Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Monday, December 7, 2009

Kita juga pelakon


Anda penonton tv yang setia?

Pernah ada 5  buah tv di rumah kami, pelbagai saiz, pelbagai jenis hingga tidak tahu mana lagi nak diletakkan.   Beberapa bulan lepas, kami mengagihkan sebuah tv besar kepada seorang kenalan; tv itu sudah lama tersadai diketepikan sejak ia mula buat hal.  Esoknya kenalan itu datang dengan wajah ceria mengabarkan tidak ada apa yang tidak kena dengan tv tersebut; saya minta dia memulangkan semula tv itu tetapi disanggah oleh hubby, "Buruk siku!"...  saya hanya bergurau, tidaklah terlintas hendak meminta dia menghantar semula tv yang besar dan berat itu kembali.  Kini hanya ada sebuah tv lama milik abah yang  dibawanya dari kampung.  Kelmarin abah offer lagi sebuah tv comel, kami tolak dengan baik kerana bonet kereta sudah penuh sarat dengan beg pakaian.  Kalaupun masih ada ruang, kami tidak bercadang hendak menambah tv di rumah.  TV lama abah sudah memadai.  Cemburu juga melihat rumah orang menempel tv LCD penuh ruang dinding, tetapi tidak bercadang hendak membelinya; melainkan jika dapat rezeki terpijak nombor bertuah dan seumpamanya...
Kami selalu berlengah dengan pelbagai kegiatan harian lain, masih menonton tetapi tidak 'melekat' amat di depan tv. Di usia remaja, saya memang 'hantu tv' dan sanggup berjaga ke larut malam bersendirian sehingga selalu pening kepala dan 'jiwa kacau' gara-gara cerita yang ditonton., kini tidak lagi... syukurlah kerana ada banyak urusan lain untuk mengisi ruang terluang sehingga saya dapat menjarakkan diri dengan tv.  Agak pemilih kerana letih 'mengomen' dan selalu sakit hati, sakit telinga mendengar tengking herdik jerit pingkau  sambil anak-anak melongo menonton, ish ish... apakah kebaikannya melihat orang-orang menjerit-jerit, sepak terajang, tidur baring di katil?... Jarang amat  menonton kisah-kisah yang dapat memberi suatu pengajaran yang baik.  Namun hingga sekarang saya masih terpesona dengan 2, 3 siri drama luar Korea dan Jepun, yang pastinya bukan cerita cinta.

 

 
Terkini saya terperangkap dengan perasaan suka (bukan suka 'gila') kepada siri Soleha dan Nurkasih.  Seperti biasa, semua siri ini tidak pernah saya tonton dari awal, melainkan setelah suku jalan atau di pertengahan.  Saya tidak kisah jika miss beberapa siri kerana masih dapat memahami jalan cerita. Saya menilai sepintas lalu apabila mendengar dialog yang dituturkan dan muzik latar yang menarik perhatian.    Watak pelakon utama juga diperhatikan.  Kalau watak heroin, keayuan wajahnya dan keanggunan watak yang dibawanya jadi keutamaan.  Kalau watak hero pula, lebih subjektif.  Saya tidak mengikuti perkembangan artis keterlaluan, hanyalah melihat tajuk panas dan berita sensasi yang terpampang di akhbar.  Ruang hiburan bukan ruang kegemaran.  Tidak ketinggalan zaman dan tidak detail.  Saya tidak tahu nama sebenar pelakon Korea yang membawa watak orang miskin yang berjuang mencari ilmu sehingga menjadi doktor istana itu (err... betul ke dia pelakon Korea? Anda pernah tonton siri ini tak?).
 Saya masih ingat kata-kata guru tusyen Matematik semasa di tingkatan 3 dulu, Cikgu Mat Amin (arwah), katanya "Orang yang suka membaca majalah hiburan mempunyai mentaliti yang rendah."  Cikgu selalu mengulang-ulang pernyataan ini sebagai selingan semasa mengajar di kelas malam.  Ekoran itu saya menanam rasa tidak minat kepada sebarang majalah berbentuk hiburan yang menumpukankan pelbagai kisah sensasi artis tanpa rasa tertekan kerana saya memang tidak pernah membeli majalah sedemikian.
Cikgu Dima (terima kasih kerana follow blog Naqhuhines) menyatakan masyarakat Malaysia suka watak plastik.  Hmm... betulkah demikian?  Adakah kita mempunyai pilihan lain; watak yang selari di layar dan dalam kehidupan seharian?  Secara peribadi, bukan mudah dan hampir mustahil menemui Nurkasih  dan Soleha sebenar dalam realiti yang mahu dirinya ditonton di tv.  Manusia adalah pelakon di pentas kehidupan.  Pelakon adalah satu watak dari sekelian watak yang wujud.  Di dalam skrip kehidupan, ada insan yang mendapat ujian dan ia berjaya melaluinya.  Ada juga insan yang mengalah dan kecundang.  Ada pula yang terus bertahan selagi ada kemampuan.  Demikian juga golongan artis, sama seperti insan biasa di mana-mana, cuma kisah mereka diwar-warkan seantero alam dan dikomersialkan untuk keuntungan golongan yang mencari rezeki melalui penghebahan maklumat yang digemari oleh kebanyakan manusia; gosip dan berita panas kehidupan orang-orang terkenal yang diminati / ikon / idola iaitu golongan artis yang sentiasa menonjolkan kesempurnaan.  Kadang-kadang timbul rasa simpati kepada golongan artis ini; pesona dunia glamor selalu membawa mereka kepada kekecewaan melainkan yang 'terpilih''  untuk bebas dari kongkongan itu.  Wardina Saffiya semakin hebat mengacara rancangan langsung di tv, 'Ali Setan'  juga hebat dengan perniagaannya, ... siapa lagi?  Maaflah, saya ingat pada mereka berdua ini kerana selalu menonton Wardina di tv, dan melihat iklan  Hiraq di majalah Anis di mana Azmil Mustafa adalah duta produk ini. Mungkin anda ada contoh-contoh lain yang boleh dikongsikan bersama. Sefaham saya, mereka sudah tidak berlakon lagi.
Akhir sekali, tidak timbul rasa kecewa menyaksikan kisah di sebalik tabir para pelakon ini.  Sememangnya kita perlu maklumkan kepada diri bahawa tidak ada manusia yang sempurna di alam jagat ini seperti  watak yang kita saksikan di dalam drama kegemaran itu.  Usah biarkan diri tertipu oleh pesona kelembutan sehingga kita mengharapkan mereka benar-benar sedemikian di luar drama.  Perhatikan kenyataan para pelakon yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh menjiwai setiap watak yang dilakonkan.  Mereka amat berbangga dengan kebolehan 'menipu' dan mempengaruhi penonton; bangga jika kita membenci separuh mati watak jahat yang dihayati, mahupun cinta separuh gila watak sempurna yang dipersembahkan.
Memadailah kita kembali kepada watak sempurna ciptaan Tuhan yang kekal sempura selama-lamanya; para Nabi dan Rasul yang maksum; juga serikandi-serikandi Islam yang berjiwa teguh dan kental iman mereka.
Sekian dahulu, sehingga ketemu lagi, selamat membaca dan mengomen...


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing