Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, November 8, 2009

Unta Saidina Ali r.a.



Pada suatu hari, Saidina Ali r.a pulang ke rumah mendapatkan isteri kesayangannya, Siti Fatimah.
"Wahai isteriku, ada makanankah untuk suamimu ini?" tanya beliau dengan lemah-lembut dan penuh kasih-sayang kepada isterinya itu.
"Tiada wahai suamiku.  Hanya ada sedikit wang 6 dirham untuk membeli makanan buat anak-anak," jawab Siti Fatimah dengan perlahan. 
Saidina Ali r.a berfikir-fikir sebentar, 'makanan tiada untuk dimakan sedang anak-anak kelaparan'.  Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menggunakan wang itu buat membeli sesuatu makanan yang boleh menghilangkan rasa lapar mereka sekeluarga dan menguatkan tulang belakang untuk beribadah kepada Allah.  Lalu dengan wang 6 dirham di dalam genggaman, Saidina Ali r.a. pun melangkah menuju pasar yang berdekatan.  Dalam perjalanan ke pasar itu, Saidina Ali r.a. bertembung dengan seorang pemuda yang telah berkata kepadanya, "Siapakah yang ingin meminjamkan wang kerana Allah dengan pinjaman yang baik?"
Tatkala mendengar kata-kata pemuda itu, Saidina Ali r.a. tanpa berfikir panjang terus menyerahkan wang 6 dirham di dalam tangannya kepada pemuda itu.  'Aku sedekahkah wang ini kerana Allah," kata hatinya.  Tidak ada kegusaran atau rasa berbelah-bahagi di dalam hatinya untuk melakukan itu, walaupun dia sedar anak-anak di rumah sedang menanti kepulangannya membawa makanan.  'Aku akan mendapatkan makanan dengan cara yang lain,' hatinya berbicara sendiri.
Oleh kerana tiada wang untuk membeli, Saidina Ali r.a. pulang ke rumah semula.  Isterinya menerima kepulangan Saidina Ali r.a. dengan tangan kosong itu dengan penuh redha.  Puteri Nabi ini benar-benar insan istimewa yang cukup tabah.  Mereka cuba menutupi rasa lapar itu dengan meneguk air sahaja.  Namun beberapa ketika kemudian rasa lapar kembali memuncak.  Sesuatu perlu dilakukan untuk meneruskan hidup ini, walaupun sekiranya mereka mahu, boleh sahaja meminta sesuatu dari rumah Nabi s.a.w.
Lantas Saidina Ali r.a. keluar semula menuju ke rumah bapa mertuanya yang mulia itu.  Di pertengahan jalan, sekali lagi Saidina Ali r.a. dihampiri oleh seorang pemuda yang sedang mengheret seekor unta yang besar lagi tegap badannya.  Pemuda itu meminta Saidina Ali r.a. membeli untanya dengan harga 100 dirham.

"Tetapi aku tidak punya wang untuk membayar harga unta ini," sanggah Saidina Ali r.a.  Dia sedang berikhtiar hendak mendapatkan makanan dan tidak pernah terlintas di hatinya untuk membeli seekor unta dalam keadaan tiada sedirham wangpun di tangannya.
'Tidak mengapa, bayar padaku kemudian apabila sudah ada wangnya," kata pemuda itu pula memberi waktu kepada Saidina Ali r.a. untuk menangguhkan bayaran.
"Kau tidak mengenaliku, bagaimana kau begitu percaya kepadaku?"
"Aku menitipkan unta ini kepadamu dengan disaksikan oleh Allah Taala, cukuplah Allah sebagai saksi," sahut pemuda itu dengan penuh yakin.
"Alhamdulillah, jika demikian katamu aku bersedia membeli unta ini dengan bayarannya ditangguhkan sehingga aku dapat menjualnya semula, insyaAllah."
Saidina Ali r.a. pun pulang semula ke rumahnya sambil mengheret unta itu bersama.  Sebelum dia sampai ke rumah, sekali lagi dia bertemu dengan seseorang yang penampilannya seperti saudagar kaya.

"Unta ini begitu tegap dan cantik.  Aku akan membelinya dari kamu.  Berapakah harganya?"  tanya saudagar itu kepada Saidina Ali r.a.
Setelah berbicara seketika, saudagar itu bersetuju untuk membayar 300 dirham kepada Saidina Ali r.a. untuk harga unta itu.  Wang pun bertukar tangan dan unta diserahkan kepada saudagar itu.
Saidina Ali r.a. berasa amat gembira di atas perolehan yang tidak disangka-sangkanya itu.  Dia akan membayar 100 dirham kepada penjual unta dan dia mendapat keuntungan 200 dirham yang boleh digunakan untuk membeli makanan buat keluarganya.
Saidatina Fatimah kehairanan melihat riak gembira di wajah Saidina Ali r.a., "Apakah yang menyebabkan kekanda begitu gembira?"
Lalu Saidina Ali r.a. pun menceritakan tentang jual beli unta yang berlaku sebentar tadi.
"Wahai suamiku, sebenarnya kamu telah mendapat pertolongan dari Allah s.w.t." jawab Saidatina Fatimah.
Saidina Ali r.a. keluar lagi menuju rumah Nabi s.a.w. untuk menceritakan peristiwa yang luar biasa itu.  Apabila sampai di masjid, Nabi s.a.w. tersenyum menyambut kedatangan Saidina Ali r.a. " Wahai Ali, apakah ada sesuatu yang ingin kamu sampaikan kepadaku?"
"Eloklah jika kamu yang menceritakan terlebih dahulu kepadaku, ya Rasulullah s.a.w.," kata Saidina Ali r.a.
Nabi s.a.w. bertanya, "Wahai Ali, tahukah kamu siapa yang menjual unta kepada kamu dan siapa yang membeli unta kamu sebentar tadi?"
"Allah s.w.t. dan Rasul-Nya lebih mengetahui," jawab Saidina Ali r.a. lagi.
Nabi s.a.w. tersenyum lagi.  "Wahai Ali, kamu sesungguhnya beruntung kerana meminjamkan 6 dirham kerana Allah.  Tahukah kamu, orang yang menjual unta kepada kamu itu ialah Malaikat Jibrail a.s. dan saudagar yang membeli untamu dengan harga 300 dirham pula ialah Malaikat Israfil a.s."

Kita memang digalakkan untuk bersedekah.  Bersedekah menjadi satu wadah yang mujarab untuk sesuatu hajat dan doa dikabulkan Allah.  Juga untuk mengelakkan sesuatu musibah.  Tidak perlu dipertikaikan kepada siapa kita hendak bersedekah, bukankah tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima walau siapa jua yang menerimanya.  Ikhlaskan hati dan bersihkan niat, kerana kita tidak mengharapkan balasannya serta-merta dan kembali kepada kita semula.  Bahkan balasan itu terpulang kepada Allah untuk melakukannya, mungkin kepada anak cucu kita, di masa hadapan.  Atau mungkin dalam bentuk kesihatan yang baik, urusan yang dipermudahkan selalu, dan sebagainya.
Semoga Allah memberi kita kelapangan dan kemudahan untuk bersedekah selalu.  Amin.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing