Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, October 26, 2009

Petua Atasi Tercekik Tulang


Apabila anda tercekik tulang yang masih terlekat di anak tekak walaupun sudah bergelas-gelas air diminum, cuba lakukan begini: ambil nasi dan kepal-kepalkan sekadar ibu jari, dan telan tanpa mengunyahnya.  Lakukan begini sehingga tulang itu benar-benar telah masuk ke esofagus terus ke perut, tidak terlekat lagi di anak tekak anda.  Oh ya, usah lupa menyebut nama Tuhan dan berselawat ke atas kekasihNya, bertambah mujarab usaha anda. 
Lagi satu, ini cadangan kakak saya, arwah kekanda Norliza Hassan (al Fatihah) yang baru kembali ke rahmatullah Januari lepas; kata beliau, sambil menelan kepalan nasi itu, cuba tarik sekali kedua-dua cuping telinga anda agar (mungkin) ruang esofagus itu makin lapang untuk nasi bersekali dengan tulangnya tercabut.  Lucu juga, tetapi boleh dicuba.  Saya mencuba dan alhamdulillah, beberapa kali tercekik tulang, sekadar menelan nasi yang dikepal lembut, tulangnya hilang dari anak tekak. 

Andai tidak menjadi juga, disarankan ke klinik berdekatan. Atau kalau berani seperti yang puteri saya sendiri lakukan; buka mulut seluas-luasnya dan tarik sendiri tulang itu dari anak tekak (andai tulang boleh dilihat).  Syaratnya, buat sendiri usah minta pertolongan orang.  Berdiri di hadapan cermin, dan lakukan sedemikian.  Yakin dan tetapkan hati, insyaAllah. 

Akhir sekali pesan orang tua-tua, carilah orang yang lahirnya menyongsang.  Kelahiran normal ialah kepala bayi keluar dahulu menjengah dunia dan mengukir senyum kepada jururawat atau pegawai perubatan yang menanti, manakala yang menyongsang ialah kaki atau punggung keluar dahulu.  Makanya, mintalah orang ini mengacau air minum secawan dengan tangan yang benar-benar bersih, dan minumlah air itu dengan lafaz Bismillah...sepenuh harapan ke hadrat Allah.  Mudah-mudahan selesailah masalah tercekik tulang itu.  Insya Allah.

Saturday, October 17, 2009

Ada Juga Positifnya Facebook


Akhirnya setelah saya komen tentang facebook yang melalaikan, hari ini saya kata ada juga baiknya facebook ini.  Saya memberitahu tentang bonda mertua yang uzur, ada rakan-rakan fb yang turut mendoakan dan memberi nasihat panduan, seperti saudara Ainol Kusyairi, katanya di fb;

"Banyakkan berdoa kepada Allah swt. Buat sembahyang hajat terutamanya pada waktu tahajud, dan pohon kepada Allah agar bonda puan cepat sembuh dan kembali sihat untuk tambah amal ibadat. Apabila kesempatan, bacalah surah ar Ra'd di... samping bonda puan dan baca Ya Latif sebanyak mungkin (sekurang2nya 1000x), kemudian pohon doa kepada Allah swt. Dengan izin Allah swt, kembali sihat malah lebih sihat bonda puan. Amin."

 Juga beberapa rakan fb lain yang turun mengaminkan doa yang dipanjatkan.  

Makanya, dalam ramai-ramai kenalan di fb itu, ada yang serasi, sehati dan sependapat.  Ada juga yang masih muda remaja, sekadar hendak berbual kosong, dengan cara dan gaya masing-masing.  

Demikianlah di kesempatan yang amat terhad ini, setiap sesuatu itu lebih bergantung kepada sikap kita terhadapnya.  Andai kebaikan yang diharapkan, maka gunakan dengan niat yang baik; begitulah sebaliknya.  

 Ucapan buat rakan-rakan fb; selamat berkomunikasi. Semoga fb dapat menjadi wadah bicara yang mendatangkan manfaat, yang mana kadang-kadang manfaat itu tidak terjangkau oleh dugaan.  Namun berhati-hatilah selalu kerana sifat Mukmin itu sentiasa dalam waspada dengan tipudaya dunia, agar tidak terperosok ke dalam fitnah akhir zaman.  Kerana fb juga boleh mendatangkan curiga dan merosakkan hati manusia.  Semoga kita diselamatkanNya.  Amin.

Balik kampung!

"Mama, nanti pergi sekolah jumpa budak Qayyum tu!" pulang dari sekolah, Ain mendesak-desak saya semasa sedang mencedok nasi di meja makan.
"Kenapa?"  saya sudah menjangkakan sesuatu.
"Dia ejek-ejek nama mama, nama atuk dan nama abah."  Ain begitu bengang dan geram.  "Dia baca surat cuti untuk cikgu dan mula ejek nama mama."
"Hai, macamana dia boleh baca surat untuk cikgu?"
"Ain beri pada cikgu lepas itu cikgu letak atas meja.  Semasa cikgu panggil Qayyum ambil buku, dia buka surat itu dan baca.  Dia gelak-gelak."  Wajah Ain masam mencuka.
"Cikgu tak marah ke?"
"Cikgu buat tak tahu sahaja..."
Mungkin cikgu malas hendak melayan kerenah anak-anak murid yang nakal sementelah  mungkin Ain seorang sahaja yang  kerap disakat oleh Qayyum.
Pernah Naqib membuat teori terhadap perihal Ain yang kerap disakat ini ; kalau seorang lelaki itu suka mengusik seorang perempuan bermakna lelaki itu suka pada perempuan yang diusiknya.
"Ah, siapa yang suka Qayyum tu.  Jahat macam setan."  Ain memuncungkan bibirnya, tidak bersetuju langsung dengan teori Naqib.  Ain mula menangis.  Hubby yang pantang mendengar suara tangisan segera bertanya seandainya ada anak-anak yang bergaduh dalam diam.  Apabila Ain memberitahu perihal usikan terhadapnya, hubby berkata, "okey nanti abah pergi sekolah kasi pelempang kat budak itu."  Sekadar hendak melegakan kekusutan Ain.  Tergamak nak melempang anak orang???  Ish...jangan cari pasal.  Ah, mungkin sudah cara buah bicara orang berdarah Bugis ini begitu.  Macam tutur kata orang Melaka juga yang menunjukkan kemesraan dengan cara yang kasar; lahabau engkau!!
Saya hanya tersenyum.  Mungkin juga!  Pengalaman semasa zaman kanak-kanak pernah membuktikannya.  Hairan memikirkan situasi manusia ini, suka tetapi dilindungi dengan usikan yang menyakitkan hati orang yang disukai.

"Mama, kalau macam ini, Ain jadilah tinggal dengan uwan kat kampung."  Ain berbisik, seolah-olah hendak mengajak berbincang.
"Baguslah, kamu akan jadi tuan puteri buah hati uwan, atuk dan onyang,"  saya memberi sokongan. "Uwan nak ambil motor atuk di sini bawa balik kampung, nak jual buat beli motor comel macam skuter tu, kamu tak perlu bantuan nak hidupkan enjin lagi, cuma tekan saja punatnya dah hidup enjinnya."  Saya terus memberi rangsangan kepada Ain.
"Laptop jangan lupa dan internet sekali!"  sambut Ain.  ""Handphone baru juga," dia terus mengingatkan.
Banyaknya syarat dan permintaan...  jadi ke???

Teringat jawapan Ain semasa bertemu emak di Segamat tempohari, "Nanti Ain fikir dulu masak-masak ya, uwan."
"Hai, nak masak macamana lagi tu?"  Kata emak.  "Kalau setuju, uwan nak belikan motor.  Main motor dalam pagar saja."  Terbayang kawasan halaman rumah kampung yang luas.  Tentu seronok bawa motor di celah-celah lanskap pohon bunga yang dijaga rapi oleh abah.
Tidak dapat dipastikan jawapan Ain yang sebenar melainkan sesudah sampai masanya.  Tahun hadapan Ain akan menghadapi UPSR.  Maka perlulah dibantu dengan kelas tambahan. Itu semua tidak menjadi persoalan kepada emak.  Emak sudah berjanji akan mengusahakan agar pelajaran Ain cemerlang.

Petang semalam timbul perbincangan ringkas antara saya dan hubby, setelah saya bicarakan perihal Ain hendak tinggal dengan uwannya.  "Tak payahlah, nanti terganggu pelajaran.  Cara berlainan, nak menyesuaikan diri dengan persekitaran bukan sekejap."  Satu keputusan yang telah sah hitam dan putihnya  oleh seorang ketua keluarga, tidak perlu dipertikaikan lagi.

Wednesday, October 14, 2009

Ibu Mertuaku


Nama beliau ialah Hajah Zaleha binti Sidin.  Berasal dari Batu Pahat, Johor  Berusia sekitar 66 tahun.  Berketurunan Melayu Bugis.  Ramai saudara-mara di serata Semenanjung Malaysia, dari utara ke selatan, timur ke barat.  Beliau seorang suri rumah yang dimurahkan rezeki dengan anak-anak seramai 10 orang.  Harian beliau dipenuhi dengan bercucuk tanam di sekitar rumah dan aktiviti mengajar mengaji anak-anak orang kampung.  Ramai anak-anak kampung yang mengaji sehingga khatam al Quran.
Semenjak akhir-akhir ini, apabila kami bertemu, mak selalu mengadu matanya kian rabun dan telinganya kian kurang pendengaran.  Waktu tidur, mak selalu terperanjat dengan bunyi yang berketik lalu jantung mak akan berdebar-debar berdegup kencang.  Mak ada darah tinggi, oleh itu mak selalu berpantang makan.  Tetapi kadang-kadang mak merasa juga makanan yang ada untuk jamah sedikit.  Kemudian anak-anak mula memberi 'warning' pada mak.  "Tak mengapalah, buat ubat..." kata mak perlahan mempertahankan diri.  Mak kurang berdisiplin dalam pengambilan ubat.  Makanya kalau mak rasa kurang sihat, mak lebih rela pergi ke kllinik swasta daripada ke hospital sebab mak tak mahu doktor marah mak.
Namun kali ini anak menantu semua sepakat menghantar mak ke hospital.  Mak tidak boleh dirujuk ke klinik semata-mata.  Kalau ke klinik, pasti mak akan dihantar ke hospital juga.  Akhirnya mak bersetuju pergi dengan separuh hati, mulutnya masih berkata, "kalau tak, tak payah pergi, kang doktor tanya mak dah lama tak makan ubat..." mak bimbang terus.
"Mak jangan takut.  Kalau doktor serambung mak, kami akan mengamuk kat doktor tu balik," sahut anak-anak. "Ni semua darah lanun...cubalah kalau berani."
Wah, bukan main anak-anak memberi semangat pada mak.  Mak diam sahaja, masih cuak dengan sambutan doktor nanti.
Akhirnya anak-anak semua balik barulah mak sepenuh hati hendak ke hospital.  Bukan apa, biar semua anak-anak dapat mengadap mak di rumah dulu.  Kalau di hospital baru nak ziarah mak, belum tentu dapat bersantai seperti di rumah.
Kami bantu-membantu memakaikan mak blouse Kak Ngah Ana yang berbutang di depan supaya senang doktor nak buat pemeriksaan.  Mak mengaduh kecil ketika kami cuba membangunkan mak dari pembaringan.  Dada kiri mak masih sakit, mencucuk-cucuk rasanya, kata mak.  Ada biji angin tiba-tiba muncul di bawah pipi kiri mak.  Kata Kak Ngah Ana, mula-mula muncul bengkak angin di belakang mak lalu diurut sepanjang malam tadi sehingga ia hilang, kemudian baru muncul di bawah pipi mak berdekatan dengan rahangnya.  Bila dipicit perlahan, rasanya sakit.
Mak tak mahu naik ambulan ke hospital.  Dia dah merasa goyangan dan hentakan duduk dalam ambulan semasa menemani anak saudaranya ke hospital tidak berapa lama dulu.  Dalam keadaan sakit begini, tentu tubuh mak bertambah sakit beroleng-oleng ke kiri dan ke kanan di dalam ambulan nanti.
"Mak nak naik keta ko!"
"Ha, jom mak!" Abang Din Komeng sengih-sengih.  Dia memang ceria dan lucu, sekufu benar dengan isterinya, Kak Aza.
Setelah mak bersiap ala kadar, Meon mendukung mak ke dalam kereta Camry hitam.  Seat depan di rebahkan untuk keselesaan mak.  Kak Ngah Ana dan Kak Aza turut pergi bersama.  Abang Man dan Kak Shidah mengikut dengan kenderaan sendiri.  Kami yang lain menunggu di rumah sehingga urusan pendaftaran mak di hospital selesai.
Tidak lama kemudian Bonda Juriah dan ayahanda Hj Muhammad serta Bonda Ramlah sampai dari Negeri Sembilan secara mengejut.  Tidak diduga, namun kedatangan pasti bersambut.  Petang itu waktu melawat dari jam 430-700 petang, kami semua menziarahi mak di hospital.  Mak dimasukkan air dan diberi ubat penahan sakit namun doktor belum dapat pastikan penyakit sebenarnya.  Cuma berdasarkan x-ray, mak mungkin mengalami jantung tersumbat.  Mak hanya kata sakit dada, walhal mak juga ada pendarahan kecil semasa buang air besar.  Setelah mak tidak boleh buang air besar, barulah mak maklumkan pada doktor perihal tersebut.  Doktor membuat andaian baru bahawa mak juga mengalami jangkitan kuman.
Anak-anak mak telah buat keputusan sekiranya mak perlukan rawatan lebih lanjut, mak perlu dipindahkan ke mana-mana hospital di Kuala Lumpur.  Buat masa ini Kak Aza dan Izun berkorban masa dan tenaga menemani bonda tercinta di wad kelas 1 yang nyaman.  Semoga bonda kembali sihat bahkan lebih sihat untuk melalui hari demi hari bersama keluarga yang sentiasa mengasihi.
"Mak, tenang selalu.  Usah sorok sakit, nanti doktor tak pasti ubat yang mana patut diberi pada mak..."

Sunday, October 11, 2009

Berdoa Dengan Tawassul

Bismillahirrahmanirrahim.
Saya amat suka hendak memetik sedikit catatan berkenaan tawassul dari sebuah buku bertajuk 'Kisah-Kisah Ajaib', susunan Drs. Syahrin Nasution yang diterbitkan oleh Darul Nu'man, merupakan edisi pertama 1995.  Buku ini saya beli di UKM Bangi pada tahun 1995. 
Tawassul (atau Wasilah) bererti mengerjakan sesuatu amal yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Taala.  Di dalam Al Quran terdapat perkataan Wasilah di dua tempat iaitu di dalam :
  1. surah Al Ma'idah ayat 35, "Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kamu kepada Allah dan carilah jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapat kejayaan."  
  2. Seterusnya di dalam surah Al Isra' ayat 57, "Mereka mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan mereka."
Maka, berdoa dengan bertawassul ialah berdoa kepada Allah dengan wasilah dengan menyebut sesuatu yang disukaiNya.  Contohnya, seseorang yang menziarahi Nabi Muhammad saw di Madinah sama ada ketika baginda masih hidup atau sudah wafat lalu berdoa di situ dengan harapan supaya baginda turut mendoakan kita.  Ini dinamakan tawassul dengan orang yang masih hidup atau sudah mati.
Bertawassul dengan kemuliaan Nabi Muhammad saw, "Ya Allah, berkat tuah dan kemuliaan Nabi Muhammad saw terimalah doaku." 

Seseorang yang berziarah ke makam Tuan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani iaitu seorang ulama tasauf besar di Baghdad lantas berdoa di situ kepada Allah, "Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, saya mohon keampunan dan keredhaanMu, berkat hambaMu yang dimakamkan di sini, kerana saya tahu bahawa beliau adalah seorang ulama yang Engkau kasihi, maka kabulkanlah permohonanku Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim."  Ini juga dinamakan bertawassul.
Tawassul dengan amal yang baik seperti "Ya Allah, aku mengerjakan amalan yang baik, iaitu sentiasa berbakti kepada ibu bapaku.  Seandainya amal itu ditrima di sisiMu, maka terimalah doaku."

Supaya lebih mudah difahami, kita ambil contoh satu aktiviti dalam kehidupan harian.  Seseorang yang hendak memohon satu pekerjaan tetapi tidak mengenali orang atasan atau big boss syarikat.  Maka dia menghubungi seorang kawan yang bekerja di syarikat tersebut untuk memperkenalkannya sebagai menyokong permohonan yang diajukan supaya laluannya menjadi lebih mudah.  Atau menyebut nama seseorang yang dikenali oleh orang atasan semasa memperkenalkan diri, maka dengan menyebut nama kawan itu juga dikatakan tawassul.  Permohonan bekerja diajukan kepada orang atasan bukan kepada sahabat yang disebutkan namanya itu.

X&X&X&X&X&X&X&&X&X&X&X&&X&X&X&X&X&&X&X&X&X&X&&X&X&X&X&&X&X

Di antara tanda-tanda akhir zaman ialah semakin tersembunyi ilmu-ilmu yang benar.  Sehingga sekelompok manusia yang menyebutnya semula dianggap orang-orang yang berdusta.  Namun ini semua bukanlah keganjilan di kalangan para sahabat Rasulullah saw, demikian sering berlaku peristiwa yang mencarik adat kepada mereka.  Di sini saya nukilkan sedikit petikan dari kisah seorang sahabat Rasulullah saw yang bernama Al Ala' bin Al Hadromiy yang merupakan orang penting kaum Muhajirin.
Pada suatu hari Ala' bin Al Hadromiy pergi berperang bersama kaumnya dengan meredah padang pasir yang cukup gersang.  Di pertengahan jalan mereka mahu mengerjakan solat namun air untuk berwuduk tiada mahupun air untuk diminum.  Demikian, Ala' bin Al Hadromiy segera bertayamum dan mengerjakan solat dua rakaat.  Setelah mengerjakan solat, beliau berdoa bermaksud, "Ya Allah yang Maha Mengetahui, Wahai Tuhan yang Maha Penghiba, wahai Tuhan yang Maha Agung, sesungguhnya kami ini semua adalah hambaMu dan berjuang pada jalanMu.  Kami berangkat untuk memerangi musuhMu.  Berilah kami air supaya kami dapat minum dan bersuci daripada hadas.  Tetapi setelah kami tinggalkan tempat itu jangan diberikan bahagian orang lain sedikitpun selain daripada kami."
Tidak berapa jauh mereka berjalan, tiba-tiba mereka menemui sebatang sungai yang jernih airnya.  Mereka pun mengambil air di sungai itu untuk dijadikan minuman, memenuhi qirbah dan mandi.  Di dalam keadaan itu, seorang dari mereka dengan sengaja meninggalkan qirbahnya di tempat itu bagi mencari bukti sama ada sungai tersebut adalah dengan berkat doa Al Hadromiy atau memang sungai itu ada di situ.  Apabila sampai di tempat mereka berhenti tadi, hanya qirbah yang ditemuinya di suatu tempat manakala keadaan di sekelilingnya telah berubah tanpa wujud sedikitpun tanda-tanda pernah ada sungai di situ.  
Kisah selanjutnya boleh dibaca di buku ini.

Maka yakinilah, dan berdoalah, dan yakinlah akan doa yang dipanjatkan semoga dikabulkan Allah Taala.



Saturday, October 10, 2009

Saya Nak Makan Kambing Panggang!!


"Nak makan kambing..."
"Mana ada kambing?"
"Semalam mama makan kambing!?"
Mulut Hanessa memang cepat menyampaikan berita terkini lagi sensasi kepada abang dan kakaknya.  Belum pun sempat abang dan kakak melabuhkan punggung di kusyen kereta, dia sudah bercerita dengan bangga.  Hasilnya, pagi-pagi begini Hidayat sudah merengek-rengek membuatkan saya buntu seketika.

"Kenapa mama tak bawa Hidayat semalam?"
"...mama pun tak tahu ada jemputan.  Selepas Hidayat pergi sekolah dari masjid dengan abah, mama hantar kakak.  Bila sampai rumah, abah suruh mama bersiap ke jamuan di Puchong tu."

Walaupun sebenarnya, semasa hendak menghantar Ain, hubby berbisik, "Jam 3 bersiap ke jemputan Zul di Puchong."
"Sempat ke nak balik semula pada masanya?"
"Insya Allah sempat."

...Anak-anak perlu ke sekolah.  Jemputan ini bertembung dengan waktu persekolahan Sekolah Rendah Agama.  Menjelang akhir tahun, tidak lama lagi peperiksaan akhir bakal berlangsung.  Adalah amat wajar anak-anak ke sekolah bagi menambah ilmu di dada, sementelah hujung minggu ini telah dipenuhi dengan jadual undangan yang padat sepanjang siang dan malam.

"Nak jugak pergi makan kambing!!"
"Tetapi kambing dah habis, khemah, makanan dan orang pun dah tiada.  Dah balik ke rumah."
"Mama pun tak bawa ke kenduri taman sebelah, Hidayat nak makan naget."

Macamlah naget itu lazat sangat!  Daging yang diperbuat dari campuran pelbagai anggota badan ayam atau daging serta lemak, mengandungi pengawet dan kolesterol yang tinggi.  Saya tidak suka makan naget, ia membuatkan kepala saya pening dan timbul rasa loya.  Kambing panggang pula menjadi hidangan kegemaran kami sekeluarga.  Suami saya pernah membuat lamb chop di Masjid TTDI Jaya beserta sosnya, sehingga orang-orang yang tidak berani menjamah (dengan alasan ada penyakit darah tinggi) juga tidak ketinggalan mencuba dengan penuh selera.  Apabila kami berpindah ke Sijangkang, kawan-kawan di sana meminta resepi yang diadun lazat itu dari suami saya.  Demikianlah bermula hidangan kambing panggang menjadi hidangan istimewa yang selalu dinanti-nanti oleh anak-anak.
Malam kelmarin saya ke jemputan baca Yassin di taman sebelah, dan Hanessa pulang membawa seketul naget bereja di tangannya.  Hidayat dan Ain tidak dibenarkan mengikut kerana perlu mengaji dengan Ustaz Aizat yang datang mengajar di rumah.

Hidayat terus merengek-rengek, airmata mula bergenang di tubir matanya.  Saya kerap tidak dapat bertahan dengan anak yang ketiga ini kerana kemahuannya begitu kuat.  Menurut tafsiran orang tua-tua, dia berunsur api yang selalu panas membakar.  Bagi mengawal agar tidak berlarutan, api perlulah disirami dengan air supaya tidak merebak bahang panasnya.

'Hidayat tidak baik buat begini, nanti esok bila dah besar, anak Hidayat merengek macam ni, tentu Hidayat tidak suka."

Pagi yang dingin dengan titisan hujan di luar, saya tidak mahu ketenangan yang wujud sirna oleh api kemarahan di dada.  Lalu saya gunakan kaedah yang nyaman terhadap kanak-kanak.

"Hidayat..." saya terus merangka ayat di dalam kepala.
"..."
"Cuba Hidayat bayangkan, satu hari Hidayat ada seorang anak, hmmm...siapa namanya?  Cuba bagi satu nama"
Hidayat termenung seketika, kemudian, "Mama la bagi nama."
Senyuman saya lebar, rengekan yang boleh membuatkan hati rawan dan telinga berdengung telah berhenti.
"Baiklah, misal kata namanya Iqbal"
"Ok."
"Pada suatu hari, Iqbal merengek-rengek...Iqbal kata, "ayah, Iqbal nak makan kambing panggang!""
Hidayat diam.  Memasang telinga.  Saya cuba menggambarkan sesuatu.
"Hidayat pun cakap, "Kambing dah habis, tinggal tulang, nanti kita buat lain ya." Tetapi Iqbal terus merengek.  Mama yakin Hidayat akan cakap begini pula, "Iqbal, tidak baik buat begini.  Cuba bayangkan bila Iqbal sudah besar dan ada anak, anak Iqbal pula merengek minta kambing panggang, tentu Iqbal tidak suka, kan.""
 "Mama, siapa nama anak Iqbal?"

Saya tidak menjawab.  Kalau anak Iqbal sudah ada nama, tentu anak kepada anak Iqbal juga perlu diberi nama, anak kepada anak kepada anak Iqbal juga terpaksa ada nama.  Saya terus ke dapur mengambil nasi sejuk dan lauk paprik daging cincang yang lazat itu.  Saya jamah dengan penuh selera dan akhirnya pancing saya mengena.  Hidayat terus menghabiskan hidangan itu dan tidak merengek-rengek lagi.

Nota : kanak-kanak mempunyai peribadi mereka yang tersendiri.  Ia umpama bahagian-bahagian dari diri kita yang tersebar di dalam tubuh anak-anak.  Kerapkali perangai anak-anak merupakan manifestasi dari dalam diri ibu bapanya.  Itulah yang kadang-kadang kita katakan anak yang ini mirip ibunya, atau anak yang itu mirip bapanya, bahkan kadang-kadang mirip dengan ahli keluarga yang lain seperti bapa saudara, datuk dan sebagainya.  Saya tidak menyentuh kemiripan dari segi sains kerana bukan di sini ruangnya.
Pendidikan awal kanak-kanak memberi saya kesedaran baru tentang perlunya kita sebagai ibu bapa atau orang dewasa  melayani anak-anak dengan sewajarnya sambil menyelitkan pelbagai moral yang baik untuk menyusun peribadi yang berakhlak. 

Dunia...Dunia...

Seorang lelaki sedang asyik dengan pekerjaannya, tiba-tiba, "Hello,  kau kat mana?"
"Hello, siapa ni.  Saya ada di rumah?"
"Kau tutup je pintu belakang tu!!"  nadanya tidak mesra alam langsung.
"Kenapa pula?"
"Tanah tu aku dah beli."

Lelaki itu termenung panjang.  Sudahlah tiada salam diberikan, terus kepada isi penting.  Umpama sudah lama memendam perasaan, hari ini ia meledak.  Lelaki itu geleng-geleng kepala.  Beberapa hari lepas lain tingkah si pemanggil tadi, tidak ada langsung tanda-tanda yang dapat dikesan.  Hari ini lain pula nadanya, sehingga tertangkap di pendengaran keluarganya perkataan kurang enak disemburkan ketika si pemanggil berada di tanah barunya itu.  Seolah-olah ditujukan kepadanya.
Dia memikirkan, andai ada perkara yang tidak disenangi, tidak bolehkah memberitahu dengan cara baik.  Bukankah itu lebih afdal, sebagai penganut ugama kebenaran yang menjadi panduan sepanjang zaman; sebagai bangsa yang terkenal dengan sifat lemah-lembut dan penyabar.
Ini benar-benar sebuah drama kehidupan.  Realiti, bukan fantasi, bukan drama di tv.  Tetapi apa yang hendak dihairankan.  Drama-drama di tv itu yang sakit telinga mendengar suara-suara jeritan, tengkingan dan kemarahan adalah bayangan kehidupan hari ini.  Penulis skrip drama mengambil dari apa yang terjadi di sekitar dirinya.  Apabila dijadikan cerita tontonan, manusia pun mendapat keyakinan untuk terus mempraktikkannya lagi, lagi dan lagi.

Oh, bilakah akan keluar cerita-cerita yang lembut nadanya di dalam drama-drama Melayu ini?  Juga sopan tutur katanya, yang boleh dijadikan contoh untuk diikuti di dalam hidup harian.   Dunia...dunia...

Kisah Sudu dan Garfu


Di dalam sebuah dapur, terdapat bekas sudu garfu yang penuh sesak dengan pelbagai jenis sudu, garfu dan kepit mee.  Ada juga pelbagai jenis senduk yang dempak, yang tinggi langsing dan ada yang pudar warnanya sebagai tanda amat kerap digunakan.  Juga pelbagai jenis pisau seperti pisau tumpul untuk sapu mentega di atas roti, pisau untuk memotong bawang,  pisau pasar yang besar yang boleh memutuskan ayam jadi dua bahagian dengan sekali hentak serta pisau potong kek dan roti.
Dalam banyak-banyak perkakas itu, ada sepasang sudu dan garfu yang istimewa, sepadan berwarna biru langit belang putih yang dibeli di Jaya Jusco sempena keluaran khas ulangtahun syarikat sudu garfu itu.  Maka kalau digunakan, memang akan digunakan sudu dan garfu itu secara sepasang.  Kalau tidak akan rasa janggal menggunakannya bersendirian atau berasingan. 
Pada satu hari, muncul sudu hijau tiba-tiba termasuk ke dalam bekas sudu itu.  Sudu biru rasa amat cuak, kerana sudu hijau itu sama spesies dengannya hanya berbeza warna.  Dia risau kalau-kalau orang tersalah ambil sudu hijau dipadankan dengan garfu biru pula.  Hatinya tertanya-tanya, "dimanakah garfu hijau?"
Namun untuk bertanya sendiri kepada sudu hijau, tidak sama sekali.  Sudu biru merasakan dia lebih senior dan lebih berhak berada di dalam tempat sudu dan garfu itu.  Sudu sama spesies berlainan warna tidak berhak mendapat ruang di situ.
Sudu biru yang cuak bertambah geram apabila satu ketika, dia terpandang garfu biru bercakap-cakap dengan sudu hijau.  Sudu biru cuba memasang telinga.

"Apa khabar, sudu hijau?" tanya garfu biru.
"Khabar tak baik," jawab sudu hijau, sedikit muram.
"Apa yang tak baiknya tu?"
"Garfu hijau dah hilang."
"Macamana boleh hilang?"
"Entahlah, saya pun tidak pasti.  Mungkin keciciran di mana-mana."
"Sabarlah, nanti tuan kita pasti cari sampai jumpa."
"Mudah-mudahan."

Sudu biru kurang senang dengan keramahan garfu biru.  Dia tidak suka garfu biru berbual-bual begitu.
"Sudahlah tiada pasangan, terlebih ramah pula..." rungut sudu biru sendirian.
Sudu biru pun memberi amaran keras kepada garfu biru supaya tidak lagi bertanya khabar  perihal sudu hijau itu.   Kehadiran sudu hijau telah menggugat ketenangannya.  Sudu biru berpendapat sudu hijau tidak perlu ada di dalam bekas sudu itu.  Dia tiada pasangan, dia adalah ganjil.  Dia perlu diketepikan.
Sudu biru seakan-akan terlupa bahawa dia dan sudu hijau sama sahaja fungsinya, cuma berbeza warna. 

Garfu biru rasa hairan bin pelik.  Selama ini sudu biru amat ramah dan terbuka.  Sudu biru boleh ngam dengan semua jenis perkakas yang ada.  Sudu biru selalu jadi tempat rujuk perkakas yang lain.  Sudu biru seolah-olah jadi kepala di situ.  Itulah karisma sudu biru yang telah menarik hatinya sekian lama.  Namun, kali ini sudu biru menolak mentah-mentah kehadiran sudu hijau tanpa tegur-sapa langsung.
Apabila garfu biru menerima amaran dari sudu biru, dia akur walaupun dia tidak dapat mengerti.  Sekadar 
berbasa-basi pun dia tidak dibenarkan.  Sudu biru seperti sudah hilang kepercayaan kepadanya.  Garfu biru pening kepala.  Pergerakan garfu biru mula dikawal dan dihadkan.
Garfu biru merasa jauh hati.  "Mengapa sudu biru tidak mempercayaiku lagi?  Bagaimana sekiranya garfu hijau yang muncul bersendiri di sini..."
Akhirnya garfu biru membiarkan sahaja pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan.  

Friday, October 9, 2009

Timang tinggi-tinggi




"timang tinggi-tinggi sampai siling rumah
tapi tak boleh lama abah rasa mengah"

(sekali sekala Hidayat membuat permintaan untuk ditimang tinggi-tinggi)


Thursday, October 8, 2009

Sentiasa Memandang Positif Pada Kehidupan

Saya baru menjengah http://keranacinta.wordpress.com dan membaca biodata penulisnya. Beliau merupakan seorang yang berpendidikan tinggi dan katanya sedang mengintai peluang untuk phD.  Mengkagumkan, semoga puan dilapangkan jalannya dan dimudahkan segala urusan oleh Allah Taala.
Memikirkan perjalanan hidup yang telah saya tempuhi, merupakan satu perjalanan yang tidak lari daripada ujian dan dugaan dari Tuhan.  Saya mendapat tawaran ke ITM di Segamat selepas keputusan SPM diumumkan, hasil pertolongan seorang rakan yang mengisi borang untuk saya.  Mendapat tawaran bekerja  di Menara Maybank dan menyambung pelajaran ke luar negeri  tetapi saya tidak hadir di hari pertama bekerja. Tanpa bimbingan dan tidak pandai berfikir jauh, saya mengenepikan tawaran pertama ke ITM dan membuat keputusan mengambil STPM di dalam aliran sains.  Terbiasa dengan sikap bersendirian dan membuat keputusan mengikut kepala sendiri, saya memohon semula ke ITM dengan keputusan SPM juga dan diterima masuk ke ITM Jalan Hang Tuah, Melaka.  Waktu itu krisis air begitu kritikal sehingga kami terpaksa berjimat menggunakan air untuk mandi dan urusan harian.  Saya tidak pasti sama ada  pilihan pengajian perniagaan adalah tepat untuk saya.  Saya dapat rasakan jiwa ini lebih cenderung ke pengajian Islam, namun kekurangan info dan bimbingan menghadkan pilihan saya.  Seorang rakan menyarankan saya menyambung pelajaran ke kolej di Terengganu di dalam bidang yang saya minati tetapi malangnya tarikh tutup permohonan hanya tinggal sehari.  Tidak mungkin saya dapat mengejar masa ke Terengganu untuk mendapatkan borang permohonan.  Saya terus belajar di ITM dengan pelbagai cabaran khususnya ujian hati yang selalu menyebabkan saya hilang tumpuan kepada pelajaran.  Setelah tamat belajar di sana, rakan-rakan memujuk saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.  Saya yang selalu prejudis dengan negara Barat enggan ke sana, akhirnya saya ditinggalkan.  Saya begitu teringin hendak ke negara Timur Tengah, namun akhirnya saya berada di UKM, Bangi melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi.  Ujian hati terus mendatangi saya.  Pernikahan, penangguhan pengajian dan menyambung semula secara jarak jauh, akhirnya saya di sini hari ini.  Bekerja, tidak bekerja, bekerja dan tidak bekerja.  Belajar lagi di dalam pendidikan awal kanak-kanak, membuka nurseri penjagaan kanak-kanak atas saranan rakan, dan akhirnya saya sedari bahawa saya ingin menulis. 
Mula menulis di blog ini, mendatangkan satu kepuasan kepada diri saya.  Pada mulanya saya ziarah blog orang-orang muda yang menulis dengan cara mereka yang tersendiri.  Ia mempengaruhi saya untuk menulis seperti itu.  Di satu ketika, saya menjadi bosan dan memikirkan perlu membuat satu perubahan.  Informasi berguna dan tip-tip dari buku, blog orang-orang yang berpengalaman di dalam bidang penulisan seperti Puan Ainon, pemilik PTS dan lain-lain termasuk blog kekanda saya sendiri, membuka hati saya untuk menulis semula dengan cara saya sendiri. 
Saya menulis untuk diri saya sendiri, namun kunjungan dari beberapa blogger yang memberi komen positif amat menggembirakan hati saya.  Saya juga amat baru dengan dunia blog ini.  Saya lebih asyik menulis berbanding 'menghias' blog saya dengan pelbagai alat kerana tidak selalu berkesempatan berlama-lama.  Syukur ke hadrat Illahi kerana pernah mengambil kursus menaip secara intensif semasa tinggal dengan kekanda saya di Ipoh.  Kemahiran ini amat membantu saya menaip dengan pantas dan mampu mengejar idea yang kadang-kadang mengalir seperti air.
Saya masih menyimpan cita-cita zaman kanak-kanak dahulu; mahu jadi professor.  Bukan mudah untuk menggapainya.  Pelbagai rintangan dan halangan buat saya kini termasuk tanggungjawab kepada keluarga.  Saya tidak ralat, seandainya saya tidak bergelar professor.  Walaupun saya selalu berfikiran positif bahawa saya akan dapat apa yang saya mahu atau rancang, saya juga yakin Tuhan sebaik-baik perencana telah menyiapkan rencana terbaik untuk saya.
Kini saya mahu menulis.  Doa saya, rencana saya selari dengan rencana agung Illahi.  Agar saya tidak tersilap arah lagi.  Semoga pencarian saya di dalam haluan hidup telah saya temui, insya Allah.

Pandangilah hidup ini dengan pandangan yang jernih
pandangan dari dalam hatimu sendiri
hati itu tidak pernah menipu
kerana ia menerima cahaya dari Illahi

usah berputus asa dengan gelombang kehidupan
setelah mendung pasti muncul cahaya mentari
selagi ia masih terbit dari timur
Kiamat belum mampir
masih ada kesempatan untuk sujud kepada Illahi
memohon keampunan dan rahmat kehidupan

buat diriku sendiri
setiap saat kian singkat
moga dapat kulakukan sesuatu yang bermanfaat
kenang-kenangan untuk cahayamata
tanda kasih sayag cinta yang bersarang penuh di jiwa
sejauh mana kau bebaskan cintamu
pemilik cinta hanya satu
tiada dua tidak tiga
hanya Tuhan Cinta Agungku.

(moga tidak sekadar sebuah nukilan)

Awak Dapat Apa Yang Awak Buat


Saya melihat sekelimbas lalu rancangan Malaysia Hari Ini pagi ini.  Tetamu jemputan ialah Prof. Dr.Muhaya Muhammad, seorang pakar bedah mata.  Beliau memberi penerangan mengenai pelbagai penyakit mata.  Melintas-lintas di hadapan tv, akhirnya saya berhenti apabila mendengar sesuatu yang menarik hati.
"Ada pesakit yang mengalami penyakit kencing manis, buah pinggang telah rosak tetapi keajaiban berlaku, iaitu keajaiban di dalam perubatan.  Mata pesakit ini tidak rosak langsung."  kata Prof. Dr. Muhaya.
Saya tertunggu-tunggu ayat Prof. seterusnya.
"Saya bertanya kepada pesakit tersebut sekiranya beliau suka mengaji Al Quran.  Beliau berumur sekitar 70.  Saya suka bertanya dari sudut spiritual kepada pesakit Muslim.  Beliau hanya diam sahaja.  Saya tanya lagi dan akhirya beliau mengakui setiap selepas solat Subuh, beliau tidak pernah meninggalkan membaca Al Quran."  jelas Prof dengan panjang lebar.
Menurut Prof., ia dipanggil keajaiban di dalam perubatan kerana bagi seseorang yang mengidap kencing manis, kerosakan mata akan berlaku lebih awal daripada kerosakan buah pinggang.  Ini kerana mata merupakan organ paling kecil dan paling cepat mendapat efek daripada penyakit kencing manis.
"Awak dapat apa yang awak buat,"  kata Prof. lagi sambil tersenyum.
Apa yang boleh kita fikirkan daripada penerangan Prof. Dr. Muhaya ini??  Tentu ada sesuatu yang amat positif yang boleh diambil untuk kehidupan kita sendiri.  Fikir-fikirkanlah...semoga dapat mengambil kebaikan daripadanya. 

Keturunan Pagar Ruyong

Pagi ini suami saya membeli 4 bungkus nasi lemak yang paling enak di Sijangkang,kalau lambat sikit pergi mesti dah habis iaitu di gerai Liza depan surau Hj Hassan. Saya, suami dan abang saya yang transit dari Senai untuk 3 malam, bersarapan bersama. Hari ini abang saya akan pulang ke Senai setelah selesai urusannya di Shah Alam. Beliau adalah satu-satunya abang saya, anak sulung dari 6 adik-beradik.
(Kepada bloggers yang mengikuti catatan saya dari awal, pasti faham mengapa sekejap saya jadi anak tunggal, sekejap saya ada kakak dan abang).
Abang mengeluarkan sesuatu yang dimasukkan ke dalam air milo nipis yang masih panas. Rupa-rupanya beliau mengambil Nutriblend sebagai makanan kesihatan. Abang saya amat prihatin dengan kesihatan dirinya juga ahli keluarga.   Beliau agak kurus tetapi tetap bertenaga walaupun tidak mengambil makanan mengikut jadual sepatutnya.  Inilah rahsianya...
Bermula dengan sembang mengenai Nutriblend, abang semakin rancak bercakap.  Di antaranya amat baru kepada saya seperti MENSYAHADAHKAN makanan agar memberi kebaikan kepada rohani dan jasmani.  Dahi saya kian berkerut apabila abang berteori bahawa kemungkinan kami berasal dari keturunan berdarah raja Pagar Ruyong dengan alasannya yang tersendiri.  Namun mustahil kami menyusuri semula keturunan yang telah jauh terpisah oleh keadaan dan masa.  Tambahan pula kata abang, itu semua tidak penting lagi.
Demikian, jauh di dalam hati, saya membenarkan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara, dari bapa dan ibu yang satu.  Darah yang mengalir adalah sama warnanya.  Maka tidak ada beda sebenarnya asal keturunan seseorang.  Hanya keturunan istimewa Rasululllah SAW yang  sentiasa dipelihara Allah sepanjang zaman.  
Percakapan abang kian tinggi intipatinya, saya mula pening kepala.  Bulu roma saya menggerinding sekali sekala, kala isi perut bergelora.  Namun saya terus duduk mendengar kerana butir bicara abang amat istimewa tidak akan didapati dari sebarangan orang. 

(Abang sedang bersandar di kereta),
Didoakan abang sekeluarga panjang umur dan murah rezeki selalu, serta dimudahkan semua urusan.  Kami mengalu-alukan abang datang transit lagi sekiranya ada urusan di sekitar Selangor, pada masa hadapan.  Semoga kasih sayang kian erat walaupun jarang-jarang bertemu.  Didoakan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.  Amin.



Kenangan pulang berhari raya - Hanessa

Perjalanan pulang ke kampung lewat 2 setengah jam daripada waktu yang diirancang. Ampaian beroda ditarik ke dalam ruang dapur dan pakaian lembap dipindahkan ke situ. 5 buah beg mula diisi dengan pakaian. Ketika perjalanan hendak dimulakan, saya terpaksa masuk semula ke dalam rumah untuk mengunci tingkap bilik yang hanya dirapatkan sebelumnya, dan masuk sekali lagi untuk membuka lampu di belakang rumah dan lampu dapur.
Alhamdulillah syukur akhirnya kembara pulang ke kampung pun bermula dengan suasana yang tenang dan bacaan doa bersama-sama. CD lagu Hari Raya pun dipasang buat halwa telinga. Aura Hari Kemenangan kian terasa. Anak-anak ceria dan seperti tidak sabar hendak sampai ke destinasi, rumah uwan dan atuk di Sri Menanti.
Setelah beberapa ketika, saya mula tersengguk-sengguk di pertengahan jalan dan akhirnya terlena. Tiba-tiba saya tersedar kerana dikejutkan supaya mengangkat pakaian di jemuran. Rupa-rupanya hujan telah turun.
Hanessa yang setia menemani abahnya memandu menoleh melihat abahnya, "abah, hujan dah turun. Angkat baju kat ampaian!"
"Ye lah, kejut mama, angkat baju," sahut abahnya dengan rupa cemas.
Hidayat pula mencelah, "Kejut mama cepat, nanti baju basah!"
Lantas anak-anak ini pun beria-ia membangunkan saya dari lena tanpa mimpi itu. Dalam terpisat-pisat, mereka bertiga menyuruh saya pergi mengangkat baju di jemuran segera. Hanessa memandang saya dengan wajah bimbang...
Ketawa pun berderai. Saya hanya mampu tersenyum sumbing. Ternyata gadis kecil kami begitu prihatin sehingga dia terlupa kami semua sedang berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang ke kampung...Saya cepat-cepat memeluk Hanessa kerana jelas kelihatan dia mahu merajuk kerana malu ditertawakan.
"Baguslah Baby ni, hari hujan mestilah angkat baju kan, kalau tidak baju basah" saya cuba mempertahankan tindakannya sebentar tadi. "Tetapi kita tiada baju di jemuran, semua ada di dalam beg" sambung saya lagi. Hanessa kembali ceria seperti biasa.
Menghampiri kawasan kampung, mata kami mula menangkap 'lomang paneh', 'lomang apak' dan beberapa papan iklan yang sewaktu dengannya di pinggir jalan. Namun belum ada bayang lemang sedang dibakar di situ. Akhirnya kami sampai di rumah bonda pada jam 3.45 petang. Wajah mak, abah dan uwan ceria, "Kato nak sampai tongahari..."
Kami hanya tersenyum.  Biasalah tu...sahut saya di dalam hati.
Setelah menurunkan kuih-muih dan beg-beg pakaian, saya menerangkan kepada mak bahawa kami akan ke Segamat untuk berbuka puasa di sana. Saya mengambil beberapa helai pakaian untuk setiap anggota keluarga manakala semua beg pakaian ditinggalkan di rumah mak. Kami berjanji akan pulang awal esok. Setelah bersalaman sekali lagi, kami pun bergerak ke arah selatan.  Menghampiri simpang pekan Juasseh, kami berhenti di khemah kecil yang menjual banyak lemang. Buluh lemang begitu kecil lebih kurang sama dengan saiz lengan Hanessa, dijual dengan harga RM7 sebatang. Lemang yang bersaiz besar sedikit berharga RM8. Suami saya membeli 3 batang lemang serta rendang sebagai buah tangan ke rumah mertua.
Perjalanan dimulakan lagi, namun kami bergerak perlahan kerana hujan yang turun begitu lebat sehingga pemandangan menjadi kurang jelas.  Setelah hujan beransur reda, kami melihat sebuah lori barang terbabas ke kanan jalan. Tidak lama kemudian kami melihat sebuah kereta yang telah tertonggeng di dalam parit. Mungkin kemalangan ini berlaku semasa hujan lebat tadi. Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai di Segamat dan cuaca pun cerah. Dapatlah kami berbuka puasa dengan keluarga di Segamat.  Mak Leha, Abah Mat Arbak dan Kak Ana tertawa gelihati apabila kami menceritakan kisah Hanessa kepada mereka. Buat beberapa hari, telatah lucu ini terus menjadi bahan sembang kepada saudara-mara yang datang berkunjung.

Anak-anak adalah cahayamata, penghibur hati, penyejuk mata

Nikmat Allah yang paling berharga

Menjadi sumber bahagia...

Facebook Melalaikan


Saya menerima komen dari seorang pelawat di blog ini.  Terlebih dahulu saya dengan sungguh besar hati mengalu-alukan 'kedatangan' beliau dari 'http://keranacinta.wordpress.com' di mana blog beliau juga sungguh menarik dan penuh dengan pengisian rohani.  Ringkas sahaja komen yang diberikan iaitu menyetujui pendapat saya bahawa FACEBOOK ITU MELALAIKAN.
Menjelang hari raya, saya add sungguh ramai kenalan di fb, saya klik setiap nama yang dicadangkan sehingga mencecah lebih 200 orang dalam sekejap masa sahaja.  Namun saya hanya mencelah di isu yang sesuai dengan selera saya dan mempunyai sedikit idea.  Satu isu yang dibangkitkan oleh seseorang ialah isu biasa pilihan balik kampung siapa pada tahun ini untuk menyambut Aidilfitri.  Setelah mengikuti beberapa ketika saya mencelah memaklumkan bahawa kami pulang ke kampung saya setiap hari raya setiap tahun.  Respon hangat diberikan iaitu ia adalah tidak sepatutnya sedemikian manakala ada juga yang menyokong saya.  Lucu dirasakan berbincang di situ, seolah-olah saya tidak langsung bertolak ansur dengan suami dan seolah-olah suami tiada pilihan melainkan mengikut kehendak saya.  Walhal hakikatnya tidak sedemikian.
Saya add ramai penyokong parti politik khususnya dua parti utama di negara kita ini.  Masing-masing mengeluarkan pendapat yang pastinya menjurus kepada menegakkan kebaikan parti  yang disokong.  Tidak kurang juga keluar perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan.  Ada seorang wanita yang manis wajahnya menulis 'macam sial' terhadap satu isu.  Saya tertanya-tanya adakah wanita manis ini turut berkata demikian di mulutnya...Akhirnya saya tidak larat hendak melihat semua entri yang ada dan hanya melihat sekelimbas lalu sahaja.
Ringkasnya pendapat saya, bahawa laman sosial sebegini boleh mendatangkan kebaikan sekiranya ia digunakan untuk ukhwah dan bertukar pendapat demi kebaikan bersama, rujuk saifulislam tentang ini.  Pendapat beliau amat tepat dan wajar dijadikan panduan semasa berkomunikasi di laman sosial seperti ini.  Apakah yang dapat anda sumbangkan kepada kehidupan realiti, kepada pemikiran dan jiwa anda sendiri, seandainya anda bertelagah di laman sosial dengan maki hamun di antara satu sama lain?  Dapatkan jiwa anda dibangunkan dengan permainan alam maya yang sangat menarik anda terus menerus menghabiskan masa untuk memenanginya, membiarkan masa yang berharga berlalu pergi begitu sahaja?  Pertanyaan untuk diri saya sendiri khususnya dan untuk semua; apakah tujuan Allah mengizinkan kita menjadi antara yang berjaya lahir dari rahim ibu dan bernafas di alam fana ini?
Saya yakin tentu orang-orang di FB mempunyai jawapan yang jitu; pemain-pemainnya adalah golongan terpelajar belaka.
Demikianlah, saya bukan orangnya yang wajar mempertikaikan dunia laman sosial ini.  Sekadar  pendapat peribadi, dek kerana laman ini dirasakan bisa, mampu, boleh (dan lain-lain perkataan seerti..) mencetuskan kegawatan di dalam hidup.  Hidup ini kian singkat, tidak ada orang yang hidupnya semakin bertambah lama.

Sebenarnya saya masih menjengah di facebook, sekadar melihat isu-isu semasa yang dipaparkan untuk mendpatkan sedikit berita dunia semasa.  Siti Rahmah yang jelita masih setia menyebarkan isu-isu panas dan terkini, sentiasa mendapat komen yang berlambak dari pembaca.  Dato' Mahadir Lokman masih tersenyum ceria.  Nenek Brutal terus brutal...dan tidak dinafikan isu-isu positif yang boleh mendatangkan kebaikan seperti dari Usahawan Muslim dan sebagainya.
Salam kepada rakan-rakan di FB yang add saya dan saya add mereka.  Jangan marah-marah, agar tidak tua sebelum waktunya, agar awet muda selalu. :)

Wednesday, October 7, 2009

Hanessa mengujiku

Saya akan duduk di kerusi mengadap laptop selepas pulang menghantar Ain dan Hidayat ke Sekolah Rendah Agama Sijangkang jam 2 petang.  Hanya Hanessa yang berumur 4 tahun menemani saya di rumah.  Dia suka menonton siri Wonderpet, namun kebelakangan ini dia kelihatan bosan dan sering meninggalkan tv tanpa ditonton.  Mungkin kerana siri itu berulang-ulang menayangkan cerita yang sama.
Apabila saya mula duduk di kerusi ini, Hanessa akan mula berkelakuan yang pastinya mengganggu konsentrasi.  Dia mula meminta air susu, walhal di dalam botolnya baru diisi dengan air milo, yang baru diminta sebentar tadi.  Saya pujuk dia agar menghabiskan air milo terlebih dahulu.
"Minum milo dulu.  Usah membazir," kata saya, masih boleh berlembut.  "Nanti, kalau minum milo, minum susu, perut sakit,"  saya cuba merangsang kesedarannya.  Sekiranya saya buat juga air susu, sama ada air milo atau air susu salah satu tidak akan diminum dan akhirnya akan terbuang begitu sahaja.  Kalau dimasukkan dalam peti ais, langsung tidak akan diminum.  Sudah beberapa kali demikian.
"Ok, nanti perut Baby sakit, kannn..."  kata Hanessa, mengiyakan.
Sambil berbaring di atas kerusi pejabat yang boleh berpusing-pusing ini, dia meminta saya menghulurkan botol susu kecil bersaiz 150ml yang diisi dengan milo suam.  Habis air milo, Hanessa menghulurkan botol itu kepada saya.  Kemudian bermula episod seterusnya, dia mahu naik ke riba saya.
"Adik duduk kat kerusi sebelah ini.  Mama nak buat kerja."  terasa nada saya mula meninggi.  Bayangkan di waktu idea yang seciput ini sedang mencurah-curah, Hanessa melambatkan saya menaip di keyboard.  Airmuka gadis kecil ini sedikit berubah.  Muncungnya boleh ditanjul, selalu mak kata begini. 
"Mama, buka gril ini.  Baby nak tengok kolam.  Baby nak cedok berudu,"  Hanessa menggoyang-goyangkan gril pula.  Sabar... saya bangun, ambil anak kunci dan buka pintu gril perlahan-lahan.  Hanessa meluru keluar mengambil jaring ikan dan mula mencedok berudu.  Sambil itu, mulutnya masih mencecer mengajak saya berborak, meminta saya melayani bicaranya yang agak merapu.
Saya duduk semula di kerusi.  Sebentar tadi saya chatting dengan seorang rakan FB, berkaitan dengan penulisan novel.  Panduan yang diberikan amat membantu saya untuk memulakan novel ini.  Beliau ialah Arman Abdul Rashid dari Pahang, merupakan Ketua Penerangan Pemuda (AMK) Pahang dan Ketua AMK cabang Pekan.  Seandainya novel saya berjaya diterbitkan, saya akan masukkan nama beliau di Penghargaan nanti, insya Allah. 
"Ci ce co, co ci ce, ce ce..."  Hanessa bercakap sendirian.  "Mama, Baby telefon cakap Cina."
"Oh!  pandainya."

Hanessa mencapai sebatang pen dan sehelai kertas.  "Mama, tengok ini!"
Saya melihat bentuk-bentuk mirip nombor 9, H, I dan A di atas kertas.  "Pandainya!" pujian saya menyebabkan Hanessa tersengih-sengih girang.  Dia hanya menulis tanpa tahu menyebut huruf atau nombor yang ditulis itu melainkan huruf A.  Hanessa sudah pandai mengira 1 hingga 10 dengan lancar. Lagu yang sinonim dengan kanak-kanak iaitu lagu ABC juga boleh dilagukan  tetapi masih tersangkut di hujung-hujung.
Tiba-tiba, "Hello, memanglah.  SMS saya kan.  Jaga sikit mulut tu.  Anak awak tu jahat.  Assalamualaikum, bye," kedengaran kata-kata ini pula.  Saya lihat dia sedang meletakkan telefon bimbit saya di telinganya sambil memusing-musingkan kerusi dengan santai.
Amboi....boleh tahan mulut kamu ya.

"Mama, nak milo lagi."
"Kejap..."
"Cepatlah, mama!  Dah haus sangat ni."
"Ok."

Sebotol kecil air milo dihulurkan ke tangan Hanessa.

"Mama,..."
"Hah, ada apa?"
"Milo mama tak sedap."
"Ha???"
"Sebab mama marah Baby."
"Mana ada..."
"Tu mama buat bunyi cicak."
"Mana ada mama buat bunyi cicak."

Jadual harian telah beralih sekian lama.  Hanessa tidur lambat dan bangun lewat.  Kalau bangun awal pagi pun dia tahan mata tidak tidur sepanjang hari.  Melainkan saya menemaninya di bilik tidur.  Itulah yang tidak dapat saya lakukan, kerana masa inilah masa yang paling tersedia untuk saya, selepas selesai menguruskan rumahtangga.  Sedangkan duduk di hadapan laptop ini pun, sebenarnya masih banyak kerja yang tertangguh.
Demikianlah sebuah pengorbanan yang perlu dilakukan.  Saya perlu mengagihkan masa untuk dapat melakukan semua kerja semampu mungkin.  Beruntung juga mempunyai suami yang boleh berlebih kurang, walaupun kadang-kala tegurannya lebih berbisa daripada 10 kg cili api yang paling berapi.

Ya Allah, berilah daku kekuatan untuk meneruskan kehidupan di atas landasan keredhaanMu.  Kumohon idea-idea dariMu, Tuhanku, iaitu setiap huruf yang membentuk perkataan demi perkataan dan menjadi sebaris ayat demi ayat, membawa diriku dan orang-orang yang sudi membacanya ke arah kebaikan dan pembangunan jiwa, pengharapan yang total kepadaMu semata.  Amin.
...akhirnya Hanessa berjaya naik ke pangkuan saya, tertawa girang mencapai hajat di hatinya sejak tadi.

Tiada Lagi Facebook


Saya tidak akan aktif lagi di Facebook.  Saya memang tidak aktif, cuma sesekali membuat komen di situ.  Semakin lama semakin saya lalai sehingga perkara utama yang mesti diberi tumpuan tidak dapat saya lakukan.  Semasa hari raya tempohari, saya bertemu kakak di Batu Kikir.
"Sekarang tumpu pada apa?"  tanya kakak.
Kakak memberitahu, dia amat sibuk dengan tugas mengedit novel dan menyusun buku untuk DBP.  Saya sungguh kagum pada dia.  Kesibukan melayan 6 cahayamata yang sedang membesar dengan pelbagai kerenah, kakak masih ada masa untuk menghasilkan novel dan membuat kerja-kerja penulisan.
"Sedang rangka cerpen, dalam kepala sahaja." jawab saya.
"Dah tulis novel?" tanya kakak lagi.
Saya geleng-geleng kepala.  Saya masih tiada keyakinan.  Saya rasa tidak mampu hendak menulis terlalu banyak sehingga dapat dijadikan sebuah novel.  Bukan tiada idea.  Cuma saya rasa tidak sanggup hendak menulis dalam masa yang panjang dan membuat pelbagai rujukan bagi memantapkan perjalanan cerita.  Wujud unsur pesimis di jiwa.  Perasaan lemah ini tidak boleh dilayan dan dibiarkan menguasai diri.  Saya perlu bangkit semula, untuk memulakan langkah yang baru terhenti.
Semasa di Madrasah, saya mendapat panggilan dari editor Dewan Pelajar meminta alamat rumah dan membuat pengesahan nombor kad pengenalan.  Saya tidak bertanya lanjut, namun saya andaikan cerpen kedua saya mungkin telah terpilih untuk diterbitkan.  Alhamdulillah.  Ini bermakna saya boleh menulis, dan ia perlu diperbaiki lagi dan ditingkatkan lagi dengan menghadiri kursus-kursus penulisan.  Insya Allah.
Ya Allah ya Tuhanku, bantulah hambaMu yang daif ini mencapai cita-cita.  Bantulah hambaMu yang teramat lemah ini melepasi pelbagai rintangan dan cabaran.  Hanya padaMu tempatku mengadu dan memohon pertolongan.  Hanya padaMu sentiasa....

Tuesday, October 6, 2009

Petua keluarga menghilangkan batuk berkahak (edit)

Tajuk ini antara satu dua tajuk terpopular dalam blog aku.  Mungkin penyakit batuk berkahak ini sangat mudah menyerang ramai orang.  Selagi dunia bernama dunia, memang bermacam jenis penyakitnya.  Sedangkan syurga adalah tempat kembali yang kekal, penuh kenikmatan dan kesembuhan.  Tiada kematian dan tiada kerengsaan.  Tiada duka dan tiada kecewa.  Yang berkitaran adalah gelora dan bahagia.

Setiap kali post ini dijengah sesiapa, aku rasa sangat kurang enak.  Dikarang ketika masih baru menulis di blog.  Dari sehari ke sehari aku tertangguh untuk menambah sesuatu padanya.  Alhamdulillah hari ini semoga Allah memberkati untukku melakukannya.

Bercerita sedikit.  Satu ketika adikku pulang dari negara Timur Tengah menghadiahiku sebotol habbatus sauda (bijian).  Bertahun-tahun pula sesudah itu botol yang mengandungi bijian hitam sekadar duduk diam sunyi dan sepi di dalam almari dapurku.  Apabila terpegang akan dia tatkala aku mencari barang-barang, aku merenungnya dan menyimpannya semula.

Satu ketika yang lain, aku mendengar siaran Kuliah Mufti dari Radio NurIslam yang sangat aku gemari (aku berdoa semoga siaran ini dapat didengar lagi di Malaysia ... aku sangat rindukan rancangan Kuliah Mufti yang sarat dan padat dengan ilmu walaupun sekejap sahaja slotnya, aameeen).  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz menceritakan pengalaman beliau ketika bergelar pelajar di Mesir.  Pada suatu hari beliau menerima jemputan dari pensyarah untuk jamuan makan.  Hairan melihat setiap jenis hidangan termasuk nasi yang putih melepak ditaburi bijian hitam.  Dan itulah habbatus sauda, yang kemudiannya aku kini turut menaburkan ia di atas makananku di dalam pinggan.

Dengan izin Allah jua di dunia darul asbab ini, aku telah diberi keyakinan oleh Allah terhadap bijian hitam ini untuk kesihatan diri.

Diriwayatkan dari Aisyah ra, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Al-Habbatus Sauda’ boleh menyembuh segala penyakit kecuali Al-Sam”. Aku bertanya. “Apakah Al-Sam itu? Baginda menjawab, “Al-Sam itu ialah maut”
Riwayat Imam Bukhari.


Sila jenguk di sini dan sini juga. 

Maka aku cari semula botol berisi habbatus sauda yang diberi adikku itu, dan mula menaburnya di atas hidanganku sambil diperhatikan oleh anak-anak dengan wajah hairan dan cemik.  Mulanya memang rasa pelik, tetapi lama-kelamaan rasa pelik kalau lupa nak menaburnya dalam pinggan.  Setiap kali mereka ini memandang pingganku dengan wajah satu macam, akan kubacakan hadis nabi SAW di atas tu.  "Dalam sunnah ada kejayaan.  Kenapa tak percaya?"

Alhamdulillah, aku jarang dihinggapi batuk dan demam.  Stress pun jarang.  Tentang stress ni, aku selalu belajar untuk mengawalnya.  Caranya apabila kepala mula berdengung dan terasa kembang, aku mandi dan cuci rambut (walaupun baru lepas cuci rambut).  Kebelakangan ini aku perasan sudah amat jarang diserang tekanan stress di kepala.  Stress ni bukanlah semasa ada masalah semata.  Terkadang ia akibat cuaca dan perubahan hormon, barangkali juga.  Terkadang kerana gagal mengawal emosi dan tiada sokongan dari pesekitaran.  Semuanya asbab sahaja.  Yang bagi stress Allah, mintakla kat Allah untuk menyembuhkan stress.  

Jadi, selain habbatus sauda, aku juga menyarankan pemakanan sunnah yang lain seperti kurma, madu dan air zamzam.  Kini sudah banyak produk all in one bahan-bahan yang disebut pemakanan sunnah di pasaran untuk diambil menggantikan supplement yang entah halal entah tidak di farmasi.  Kena hati-hati.  Asbab nak cantik dan sihat, tak sedar kita membiarkan sesuatu yang tidak halal bercampur dengan darah yang mengalir di sekujur tubuh.  Na'uzubillahi minzalik.

Ini sebagai tambahan tetapi aku sangat menekankannya.  Kepada anda, marilah kita sama-sama mengamalkan pemakanan sunnah ini.  My favourite tagline sekarang ialah ~ Dalam Sunnah Ada Kejayaan~ hatta anak ambik untuk dirinya setiap jenis biskut yang aku beli untuk pelajar, dia kata "ambik tiga ye mama ... sunnah ... dalam sunnah ada kejayaan."  

Ya Allah, berilah kami faham dan iman yakin pada sunnah Rasulullah SAW penghulu dan kekasih kami selamanya.  Allahummma aameeen.


 ***
(Entri ini berdasarkan pengalaman diri sendiri)
Petuanya mudah sahaja iaitu minum air suam dengan panas sekadar yang termampu untuk diminum.  Lagi berasap air itu lagi bagus. Biarkan badan berpeluh dan insyaAllah batuk dan kahak akan mudah dikeluarkan dan tidak berlarutan.
Saya kerap diserang semput (asma) semasa zaman persekolahan.  Kerap ponteng sekolah dan kerap masuk hospital sehingga saya lali dan timbul seronok menjadi perhatian  pesakit lain dan nurse-nurse yang merawat.
Suatu hari abah mengikut kawan-kawan masuk hutan untuk berburu.  Abah mendapatkan seketul hempedu landak (jika saya tidak tersilap) untuk mengubat penyakit saya.  Semenjak itu, saya beransur kurang diserang semput sehingga dewasa.  Namun ada orang kata, nanti waktu tua penyakit itu akan datang semula.  Wallahualam.
Semakin dewasa, sekiranya saya mendapati badan sudah seram-seram sejuk tanda kurang sihat, saya akan  membungkus tubuh dengan baju tebal, memakai stoking dan berselimut tebal. serta tidak membuka kipas.  Saya cuba sedaya-upaya tidak mengambil sebarang pil.  Insya Allah, biasanya menjelang sepertiga malam, saya mula berpeluh menandakan sudah sampai masanya saya membuka pakaian tebal.  Setelah itu, saya tidur semula seperti biasa dan alhamdulillah, menjelang pagi, kesihatan beransur pulih.
Ada juga petua orang tua-tua untuk menghilangkan kahak iaitu mencampurkan air limau kasturi dan madu untuk diminum.  Secara logik, madu yang bersifat panas dan limau yang berasid berfungsi mencuci tekak dan mencairkan kahak.
Petua abah pula, embunkan nasi bersama gula batu, dan dimakan pada esok pagi.  Ini lebih berkesan untuk menyejukkan tubuh yang panas di dalam.
Saya juga ingin berkongsi pengalaman seorang rakan sekolah yang mengalami demam panas berpanjangan.  Suatu ketika kakak beliau terdorong untuk menarik rambutnya sehingga meletup-letup, setelah agak lama, kepalanya dirasakan semakin ringan dan demam panasnya beransur sembuh.
Setiap penyakit ada ubatnya melainkan mati.  Utamakanlah sumber semulajadi dan makanan sunnah, lebih berkat dan mendapat pahala menggunakannya, insya Allah.  Tidak berputus asa untuk terus mencari ubat yang serasi, kerana di sekeliling kita terlalu banyak rahsia tersembunyi yang tidak diketahui.  


Penyakit yang dihidapi adalah tanda sesuatu yang tidak kena pada tubuh.  Banyakkan minum air untuk membantu mengeluarkan toksik dan melancarkan peredaran darah.  Sembelit yang berpanjangan juga boleh menyebabkan kepala pening dan tubuh menjadi lesu.  Hakikatnya, setiap penyakit itu membuktikan betapa manusia ini makhluk yang lemah, memerlukan Tuhan sebagai tunggak kehidupan untuk memohon dan meletak harapan di setiap saat yang masih bersisa.  Juga tanda Kasih Sayang Tuhan kepada manusia agar pandai merintih dan memohon kepadaNya.

'Dayat Nak Along!"

Pagi ini, semasa menunggu saya menyiapkan bekalan yang dimintanya, iaitu roti diletak milo, Hidayat mula menggosok-gosok matanya.  Dia terus menangis.
"Hidayat nak Along.  Nak hantar Along..."  katanya sambil teresak-esak.
"Memang mama dan abah nak bawa Hidayat dan Kakak ke tempat Along,"  saya cuba memujuknya.

"Along dah belikan Dayat pistol,"  sambung Hidayat lagi.
Saya senyum.  Sehari sebelum Naqib ke madrasah, anak-anak ini bergaduh sakan.  Baling buku, tendang-menendang, sehingga didenda oleh abahnya.  Saya tenang sahaja, saya menganggap tindakan itu hanya sebagai satu tindakan menafikan bahawa perpisahan tetap akan terjadi.  Anak-anak ini memang rapat, dan mereka semua maklum bahawa Along mereka yang rajin membawa jalan-jalan pusing taman naik motor akan ke asrama.  Along akan tinggal di asrama untuk tempoh yang lama.  Along tidak lagi boleh balik setiap hujung minggu seperti di Madrasah di Shah Alam.  Abah sudah memberitahu awal-awal lagi, kali ini mereka hanya boleh berjumpa setahun sekali, walaupun sebenarnya ada cuti raya.  Kalau boleh abah mahu Along duduk di sana tak payah balik rumah langsung.  Abah khuatir suasana rumah menghalang Along pulang ke asrama.  Abah cukup berhati-hati kali ini, kerana abah tidak mahu Along buat perangai lagi.
Mereka juga tahu, kali ini abah ambil peranan berbanding mama yang selalu memenuhi keperluan Along semasa di Shah Alam.  Abah benar-benar bertegas sekarang.

Emak Menangis Pula...


Dalam perjalaan pulang ke Sijangkang dari Madrasah Miftahul Ulum, saya menelefon emak.  Rupa-rupanya emak telah bergerak pulang ke kampung, baru melepasi Nilai.  Kata emak, anak kunci rumah ditinggalkan di rumah Zaid, jiran sebelah.  Emak menceritakan gelagat Ain dan Hidayat yang terpinga-pinga apabila mendapati kami tiada di rumah sekembali mereka dari sekolah.  Saya tertawa gelihati mendengar emak bercerita perihal Hidayat yang membawa bekal ayam masak gulai lemak cili api seketul ke sekolah.  Beransur suara emak terdengar sebak, emak menangis!
"Kasihan emak melihat Ain dan Hidayat melambai-lambai sampai emak hilang dari pandangan,"  suara emak pilu menyebabkan airmata saya serta-merta bergenang.
"Tak mengapa, mak.  Tidak ada apa-apa sebenarnya,"  saya yang masuk ke dalam emosi emak cuba menenangkannya.  "Sudahlah, mak.  Jangan menangis.  Kami dalam perjalanan pulang ni," sambung saya menahan sebak.
Hubby yang sedang tekun memandu tertoleh-toleh ke arah saya dengan pandangan hairan.
"Mak tak sampai hati nak tinggalkan budak-budak tu.  Macam budak terbiar pulak..."
Walhal tidak ada kes langsung anak-anak itu boleh dinamakan budak terbiar.  Cuma perasaan emak sahaja sedemikian.  Hai...mungkin inilah rupanya perasaan seorang nenek terhadap cucu-cucunya.  Waktu nakal dileteri, tetapi ada masa-masanya muncul jua emosi yang tersentuh melihat kerenah cucu yang umpama anak ayam kehilangan ibu walaupun hanya sebentar berpisah kerana urusan.  Entahlah, mungkin ada sesuatu yang mencuit hati kecil emak yang hanya dia yang merasainya..

sambungan; Selamat Tinggal Anakku...

Naqib seolah-olah tidak mahu berenggang dari saya.  Dia mengajak saya berbual-bual di pondok berhadapan rumah tetamu.  Kami berpisah sebentar untuk menunaikan solat Zohor.  Saya meninjau ke dorm pelajar baru.  Kelihatan tilam-tilam baru bercorak biru yang masih berbalut plastik diletakkan di atas setiap katil.  Hubby memberitahu bahawa katil 'double-deck' dan locker dibuat sendiri oleh tenaga pentadbir. Saya memilih katil bersebelahan pintu untuk Naqib.  Dia cepat berpeluh, kedudukan berdekatan pintu memudahkan pengudaraan yang segar.  Dia berjiran dengan seorang pelajar Filipina yang tidak fasih berbahasa Melayu.  Saya dan abahnya membantu menyarungkan tilam dengan cadar seragam berwarna biru cair dan menyusun pakaian di dalam locker.  Suasana riuh dengan pelbagai aksi ibu bapa dan pelajar.  Saya gunting plastik kuih Tumpi yang dibawa dari rumah dan menyuruh Naqib mengagihkan kepada semua yang ada.  Naqib beredar dari seorang ke seorang sambil mempelawa kuih Tumpi yang rangup itu.  Suasana yang lebih mesra mula terasa.  Sengaja kami rancang sedemikian bagi membantu Naqib lebih menyesuaikan diri dengan situasi serba baru di situ.  Hanessa juga kelihatan lebih rancak bergerak ke sana ke mari tanpa kekok.  Hubby mengambil kesempatan merebahkan badan di katil Naqib, sambil memerhati ibu bapa lain yang masih sibuk menguruskan anak-anak.  Dalam ramai-ramai itu, rasanya Naqib seorang sahaja yang membawa bantal peluk bersama.  Bantal peluk ini tiada sarung kerana set cadar yang dibekalkan hanya untuk bantal kepala dan tilam.  Maka kelihatanlah sarung bantal peluk yang berbunga merah, yang saya buat sendiri bagi melindungi sarung asal bantal yang telah bertukar warna.
Beberapa keperluan masih perlu dibeli seperti padlock untuk locker, tempat gantung pakaian, ketip kuku dan kudapan.  Kami mohon diri kepada Naqib sambil memberitahu akan datang membawa keperluan tersebut pada hari Rabu ini.
"Mama..."  Naqib mengadap ke arah saya, menyembunyikan riak wajah dari abahnya.  Dia cemik, mula menangis.  "Along nak ikut balik..."
"Tidak boleh," kata saya, tegas. 
Saya mengerling, kelihatan hubby sedang memerhatikan kami berdua.
"Kalau tidak, mama bawa Along pergi kedai beli barang lepas tu hantar Along balik sini,"  Naqib memberi cadangan pula setelah terdiam beberapa ketika.  Nyatanya dia mahu melewat-lewatkan kami meninggalkannya di situ.
Saya mengukir senyum. Kalau ini, tidak mengapalah...
Saya lantas memberitahu hubby agar kami membeli sedikit keperluan di pekan berhampiran.  Hubby tersengih, dia sudah dapat 'menangkap' muslihat Naqib.  Sebelum itu, hubby telah pun memulangkan paku buah keras kepada saya semasa kami baru selesai mengemaskan barang-barang Naqib di dorm, apabila Naqib memberitahu mahu mengikut pulang ke rumah sehingga pengajian benar-benar bermula.

"Kan...dah cakap jangan ikut, nak ikut juga!"  kata hubby.
Terasa kering tekak saya...dan akhirnya hubby sekadar senyum melihat gelagat saya yang merungut-rungut kecil hendak mencari air minuman bagi membasahkan tekak.  Renungan tajam dan sindiran hubby benar-benar membuatkan tekak dan bibir saya kering.
Ustaz Faiz yang bertugas mengendalikan bahagian asrama memaklumkan bahawa pengajian bagi pelajar baru akan bermula sepenuhnya pada minggu hadapan.  Kiranya minggu ini adalah minggu suaikenal dan ujian hafalan Undang-Undang Madrasah.  Ustaz akan menyusun semula mengikut kriteria tertentu.  Mendengar itu, sementelah ada seorang pelajar dari Sibu yang pulang semula setelah selesai mendaftar untuk menghabiskan sesi persekolahan, Naqib pun mahu mendapat keistimewaan pulang ke rumah.  Walhal adalah lebih afdal dia tinggal di madrasah dan mula mengikut aktiviti yang telah disediakan.
Kami keluar membawa Naqib ke pekan terdekat mendapatkan barang keperluan, kelihatan kedai runcit tersebut hanya mempunyai barang asas sahaja.  Kembali ke madrasah, ternyata kami adalah ibu bapa yang terakhir ada di situ.  Kawasan yang tadi penuh dengan berbagai jenis kereta telah lengang.  Pelajar-pelajar telah berehat di katil masing-masing.  Hubby menghantar Naqib ke dorm.  Agak lama menanti, Naqib muncul semula memakai t-shirt putih, datang mendapatkan saya yang sedang menunggu di kereta.  Wajahnya muram, cemik dan mula mengeluarkan airmata.  Berkali-kali dia mencium saya sehingga abahnya ketawa.  Saya peluk dia erat-erat, kemudian abahnya pula memeluknya dan mencium pipinya.  Saya usap pipinya yang basah dan tiup ubun-ubunnya dengan Selawat.
"Tawassul selalu," bisik saya.
Perlahan-lahan kami beredar, Naqib masih berdiri sambil melambai-lambai sehingga kami hilang dari pandangan matanya.
Selamat tinggal anakku, selamat berjuang, selamat segala-galanya.  Semoga Tuhan memeliharamu selalu.  Amin.

Sambungan, Bertemu Kaum Ibu.


Saya tersipu tetapi tetap bertenang.  Beberapa orang wanita berjubah dan berpurdah serba hitam sedang berbual-bual di rumah tetamu.  Hanya saya yang berpakaian baju kurung biru.  Saya mendengar perbualan mereka.  Masing-masing menceritakan perihal anak-anak.  Akhirnya saya pula yang rancak menyembang dengan Kak Idah, salah seorang ibu yang datang jauh dari Johor, menghantar anak lelakinya memulakan pengajian di Miftahul Ulum.  Saya dimaklumkan penapisan pihak pentadbiran di Sri Petaling adalah ketat.  Hanya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR yang diterima masuk.  Dalam diam, saya sekali lagi memanjatkan kesyukuran tidak terhingga bersama harapan nan tinggi semoga Muhammad Naqib terpilih di kalangan yang terpilih sehingga berjaya mencapai matlamatnya di sini.   Keputusan UPSR Naqib tidak memberangsangkan.  Berbagai hal berlaku menjelang peperiksaan UPSR waktu itu; di antaranya ialah pembedahan membuang apendiks terhadap Naqib di HTAR.
Ustazah memaklumkan pelajar yang bermasalah akan tertapis secara sendiri (automatik) dan mereka akan keluar dari pengajian.  Saya tidak dapat membayangkan, semuanya di dalam ilmu Illahi.  Perasaan saya berbaur bersama harapan dan impian, doa dan rintihan.
Ya Allah, bantulah anakku Muhammad Naqib dan semua pelajar di sini.  Amin.
Setelah bertukar khabar dan salam perkenalan, jam 11 pagi  kami beredar ke surau untuk mendengar taklimat yang bakal disampaikan.  Ustaz menyenaraikan beberapa peringatan penting buat ibu bapa agar dapat bekerjasama memastikan perjalanan madrasah lancar dan pengajian anak-anak mencapai matlamat.
  1. Ibu bapa ditekankan agar membantu anak dengan doa; doa ibu bapa amat berkat dan cepat dimakbulkan oleh Allah Taala.  
  2. Ibu bapa juga mesti sedaya upaya menyediakan landasan (platform) kepada anak di rumah, agar situasi di rumah bersesuaian dengan anak sebagai seorang hafiz.  Ada perkara yang perlu dan mesti ada, ada perkara yang tidak perlu ada.  Kelalaian menguruskan hal ini akan membawa keburukan yang besar walaupun anak ini pulang sehari sahaja ke rumahnya.
  3. Pelajar tidak digalakkan pulang ke rumah atas apa jua urusan samada perkahwinan atau kematian, melainkan sekiranya dia benar-benar berpeluang berkhidmat menguruskan jenazah dan dapat menatap wajah jenazah.  Sekiranya sekadar sempat melihat tanah sahaja, tidak perlu pulang.  Ustaz ini tidak pernah mengambil cuti sepanjang pengajian selama 8 tahun.
  4. Ibu bapa diminta menjelaskan pembayaran yuran pada waktunya demi membantu kelancaran perjalanan madrasah.  Jumlah tunggakan yang dimaklumkan adalah besar.  Ibu bapa disarankan menggunakan kemudahan teknologi  untuk memudahkan urusan.
  5. Ibu bapa yang datang melawat, utamakan pertanyaan khabar tentang pengajian anak.  Barulah bertanya tentang hal-hal sampingan seperti makanan, barang keperluan dan lain-lain.  Ini amat penting sebagai memberi rangsangan dan motivasi kepada anak.  
  6. Selain cuti hari raya, hanya ada sehari cuti di antara dua cuti panjang.  Namun cuti yang sehari ini tidak digalakkan membawa anak keluar terlalu lama.  Memadai membawa untuk membeli barang keperluan sekitar sejam dua sahaja.  Ini untuk tidak mengganggu jadual pelajar yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah.  Kelewatan pelajar pulang ke madrasah akan memberi kesan sampingan yang tidak diingini.
Demikian di antara peringatan penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.
Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan telefon dari hubby, "Dengar apa yang ustaz cakap tadi?"  tanya hubby berunsur amaran...bukan kepada Naqib tetapi kepada saya.
"Dengar," jawab saya ringkas.  Memahami maksud pertanyaan hubby.
Kami duduk di ruang berasingan.  Selesai taklimat, kami dijamu dengan hidangan Nasi Tomato yang lazat, hasil khidmat pelajar yang membantu tukang masak madrasah.

Selamat Datang ke Madrasah Miftahul Ulum

Pagi ini Ain mendesak saya menghantarnya ke klinik dengan alasan sakit lidah.
"Mama, Ain nak pil hijau,"  kata Ain mendesak-desak saya.
Hidayat pula mahu saya memandikannya.  "Mandilah dengan Along, karang Along dah pergi madrasah," saya memujuknya sambil terus menyiapkan bahan untuk menggoreng nasi.  Hidayat enggan, dia duduk di kerusi dan memerhatikan saya terus.  Bagi mengelakkan kelewatan dan memudahkan urusan, saya terus menarik tangan Hidayat masuk ke bilik air dan memandikannya.  'Tidak mengapalah, tahun depan dan seterusnya dia tidak akan buat perangai lagi.'  Hati saya berkata sambil membayangkan Hidayat terus membesar menjadi orang bujang.  Namun bukan setakat minta dimandikan, dia minta dipakaikan baju sekolah pula.
Saya faham, Ain dan Hidayat sengaja 'tunjuk perangai' kerana mereka dapat meneka saya akan menghantar Naqib ke madrasah hari ini. Mereka mahu ikut menghantar Naqib tetapi hubby tidak lagi mahu  bertolak-ansur, memikirkan lebih afdal mereka ke sekolah.  Bagi memudahkan lagi urusan, saya masih memakai kaftan dan terus sibuk di dapur, meminta hubby menguruskan perjalanan mereka ke sekolah.  Situasi saya benar-benar seperti tidak akan pergi ke mana-mana.
Kasihan anak-anak ini, akhirnya mereka berangkat ke sekolah membawa bekalan nasi goreng tanpa banyak kerenah.  Saya terus menukar baju dan bersiap untuk mengikut ke madrasah.  Saya perlu pergi sama.  Saya mahu mendengar taklimat yang akan diberikan.  Saya mahu melihat suasana dalaman asrama nanti.  Malam tadi saya sudah memujuk hubby agar mengizinkan saya ikut serta.  Beserta renungan tajam (tanda amaran sekiranya apa-apa berlaku...), saya mendapat 'lampu hijau' setakat 80% tetapi sudah memadai untuk saya amat bersyukur ke hadrat Allah.
"Mujur mak tak bertanya tadi.  Mak nak tanya kenapa tak bersiap lagi," kedengaran suara mak.
"Eloklah mak tak terus bertanya,  Kalau tidak, terbongkarlah muslihat saya," balas saya sambil tersenyum kepada mak.
Hanessa masih lena.  Jika dibiarkan, lambat lagi dia bangun.  Saya tidak risau kerana yakin Hanessa tidak menyedari saya yang terus bersiap.  Saya memilih baju kurung berwarna biru corak air dipadankan dengan tudung Arriani biru gelap.  Hubby menyuruh saya menghidupkan enjin kereta.  Saya pula meminta Naqib memasukkan dua buah beg dan baldinya ke dalam bonet kereta.  Naqib telah lengkap berpakaian jubah putih dan berserban.  'Segak anak ini...nampak ketokohannya.'  Naqib sedang mengulangkaji Undang-Undang Madrasah yang telah dihafalnya.
Setelah semua siap, Naqib masuk melihat saya yang kembali ke dalam bilik (biasalah orang perempuan, ada sahaja yang terlintas di kepala pada saat-saat akhir).
"Mama, adik ni tak bawa ke?"  Naqib memandang saya sambil menjuihkan bibirnya kepada Hanessa yang sedang tergolek lena.
"Tak payah bawa.  Nanti macam-macam  kerenahnya," balas saya ringkas.
Naqib mengesat-ngesat matanya dengan belakang tangan, "Bawalah, mama..." kata Naqib lagi, sedih....
Seperti selalu untuk memudahkan urusan, saya menjawab, "Nak bawa, kejut dia, suruh buang air kecil."
"Tak payah mandi?"
"Tak sempat dah..."

Naqib mengejutkan Hanessa perlahan-lahan dengan penuh kasih, sehingga Hanessa bangun dan menyelesaikan dirinya.  Dia memakai baju Ana Muslim, tidak perlu ditukar.  Saya sorongkan tudung kesukaannya berwarna merah jambu, tetapi dicampakkan semula ke atas kerusi.  Mungkin mamainya belum benar-benar hilang.
Jam 8.30 pagi kami beransur ke Dengkil.  Hubby menyuruh Naqib membaca Undang-Undang Madrasah, kemudian saya menyemak.  Alhamdulillah, hanya beberapa undang-undang yang akhir yang masih belum lancar tetapi tidak dirisaukan sangat kerana masih ada masa untuk menghafal di sepanjang perjalanan.  Insya Allah.  Hanessa kembali tersengguk-sengguh, akhirnya terbaring semula di pangkuan abangnya.
bersambung...

Islam Itu Indah


Salam Taaruf kepada pemilik Islam Itu Indah...sungguh menarik entri-entri yang ada di sana.  Kepada Ummu Abbas Abdullah, selamat berkenalan dan terima kasih di atas feedback walaupun cuma 'likes' yang diklik.  Terima kasih selalu.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing