Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Tuesday, November 3, 2009

Petunjuk Tuhan


Bertahun dia mengamalkan doa itu.  Sewaktu masih kanak-kanak, bapa saudaranya telah mengajarkan dia doa ringkas tersebut sebagai amalan selepas solat.  Kini bapa saudaranya telah pun kembali ke rahmatullah.  Dia masih terus mengamalkan doa itu dengan tekun sambil mengharapkan kebaikan dari sisi Allah SWT.
Lelaki ini hidupnya sederhana, kadangkala dia seperti kaya-raya, kadangkala dia seperti di dalam kesusahan walaupun tidak sampai merempat.  Semasa rezekinya mencurah, dia tidak lupa menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan.  Kawan-kawan yang di dalam kesempitan tidak pulang dengan tangan kosong andai bertemu dengannya, tidak banyak sedikit pasti ada agar kawan-kawan tidak kehampaan.  Sahabat yang di dalam kesesakan namun silu untuk meminta akan diberikan pinjaman tanpa ditetapkan waktu untuk membayar kembali.  Hidup yang seperti roda turut membuatkan dia berada di dalam kesusahan; yang membuatkan dia perlu meminta kembali pinjaman yang dititipkan sebelum itu.  Kadangkala berbulan dia diuji dengan kesempitan rezeki yang umpama matahari menyorok di sebalik awan tebal yang hitam di langit tinggi.  Dia terus bersabar.  Mujur ahli keluarga yang selalu dididik dengan sifat sederhana pandai mengerti waktu yang getir seperti itu.
Rupa-rupanya itulah tanda doanya yang telah sebati di dalam diri telah mula dikabulkan oleh Allah Taala yang Maha Penyayang.  Dia meminta menjadi orang yang sabar; dia selalu sabar di dalam mehnah kehidupan yang pelbagai rentak ini.  Dia meminta menjadi orang yang syukur; itulah ungkapan yang selalu dibutirkan di bibir terutama sewaktu menghadapi hidangan walau apa pun yang dijamah waktu itu, sekaligus mendidik anak dan isterinya erti kesyukuran dan kesabaran.  Doa keempat agar dia diberi kemuliaan di dalam pergaulan dengan manusia; dia selalu dimuliakan dan diutamakan di dalam urusan sekitar kehidupannya.  Alhamdulillah.
Cuma...doa yang ketiga itu yang baru dibongkar rahsianya, rahsia yang dipetik dari kesilapan kecil yang membawa natijah besar dalam keseluruhan hidupnya sebelum ini.  Maha Suci Allah dari segala kesilapan, sesungguhnya sifat insan tidak lari dari berbuat silap dan hanya Allah sahaja yang Maha Pemberi Petunjuk yang benar.  Bahawa dia telah tersilap meminta 'rezeki yang kecil', di dalam Bahasa Arab ialah 'saghiro' yang sepatutnya disebut 'khathiro' iaitu besar atau luas.  Entah bagaimana dia boleh melakukan kesilapan begitu.  Tidak mungkin doa asal yang diambilnya dahulu dari bapa saudara yang tersilap.  Demikianlah, apabila Tuhan menghendaki sesuatu kebaikan atau kemudaratan ke atas hamba-hambaNya, tidak sesiapa dapat menolaknya atau menepis daripada menyinggahi hidupnya.
Setelah sekian lama dia bergelumang dengan pelbagai hutang-piutang dan kesempitan rezeki yang umpama ombak di lautan menghempas badai hatinya, tanpa disangka-sangka dia mengajukan doa itu kepada seorang Tuan Imam dalam satu bicara petang.  Termenung Tuan Imam tatkala mendengar doa tersebut, terdetik hatinya kaitan hidup lelaki ini dengan doa yang diamalkannya itu.  Maka di situlah umpama tersingkap
satu hijab yang sengaja dibukakan oleh Tuhan setelah sampai waktunya, bahawa matahari yang sekian lama bersembunyi di balik mega mendung bakal berlalu pergi dan pelangi indah pula akan menghiasi alam hidupnya.  Lelaki ini bagai baru bangkit dari lena yang panjang, dari tidur yang tidak pernah puas, dari sebuah mimpi di siang hari yang penuh sendu dan kehibaan.  Kembali ke terataknya, dia lantas sujud syukur mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Illahi yang Maha Pengasih.
Sesungguhnya amat indah kehidupan di dalam perhatian Tuhan.  Amat indah hidup di dalam pengampunan Tuhan; amat indah hidup di dalam pengharapan tidak berkesudahan kepada Tuhan.  Bahawa Dia sebaik-baik tempat meminta; sebaik-baik tempat mengadu; sebaik-baik tempat kembali.  Tiada Tuhan melainkau Engkau, Ya Allah.  Engkaulah yang Maha Agung, tiada Tuhan selain Engkau, Pemilik tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi; Pencipta Maha Hebat dan Perencana Maha Agung yang Maha Suci dari sebarang kesilapan.  Hanya padaMu kami berserah diri.  Terimalah kami dan ampunilah kami.  Amin.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing