Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, November 21, 2009

Nak dekat mama!



Puas hati dengan persembahan blog Naqhuhines setakat ini, saya jenguk-jenguk blog sendiri sekadar hendak mencuci mata tanpa keinginan menulis sesuatu.  Nampaknya follower blog Naqhuhines dah bertambah 10 orang, termasuklah diri sendiri... ha ha ha ha.  Sesiapa boleh tolong saya delete muka saya tu?
Terima kasih pada anda yang sudi follow blog Naqhuhines.  Saya lihat ada blogger yang bagi hadiah atau bertukar-tukar hadiah sesama blogger, hmm... saya tak cuba lagi.
Okeylah, ada sedikit kisah anak-anak.  Ia bermula dengan Naqib... (Naqib lagi!).  Apabila kami sekeluarga akan bergerak keluar menaiki kereta, Naqib awal-awal akan booking seat di belakang saya.  Pada awalnya, semua adik-adiknya tidak kisah langsung dengan permintaan Naqib.  Jadi, hampir setiap kali kami keluar, Naqib mengambil tempat di belakang saya.  Dia sering mencuit bahu saya, dan berbisik-bisik dengan saya.  Ada sahaja ceritanya sehingga saya kerap tertoleh-toleh ke belakang.
Kini Naqib berada di madrasah, bermulalah cerita baru adik-adiknya yang ditinggalkan.  Ain kini menjadi anak paling tua di rumah ini.  Dia mengambil alih peranan yang ditinggalkan oleh Naqib.  Di antaranya ialah booking seat di belakang saya setiap kali kami sekeluarga keluar ke mana-mana.  Namun sedikit malang, adik-adiknya sudah perasan perkara ini dan mereka tidak sudi bertolak-ansur sewenang-wenangnya terutama Hidayat. Setiap kali kami merancang hendak keluar, Ain atau Hidayat akan berebut tempat duduk di belakang saya.
"Mengapa nak duduk di belakang mama?"
      "Sebab kitorang sayang mama."
"Kalau sayang mama, bukan berebut duduk di belakang mama macam ni."
   "Abih tu?"
"Ikut cakap mama, belajar pandai-pandai.."
  "Hmm."

Walaupun faham, tetapi perebutan tempat duduk menjadi bertambah buruk sehingga saya tidak dapat menahan diri mengadu pada hubby.  Apa tidaknya, Ain dan Hidayat boleh bertumbuk, bercubit-cubit dan tendang menendang dalam senyap kerana timbul perasaan tidak puas hati.  Akhirnya saya menetapkan supaya masing-masing mengambil giliran, tetapi kadang-kadang masih ada yang mengelat.  Itu kisah di dalam kereta.
Di meja makan pun sama juga.  Sambil menghidang makanan dan menyusun pinggan di atas meja, Ain atau Hidayat akan berbisik-bisik meminta saya duduk di sebelah semasa makan nanti.  Apabila permintaan tidak saya penuhi, atau tempat duduk di sebelah saya diambil oleh yang lambat booking, akan adalah wajah yang kelat menahan rasa.  Pada awalnya masih di bawah kawalan, tetapi lama kelamaan menjadi lebih berat dan seperti selalu, saya adukan pada hubby.
Setakat hari ini, saya jadi pengadu apabila berada di peringkat paling sukar untuk mengawal anak-anak.  Cukuplah dengan mempamerkan muka yang serius, saya sendiri agak kecut perut dengan hubby.  Lelaki ini, kalau jadi guru mungkin ramai pelajar yang kena pelempang; kalau jadi polis mungkin ramai yang kena tahan...  walaupun sebenarnya ada unsur humor di dalam dirinya, yang selalu membuat kawan-kawannya lekat hati padanya.  Apabila hubby mengambil peranan, anak-anak pun belajar mengawal diri mereka.
Saya bukanlah tidak tegas, tetapi mungkin sudah pembawaan diri suka bertoleransi dengan anak-anak.  Sesekali garang juga, tetapi jauh di sudut hati timbul rasa kesal dan sedih memperlakukan anak-anak, dan akhirnya diri rasa kurang sihat.  Selalu hati berkata-kata bahawa anak-anak yang nakal ini sedang membesar dan setiap saat mereka mempelajari sesuatu.  Satu ketika semua ini akan berlalu dan hanya kenangan yang tinggal.  Hidup yang sejenak ini amat penting untuk dihargai.  Apa yang saya lalui kini adalah rahmat Illahi yang saya rindukan semasa di zaman kanak-kanak.  Saya melihat anak-anak ini sedang menikmati sesuatu yang tidak saya rasai dulu. 
Ya Allah, kumohon petunjukMu dalam mendidik anak-anak ini yang selalu menjadi ujian kesabaran. Amin.


No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing