pelempang; kalau jadi polis mungkin ramai yang kena tahan...  walaupun sebenarnya ada unsur humor di dalam dirinya, yang selalu membuat kawan-kawannya lekat hati padanya.  Apabila hubby mengambil peranan, anak-anak pun belajar mengawal diri mereka.
Saya bukanlah tidak tegas, tetapi mungkin sudah pembawaan diri suka bertoleransi dengan anak-anak.  Sesekali garang juga, tetapi jauh di sudut hati timbul rasa kesal dan sedih memperlakukan anak-anak, dan akhirnya diri rasa kurang sihat.  Selalu hati berkata-kata bahawa anak-anak yang nakal ini sedang membesar dan setiap saat mereka mempelajari sesuatu.  Satu ketika semua ini akan berlalu dan hanya kenangan yang tinggal.  Hidup yang sejenak ini amat penting untuk dihargai.  Apa yang saya lalui kini adalah rahmat Illahi yang saya rindukan semasa di zaman kanak-kanak.  Saya melihat anak-anak ini sedang menikmati sesuatu yang tidak saya rasai dulu. 
Ya Allah, kumohon petunjukMu dalam mendidik anak-anak ini yang selalu menjadi ujian kesabaran. Amin.


Pengabaian


Perkara ini tak sepatutnya berlaku. Semenjak dia 'bebas' dari rutin yang menghambat selama setahun sebulan ini, sepatutnya ada lebih banyak masa untuk gadis kecil. Tetapi kegilaan menulis apa saja di ruang ini membuatkan dia masih sama seperti sebelumnya. Dia masih kurang memberi perhatian kepada gadis kecil. Bahkan kadang-kadang dia merasakan gadis kecil lebih mengada-ngada dan buat perangai.




Kasihan gadis kecil. Dia benar-benar tidak mengerti melihatkan sikap ibu yang syok sendiri di hadapan komputer. Gadis kecil pelik melihat kadang-kadang ibu senyum sendirian, kadang-kadang ibu sungguh serius. Bahkan kadang-kadang ibu langsung tidak melayan pelawaannya menonton kartun kegemarannya, 'Wonder Pets' di TV9, malah dimarah pula.




Kasihan... kenapa ibu macam tu???

Mujahadah Itu wajib



TUHAN
AKU MENGADU PADA-MU
KERANA SANGAT SUKAR KURASAKAN
UNTUK BERMUJAHADAH
MELAWAN HAWA NAFSU INI



WALHAL SEPATUTNYA AKU YANG KUASA
BUKAN DIKUASAI OLEHNYA
KERANA IA HANYA MEMBAWA KEPADA
KEROSAKAN DAN KEBINASAAN



SEDANGKAN AKU LEBIH MULIA KAU JADIKAN
AKU ROH YANG PALING MULIA
DARIPADA SEKELIAN MAKHLUK-MU
DAN TIADA YANG DAPAT MENOLONGKU
HANYA KEPADA-MU AKU MEMOHON
DAN BERSERAH DIRI



TOLONGLAH AKU BERMUJAHADAH
KERANA BUKAN AKU MAHU MEMBUNUHNYA
SEDANGKAN NABI DAN RASUL TIDAK DEMIKIAN
HANYA NAFSU MEREKA TELAH TENANG
TIADA YANG DAPAT MENOLONGKU



HANYA ENGKAU YA ALLAH
TOLONGLAH AKU MENGUASAI NAFSU INI
SEHINGGA IA PUN MENJADI NAFSU YANG TENANG
SEHINGGA DAPAT MENJADI TEMAN
DI HARI KEMUDIAN



JANGANLAH KAU BIARKAN
AKU SEPERTI HAIWAN YANG TIDAK BERAKAL
KERANA DARJATKU BUKAN SEPERTI HAIWAN
TELAH KAU JADIKAN KEJADIANKU
SEMULIA-MULIA KEJADIAN
WALAU DARI AIR YANG HINA
YANG KALAU JATUH KE TANAH AYAM PUN TIDAK SUDI MEMATUK



TETAPI ROH YANG KAU TIUPKAN
BUKAN UNTUK DIPIJAK DAN DILANYAK OLEH NAFSU
KERANA ROH-LAH TUAN KEPADA BADAN
YANG SEPATUTNYA MENGEMUDI KEHIDUPAN
ROH KEKAL SELAMANYA UNTUK BERTEMU-MU DI SANA
261108

Cabaran bakal hafiz

Draft lama...

Along berkali-kali menelepon minta ambil dia dari madrasah. Selagi saya tidak memberi kata putus, Along terus mendesak saya menjemputnya segera. Alasannya, dah dua hari pening kepala. '
'Ala, setakat pening, rehat kat sana je. Tak yah balik'' saya bertegas diikuti dengan suara Along menahan sakit.
Akhirnya saya berlembut juga. Dah seminggu Along di rumah. Tiap pagi saya arahkan dia menyidai baju apabila saya bergegas ke nurseri untuk menunggu kanak-kanak yang datang. Biasanya saya akan menyidai baju selepas balik dari nurseri apabila staf dah datang pada pukul 8. Dah ada Along ni senang sikit jadual saya. Saya suruh dia menyapu garaj dan susun selipar. Selebihnya dia duduk berjam-jam di depan desktop. Kadang-kadang laptop saya juga menjadi mangsanya.
Tengahari semalam saya agak lewat memasak sebab saya 'bersyarah' kepada Along. Dia seperti tak pasti bila nak balik ke madrasah. Abahnya malas nak masuk campur tambahan dia lebih cenderung menggunakan pendekatan 'brutal' atau gaya askar gitu. Arahan mesti dipatuhi tanpa kompromi!
Saya suka mengajak anak berbincang. Seboleh mungkin saya cuba memahami perasaan dan situasi anak. Sebab tu saya dilabel terlalu berlembut dan suka menurut rentak anak oleh mak. Ye la, kalau dua-dua jadi singa, anak tak sempat jadi apa-apa.
Bukan saya memaksa Along tetapi saya ingin dia faham betapa besarnya peranan dia sebagai anak sulung dalam keluarga. Saya tekankan betapa dia adalah idola atau ikon kepada adik-adiknya.


Tak larat nak sambung...

Cerita Anak Ibu

Budak itu tak ubah seperti ibunya. Fizikalnya seperti iras wajah dan warna kulit persis wanita itu. Cumanya dia lelaki dan ibunya perempuan. Kelembutan hati pun lebih kurang. Kurang ketahanan jiwa. Sama juga seperti ibunya sewaktu ibunya itu duduk di asrama dulu-dulu masa muda remaja. Akibatnya hampir setiap hari neneknya datang menziarahi ibunya di asrama membawakan buah tangan. Seisi asrama dah maklum bila ternampak kelibat neneknya di halaman asrama. Kawan-kawan ibu pun seronok juga bila melihat orang tua itu kerana kadang-kadang mereka pun mendapat habuan buah tangan yang dibawa. Orang tua itu juga sangatlah peramah menegur sapa sedikit sebanyak mengubat hati mereka kepada ibu masing-masing di kampung..


Sekarang dia pula..hatinya ternyata selembut raut wajahnya. Mungkin kerana itu dia tetap dihantar ke pusat tahfiz untuk mendapatkan pendidikan rohani yang lebih mantap. Risau seandainya dia tidak mampu berhadapan dengan pelbagai bentuk pengaruh luar di usia sebegini. Petang ini dia menangis di hujung talian telefon ketika ibunya dengan terpaksa, membatalkan kunjungan yang sangat didambakan esok hari. Ibunya terpaksa.. dan dia terus menyatakan pelbagai alasan remeh agar ibunya patuh menuruti kehendaknya. Serba-salah wanita itu jadinya dengan asakan si anak...

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan



tengahari itu.

''Selamat ulangtahun perkahwinan..''

''haaaaaa...selamat ulangtahun''

''lupa ke?''

''tak lupa, cadangnya malam kang baru nak ucap''

''lambatnya..''

''ok la tu''

''orang..pagi-pagi dah ingat''

''ok laaaa''


**********************************************************

malam itu.

''nah, masuk tabung''

''tengkiu abah''

''haa ni untuk mama''

''??...apa tu?''

'''ni ha kamera. sempena ulangtahun kawin kita''

''eh ye ke? bestnya. Boleh masuk laptop tak?''

''boleh..boleh..masuk tv pun boleh''

''waaaa, bestnya''

''budak salesgirl tu la di'racun'nya abang suruh amik yang ni. cadang nak ambik yang 3, 4 ratus je''

''ok la tu, yang dulu sekali je pakai yang mahal tahan lama jugak. pas tu beli yang murah kejap dah jahanam''

''ye laa. abang nak guna ambik gambar kat site jugak ni''

''haaa bebaik la jangan bagi rosak''

''eh, tak la. insya Allah. abang sorang je pakai. yang dulu-dulu tu suruh budak2 ambik gambar. banyak tangan pakai''


******************************************************************

petang semalam.

''hello..assalamualaikum''

''waalaikumsalam''

''standby, jap lagi almari Ain sampai''

''haaaa..''

''kemas bilik tu''

''napa tak bawak saya'' (dalam hati, ''melepas aku nak window shopping!'')

''tak yah la. dah beli pun'

''hmmm...sliding ke?''

''tak..biasa punya. sliding cepat rosak"


Wabak Mata Merah




Ini draft yang kukarang ketika kami sekeluarga diserang wabak 'mata merah' tempohari.  Bermula dengan Hidayat yang pulang dari sekolah dengan mata berwarna merah, seorang demi seorang dijangkiti.  Ia wabak yang sukar pulih, mengambil masa yang lama dan jika tidak berhati-hati boleh memberi kesan kekal kepada mata.  Kami tidak pernah mengalami wabak ini sebegini serius.  Setakat mata merah selepas mandi tu, biasalah.  Demikian sedikit catatan...

sungguh, baru 'kehilangan' sebelah mata pun aku jadi tak keruan. Mata yang infected kuletakkan ubat krim lalu kutepekkan strip hijau Anion  dan disudahkan dengan kemasan kapas yang dilekatkan menggunakan tape kertas. Seperti lanun yang hanya sebelah mata. Tadi aku buru-buru mencari spek hitam yang memang selalu aku terlupa di mana aku tinggalkan ketika kawan suamiku datang bertamu. Menjelang petang, sekali lagi aku kelam-kabut mencapai tudung dan spek hitam ketika seorang ibu datang bertanya untuk menghantar anaknya ke nurseriku. Memakai spek hitam di dalam rumah menyebabkan daya penglihatanku semakin kelam. Memberi tumpuan menggunakan hanya satu mata jauh berbeza dengan dua mata. Aku tidak dapat mengagak jarak dan kedudukan sesuatu dengan tepat. Mujur aku tidak tersasar ketika memotong ketulan ayam untuk memasak tomyam tengahari tadi. Sambil cuma menekan rasa malu jauh ke dalam diri, aku tersipu bila terpaksa bersahaja memberitahu keadaan mataku tanpa ditanya. Aku hanya nak memudahkan keadaan.


aku cuba membayangkan keadaan seorang OKU khususnya yang kurang penglihatan seperti yang aku alami sekarang. baru sebelah mata..bagaimana kalau dua-dua mata tiada?..kalau sejak lahir sedemikian seseorang boleh dianggap telah biasa dengan persekitaran alam. bagaimana dengan orang yang baru mengalami kemalangan sedemikian..terpaksa menjalani orientasi zahir dan batin untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran pancaindera lain untuk menjalani kehidupan seperti biasa...

Pss...ada gambar sensasi sedang posing dengan mata sebelah bertepek kapas, tapi segan la pulak... jadinya ganti dengan gambar baby cute tu la.

Daun Bambu


Ini ialah petua apabila anak-anak menghidap demam campak atau chicken pox.  Hidayat telah dijangkiti demam campak dan dibawa ke klinik swasta berdekatan.  Sekembali mereka dari klinik tersebut,  suamiku menyerahkan setangkai daun bambu untuk diletakkan di bawah bantal. Katanya baru diambil dari rumah orang India. Kehidupan mereka rapat dengan daun ini dan hanya mereka sahaja yang ada menanam pokok bambu. Sebutannya 'Bambu' bukan 'mambu'. Doktor yang menyarankan menggunakan daun ini untuk membantu memulihkan chicken pox yang menyerang Hidayat. Ada sumpahan yang dikaitkan di antara tumbuhan ini dengan penyakit chicken pox. Ia memang sesuatu yang luarbiasa. Bahkan, tambah doktor itu lagi, kajian secara saintifik pun belum dapat membuka rahsia bagaimana dengan hanya meletakkan daun ini di bawah bantal dapat mengawal seterusnya menghilangkan penyakit chicken pox. Setelah daun ini kering, tumbuk atau kisar kering dan sapukan ke seluruh tubuh bagi menghilangkan parut-parut yang kelihatan. 

Kesimpulannya, kembali kepada Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Bijaksana menjadikan alam ini dengan penuh kegunaan dan manfaat untuk kehidupan manusia. Tidak ada penyakit yang tiada ubatnya melainkan mati.

Selesai Akhirnya

Hari ini skrab book Ain dan kumpulannya berjaya diselesaikan dan sebagai pemantau (lantik diri sendiri) saya amat berpuas hati dengan pekerjaan mereka. Beberapa kebaikan yang saya fikirkan ialah saya lebih mengenali rakan-rakan Ain, saya lebih berjaya menjalinkan kerjasama yang cantik dengan Ain dan kawan-kawannya, dan saya berpuas hati kerana dapat menyumbang sedikit buah fikiran dari segi kreativiti untuk mencantikkan lagi persembahan buku skrap ini. AKhir sekali saya tekankan supaya mereka redha menerima apa saja markah yang diberi oleh guru kerana yang penting ialah mereka berjaya menyelesaikan tugasan (sementara gosip budak-budak mengatakan ramai yang tak siap atau separuh siap sehingga semalam) dan hasil akhirnya adalah di tangan Tuhan.

Naqib berjiwa gundah

Ini draft yang sudah lama saya tulis sekitar Julai lepas.  Saya check edit post dan ada beberapa entri yang boleh dikeluarkan untuk tatapan, dan ada juga yang perlu didelete kerana sudah basi sangat. 
Kisah ini mengenai Naqib ketika dia sedang berjiwa resah dan gundah di pertengahan pengajiannya di madrasah lamanya.  Sebenarnya bukanlah luar biasa bagi seseorang pelajar tahfiz untuk bertukar-tukar madrasah di dalam mencari kesesuaian, namun saya berharap cukuplah sekali Naqib bertukar madrasah.  Semoga dia beroleh kesesuaian jiwa dan hatinya di madrasah Miftahul Ulum ini sehingga tamat pengajiannya, insya Allah.
.
.
.
Malam Rabu semalam, saya ke Madrasah Tahfiz di Seksyen 7 untuk menjemput Naqib balik. Dia menelefon saya sambil menangis teresak-esak. Siangnya tu (Selasa) saya berjumpa Kiai Tuan Hj Mahin meminta pendapat beliau serta bertanya sekiranya ada madrasah tahfiz berdekatan sekitar kawasan memandangkan beliau anak jati di sini. Sambil itu secara tidak langsung mengajukan sekiranya beliau sendiri boleh menggurui anak saya. Setelah berbincang sambil beliau menceritakan pengalamannya sendiri di Pasir Tumbuh sewaktu berguru di zaman muda dulu, juga pengalaman anak-anaknya sendiri (seorang anak beliau juga hafiz dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran di UIA), saya memikirkan mungkin Naqib perlu direhatkan.
Saya ambil dia pulang ke rumah dengan segala barang-barang keperluannya. Kemudian saya menghantar sms kepada mudir memohon budi bicara beliau untuk 'percutian' Naqib ini. Ringkas amat jawapan beliau tanda setuju, tak banyak soal.
Ada rasa kecewa sekiranya anak ini benar-benar hendak berhenti dari madrasah. Airmata saya mengalir dalam senyap dilindungi warna malam yang hitam sepanjang pemanduan pulang. Hanya kepada Allah Taala saya panjatkan harapan dan pengaduan.
Anak ini hanya tidak mahu tinggal di asrama. Dia mahu datang pagi dan balik petang, yang saya tidak mampu memenuhinya.
Buat masa ini, dia masih berehat di rumah. Petang semalam kami melawat sebuah sekolah agama berdekatan iaitu Madrasah Mujahidin bagi mendapatkan informasi. Ia merupakan sebuah sekolah pengajian swasta akademik dan agama tanpa tahfiz. Yuran kemasukan dan buku dalam anggaran RM1300 manakala Yuran bulanan hanya RM100, dengan waktu pengajian dari 8 pagi ke 2 petang. Kemasukan adalah pada tahun hadapan sekiranya Naqib berminat untuk ke sana. Ada 4 bulan lagi untuk ke tahun depan, sementara itu Naqib akan menyambung semula hafalannya di madrasahnya. Insya Allah.
...Harapan saya, akan ada salah seorang dari anak-anak kami yang menghafaz ayat-ayat suci Al Quran di dadanya dan di bibirnya, semoga Allah mengizinkan dan memudahkan.

Naqib tak sudah

Kisah ini cerita lama di awal kemasukan Naqib ke madrasah.  Hmm, dah basi tapi tak mengapa la yek..
Hari ini dua kali suamiku berulang alik ke Sri Petaling. Paginya dia membawa Naqib untuk ditemuduga bagi kemasukan ke madrasah di Dengkil, rupa-rupanya sang ustaz ada mesyuarat mendadak. Hanya borang diberikan untuk diisi serta pesanan untuk salinan kad pengenalan dan sijil-sijil berkaitan. Temuduga ditunda ke jam 1 tengahari. Suamiku balik semula ke rumah, dan aku diarahkan memfotokopi apa yang dikehendaki tadi. Suamiku juga mengabarkan dengan hati yang agak berang berkenaan beberapa kelemahan yang ditemuinya pada Naqib. Doa qunut belum lancar, yang lebih hebat ialah lafaz niat solat fardhu di dalam Bahasa Arab juga tak betul. Aku, seperti biasa, tenang-tenang sahaja. Sekiranya aku turut berang, nasib anak ini entah bagaimana. Lalu aku cari buku Fardhu Ain di celah-celah buku di rak buku dan juga buku Panduan Mengerjakan Solat Untuk Kanak-Kanak. Kuserahkan ke tangan Naqib untuk dia merujuk dan membuat pembetulan serta pembaikan bacaan. Tepat jam 12 tengahari, suamiku membawa Naqib ke Sri Petaling semula. Mereka kembali ke rumah sekitar jam 330 petang, sewaktu aku sedang sibuk memasak di dapur.
Selesai memasak, aku mengambil kesempatan berbual-bual dengan Naqib. Tujuanku ingin mendapatkan gambaran tentang temuduga tadi dan bayangan keputusannya. Kata Naqib, dia dapat mengenalpasti beberapa kesilapannya di dalam bacaan doa Qunut (maknanya dah lancar, dia cuma sangkut sikit), dan yang menyeronokkan serta memberi harapan ialah madrasah itu belajar sepanjang tahun. Tiada cuti melainkan untuk hari raya. Ini bermakna Naqib akan berada di madrasah sepanjang tahun juga.
Berhenti dulu, bersambung di lain waktu. insyaAllah.

Petua: Cara Mudah Guna Kunyit Hidup


Kalau goreng ayam atau ikan guna kunyit hidup, rasanya lebih enak dan aromanya lebih mengecurkan air liur. Petua ni saya dapat daripada mak saya. Kaedahnya, dapatkan sekilo (bergantung kepada keperluan anda) kunyit hidup yang segar, bersihkan buang kulitnya kemudian ditumbuk dengan lesung batu. Taburkan sedikit saja garam. Masukkan dalam bekas dan simpan di freezer. Sebelum tu, letak sekeping asam jawa untuk mengelakkan ia bertukar kehitaman. Jadi bila menu anda tengahari tu akan menggunakan kunyit, keluarkan awal-awal dari freezer. Bila dah time memasak, kunyit dah lembut dan boleh digunakan. Cara ni mudah kan? Anda susah sekali je semasa nak menumbuk kunyit, selebihnya kerja anda jadi mudah dan masakan anda lebih enak.
Apa, nak guna blender?
Hmm... boleh jugak tapi kalau blender besar tu kena letak air, bermakna kunyit anda akan jadi berair. Kalau blender kering tu pun ok, tapi bilah-bilah blender tu akan jadi tumpul terkena getah kunyit. Kalau guna lesung, orang-orang tua kata lebih sedap. Terpulanglah kepada anda untuk menggunakan cara yang mana. Selamat memasak.

Friday, November 20, 2009

Sudah berapa persen?

Nawal bertanya semasa saya melayan dia di YM.  Katanya, "Mak teh ni asyik tulis blog, bila Mak Teh nak tulis novel?"
"Lum sempat.  Mak Teh asyik berebut laptop dengan Pak Teh."
    "Hahaha."  Nawal gelak di YM.

Bil telefon bimbit belum dibayar tetapi penggunaan sudah melebihi had.  Beberapa pesanan ringkas masuk semalam, dari kawan-kawan dekat dan jauh.  Masing-masing bertanya khabar diri, termasuklah khabar novel saya. 
"Sudah berapa persen novel ko, Win?"
Apabila tiada jawapan dari saya, sampai lagi pesanan ringkas berbunyi, 'sombongnya...'
Terbayang seekor ayam betina yang sedang berketak riuh mencari tempat nak bertelur...  isyh, kenapa gambaran ini yang muncul?

Hati berdebar-debar... bila ayam ni nak bertelur agaknya? 
Kengkawan, sabau la tunggu jawapan sms saya.  Bil baru bayar tadi....


Thursday, November 19, 2009

Ok juga akhirnya


Saya agak frust dengan keadaan blog ini.  Untuk memuaskan hati sendiri dan ingin membaiki blog, saya semak tutorial mengenai 'Read More' berulang kali, siap menyalinnya beberapa kali di atas kertas supaya lebih jelas; saya semak pula code di Edit HTML dan tukar semula semua code untuk Read More ini ke code asal; SAVE TEMPLATE dan akhirnya VIEW BLOG, alhamdulillah, semua pulih semula ke asal. Serik juga ingin mencuba tetapi masih tidak berputus asa di masa hadapan.  Kesilapan teknik ini sedikit sebanyak mengajar saya lebih mendekati dunia di dalam komputer.
Buat masa ini, laptop saya diserang virus lagi.  Cukuplah sekali memberi peluang kepada Hidayat bermain games, dia 'menjemput' virus bersarang di sini kerana dia akan download games yang digemarinya.  Cuti panjang yang bakal menjelma membuat saya berfikir keras mengenai aktiviti sesuai untuk anak-anak ini.  Apa yang pasti, Ain akan diasak dengan tugasan tusyen untuk memantapkan dia menghadapi UPSR tahun 2010. 

Ujian Dalam Kehidupan


Bagaimana hendak menyusun ayat pada kali ini... tidak selalu dapat berpuas hati dengan hasil tulisan membuatkan saya agak termenung untuk memulakan.  Cuma, ada perkataan 'UJIAN KEHIDUPAN' yang boleh dijadikan keyword.
Saya teringat satu artikel di dalam akhbar beberapa hari lepas yang mungkin anda juga ada membacanya; kisah seorang suami yang kehilangan isteri dan 5 anak-anaknya tanpa dapat dikesan sehingga berbulan-bulan.  Saya peminat cerita klasik Kisah 1001 Malam; saya sungguh asyik menikmati kisah-kisah ini semasa berpeluang membacanya di zaman persekolahan rendah dahulu.  Kini, saya membaca lagi kisah-kisah sedemikian di dalam versi berbeza; kisah di zaman dunia tanpa sempadan yang menyuap pelbagai maklumat sehingga cerita luar dalam pun boleh diperolehi asal mahu.  Namun masih ada yang tidak sedemikian, menunjukkan kelemahan sistem buatan manusia dan Maha Kuasanya Tuhan yang menguasai kehidupan.  Ia adalah satu ujian, apa lagi yang boleh ditanggapi?   Adalah luarbiasa apabila kita kehilangan seseorang di waktu 'dunia semakin kecil' namun itulah kehendak Tuhan. 
Sebuah kisah yang lain; seorang lelaki yang telah terpengaruh dengan godaan wanita asing sehingga mahu menikahinya, melabur wang yang banyak untuknya, tidak mampu untuk melupainya.  Saya lalu melagukan gurindam Melayu Lama 'Siti Zubaidah'; memikirkan plot yang hampir serupa.  Namun, lelaki ini memang suka kepada wanita penggoda, tidak sama keadaannya dengan raja yang enggan tunduk kepada puteri Cina.  Manakala Siti Zubaidah tidak putus asa mencari jalan menyelamatkan suaminya yang ditawan oleh tujuh puteri; berbanding dengan si isteri yang kecewa sehingga mengusung parang untuk perhitungan.  Maafkan saya kerana membandingkan kisah realiti dengan hikayat lama ini.  Mungkin ia kurang bersesuaian, namun semoga boleh dijadikan iktibar dan mengambil yang baik sebagai pengajaran. Tidak dinafikan faktor-faktor lain seperti daya tarikan, kawalan secara sihir dan niat jahat juga membantu menambah hebatnya ujian kehidupan.  Sehingga seseorang itu umpama patung bernyawa yang emosi dan daya sedarnya sudah tidak dapat dikuasai oleh  dirinya sendiri sebaliknya dikawal oleh manusia lain dengan perantaraan makhluk halus melalui makanan, pernafasan dan sebagainya.  Hanya orang yang berdampingan atau ahli keluarga yang dapat melihat perubahan seseorang yang dikuasai sihir tanpa dia menyedari apa yang dilakukannya itu. 
bersambung:/

"Tahniah kerana anda telah memenangi..."


Tadi pagi ketika saya sedang pening-pening lalat melihat blog Naqhuhines yang 'sewel' ini, tiba-tiba telefon bimbit yang sedang dimasuki air berbunyi dengan riangnya. Dengan rasa malu-malu kucing, saya gagahkan juga bangun dari kerusi mengambil telefon bimbit hadiah dari abah ini. Nampaknya nombor yang tertera bukan kenalan biasa.Telinga saya diterjah oleh suara seorang lelaki dengan slanga Indonesia. Salam diberikan, berbaur dengan latar yang riuh seperti di pasar borong, gitu. Saya dimaklumkan telah memenangi hadiah WANG TUNAI berjumlah RM5 ribu oleh Power Root. Walaupun sudah terasa 'sesuatu' yang aneh, membuatkan saya ingin mengambil tahu lebih lanjut. Pemanggil bertanya dengan sopan sekiranya saya mempunyai akau bank di mana-mana kerana dia mahu memasukkan wang hadiah ini ke akaun saya. Seronok ya! Baik sungguh tetapi kurang licik. Sedikit pengetahuan mengenai berita semasa tentang penipuan membuatkan saya mengambil sikap berhati-hati. Untuk memudahkan cerita, saya sekadar memberitahu bahawa tiada akaun bank. Pemanggil ini masih tidak berputus asa, dia meminta alamat rumah pula untuk mengirimkan WANG TUNAI melalui pos. Teringin jua menerima sesuatu melalui pos, tetapi daya fikir yang masih agak waras menghalang saya terus lurus bendul, akhirnya saya katakan kurang berminat terhadap tawaran yang MENGKAGUMKAN ini. Khuatir juga andai bukan setakat kiriman pos yang sampai, dengan orang-orangnya pula yang datang, naya...
Ini mengingatkan saya kepada sekali peristiwa dengan tema lebih kurang serupa, sekitar 7-8 tahun lepas di kediaman lama di TTDI Jaya, Shah Alam. Suatu petang sekembali saya dari kerja, saya disambut oleh seorang lelaki Cina muda di depan pintu pagar rumah. Tidak mampu mengelak, saya terperangkap di situ. Lelaki muda ini cukup fasih berbicara, mengeluarkan beberapa keratan akhbar sebagai bukti menunjukkan beberapa Melayu yang telah memenangi hadiah dari program yang dibawanya. Ini ialah penipuan cabutan gores dan menang yang pada waktu itu sedang hangat mengenakan mangsa dan belum didedahkan di dalam akhbar. Saya hanya bertanya apakah nama akhbar yang memaparkan berita 'bukti' yang ditunjukkannya itu dan bilakah tarikh akhbar itu. Kemudian dia mula menelefon 'bos' dan bercakap di dalam Bahasa Cina. Setakat tidak dapat menjawab pertanyaan saya, dia masih tidak berputus asa dan terus memujuk. Saya fikir sudah memadai melayan dia sebagai tetamu tidak diundang, akhirnya dia beredar dengan baik setelah saya nyatakan dengan baik bahawa "saya tak cukup duit nak bayar hadiah ini".
Bagaimana ada orang yang boleh mempercayai hal sebegini, ya? Mungkin tidak cukup pengetahuan mengenai perkembangan di dalam masyarakat, atau mungkin mudah cair hati melihat tawaran yang diberikan. Kawan-kawan suami saya juga pernah terkena dan meminta bantuan suami (jadi bouncer kejap) untuk mendapatkan semula wang mereka setelah terkena. Ada yang berjaya mendapatkan semula sebahagian wang yang melibatkan pihak berkuasa setelah berjaya menunjukkan bukti penipuan dilakukan kepada mangsa. Namun biasanya sukar kerana mereka mempunyai alasan bahawa mangsa rela, sedar dan telah menandatangani surat perjanjian.
Sekali peristiwa lagi, kami dikunjungi oleh pemilik agensi pembekal pembantu rumah bergelar Tengku, yang datang ke rumah pada lewat petang, dan bersungguh-sungguh mengajak kami ke bank berdekatan untuk mengeluarkan wang pendahuluan bagi mendapatkan pembantu terbaik dari Indonesia dalam masa yang singkat. Orangnya memang amat meyakinkan dari segi penampilan dan tuturkata yang 'first class'. Memang amat mencairkan hati dan jiwa raga. Setelah jenuh dipaksa-paksa, akhirnya kami menangguhkan ke bank bersama beliau kerana timbul rasa janggal, cuak dan pelik; "Kami sedang pokai sekarang (memang betul2 pokai)." Jawab beliau pula, "Tak apa, berapa yang ada saya terima." Mula-mula minta sekitar RM500, akhirnya RM50 pun boleh juga. Akhirnya beliau pulang dengan harapan akan bertemu dalam beberapa hari lagi untuk mengambil wang pendahuluan. Setelah beberapa hari, kami melihat wajah beliau di dada akhbar bersama cerita agensi palsu pembantu rumah.
Demikianlah sedikit pengalaman untuk dikongsikan. Biasanya mereka yang berniat sebegini suka melakukan kegiatan pada waktu petang; orang baru balik kerja, penat, belum stabil berfikir, dan kekuatan dalaman juga rendah membantu diri dipengaruhi dengan mudah.
Semoga kita dipelihara Allah selalu. Amalkan Ayatul Kursi setiap kali keluar dan masuk ke rumah dan setiap kali sesudah solat serta ketika mahu tidur. Rujuk kitab Kaifiat Ayatul Kursi, insya Allah saya akan usahakan menulis manfaat Ayatul Kursi nanti. Semoga bersama mendapat kebaikan dan keredhaanNya. Amin.

Wednesday, November 18, 2009

Try and error, oh my blog!

Semenjak blog menjadi kelam-kabut, mood pun turun merudum bercampur dengan rasa agak kuciwa... Pagi ini saya mengadap blog lagi, jengah sana, tengok sini, jeling situ, akhirnya saya rasa 'revert to classic template' mungkin boleh membantu, dan akhirnya saya kembali ke template asal dulu-dulu, dan... saya sudah hilang hampir semua blog list terkini.


Tuesday, November 17, 2009

Apa dah jadi ni?

Hua hua hua apa dah jadi pada blog saya ni?  Kat layout ok, kat view blog ko pulak... Please, anybody help me.


Gara-gara 'Read More'

Alahai... terlalu teruja sebenarnya hendak mencuba memperelokkan persembahan blog hingga akhirnya terperangkap dengan sikap terburu-buru. Itulah akibatnya belajar tidak habis... Masa kurasakan terbuang begitu sahaja. Hmm tidak mengapalah, angapplah ini satu pengajaran berguna untuk aku.
Entri untuk MFC vs KFC hilang 70% termasuk beberapa gambar yang sudah didownload. Ohhh...

MFC vs KFC

Hari Jumaat lepas kami mengunjungi Naqib atas urusan yang tidak dapat dielakkan, iaitu membawa dia ke pejabat pos terdekat di Dengkil untuk menukar beberapa keping wang pos Program Taawon.  Kedatangan ini adalah secara mendadak dan pastinya membuatkan Naqib tersenyum gembira.  Hubby sempat menerangkan kepada ustaz Azman iaitu guru kelas Naqib serba sedikit mengenai program ini sementara menanti Naqib.  Kami membawa Naqib keluar dalam tempoh sekitar setengah jam sahaja, itupun sebenarnya sudah menganggu jadualnya. Di pejabat pos, sambil menunggu giliran, saya melihat bekas kudis di betis Naqib.  Kebanyakan kudis bernanah sudah kering tetapi masih ada beberapa tompok yang masih berdarah.  "Hati-hati bila mahu solat, tukar seluar yang terkena darah!" pesan saya sungguh-sungguh kepada Naqib.  Khuatir rasanya jika dia tidak memberi perhatian kepada keadaan kudisnya itu sehingga boleh merosakkan solatnya.

kudis sudah kering tetapi masih ada satu dua yang berdarah

Kami benar-benar berharap penyakit kudis ini sembuh sepenuhnya dan tidak berulang lagi, tidak berjangkit kepada pelajar-pelajar lain dan tidak menganggu tumpuan Naqib pada hafalan. 
Semasa membawa Naqib bertemu doktor selepas seminggu dari perjumpaan pertama itu, doktor telah memastikan bahawa ini bukanlah kudis buta.  Doktor memberi ubat yang sama dan menasihati Naqib mengambil sayur-sayuran serta benar-benar menjaga kebersihan badan.  Agak mendukacitakan apabila Naqib memberitahu menu di madrasah kurang sayuran kecuali sesekali sahaja dan selebihnya sebagai perencah dalam hidangan mee goreng.  'Itu memang tidak memadai,' bisik hati kecil saya.  Kemudian saya mencadangkan agar dia dibekalkan dengan lobak merah untuk dijadikan ulam.  Malangnya Naqib tidak menggemari lobak merah sebaliknya dia memilih timun.  Okey jugalah daripada tiada langsung.
Ekoran peristiwa kudis ini, kini sepinggan salad menjadi pelengkap hidangan kami di meja makan.  Kepingan salad, timun, lobak merah, lada benggala, celery, hirisan bawang besar dan baby tomato, dihiasi dengan sos Thousand Island yang enak dan perahan air limau nipis.  Nampaknya anak-anak cepat belajar menggemarinya walaupun kebanyakan masa saya yang menghabiskannya! 



Kadang-kadang saya beli seikat pucuk pegaga dari pasar Sabtu untuk dijadikan ulam-ulaman.  Sebelum bahagian belakang dapur disimen, kami kerap berulam dengan pucuk Ulam Raja yang harum baunya walaupun tidak dicecah dengan sambal belacan, tetap enak.  Anak-anak juga menyukai ulaman ini.  
Kembali kepada tajuk sebenar entri ini, di pertemuan singkat dengan Naqib itu, di akhir pertemuan dia telah meng'order' KFC untuk dimakan bersama kawan-kawan baiknya.  Dia menceritakan 4 orang kawan baiknya yang 'sekepala' dengan dia, iaitu pelajar senior yang cool seperti dia juga tentunya.  Kami belum berpeluang bertemu dengan kawan-kawan baik Naqib, dan kami bersetuju untuk membantu dia meraikan kawan-kawannya itu.  Salah seorang kawannya adalah pelajar dari Padang yang mengalami gempa bumi tempohari; katanya anjung rumahnya telah runtuh akibat gempa tersebut.  Naqib mahu makan-makan bersama kawan-kawannya pada Sabtu malam Ahad nanti.
Akhirnya setelah berbincang, hubby bercadang untuk membuat rencah ayam goreng sendiri.  Kami seboleh-bolehnya mengelak daripada mengunjungi KFC.  Pelbagai isu mengenai ayam yang... anda faham-fahamlah sendiri.  Oh ya sedikit kisah lama dari kakak ipar yang pernah melihat peristiwa tikus goreng bersalut tepung berempah...hehehe.
Di pasar Sabtu, ayam dibeli di gerai penjual ayam yang membela ayam sendiri, memproses sendiri dan menjualnya sendiri.  Di Sijangkang ini juga ada kedai yang mendapat bekalan ayam dari seorang ustaz yang menyembelih sendiri ayam itu.  Selagi ada pilihan, eloklah kita pilih yang meyakinkan untuk dijadikan makanan yang menjadi darah daging di dalam badan.
Ayam dua ekor dipotong 8, dan diperap dengan pelbagai bahan perencah dan herba selama sejam setengah.  Akhirn sekali dicelup dalam telur dan celup dalam tepung goreng ayam dan dogoreng dalam minyak panas.  Kecilkan api dan biarkan ayam masak sehingga ke dalam daging.  Apabila sudah hampir masak sepenuhnya, besarkan api supaya ayam menjadi lebih garing.  

menyiapkan ayam dengan perencah istimewa

sudah siap digoreng, baunya saja sudah menggoda!!

Selesai solat Maghrib, kami pun menuju ke Bukit Changgang membawa ayam goreng MFC bersama sos untuk Naqib dan kawan-kawannya.   

Monday, November 16, 2009

Cara Betul Cuci Tangan






Watak : Hidayat (7 tahun) dan Hanessa (4 tahun).
Lokasi : sinki dapur.
Waktu : 1.00 - 1.40 tengahari.
Tajuk : Mencuci tangan sesudah makan.

Selesai makan, Hidayat pun menuju ke sinki untuk mencuci tangan.  Hanessa yang juga baru selesai makan, juga menarik kerusi mendekati sinki.  Melihat Hidayat yang baru hendak mencuci tangan, Hanessa pun berkata, "Meh Baby ajar Abang Hidayat cara cuci tangan.  Begini..."
Hanessa memicit cecair pencuci tangan di sudut sinki ke atas tapak tangannya dan mula menunjukkan cara-cara mencuci tangan yang ditontonnya di peti tv.  Sepanjang pandemik H1N1 begitu serius tempohari, tv kerap menayangkan kaedah mencuci tangan dengan cara yang betul.  Hanessa yang banyak menghabiskan masa menonton tv rupa-rupanya mengambil perhatian terhadap penekanan kaedah mencuci tangan ini.  Sekarang dia mengajar abangnya pula.
"Picit sikit sahaja sabun ni, nanti baunya kuat sangat.  Jangan membazir, nanti cepat habis,"  sambung Hanessa lagi agak mencecer kepada Hidayat.  Hidayat diam sahaja sambil meniru perbuatan Hanessa yang menggosok-gosok jari-jemarinya di telapak tangan dan di belakang tangan.  Namun belum sudah cikgu mengajar murid, murid yang tidak bersedia belajar itu cepat-cepat mencuci tangan di air paip dan berlalu pergi sambil merenjis sisa air ke lantai.
Hmm... sudah berkali-kali diperingatkan agar merenjis tangan di sinki dan lap tangan kering-kering dengan tuala tangan, masih lupa juga atau sengaja tidak mengendahkan.  Anak... anak...





Sunday, November 15, 2009

Serai oh serai

Satu ketika Ain diminta memudahkan sedikit urusan dapur; minta tolong dia ambil serai.
"Ain tak tau..." Ain tersengih-sengih, agak enggan mematuhi.
"Belajarlah, kalau tak cuba macamana nak pandai," saya memujuk Ain.  Apabila sudah ada serai, lengkaplah masakan saya nanti.  Waktu itu saya masak Paprik Ayam.
"Haah, pergi ambil serai tu, Ain!" suara hubby menyampuk dari kejauhan, sayup sahaja.  Orang tua ini memang terang telinganya, macam telinga lintah.  Bagus juga, tidak perlu saya 'bergaduh' dengan Ain lama-lama.
Saya hulurkan sebilah pisau kepada Ain.  Ain mencapai pisau dan berlalu pergi. 
"Ambil di rumpun serai di depan rumah Cik Idah ye.  Mama dah minta siap-siap kat dia," laung saya kemudian.
Tidak lama kemudian anak gadis saya ini muncul semula. "Nah serainya, mama.  Jari Ain luka," kata Ain sambil mengunjukkan serai kepada saya serentak dengan menunjukkan hirisan halus di jarinya yang terkena daun serai.  Saya agak terpempan dan... tidak dapat menahan ketawa besar.   "Ha ha ha!!!"
Ain terpinga-pinga melihat gelagat saya.  Mama sudah tidak betul...
Mari kita lihat serai yang diambil oleh Ain itu, ya.  Sempat dia berposing dengan serainya... (pic removed).

Inilah serai Ain.  Saya beritahu hubby sambil menahan ketawa, rupa-rupanya hubby lebih awal melihat serai itu lalu menyuruh Ain menunjukkannya kepada saya.  Kasihan ada, gelihati pun ada.  Namun bolehlah beri satu bintang jika dibandingkan dengan saya semasa seusia dengannya dulu.  Ehem, saya selalu kata pada anak-anak, mereka tidak boleh jadi macam saya buat selamanya, kerana mereka berempat perlu berkongsi satu ibu; saya seorang berkongsi dua ibu dan bila sudah berumahtangga dapat seorang lagi ibu, ibu mertua.
Kembali pada masakan saya, akhirnya berjaya juga disiapkan dengan enaknya setelah hubby sendiri menolong ambilkan serai.  He he he...

Pemuda harapan ibunda


Foto semasa Aidilfitri 1430H lepas.  Dari kiri; Aizat, Hanif, Naqib, Shahamin, Hasib dan Hidayatullah.  Waris keluarga Batu Kikir.  Tak complete sebab ada yang tidak bersama, entah ke mana agaknya...  Yang tiada: Fuad, Haris, Dik Mat, Majdi, Zaid dan Faruq.

Ma, nak belajar bawa kereta!


Bismillah...



Lihat side mirror juga...

Naqib lagi... kali ini kisah dia nak belajar bawa kereta.  Permintaan yang ditujukan khas kepada saya sahaja iaitu permintaan sulit yang disuarakan secara berbisik-bisik.  Saya gemar juga melayan kerenah dia.  Jadi saya izinkan dia cuba memandu kereta Kancil ini dan saya duduk di sebelahnya.  Cekap juga walaupun kali pertama memandu.  Dia selalu bertanya mengenai pemanduan semasa saya sedang memandu.  Dia dapat mempraktikkan apa yang diketahuinya, cuma sewaktu di selekoh kecil saya gesa dia menekan minyak sedikit kerana pergerakan kereta menjadi lebih perlahan.  Sekadar memandu di laluan taman perumahan, kembang hatinya mendapat peluang memandu.  Tersengih sepanjang jalan.  Sebelum mula memandu, seperti biasa sebaik sahaja kami masuk ke dalam kenderaan, doa dibaca bersama-sama.  Setelah beberapa kali memandu, akhirnya kegiatan kami terbongkar apabila abah Naqib terperasan dia keluar dari tempat pemandu semasa parkir kereta di hadapan rumah.  Abah Naqib tidak marah, cuma kami dinasihati supaya berhati-hati semasa Naqib memandu.
Itulah beberapa kali dia dapat memegang stereng kereta.  Kini dia berada di madrasah dan tidak balik kerap seperti dulu.  Menjelang aidiladha ini Naqib akan bercuti bersama kami selama satu minggu dan buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun lebih kurang kami akan meraikan aidiladha ini bersama keluarga di Segamat. Kami ingin menghabiskan masa yang berkualiti bersama ibu mertua, Hajah Zaleha Sidin yang uzur setelah diserang sakit dada tempohari.  Mungkin cuti ini adalah cuti pertama dan terakhir yang akan Naqib habiskan bersama kami sehingga dia tamat pengajian kelak.  Sebenarnya pelajar tidak digalakkan mengambil cuti sepanjang pengajian melainkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan untuk kebaikan pelajar sendiri dari segi menjaga fokus kepada pengajian hafazan. 

Saturday, November 14, 2009

Lagi karya Nessa

Salah sebuah hasil coretan Nessa; wajah seorang budak lelaki berambut tegak bermata bulat dan berhidung lurus, sedang tersenyum senang sambil memandang ke satu arah di kanannya.  Lukisan ini dilukis beberapa tempoh yang lepas.  Apabila saya bertanya semula tentang gambar ini, Nessa mengatakan ia adalah gambar Abang Hidayat.   Lukisan ini menarik kerana dalam banyak-banyak contengan Nessa, lukisan ini nampak hidup dan menjadi. 
Latihan melukis ini membantu Nessa memegang pen atau pensel dengan betul.  Dia tidak mengalami masalah untuk memegang dan melukis dengan bebas.  Pada masa yang sama, dia berjaya meluahkan perasaan yang terpendam di dalam jiwanya.  Ya, melukis juga satu terapi yang boleh menenangkan jiwa bagi orang-orang yang cenderung ke arah itu.  Buat masa ini belum nampak calon-calon yang berminat menuruti langkah saya yang suka menulis, mungkin sedikit masa lagi.

Mahakarya Nessa 4 tahun

Peta Tulisan Nessa



Budak kurus


Kakak dan Saya


TV yang dikasihani


Mamaku Sayang


Mendaki Tangga Jaya


Adik-beradik

Kupu-Kupu
 "Ibu, saya nak main kat luar."


"Hai apa khabar?"


"Saya ceria, ceria duniaku"


Gadis Comel


Abang Hidayat dan Saya



Saya


Setiap hari gadis kecil ini akan melukis dan melakar, menconteng dan mencoret apa sahaja di atas pelbagai media khususnya kertas.  Saya menyediakan kertas kosong dan kertas terpakai yang banyak untuk dia melukis sekehendak hatinya, dengan harapan dinding rumah ini selamat.  Namun harapan itu tidak sepenuhnya tercapai.  Dalam diam-diam, sebahagian dinding bilik tidurnya mula dipenuhi pelbagai mahakarya yang hanya dia memahami. 
Dia seorang yang kidal, sama seperti abang Hidayatnya.  Sehari dua ini dia mula belajar menulis namanya dengan lebih betul berbanding sebelum ini yang entah apa-apa.  Saya berikan dia buku kotak besar dan menulis nama pendeknya, HANESSA di dalam setiap petak.  Rupanya tidak cukup satu buku, dia mengambil sendiri beberapa buku lagi dan menulis sesuka hatinya.  Dia puas berbuat begitu.  Perlahan-lahan dia sudah berjaya menulis namanya sendiri walaupun saya yakin dia tidak mengerti apa yang ditulisnya itu sepenuhnya.
Saya baru mula membaca buku Zamri Mohamad bertajuk 'Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis BEBAS'.  Gadis nakal ini memohon izin saya untuk menulis namanya di buku itu dan saya izinkan dengan syarat hanya namanya sahaja.  Tidak lama kemudian saya terlelap dan... bukan setakat nama di buku itu juga sudah penuh dengan beberapa mahakarya lagi!!!  Saya tidak marah, kerana dia mematuhi janji tidak melukis di muka surat lain walaupun mungkir untuk menulis nama sahaja...

Hidayat yang suka bunyi

Nampaknya kebelakangan ini blog saya dipenuhi dengan cerita anak-anak.  Saya amat menghargai kenangan sehingga sebarang 'karya' anak-anak ingin saya simpan sebagai koleksi.  Diri saya sendiri mempunyai kenang-kenangan semasa kanak-kanak, di antaranya ialah rakaman suara saya yang dirakam oleh arwah abah.  Tape lama itu masih saya simpan; masih elok dan mendengarnya amat mengingatkan saya kepada situasi itu; nostalgia zaman kanak-kanak kembali menjelma tidak akan dilupakan.
Hidayat amat suka melukis.  Sehingga guru kelasnya mengingatkan saya agar Hidayat membaca di rumah dan kurangkan melukis.  Dia juga cenderung pada bunyi.  Hidayat akan menyusun koleksi kereta mini di atas lantai, dan bermulalah suara kereta F1 sedang berlumba dengan kencangnya di litar.  Kadang-kadang dia akan mengajak adiknya Nessa bermain alat muzik; mengetuk-ngetuk gendang kecil dan alat muzik buluh yang dibeli abahnya di Indonesia dulu.  Apabila ada kelapangan (pantang lepa, kata orang tua), Hidayat akan duduk di depan laptop yang terbiar sebentar dan membuka you tube.  Dia menggemari nasyid, sedang menghafal nasyid Doa Perpisahan dan tidak boleh tidak akan juga membuka siri kegemarannya, Ultraman.
Bermula petang semalam, dia mempelajari cara-cara melipat kertas untuk membuat kertas letup, maka tadi malam beberapa kali dia meminta bantuan saya mengoyakkan kertas dari buku latihannya sehingga ditegur oleh abahnya.  Sepanjang pagi tadi dia sibuk menunjukkan kepada saya kemahirannya bermain kertas letup.  Sambil tersengih-sengih riang, dia menyelitkan kertas itu di celah ketiaknya dan meletupkannya dengan kuat.
"Mengapa letak di celah ketiak?" tanya saya.
"Entahlah, tapi bunyinya lebih kuat.  Kawan Hidayat, Izat Ketot namanya, yang ajar."
"Mengapa dipanggil Izat Ketot? Tak baik, tentu dia tak suka dipanggil begitu."
"Sebab dia tak suka makan sayur, dia kecil saja," jawab Hidayat sambil mengukur tinggi Izat Ketot sekadar dua kaki dari lantai.
"Tidak ada kena mengena tidak makan sayur dengan tinggi dia, Hidayat."
Hidayat senyum mempamerkan gigi arnabnya dan berlalu pergi sambil meletupkan kertas.
Tajuk : fanfe role koste (kenang-kenangan ke funfair di Bukit Tinggi)


Tajuk : Kereta GP

Tajuk : Kereta Hebat


Tajuk : Robot

Naqib semasa kecil

Apabila menatap gambar-gambar di dalam album, terasa amat betapa masa berlalu begitu laju.  Seolah-olah peristiwa yang dirakamkan itu baru semalam berlaku.  Teringin menikmati semula keceriaan namun sudah pasti ia tidak akan berulang lagi.  Masa tidak menanti dan masa tidak akan kembali.  Masa juga tidak berhenti.  Keceriaan lain menyusul, dan ia dirakamkan lagi, sesudah itu iapun berlalu pergi.  Kadang-kadang tangan gatal juga hendak merakam wajah yang sendu dalam tangisan.  Anak-anak yang kecilnya begitu comel, mulus dan tulus kini telah membesar, melebar dan meninggi dengan peribadi tersendiri.
Muhammad Naqib lahir dengan tali pusat membelit lehernya.  Tiada tangisan sehingga doktor menepuk punggungnya.  (Kata Siti Saidah, pembantu rumah dari Lombok yang menjaga Naqib, "Naqib ini  pantas orangnya nanti, ibu"... maksudnya segak memakai apa sahaja).  Alhamdulillah keadaan itu tidak mendatangkan mudarat, dia bukan 'blue baby', hanya dia begitu suka memuntahkan susu yang masih segar yang baru memenuhi perutnya dan dia penghidap G6PD Deficiancy yang tidak pernah kami tahu mengenainya sebelum itu.  Akibatnya kami kerap kelam-kabut bangun menukar pakaiannya dan cadar katil di waktu embun menitik apabila dia menyirami seluruh tubuhnya dari kepala hingga ke kaki dengan susu hanya dengan sekali sendawa atau tersedak kecil.  Dia tidak menangis, cuma matanya yang terkebil-kebil dengan bulu mata putih bergenang air susu dan rambut juga dibasahi susu.  Bayangkan cara dia muntah sehingga susu itu melambak umpama air pancut yang menyirami rambutnya juga.  Cepat-cepat dia didirikan untuk mengelakkan muntah itu memasuki paru-paru kerana boleh mendatangkan bahaya.  Kadang-kadang kami bergurau untuk menadah susu itu kerana sayang, baru seminit masuk ke perut sudah keluar semula.  Kata mak mertua, Naqib akan membesar dengan tubuh berisi dan rezekinya akan menyirami dia seperti mana susu itu menyirami tubuhnya.  Kami merujuk dia kepada doktor pakar namun dia disahkan sihat dan tiada sebarang masalah dalaman.  Ada kanak-kanak yang terpaksa melalui pembedahan kerana saluran makanan yang tersumbat atau pendek.  Cuma doktor mencadangkan dia diberi susu soya sebagai susu tambahan kepada susu badan untuk mengatasi keadaan itu namun susu ini tidak digemarinya langsung.  Menjelang umurnya 6 bulan, dia mula kerap menangis seperti kelaparan dan enggan menyusu badan ; waktu ini saya disahkan mengandung lagi. Dia juga tidak menggemari nestum.  Akhirnya terlalu kalut dengan tangisannya, saya lenyek nasi dengan kuah gulai masak lemak kuning dan mula menyuap Naqib sedikit demi sedikit.  Memang ternyata dia kelaparan dan seleranya memang selera orang Negeri Sembilan.  Dia berhenti menangis dan bermulalah menu hariannya dengan bubur atau nasi lenyek panas yang enak.

belajar di Pusat Tahfiz Unggul seksyen 4, berumur 3 tahun lebih.  Mula menghafal ayat-ayat lazim tetapi tidak lama kerana masalah pihak pengurusan.


berumur 4 bulan, rambut panjang disimpan khas  untuk dicukur oleh atuk Hassan bin Karim, Batu Kikir.

tidur lena semasa atuk Hassan mencukur rambut.


sudah botak dan senyum lebar.


demam, diselimut dengan napkin basah


gambar yang memenangi hadiah di majalah Pesona, sepatutnya ditulis "Kepala siapa keras?".  Duit tidak dituntut sebab jarak yang tidak mengizinkan.


6 bulan, baru belajar duduk, sebaik sesi bergambar Naqib melorot rebah kerana belum kuat duduk sendiri.


suka mandi di dalam tab.  Tab ini masih ada hingga kini dipakai oleh Nessa pula yang amat suka bermain air.


sayang pada adik kecil.


takut dengar bunyi guruh, terlelap sambil tangan menutup telinga.


kekenyangan sampai terlelapmenangis di pagi Aidilfitri
Hanif, Hanim, Kak Long, Nawal, Ain, Naqib dan Aizat.  Di belakang; Shahmin.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing