Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, August 31, 2009

Nisa Irdina semakin maju


Nisa telah masuk buku 6 dalam Siri Bacalah Anakku. Dia semakin lancar membaca, cuma kadangkala agak keliru dan tidak yakin hendak menyebut perkataan baru, seperti 'mem'. Apabila tamat buku 5 tempohari, saya menyerahkan bungkusan hadiah ke tangannya, kecil dan ringan sahaja. Tempat letak pensel yang dibeli dari kedai RM2. Tetapi budak ini mempunyai citarasa yang tinggi. Dia pernah komen hadiah sebelum ini. Saya hanya tersenyum. Tujuan saya cuma untuk memberi keseronokan kepada dia saat menerima hadiah dan motivasi untuk menamatkan buku-buku seterusnya. Selain itu, saya juga akan mencolekkan sedikit minyak wangi tanpa alkohol di urat nadi pergelangan tangannya setiap kali selesai belajar. Dia akan terkekeh-kekeh ketawa gembira sambil mencium tangannya. kadang-kadang saya colekkan sedikit di belakang telinganya, supaya bau harum itu dapat bertahan lebih lama. Saya berjanji akan menghadiahi dia sebotol minyak wangi Epal apabila dia tamat buku 8 nanti (bersama bungkusan hadiah yang telah siap awal-awal lagi). Dia bertambah tidak sabar hendak menyelesaikan tusyen membaca ini.

Naqib pergi temuduga


31 Ogos / 10 Ramadhan 1430.

Pagi ini Naqib (13 tahun) ke Sri Petaling untuk menghadiri temuduga. Dia dihantar oleh bapanya dan diiringi oleh adiknya, Hidayat. Dia menyarung jubah putih dan melilit serban di kepala. Semoga Naqib lulus temuduga.

Temuduga apa? Untuk kemasukan ke madrasah di Dengkil. Semoga Allah memasukkan anak ini dalam golongan yang diberi takdir baik dalam hidupnya, mencapai kecemerlangan dalam usahanya menuntut ilmu, dimudahkan segala urusannya di atas landasan yang benar dan Husnul Khatimah. Amin.

Sunday, August 30, 2009

Kamsis Aminuddin Baki

Aku pernah menginap di kamsis ini. Kemudian tanpa disangka-sangka, anak saudaraku, Nur Aisyah, juga menginap di kamsis yang sama, setelah bertahun aku meninggalkan kediaman penuh kenangan itu. Semua kawan-kawan yang pernah bersama sebumbung juga entah ke mana.

Nano baru menerima ijazahnya pertengahan bulan ini. Tahniah kepada Nano dan selamat maju terus maju.

Friday, August 28, 2009

satu sinopsis


saya baru selesai membuat satu ringkasan novel yang saya targetkan untuk remaja sekitar 14-15 tahun. Berapa lama masa yang saya perlukan untuk menyiapkannya dari langkah pertama sehingga perfect, wallahualam. Jadual harian mungkin perlu diubahsuai dan berbincang dengan ahli keluarga mengenai penggunaan laptop ini.

Pengisian kursus tempohari memberi satu keseronokan kepada saya untuk memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi di dalam novel saya kelak. Ada perbezaan yang besar di antara novel yang menggunakan BMT dan BMR. Cubalah anda baca dan bandingkan sendiri!

Selamat Berpuasa, hari ini hari ke-tujuh Ramadhan.

Novel

Ada kawan suruh saya tulis cerita semasa zaman persekolahan. Satu era remaja yang penuh warna-warni. Mungkin boleh dijadikan cerita yang menarik jika dapat diolah dengan BMT dan alunan perasaan yang mendalam.

Wednesday, August 26, 2009

Seorang insan yang mengkagumkan


Pagi ini saya bangun awal seperti biasa untuk menyediakan juadah ringkas bersahur. Keheningan yang mencengkam membuatkan saya tergerak untuk membuka siaran tv. Peti tv lama milik abah yang dibawa dari kampung (dua tv lain jadi perhiasan di tepi dapur kerana kerosakan yang mengganggu siaran lebih lancar) ini telah 'lari' tune siarannya. TV1 tidak berwarna namun masih jelas gambarnya. Pagi sebegini saya tidak berselera pula hendak menonton tv swasta yang sentiasa ceria itu, lalu tv1 menjadi pilihan (saya jarang menonton siaran tv1). Masa pun berlalu perlahan sambil saya ditemani suara tv yang sedang menyiarkan siri Syahadah.
Setelah lengkap hidangan di meja makan seadanya, saya mula menggerakkan setiap anggota keluarga untuk bangun bersahur bersama-sama. Kala itu, siaran siri Syahadah telah tamat dan rancangan baru mengambilalih. Ia mengenai seorang insan kurang upaya bernama Roslan Bidin. Sambil menyuap makanan sambil mata saya melihat siaran di tv. Semakin lama semakin menarik cerita mengenai individu ini. Ia memperlihatkan kehidupan harian beliau serta beberapa usaha yang dilakukan untuk menyara hidup. Dipaparkan juga beberapa novel dan buku kanak-kanak yang telah dihasilkannya. Ini yang amat menarik perhatian saya sebenarnya. Rakaman menunjukkan beliau sedang menaip (saya tidak berapa pasti sama ada komputer atau mesin taip) di meja dengan tekun menyebabkan hati saya berdetik. 'Sesungguhnya hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih'. Saya mula merasa kagum kepada pemilik nama ini. Saya akan cari novel yang telah dihasilkannya untuk dibaca. Dan tidak dinafikan cerita beliau sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada saya untuk menulis novel juga.
Semoga kehidupan kita dipermudahkan oleh Allah SWT. Tiada kudrat melainkan dengan kudrat-Nya, maka hanya kepada-Nya kita memohon kekuatan menjalani hidup.



..: idea ada tapi tak cuba dikembang-kembangkan. sudah ada yang menunggu novelku tapi aku belum memulakan. sedangkan masa terus berlalu tidak menunggu. perasaan tidak mampu ini perlu diatasi. sebuah keyakinan diri.

Tuesday, August 25, 2009

Pengurusan blok berasingan

Blog untuk anak-anak, bagi rakaman memori, akan diasingkan untuk masing-masing menguruskan dan update sendiri. Bermula dengan Nurhanessa, saya telah membuat satu blog berasingan, dan blog di sini akan ditutup. Semoga saya diberi kemampuan oleh Tuhan untuk melakarkan sesuatu yang berguna, yang boleh diambil manfaat terutama oleh Nurhanessa di tahun-tahun akan datang apabila dia akan mampu membaca dan menulis, waktu dia bakal menempuh era persekolahan.

Monday, August 24, 2009

Mampukah aku...??

Saya menghantar emel kepada Puan Sifu seperti yang telah dipesan oleh beliau kepada para peserta kursus pagi kelmarin. Tadi saya telah menerima contoh sinopsis untuk ditelaah. Sifu juga berpesan agar saya menelaah novel-novel terbitan PTS untuk mengenalpasti kehendak editor. Sebenarnya saya mula rasa tergugat, keyakinan dan hasrat saya bergoyang. Aduh, mampukah aku???
Saya berkongsi berita kepergian ke kursus dengan dua orang kawan, seorang ialah bekas staf yang sangat akrab dengan saya, manakala seorang lagi kawan lama yang tersangat lama dari zaman persekolahan usia awal remaja.
Tatkala saya adukan perihal idea yang masih kabur, yang seorang menyarankan saya bersendirian dan bermenung-menung. Manakala yang seorang kawan lagi terus menyarankan zaman persekolahan dulu.
Sebelum saya mula menyusun huruf, saya hendak lihat dahulu contoh sinopsis dari Sifu. Saya perlu menyelami kehendak PTS agar saya tidak berbuat sia-sia.
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Aduh saya rasa amat mengantuk, selamat malam semua. Esok bangun sahur semua. Pagi tadi kami semua terlewat tidak sempat bersahur. Hidayat, 7 tahun, pun menguzurkan dirinya untuk menjamu selera bersama adiknya, Hanessa, 4 tahun.

Sunday, August 23, 2009

Bangun sekarang!

23 Ogos 2009, Ahad.
2 Ramadhan 1430.

Sudah 7.50 pagi! Namun saya masih seperti melekat di kerusi ini, menghadap laptop. Saya sedang menyusuri blog Web Sutera yang saya temui di shout box PTS. Saya baca sepintas lalu catatan penulis. Walhal saya perlu bangun untuk bersiap sekarang, atau saya akan terlewat untuk menghadiri kursus penulisan pertama pagi ini. Sudah bertahun saya tidak memandu sendirian ke kawasan Hulu Klang. Kali ini saya akan ke sana dan saya bercadang membawa Naqib bersama sebagai teman. Namanya telah saya daftarkan petang semalam di blog PTS bersama nama adik saya, Hasni, yang akan bergerak dari Seremban. Saya amat berharap Hasni akan turun, dapatlah saya bertemu dia setelah beberapa lama tidak bersua.
Saya akan berkursus, setelah lama tidak menghadiri sebarang kursus semenjak menjadi surirumah sepenuh masa. Saya akan bertemu dengan manusia-manusia yang tidak saya kenali. Saya cuba membayangkan sedikit sebanyak suasana yang bakal saya lalui. Agak mendebarkan juga.
Saya akan bawa dua cerpen yang telah selesai yang mana satunya telah keluar di majalah e-baca, berkat pertolongan kekanda saya, Zulina Hassan. Saya benar-benar berharap akan mendapat sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat sepanjang kursus percuma 3 jam ini, demikian juga anakanda saya, insyaAllah. Juga saya ingin benar menambah kenalan seperti mana yang sering saya lakukan.

Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah perjalananku ini, perjalanan kehidupan seorang perempuan yang sering kelelahan. Hanya padaMu tempat berserah diri dan mengharap kebahagiaan dunia dan akhirat. Amin.

Saturday, August 22, 2009

Naqib, buku dan saya.


Naqib memang seorang penggemar buku. Dia pandai memilih buku-buku yang menarik untuk dibaca. Ketika saya berbual sebentar dengan Puan Rina di kaunter perpustakaan desa minggu lepas, saya katakan bahawa kini saya mula membaca buku-buku yang anak-anak saya pinjam. Saya dapati buku-buku itu menarik dan berjaya memancing minat saya. Lantas Puan Rina segera mengakui citarasa Naqib dalam pemilihan buku.
Naqib juga sangat pantas membaca. Novel setebal lebih setengah jengkal dapat dihabiskannya dalam beberapa jam sahaja. Dia akan duduk atau baring membaca dengan tekun. Kadang-kadang tidak sesuai dengan keperluan matanya terhadap pencahayaan kerana suasana samar. Kerap kali saya menegur tabiat yang kurang baik itu.
Novel yang dipilih oleh Naqib tidak terhad untuk remaja walaupun kebanyakannya memang untuk usia sepertinya. Novel jibunsyi Dalam Kehadiran Sofiah dia yang meminjamnya. Katanya, best gila. Memang tidak dinafikan, saya juga tidak mengantuk langsung menatap buku ini baris demi baris. Touching!
Minggu ini Naqib bercuti di rumah. Namun dia tidak dapat meminjam di perpustakaan kerana perpustakaan itu ditutup sehingga Selasa ini. Kadang-kadang kami pergi ke perpustakaan Shah Alam yang besar dan sejuk itu. Namun buku-buku di sana agak mengecewakan kerana sukar mendapatkan buku yang bersesuaian dengan kehendak kami. Perpustakaan desa yang kecil ini lebih memenuhi permintaan hati kami. Mujur ada perpustakaan desa dan berhampiran dengan rumah.
Seperkara lagi, saya semakin pandai menikmati penceritaan samada cerita novel mahupun cerita di kaca tv. Saya hentam membaca semua buku-buku dan koleksi cerpen yang dipinjam oleh anak-anak mahupun saya sendiri meminjamnya sambil memerhatikan perkataan yang disusun oleh penulis. Saya rasa sungguh menarik. Kata Puan Rina setiap kali saya update tarikh pinjaman buku, "kakak bukan membaca tapi kakak menelaah!"
Kesannya yang lain ialah saya kini telah berebut remote tv dengan Hanessa, aduh...memang teruk betul diri saya. Mujurlah cerita Soleha tidak bertembung dengan siri animasi kegemarannya, Wonderpet. Cuma semalam saya ambil remote itu yang tidak pernah lekang dari tangan kecilnya semasa menonton cerita Tukang Penggali Kubur setengah jalan. Oh ya, saya baru saja mula menonton tv, maka cerita-cerita seperti Soleha, Aqso dan Madina itu tidak saya tonton dari awal dan saya tidak faham cerita awalnya (saya bukan peminat siri tv dari Indonesia terutama semenjak siri Bawang Putih Bawang Merah yang sangat menyakitkan hati saya). Saya cuba melihat dari sudut sebagai penulis skrip, yang sangat pandai menyusun ceritanya, walaupun kalau di baca komen-komen yang diberikan oleh orang-orang muda Indonesia di internet, kebanyakannya negatif terhadap keseluruhan cerita tersebut. Saya terfikir-fikir samada saya perlu menonton cerita Hindustan pula, yang telah bertahun tidak saya tonton, untuk melihat jalan ceritanya. Hmmm, mungkin belum ke situ. Cerita Hindustan panjang berjela. Saya tidak larat nak melihat tarian dan pakaiannya.

***Apabila sesuatu itu difikirkan ada gunanya barulah dirasakan kebaikan yang ada padanya. Bersihkan hati maka bersihlah pandangan. Sayangi masa yang masih berbaki, agar tidak sesal di kesudahan. Carilah ilmu dan dekati orang berilmu, agar mendapat tempiasnya seperti keharuman yang terbau apabila berhampiran dengan tukang minyak wangi.

Setelah beberapa waktu berlalu...

Assalamualaikum!
Saya telah kembali, saya fikir begitu.
Insya Allah blog ini akan saya tuliskan sesuatu jika tidak hari-hari, mungkin selang beberapa hari. Saya fikir telah ada sesuatu yang boleh saya coretkan di blog ini.

Pagi ini saya menziarahi blog PTS untuk mengambil alamat tempat kursus yang bakal saya ikuti esok. Kemudian saya layari entri-entri sekadar melihat tajuk, lalu saya terhenti di tajuk ini. Kepada Puan Ainon, maaf saya mohonkan, dan selepas ini saya akan nyatakan kemaafan ini di blog puan. Saya ambil entri di bawah kerana saya sangat terpesona dengan pengisiannya, sedikit pemakluman yang menjawab banyak persoalan. Terima kasih kepada Puan Ainon yang tidak terhingga.

Sila baca...

Novel Sastera dan Novel Picisan

Banyak novel yang bermutu sastera sebenarnya ceritanya biasa-biasa sahaja. Banyak juga novel picisan yang mengemukakan cerita yang bermutu. Yang mengangkat cerita menjadi sebuah karya sastera adalah bahasanya.

Apalah luar biasanya cerita seorang perempuan bernama Salina, yang berhati mulia, tetapi telah menjadi perempuan-P akibat Perang Dunia II yang menimpa Singapura. Apalah luar biasanya cerita gadis kampung bernama Siti Nurbaya di Sumatera pada tahun 1940-an, yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tua kayaraya akibat ibu bapanya yang tidak mampu membayar hutang kepada si tua itu.

Cerita biasa-biasa seperti kisah Salina dan Siti Nurbaya, apabila ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, maka cerita itu menjadi luar biasa disebabkan bahasanya yang luar biasa, yang tidak akan kedengaran digunakan orang di kaki lima, di stesen LRT, di dalam disko, dan di gerai nasi campur.

Jadi, yang dikatakan sastera itu ada pada bahasanya. Ayat-ayat dan dialog-dialog yang tertulis dalam karya sastera itu tidak akan dapat didengar dalam percakapan sehari-harian.

Friday, August 21, 2009

Sebuah novel jibunsyi

Sebuah novel jibunsyi terbitan PTS, Dalam Kehadiran Sofiah, kisah ibu bapa muda yang direzekikan oleh Allah seorang anak istimewa. Kelahiran yang sukar sehingga lemas meenjadi sebab kepada kecacatan kekal cerebral palsy iaitu masalah gangguan dan kerosakan pada otak. Sofiah telah dua minggu lewat dilahirkan dari tarikh sepatutnya, bahkan air ketuban telah kering dan beberapa drip ubat telah dimasukkan ke tubuh ibunya namun tidak memberi sebarang tindakbalas untuk melahirkan. Akhirnya dia bergelar blue baby dan mendiami inkubator dengan wayar berselirat di tubuhnya.
Yang menjadi keanehan ialah sikap doktor yang masih memaksa kelahiran normal kepada ibunya walhal dia memang tidak berdaya sehingga separuh pengsan akibat kesakitan dan kesan ubat penahan sakit yang diberikan. Bayangkan, dua minggu sesudah semua operasi kelahiran normal dirancang oleh doktor gagal, masih dipaksakan kelahiran secara semulajadi. Siibu tiada masalah penyakit kritikal yang menghalang pembedahan dilakukan. Dia juga telah dimaklumkan akan dibedah sekiranya lewat tetapi doktor di hospital bukan sahaja bersikap kasar kepadanya, malah mengugut akan membiarkannya sekiranya dia tidak meneran bayinya.
Mungkin ini takdir. Tuhan telah menentukan takdir lewat sikap manusia sendiri. Ibu dan bapa muda ini yang masih jahil tentang ilmu keibubapaan terus dilanda pertanyaan demi pertanyaan di setiap temu janji dengan doktor yang memeriksa bayi mereka setiap bulan. Pemeriksaan yang berlanjutan tanpa sebarang keputusan, hanya menimbulkan persoalan tidak berpenghujung.
Satu kisah yang lain dari yang lain. Bukan kisah cinta yang direka-reka. Sebuah catatan kehidupan realiti penulis. Amat sesuai untuk dibaca bagi membuka pandangan baru terhadap mereka yang malang bergelar OKU serta memahami perasaan ibu bapa yang dianugerahkan insan istimewa seperti itu.

Tuesday, August 18, 2009

harapan berpanjangan

dalam tenang ada duka
dalam duka ada harapan

apakah harapan akan kesampaian...

apakah kesampaian akan berpanjangan...

...lebih satu jam saya berbicara dengan Ustaz Firdaus.

saya cuba memahamkan ustaz muda ini dengan cerita sebenar di sebalik apa yang telah dan sedang berlaku.

gaya ustaz ini yang rilex dan tidak keberatan untuk tertawa kecil pada satu-satu ketika membantu saya lebih santai dan sedikit demi sedikit muncul kisah-kisah yang diharapkan dapat membantu membaiki pandangan semasa.

pelajar sedang direhatkan memandangkan beberapa orang telah mendapat demam, yang diharapkan tidak seserius wabak yang sedang melanda negara. Insya Allah.

selamat...selamat...selamat...

Thursday, August 13, 2009

Samudera Nasihat


Bismillahirrahmanirrahim.
Sudah lama blog ini saya pinggirkan. Bukan tiada idea tetapi kegilaan yang menyerang pada pertama kali saya membuat blog ini tiada berbisa lagi. Saya hanya ternanti-nanti kedatangan Ramadhan yang mulia. Ada sedikit kelainan yang di luar kebiasaan. Saya sendiri tidak mengerti.
Untuk tidak membiarkan blog ini terus terpinggir sedangkan ia boleh dimanfaatkan, saya berhajat untuk mengambil petikan, menyadur, atau menulis semula sesuatu yang semoga dapat memberi manfaat kepada jiwa saya sendiri khususnya buat peringatan dari kelalaian dan keterlekaan dengan urusan duniawi yang sentiasa sibuk setiap saat.
Buat awalannya di sini, saya mengambil petikan dari buku Nasihat Buat Setiap Diri, yang saya beli ketika bergelar pelajar dulu. Ia mengandungi nasihat yang telah disusun bab demi bab, yang diambil dan diterjemahkan oleh penyusunnya dari kitab Nasoihul Ibad dan Al Wasail Ila Ma'rifatil Awail karangan Imam Sayuti.

Berkata Jibril a.s :
1. "Wahai Muhammad! hiduplah sesuka hatimu, tapi ingat sesungguhnya engkau akan mati."
2. "Wahai Muhammad! kasihilah sesiapa sahaja yang engkau suka, tetapi ingat sesungguhnya engkau akan berpisah dengan mereka."
3. "Wahai Muhammad! berbuatlah apa yang engkau suka tapi ingat sesungguhnya engkau akan dibalas tentangnya."

Semoga bersama mandapat manfaat, inysa Allah.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing