Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, December 26, 2009

Pesakit leukemia 8A, dan lain-lain lagi.

Sekitar keputusan PMR

(petikan dari myMetro)



>Ketepi sakit demi kejayaan



KUALA LUMPUR: Kegigihan pesakit leukemia, Nur Liana Abd Latif, 15, yang hanya sempat hadir tiga bulan ke sekolah sepanjang tahun ini nyata membuahkan hasil apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki itu mencapai 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, semalam.

Meskipun pada mulanya Liana tidak digalakkan sekolah menduduki peperiksaan itu tahun ini kerana penyakit dialami mungkin menjejaskan pencapaiannya, baginya tiada istilah mustahil untuk berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh.



 

“Saya ketepikan kesakitan dialami kerana percaya dengan kebolehan diri, malah saya jadikan kekurangan ini sebagai cabaran dan dorongan untuk berjaya sama seperti rakan lain yang dikurniakan kesihatan yang baik.

“Masa banyak dihabiskan di hospital untuk rawatan dan kimoterapi, malah saya juga tidak dapat hadir ke sekolah selama dua tahun sejak dikesan mengidap penyakit ini ketika di Tingkatan satu,” katanya.

Ketika ditemui di sekolahnya semalam, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dengan pencapaian cemerlang itu dan ingin berkongsi kejayaan bersama ibu Nor Laila Abd Kadir, 47, dan ayah, Latif Burok, 52, yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Ibu dan ayah kekuatan saya untuk meraih kejayaan ini dan saya nekad mahu membalas pengorbanan mereka menjaga saya ketika sakit dengan keputusan cemerlang ini,” katanya.

Liana berkata, walaupun tidak hadir ke sekolah, dia sentiasa berhubung dengan rakan jika tidak faham mengenai sesuatu subjek terutama Matematik dan Sains.

“Saya juga terharu dengan pengorbanan guru yang banyak membantu memberikan soalan latihan, nota dan pihak sekolah juga menempatkan saya di kelas bawah kerana bimbang kesihatan terjejas apatah lagi saya tidak boleh menaiki tangga,” katanya.

Anak tunggal pasangan itu yang menyimpan impian menjadi doktor tidak pernah mengikuti tuisyen dan tidak mengambil peperiksaan percubaan kerana masalah kesihatan sebaliknya mengulangkaji pelajaran di rumah.

Liana disahkan menghidap leukemia tiga tahun lalu dan sejak itu bermulalah episod baru dalam hidupnya kerana perlu berulang alik ke Hospital Gleanegles untuk pemeriksaan dan rawatan kemoterapi.

Liana juga tidak mahu menduduki PMR di bilik kuarantin, sebaliknya mahu bersama rakannya di dewan sekolah walaupun pihak sekolah menyediakan ruang khas untuk tidak menjejaskan kesihatan berikutan antibodinya yang lemah.

Sementara itu, Latif berkata, dia dan isteri tidak pernah memberi tekanan kepada anak untuk belajar kerana memahami masalah kesihatannya menyukarkan tumpuan terhadap pelajaran.

“Bagaimanapun, Liana tidak menjadikan masalah kesihatannya penghalang untuk belajar, malah sikap positif dan enggan mengaku kalah seperti kata pepatah ‘pantang mengalah sebelum ajal’ menjadikannya semakin bersemangat mengulangkaji pelajaran.

“Selain itu, mungkin kematian mengejut neneknya selepas mengetahui Liana mengidap penyakit itu menjadikannya semakin kuat dan bersemangat untuk mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya.



>Pelajar cemerlang Orang Asli tebus kekecewaan



JOHOR BAHRU: “Saya langsung tidak sangka akan mendapat 8A, seperti tak percaya apabila nama saya diumumkan sebagai pelajar cemerlang PMR kategori Orang Asli,” kata Mohammad Safwan Rajab, 15, yang sekali gus menebus kekecewaan ketika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia bekerja keras untuk mendapat keputusan cemerlang dalam PMR kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapa dan guru.

“Ketika menduduki UPSR), pihak sekolah meletakkan saya sebagai pelajar sasaran 5A, namun saya sedar ramai yang kecewa apabila hanya memperoleh 2A 2B 1C.

“Bermula dari itu, saya tekad belajar bersungguh-sungguh berikutan tidak mahu melihat wajah kecewa guru dan ibu bapa,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon, Batu Pahat itu berkata, dia memperuntukkan masa dua hingga tiga jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah.

“Saya tidak mempunyai sebarang jadual pembelajaran yang ketat sebagaimana pelajar lain, namun mendisiplinkan diri untuk mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah pada setiap hari selepas tamat waktu sekolah,” katanya.

Menurut Mohammad Safwan, dia begitu meminati kerjaya polis dan berusaha mendapatkan keputusan cemerlang untuk bergelar anggota polis berpangkat tinggi.

“Selain itu, saya juga mahu mengubah nasib keluarga dan membuktikan kepada orang luar bahawa Orang Asli juga mampu cemerlang serta menggilap nama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Dia yang ditemani bapanya, Rajab Yasin, 44, menerima anugerah yang disampaikan Pengarah Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin di sini, semalam turut berterima kasih kepada guru Matematik, Arba’in Sapuan dan guru kelasnya, Rohana Sabahi kerana banyak membantu hingga mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan yang murah hati meminjamkan nota yang mereka peroleh semasa mengikuti kelas tuisyen.

“Tanpa bantuan mereka, saya tidak mungkin memperoleh keputusan cemerlang kerana tidak mampu membiayai yuran tuisyen,” katanya.



>30 diumum pelajar cemerlang



PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor menjadi sekolah menengah harian terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009, manakala sekolah berasrama penuh terbaik disandang Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

Selain itu, Sekolah Menengah Agama terbaik disandang Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Terengganu dan Kolej Yayasan Saad, Melaka diumumkan sebagai sekolah bukan kendalian Kementerian Pelajaran atau sekolah swasta terbaik PMR 2009.

Nama sekolah terbaik itu diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom dalam sidang media ketika mengumumkan keputusan PMR di Kementerian Pelajaran, semalam.

Alimuddin turut mengumumkan Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah yang memperoleh 9A sebagai calon istimewa terbaik PMR, manakala Debbie Lim Huey Chih dari SMK Sultan Ismail, Johor Bahru dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Datuk Penggawa Barat, Johor Bahru, Johor memperoleh 8A.

Sementara itu, seramai 30 daripada 28,188 calon dari sekolah seluruh negara diumumkan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A, 8A dan 7A.

Pelajar cemerlang PMR yang memperoleh 9A ialah Dinah Hanani Jamal dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al Mashoor, Pulau Pinang; Nur Aimi Atiqah Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu dan Nur Asyikin Solehan dari SMKA Pedas, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin berkata, seramai 12 calon Sekolah Seni Malaysia menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dengan memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran teras yang diduduki dalam PMR 2009.

Katanya, mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR yang pertama kali diperkenalkan tahun ini di dua Sekolah Kesenian Malaysia di Johor Bahru, Johor dan Kuching, Sarawak menunjukkan prestasi baik di kalangan calon.

Menurutnya, pencapaian calon dibuat berdasarkan standard prestasi dengan empat band daripada Band Satu (terendah) hingga Band Empat (tertinggi).

Beliau berkata, bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan jumlah yang mendapat Band Empat diikuti muzik, seni visual dan tari.

“Pencapaian yang ditunjukkan calon amat memberangsangkan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang kesenian yang lebih khusus.

“Selain menerima slip keputusan peperiksaan PMR, calon Sekolah Seni Malaysia juga akan menerima sijil Pendidikan Kesenian yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

“Sijil ini mempunyai nilai tambah kepada keputusan PMR dan boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran, mendalami bidang kesenian atau tujuan lain dengan pengamal dan penggiat seni,” katanya.



>Kejayaan hadiah buat pengorbanan bapa



KUANTAN: “Setiap kali mengulang kaji pelajaran, hati dan perasaan saya tidak pernah lekang teringatkan ayah yang bersusah payah bekerja siang malam sebagai pengawal keselamatan bagi menyara kami sekeluarga.

“Kejayaan ini saya hadiahkan kepadanya sebagai tanda pengorbanan dilakukan bagi memastikan saya cemerlang dalam pelajaran walaupun kami daripada keluarga susah,” demikian luahan hati seorang pelajar selepas mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, semalam.

Muhammad Kamil Mokhtar, 15, dari Sekolah Maahad Tahfiz Tanjung Lumpur di sini, berkata pengorbanan dilakukan bapanya yang bertugas di sebuah kilang di Pekan menjadi pendorong utama kejayaannya.

Anak sulung lima beradik itu berkata, dia begitu terharu kerana dapat membuktikan kesusahan dihadapi keluarganya tidak menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan.

“Rata-rata rakan lain di sekolah ini golongan berada, namun ia tidak menjadikan saya rendah diri untuk sama-sama bersaing dengan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, bapanya yang menyara keluarga dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan sering berpesan supaya cemerlang dalam pelajaran kerana hanya cara itu dapat mengubah nasib keluarga.

“Ibu hanya suri rumah manakala tiga lagi adik masih bersekolah...saya yakin dengan pendapatan sebanyak itu perit bagi ayah menyara kami semua,” katanya yang berasal dari Kampung Penadah, Pekan.

Muhammad Kamil berkata, sebagai anak sulung yang akan menentukan masa depan keluarga pada masa depan, dia begitu tersentuh setiap kali mengenangkan detik bapanya keluar bekerja.

“Ayah bekerja syif pagi, petang dan malam...Jika satu hari nanti saya berjaya mencapai cita-cita bergelar ahli perniagaan sudah pasti tidak akan membiarkan ayah bekerja susah payah seperti dulu,” katanya.

Menurutnya, kejayaan diperoleh akan menjadi pendorong kepada empat adiknya berusia antara tiga hingga 11 tahun mengikut jejak langkahnya kelak.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Datuk Zulkifli Ali, berkata seramai 19 daripada 28 calon sekolah terbabit mendapat keputusan memberangsangkan dengan mencatat 9A.

Katanya, tujuh lagi mencatat keputusan 8A 1B manakala dua pelajar mendapat 7A 2B.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing