Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, October 10, 2009

Kisah Sudu dan Garfu


Di dalam sebuah dapur, terdapat bekas sudu garfu yang penuh sesak dengan pelbagai jenis sudu, garfu dan kepit mee.  Ada juga pelbagai jenis senduk yang dempak, yang tinggi langsing dan ada yang pudar warnanya sebagai tanda amat kerap digunakan.  Juga pelbagai jenis pisau seperti pisau tumpul untuk sapu mentega di atas roti, pisau untuk memotong bawang,  pisau pasar yang besar yang boleh memutuskan ayam jadi dua bahagian dengan sekali hentak serta pisau potong kek dan roti.
Dalam banyak-banyak perkakas itu, ada sepasang sudu dan garfu yang istimewa, sepadan berwarna biru langit belang putih yang dibeli di Jaya Jusco sempena keluaran khas ulangtahun syarikat sudu garfu itu.  Maka kalau digunakan, memang akan digunakan sudu dan garfu itu secara sepasang.  Kalau tidak akan rasa janggal menggunakannya bersendirian atau berasingan. 
Pada satu hari, muncul sudu hijau tiba-tiba termasuk ke dalam bekas sudu itu.  Sudu biru rasa amat cuak, kerana sudu hijau itu sama spesies dengannya hanya berbeza warna.  Dia risau kalau-kalau orang tersalah ambil sudu hijau dipadankan dengan garfu biru pula.  Hatinya tertanya-tanya, "dimanakah garfu hijau?"
Namun untuk bertanya sendiri kepada sudu hijau, tidak sama sekali.  Sudu biru merasakan dia lebih senior dan lebih berhak berada di dalam tempat sudu dan garfu itu.  Sudu sama spesies berlainan warna tidak berhak mendapat ruang di situ.
Sudu biru yang cuak bertambah geram apabila satu ketika, dia terpandang garfu biru bercakap-cakap dengan sudu hijau.  Sudu biru cuba memasang telinga.

"Apa khabar, sudu hijau?" tanya garfu biru.
"Khabar tak baik," jawab sudu hijau, sedikit muram.
"Apa yang tak baiknya tu?"
"Garfu hijau dah hilang."
"Macamana boleh hilang?"
"Entahlah, saya pun tidak pasti.  Mungkin keciciran di mana-mana."
"Sabarlah, nanti tuan kita pasti cari sampai jumpa."
"Mudah-mudahan."

Sudu biru kurang senang dengan keramahan garfu biru.  Dia tidak suka garfu biru berbual-bual begitu.
"Sudahlah tiada pasangan, terlebih ramah pula..." rungut sudu biru sendirian.
Sudu biru pun memberi amaran keras kepada garfu biru supaya tidak lagi bertanya khabar  perihal sudu hijau itu.   Kehadiran sudu hijau telah menggugat ketenangannya.  Sudu biru berpendapat sudu hijau tidak perlu ada di dalam bekas sudu itu.  Dia tiada pasangan, dia adalah ganjil.  Dia perlu diketepikan.
Sudu biru seakan-akan terlupa bahawa dia dan sudu hijau sama sahaja fungsinya, cuma berbeza warna. 

Garfu biru rasa hairan bin pelik.  Selama ini sudu biru amat ramah dan terbuka.  Sudu biru boleh ngam dengan semua jenis perkakas yang ada.  Sudu biru selalu jadi tempat rujuk perkakas yang lain.  Sudu biru seolah-olah jadi kepala di situ.  Itulah karisma sudu biru yang telah menarik hatinya sekian lama.  Namun, kali ini sudu biru menolak mentah-mentah kehadiran sudu hijau tanpa tegur-sapa langsung.
Apabila garfu biru menerima amaran dari sudu biru, dia akur walaupun dia tidak dapat mengerti.  Sekadar 
berbasa-basi pun dia tidak dibenarkan.  Sudu biru seperti sudah hilang kepercayaan kepadanya.  Garfu biru pening kepala.  Pergerakan garfu biru mula dikawal dan dihadkan.
Garfu biru merasa jauh hati.  "Mengapa sudu biru tidak mempercayaiku lagi?  Bagaimana sekiranya garfu hijau yang muncul bersendiri di sini..."
Akhirnya garfu biru membiarkan sahaja pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan.  

2 comments:

Anonymous said...

Kiasan menarik. Tapi kan sepatutnya biru & hijau ada bekas masing-masing. Tak timbul masalah cemburu dsbgnya.

NaqHuHiNes said...

Andaikan sahaja percampuran ini berlaku ketika tuan rumah sibuk mengendalikan jamuan hari raya. Semua perkakas bercampur-aduk sehingga senduk pun boleh diletakkan bersama sudu dan garfu di dalam satu bekas. Mungkin itulah sebabnya garfu hijau tercampak entah ke mana...dan sudu hijau tidak lagi berada di dalam bekasnya. Terima kasih di atas komen tuan/puan. :)

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing